BAB 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MUNGKIN tiada yang mengingati apa yang telah berlaku.

Mungkin ada yang tahu tetapi dipaksa untuk mengunci bicara.

Sedang lelaki itu tidak berkelip melihat segenap ruang udara. Suasana hospital menjengah mata. Permandangannya yang kabur tadi telah pun menjelas. Bagaikan cendana di dalam sepersalinan pesakit. Terbaring di situ tidak bermaya walau untuk mengangkat tangan sendiri.

Di kiri dan kanannya berdiri utuh seorang doktor lelaki dan dua orang jururawat perempuan.

Dia menarik nafas dan menghembuskan perlahan-lahan seperti yang disuruh. Mata dikerdipkan sekali dua. Begitu kering tekak dirasai. Sedar, setiap pasang mata sedang memandangnya. Dia jadi sedikit keliru.

"Yusuf Zayyad," panggil doktor bertali leher. Pagi ini mereka dikejutkan dengan kesedaran pesakit koma di bilik 24. Pesakit itu ialah seorang anggota polis lelaki yang terlibat dengan sebuah tragedi kebakaran. Di bilik kelas pertama ini, maklum juga bahawa yang terlantar ialah anak orang kenamaan tanpa limit pembayaran kos perubatan. Pendek kata, semahal apa prosedur yang hendak dijalankan tidak mendatangkan masalah daripada segi kewangan.

Yusuf Zayyad bin Dato' Malik.

"Yusuf Zayyad," panggil doktor sekali lagi dengan mesra. Pemeriksaan telah dilakukan dan pesakitnya berada di tahap yang stabil.

Zayyad mengangkat kelopak matanya dan mula memberikan sebuah pandangan kosong. Tidak pasti apakah yang dipanggil itu namanya. Terasa begitu dekat apabila patah perkataan 'Yusuf Zayyad' menyapa corong telinga.

Yusuf.

Zayyad.

Mana mungkin dia berasa asing pada nama yang telah dimiliki sejak lahir di muka bumi.

"Tuan Zayyad, boleh dengar suara saya?"

"Siapa Yusuf Zayyad?" Untuk kepastian, Zayyad bertanya kembali. Suaranya kedengaran perlahan saja. Hampir tidak berputik bait perkataan. Dia benar-benar berasa tidak larat dengan batas kudrat tersisa.

"Nama tuan, Yusuf Zayyad. Saya doktor Luqman... Doktor yang uruskan tuan selama tuan berada di hospital ni," terang doktor Luqman.

"Tuan Zayyad ingat tahun ni tahun apa?" sambungnya lagi.

"Tak pasti."

"Tuan kenal Adkayra?" Tangan doktor itu mempelawa salah seorang jururawat perempuan bertudung untuk tampil selangkah dekat.

Mata Zayyad menatap wajah gadis itu lama. Daripada bundar matanya, turun ke lekukan bibir yang beroles lipstick merah delima. Seakan pernah berkenalan di suatu ketika tetapi tidaklah dia merasakan begitu kuat perasaannya. Mungkin dia mengenali gadis bernama Adkayra ini.

"Tak," kata Zayyad. Kepalanya bertambah sakit apabila cuba menganalisa lebih lagi. Terpejam sebelah mata kiri menahan rasa itu.

"Tuan tahu pekerjaan tuan sebagai apa?" Doktor Luqman tidak sedar akan tindakannya yang melulu. Malah, jika dibenarkan dia mahu menanyakan seribu satu soalan yang berkaitan dengan tragedi tahun lalu. Terlampau banyak tanda soal yang dinokhtahkan sejak Inspektor Zayyad tewas di lapangan.

"Tak." Dada Zayyad mula beralun kencang.
Taluan soalan menyesakkan jiwanya untuk memproses segala bicara dalam waktu yang singkat. Sakit di kepala menyengat dan menyeri. Langsung kedua-dua belah kelopak mata dipejamkan tuk seketika.

Jawapan tersebut menghampakan doktor Luqman. "Maaf, saya bertanya banyak sangat soalan. Saya cuma nak pastikan tuan tak hilang ingatan. Sebab-"

"Doktor, kita beredar dulu. Pesakit nak berehat," potong jururawat yang bernama Adkayra. Sejak tadi Adkayra memerhati tidak enak. Risau keterlanjuran doktor muda itu akan memudaratkan keadaan pesakit walhal Yusuf Zayyad baru sahaja mencelikkan mata setelah 12 purnama lamanya.

Setahun Zayyad melelapkan mata.

Doktor Luqman mengetap bibir tanda akur. Wajah Zayyad yang tidak selesa dipandangnya simpati. Niatnya hendak membantu sahaja, keadaan pula masih belum mengizinkan. "Tuan Zayyad, saya minta diri dulu. Kalau ada masalah tekan sahaja butang di sebelah katil ni. InsyaAllah, kami akan datang secepat mungkin. Assalamualaikum."

Tiga tubuh asing di mata Zayyad beransur pergi.

Butang yang dimaksudkan Doktor Luqman dipandang sekilas. Dia termangu sendiri. Nafas ditarik sedalam-dalamnya melepaskan kesakitan kepala.

Ternyata tekaknya masih berasa tandus.

Zayyad sedaya upaya cuba menggapai remote kecil yang memiliki beberapa butang itu. Dia menggenggam alat berkenaan. Lalu bibir menggulung sekelumit senyuman kelat.

Genggaman selemah ini sahaja yang mampu dibuahkannya.

Matanya jatuh pada kedua-dua kaki pula. Terletak elok di sebalik selimut putih.

Lama kelamaan kelopak mata itu jatuh menutupi lensa birunya.

***

BUNYI letupan silih berganti hinggakan telinganya tidak dapat meneka ia berpunca dari mana. Keadaan gelap gelita di luar bangunan tiga tingkat ini telah diterangi nyalaan api marak menjulang. Zayyad berasa sungguh tidak sedap hati.

"Ya Allah, aku nak masuk celah mana ni."
Bahang kepanasan menghinggap kulitnya. Semua dinding bangunan sedang di makan api. Jejaka bermata biru itu mati akal.

Peluh merembes dengan laju seiring kaki yang melangkah mendekati pintu masuk. Langkah Zayyad terhenti.

Sesekali dia menoleh ke belakang, sepi sahaja. Tiada siren pasukan penyelamat kedengaran. Walkie talkie-nya tidak berbunyi.

"Aku janji akan selamatkan kau walau apa pun berlaku, Lutfi."

Tanpa apa-apa kelengkapan untuk menghadapi kebakaran, Zayyad yang hanya berbaju kalis peluru dan t-shirt lengan pendek segera merempuh pintu utama dengan bahunya. Dua kali cubaan sahaja, pintu kaca itu pecah.

Sapu tangan yang dibasahinya tadi ditelakupkan pada mulut dan hidung. Segerombolan asap kelabu bercampur hitam memenuhi ruang bilik utama. Sukar sungguh hendak bernafas jika begini. Entah berapa lama dia dapat bertahan sebelum dijilat api juga.

"Lutfi! Mana kau!" jerit Zayyad sekuat hati.

"Lutfi!"

Bergema suaranya. Tiada balasan sahutan.

Nampak sahaja tangga di bahagian kiri, Zayyad membuka langkah besar dan mula mendaki. Lampu suluhnya dinyalakan. Dalam sesaat dua, matanya menganalisa segenap ruang bagi menangkap gerak tubuh mana-mana manusia.

Dia kini di tingkat satu. Bilik demi bilik dirempuh hingga bahunya mula berasa sakit. Sepanjang itu, alat perhubungan juga telah tercicir tanpa sedar. Dia tidak dapat melaporkan apa-apa kepada ibu pejabat.

Tingkat satu sudah diperiksa.

Hampa, segalanya kosong!

"Yusuf Zayyad."

Zayyad pantas menoleh.

***

DERUAN nafas sarat beralun selajunya.

"Zayyad, buka mata."

Zayyad bersusah payah untuk kekal membuka mata. Sesaat kemudian ia menjadi gelap dan berpinar-pinar. Nafas tercungap-cungap itu disalurkan bantuan oksigen segera. Wajah pucatnya dipakaikan topeng.

Ada seseorang sedang mengawalnya dengan rapi.

Selang beberapa minit, Zayyad sedar nafas miliknya tidak sesesak tadi. Dia mula dapat membuka mata dan melihat sekeliling.

"Awak okay? Tarik nafas dalam-dalam dan lepas." Adkayra meninggikan katil baringan. Tangan gadis itu kekal pada topeng oksigen di wajah Zayyad tatkala mata bundarnya memerhati tindak balas Zayyad pada setiap masa.

"Kalau awak dah rasa better, saya tanggalkan topeng ni," bilang jururawat berkenaan dengan lembut.

Zayyad mengangguk perlahan.

"Sekarang, awak bernafas macam yang saya suruh."

Bait perkataan Adkayra dituruti sang pesakit. Turun dan naik dadanya mengembang. Topeng oksigen diketepikan. Kini, dia mampu bernafas secara normal. Ritma pernafasan kembali pulih dan tenang. Tidak seperit tadi.

"Alhamdulillah, dah okay dah kan?" Bibir delima itu melukis senyuman manis.

"A-Air..."

Belakang Zayyad dibantunya untuk menegak sebelum tangannya menyuakan segelas air kosong. Adkayra memandang jejaka itu dari jarak dekat. Diamati profil wajah berkenaan yang perlahan-lahan meneguk air hingga habis ke dasar. "Awak lapar?"

"Lapar," balas Zayyad.

Tubuh Zayyad sudah susut. Tulang rahangnya begitu jelas kelihatan. Adkayra tahu Zayyad telah bersusah payah untuk kembali ke dunia nyata.

Sejak pagi Zayyad sedarkan diri, sejak itu dia kembali lena dan tidak bangkit. Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, Adkayra yang asyik duduk di sebelah birai katil dapat menangkap kesesakan nafas Zayyad.

Gadis jururawat itu masih dengan senyuman. Dia melabuhkan punggung ke birai katil selepas mengeluarkan sesuatu daripada beg kertasnya. "Roti?"

Zayyad memerhatikan sahaja perbuatan gadis itu. Meja makan telah ditarik.

Fikiran lelaki itu menerawang seketika. Tidak mengendahkan kelakuan Adkayra. Kebakaran tadi difikirnya. Liur ditelan kesat.

Sebuah kebakaran.

Lutfi.

Bangunan.

"Is there anything bothering your mind, sir?" Adkayra menyentuh lengan Zayyad. Membawanya kedunia nyata.

"Tadi... Ada mimpi kebakaran.. " Zayyad memandang Adkayra. "Ada bangunan dalam hutan... Tak tahu dekat mana..."

Entah bagaimana hendak dia bercerita.

"That's sounds weird.. Awak tak pernah terlibat dalam kebakaran. Awak cuma masuk hospital ni sebab kemalangan kereta," Adkayra menafikan dengan tenang.

"Kereta?" soal Zayyad kembali.

"Ya. Dah, jangan fikir sangat. Kita makan ubat dulu."

Beberapa jenis ubat berbentuk pil disuakan kepada Zayyad di atas pinggan. Malas hendak menimbulkan isu berpanjangan. Bagi Adkayra, yang telah terjadi tidak dapat diubah lagi. Mereka perlu lebih fokus pada hari mendatang.

Adkayra memandang tepat ke dalam retina biru laut itu. "Lepas makan ubat ni, kita makan roti dan sup ayam. Your favourite."

Semangkuk sup ayam dan beberapa keping roti telah terhidang dalam tidak sedar. Liur Zayyad kecur, tekak keringnya dibasahi.

"Ini bukan roti beli dekat kedai tau. Roti ni saya buat sendiri petang tadi. Multi grain whole meal bread for a big fan of healthy lifestyle, Yusuf Zayyad."

"Macam mana awak tahu makanan favourite saya?"

"Because I am your wife."

"I beg you... Pardon?" Berkerut-kerut dahi lelaki itu dibuatnya. Mungkinkah dia tersalah dengar?

Isteri?

Adkayra ketawa kecil. Memang dijangkakan Zayyad akan terkejut beruk. Lagak terpinga-pinga Zayyad mencuit hatinya. "Awak, makan dan rehat dulu. Esok kita ambil angin dekat luar... Saya akan ceritakan segalanya. Okay?"

"Okay." Zayyad bersetuju.

Pil ubatan dihabiskan sekali telan. Dia terlalu tidak sabar hendak menyantap hidangan pertama setelah setahun tidak makan apa-apa. Logik sahaja jika dia mampu menghabiskan sebuku roti saat itu juga.

"Saya suka tengok awak makan," tegur Adkayra. Melihat lelaki kesayangannya  makan sudah cukup untuk mengeyangkan jiwanya yang haus.

"Saya rasa betul lah ni makanan favourite saya. Rasa macam fall in love dekat gigitan pertama." Zayyad bertutur dengan ceria. Bersinar-sinar matanya apabila menghirup sup ayam itu. Umpama bateri telah bercas Dia sudah mampu mengangkat tangan dan meluruskan tulang belakang.

Desir suara lemah Zayyad ialah pengubat hati Adkayra. "Jadi, percayakan saya. Saya lebih tahu tentang diri awak berbanding diri awak sendiri."

"That's sounds ridiculous- But nevermind..." Sepotong roti dimasukkan ke dalam mulut. "Awak selamatkan saya tadi dan masakkan ini. Saya rasa better berbanding siang tadi. Terima kasih."

"Anything for you." Adkayra menongkat dagunya. Kekal memerhatikan wajah pucat milik Zayyad sambil tersenyum senang. Sehari sedar dari koma, Zayyad menunjukkan perubahan positif. Mungkin tidak lama lagi mereka berdua akan pulang ke rumah.


***
vote x komen
Since prolog dapat sambutan, kita masuk bab 1!

***
Upcoming episodes:
"Kita nikah dekat Thailand tahun lepas? So funny... Sounds like a made up story. I am a police officer kot."


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro