04 | Itik gembo gembo

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Ameer tidak dapat tidur. Langsung tidak dapat memejam mata walau jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Hanya mampu termenung memandang siling rumah pangsa Hariz. Malam ini, dia hanya bermalam di rumah Hariz. Dia sendiri yang meminta untuk bermalam di sini. Selepas menghantar Hana di rumahnya, dia malas hendak pulang ke hotel maka dia menumpang rumah Hariz.

Tangannya naik melapik kepala. Dia hanya tidur di ruang tamu. Bertilamkan kusyen dan berbantalkan lengan sendiri. Hariz berkali-kali berkeras untuk memberikan bilik tidurnya sendiri namun Ameer menolak. Ameer lebih selesa untuk tidur di luar. Namun, sampai sekarang dia masih tak dapat tidur.

Bukanlah faktor tidak selesa membuatkan dia tidak dapat tidur memandangkan dia sudah biasa tidur berbantalkan lengan ketika bermalam di pejabat pada waktu kritikal kerjanya. Apatah lagi dia sudah biasa tidur atas karpet sewaktu beritikaf menemani bapanya di Masjid Jumaat. Pastinya bukan itu faktornya.

Hakikatnya, yang mengganggunya ketika ini ialah apa yang terjadi lewat malam tadi. Menyaksikan sesuatu yang luar biasa sebegitu membuatkan fikirannya terganggu.

Affendy. Abang Muslim. KING'S
Dan Luqman.

Semua itu berserabut dalam kepalanya.

Perasaan marah. Tertipu. Kasihan. Sedih. Semuanya bercampur aduk. Membuatkan matanya berdegil sahaja untuk terpejam.

Kerana apabila dia memejam mata, pantas sahaja bayangan Luqman yang dipenuhi lebam dan luka itu terlintas dalam pandangan. Tangisan lelaki itu. Dan kata-kata lelaki itu,

"Ya, aku lelaki. Nama aku Luqman. Bukan Anna. Kau lelaki pertama yang kata aku lelaki.."

"Aku lelaki. Aku lelaki."

Ameer menghela nafas kasar.

Dek kerana matanya tetap tidak mengantuk, lantas dia bangun. Mendudukkan tubuh yang mulai penat dek begitu lama berbaring tanpa lena. Selimut nipis dia nyahkan dari tubuh lalu dua kaki dia turunkan ke lantai. Dalam jenak itu, dia termangu buat seketika. Merenung meja kopi di hadapannya. Lama dia merenung meja tersebut. Sehinggalah tidak semena dia bangkit.

Dia tidak mampu menahan perasaan ini. Dia perlu lakukan sesuatu. Apabila teringatkan Luqman, hatinya bagai ditarik-tarik untuk membantu lelaki tersebut. Maka dengan langkah bersemangat dia mengambil laptop dari beg galasnya. Laptop dibuka lantas dihidupkan.

Dengan lafaz bismillah dia pun memulakan kerjanya.

Walau apapun yang terjadi, KING'S patut dijatuhkan sesegera mungkin!

.
.
.

Baju kerjanya dikemaskan untuk kali terakhir. Rambut dirapikan elok-elok. Selesai semuanya dia pun mengambil beg galas langsung bergerak keluar dari bilik. Lampu segera ditutup.

Jam baru sahaja menunjukkan pukul enam setengah pagi tapi dia sudah perlu bergerak ke tempat kerja untuk tukar shift. Tempat kerjanya 24 jam.

Hariz menguap luas ketika melangkah ke ruang tamu. Semalam dia tidak dapat tidur sangat sebab suasana terlalu sunyi. Dia kalau boleh kena juga tidur dalam keadaan riuh-rendah. Tapi semalam rumah sunyi sahaja, semuanya gara-gara Ameer menumpang apartment dia. Kalau tak, memang sudah begegak-gempita rumah ini dengan bunyi televisyen.

Dia bergerak ke dapur. Gelas diambil dan air mineral dalam botol dituang. Baru sahaja dia meneguk air mineral dua kali teguk, matanya dikejutkan dengan pemandangan ruang tamunya. Dahinya serta-merta berkerut. Terhenti tegukannya apabila melihat pemandangan tersebut.

Gelas diletak, langsung dia bergerak ke ruang tamu itu. Dahinya masih sahaja berkerut.

Ada laptop yang bergelap di atas meja, juga beberapa fail yang agak familiar pada matanya, kertas-kertas putih berterabur tidak tersusun, stapler dan penebuk kertas tercampak ke karpet, empat mug hitam tersusun elok di tepi laptop, tidak lupa juga pen yang berbaris banyak di atas meja.

Hariz tak tahu hendak kata apa. Bukannya dia tak biasa lihat ruang tamunya bersepah, malah bersepah dari keadaan sekarang pernah sahaja dilihat oleh matanya. Tapi yang buat dia ternganga sedikit ialah kerana dapat mengetahui semua ini ialah hasil kerja Ameer Uthman.

Bila dia rembat satu kertas atas meja, dia dapat lihat ianya ialah maklumat sesebuah syarikat. Begitu banyak syarikat yang diselidik Ameer nampaknya. Syarikat yang Hariz tidak pernah dengar pun ada. Semuanya berkaitan keluar masuk duit syarikat itu. Seolahnya Ameer memeriksa akaun MIMA lalu menyelidik semua syarikat atau orang persendirian yang pernah bekerjasama atau melabur dengan MIMA. Maka terhasillah kertas-kertas yang begitu banyak sebegini.

Hariz kenal kertas-kertas ini. Semuanya milik dia. Malah dia sudah tahu pastinya Ameer menggunakan printernya malam tadi untuk mencetak semua maklumat dari syarikat-syarikat ini. Pastinya Ameer masuk bilik kerjanya semalam.

Dan dia sudah dapat teka awal-awal yang Ameer pasti tidak tidur semalam memandangkan terdapat empat mug kopi yang mana keempatnya masih berbaki sisanya di dasar mug - tersusun kemas di situ. Hariz mula menggaru dahi memikirkan kenapa Ameer perlu menggunakan empat mug sedangkan satu mug sudah cukup untuk empat kali minum? Membazir mug sahaja!

Dia pantas mengutip empat mug itu dan dimasukkan ke dalam singki. Kemudian dengan rajinnya dia menyusun kertas-kertas di atas meja biar lebih kemas. Sakit juga mata bila melihat ruang tamunya bersepah sebegini. Ketika dia mengemas kertas ini, matanya tertarik untuk membaca barisan maklumat di sehelai kertas. Yang buat dia terjeda sejenak.

KING'S.

Pusat Pelacuran Biseksual.

CEO Affendy Zamri.

Didaftar atas nama hotel di bawah syarikat MIMA.

Dan banyak lagi maklumat yang membawa perkaitan KING'S dengan MIMA.

Semerta dahi Hariz berkerut. Dia tidak tahu pun sebegini kisahnya. Semalam sewaktu dia membawa Ameer pulang dengan menumpangkan Hana bersama, Ameer langsung tidak bercerita apa-apa. Lelaki majikannya itu hanya diam membisu sepanjang dalam kenderaan. Seperti sedang berfikir panjang. Dia tidak berani menegur apatah lagi bertanya apa-apa walaupun dia sangat ingin tahu apakah sebenarnya yang berlaku sehingga tiba-tiba sahaja Ameer boleh bertemu Hana.

Jadi rupanya, Ameer telah bertemu sesuatu yang sangat besar semalam. KING'S yang selalu muncul dalam rekod akaun MIMA rupanya ialah sebuah pusat pelacuran lelaki. Dan daripada keuntungan tersebut, menjadi rekod kredit untuk MIMA.

Sekonyong-konyong Hariz ternampak juga beberapa keping gambar yang dicetak di atas kertas berada di celahan kertas-kertas yang belum dikemas. Pantas tangannya mengambil kepingan gambar itu. Ada seraut wajah tertangkap di situ. Berwajah tampan dengan rambut hitam pekat jatuh ke dahi. Wajah itu damai namun entah kenapa hati jadi tidak senang sebaik menatap wajah itu.

Tertulis di tepi wajah itu..

"Itu Affendy." Suara dari belakang mengejutkan Hariz. Serentak itu terdengar bunyi pintu ditutup.

Hariz tertoleh langsung ternampak Ameer yang baru sahaja melangkah masuk. Ameer kelihatan masih sahaja berjaket dengan seluar hitamnya. Topi besbol kemas tersarung di kepala. Wajah itu datar menghampiri Hariz.

"Tuan siasat semua itu semalam?" soal Hariz sebaik Ameer melabuhkan duduk di kusyen. Sepertinya hendak menyambung kerjanya.

"Aku dah dapat bukti perkaitan KING'S dengan MIMA. Tapi aku tak dapat bukti perkaitan KING'S dengan Robert. Semua yang direkodkan langsung tak berkait dengan nama Robert. Robert boleh jadikan alibi dari situ." Ameer tak menjawab soalan Hariz malah terus melangkah ke topik utama.

Hariz terdiam. Matanya hanya memerhati gerak geri Ameer.

"Kalau KING'S dan Affendy jatuh, itu belum babitkan Robert." Ameer hempas belakang tubuh ke kusyen.

"Jadi, sekarang tuan nak cari bukti untuk kaitkan KING'S dengan Dato' Robert?"

Ameer terbisu sebaik mendengar soalan itu. Tiba-tiba dia jadi terfikir sesuatu. Matanya terkebil-kebil sendirian.

"Tuan?"

"Kau cari tentang itu semua."

"Huh?" Hariz tak faham.

Ameer tegakkan tubuh, terus memandang Hariz. "Tugas kau, cari kaitan Robert dengan KING'S." Dia kemudian mengutip beberapa keping fail dan diserahkan kepada Hariz.

Hariz menyambut huluran itu dengan agak terkejut.

"Aku ada kerja lain." Ameer buka laptop. Terus on.

"Kerja apa?"

"Selamatkan orang dalam KING'S." Laju Ameer jawab. Sambil itu tangannya ligat memasukkan password dalam laptopnya. Panjang berjela. Lebih sepuluh huruf.

"Hah?"

Ameer pandang Hariz. "Huh hah apa.. Itu je kau tahu. Buatlah kerja." Ameer sempat jeling Hariz sebelum sambung kerjanya di laptop.

Hariz spontan kemam bibir. Dia cuma tak faham, habis kena marah.

"Kau memang tak pernah pergi surau ke macamana?"

"Hah?"

Lagi sekali Ameer pandang Hariz tajam.

"Erk maksud saya, apa dia tuan?" Hariz cepat-cepat betulkan ayatnya.

"Kau. Tak. Pernah. Pergi. Surau. Ke?" Sepatah-sepatah Ameer tanya. Dia kembali menaip carian.

Hariz terdiam terus bila mendengar soalan itu. Terkejut sebenarnya.

"Ramai tanya aku siapa waktu aku pergi surau tadi, aku jawab aku sepupu kau. Tapi tak ada siapa kenal kau."

Hariz ketap pipi dalam mendengarkannya.

"Surau apartment kau kut."

Hariz hanya mampu menggaru kepala. Berasa malu.

"Kita lelaki, kena solat berjemaah di surau atau masjid. Bergaul dengan jiran tetangga. Semua tu bawa berkat pada hidup. Kalau tak, dekat dunia tak berjaya di akhirat apatah lagi." Sempat Ameer menyelit nasihat.

Yang pasti Hariz tertunduk mendengar nasihat itu. Tidak semena dia berasa segan dengan Ameer.

"Kau memang tak nak pergi kerja ke? Dah nak pukul tujuh tu."

"Hah?"

Sedikit lagi Ameer hendak campak bantal pada Hariz sebaik soalan 'hah' keluar. Nasib baik Hariz cepat-cepat bertindak dengan berlari ke pintu. Sempat lagi dia ketawa - berasa lucu dengan tingkah Ameer.

"Saya gerak dulu tuan! Assalamualaikum!"

Terus hilang Hariz dari balik pintu selepas ayat itu dilaung.

"Waalaikumussalam." Ameer jawab dengan hujung bibir terangkat sedikit.

Namun sebaik teringatkan Affendy dan KING'S terus wajahnya bertukar tegang.

Sedikit waktu lagi dia akan bertindak.

.
.
.

Lewat Hana bangun pagi ini. Dalam jam sepuluh barulah matanya celik. Itupun, sejam lebih jugak dia sibuk berbolak-balik atas katil sambil baca novel. Tak tahu nak buat apa. Selalunya waktu macam ni dia pergi sekolah. Tapi sekarang dah cuti jadi dia memang tak ada kerja.

Jam sebelas pagi barulah dia mandi dan menyegarkan rumah. Tingkap dibuka dan jendela diselak luas-luas. Matahari sudah terpacak tinggi sehingga menghasilkan bahang. Waktu tengahari sedikit lagi hendak masuk, tapi Hana tetap sahaja beraksi seperti pagi baru sahaja bermula.

Dengan tuala membalut rambut basahnya, dia bergerak ke luar beranda. Bersenam memanaskan badan.

"Selamat pagi dunia!" Dia menjerit sambil menggeliat dengan penuh segar. Bibirnya tersenyum bahagia seolah sedang berada di bawah simbahan cahaya matahari pagi yang sangat menyamankan. Walaupun hakikat sebenarnya, matahari sedang sangat membakar kulitnya.

"Hari ini, Hana hendak jadi gadis yang baik! Hana hendak jadi gadis yang ceria! Hana hendak jadi gadis yang sentiasa membantu orang lain! Hana--" Dia terbatuk sejenak apabila tertelan asap lori. Kemudian bila sudah reda dia kembali menyambung keazaman hariannya, "..hendak jadi gadis paling positif di dunia! Hana hendak jadi gadis paling baikkk!!" Tangannya didepa luas-luas. Benar-benar menghirup semangat hari barunya.

Dia kemudian menjatuhkan tangannya langsung bergerak ke pagar. Di situ dia bertongkat dagu merenung jalan raya di hadapan. Apartment kediamannya ini berada betul-betul di tepi lebuhraya. Tak hairanlah rumahnya selalu diisi bunyi kenderaan lalu lintas dan bunyi hon yang berpanjangan. Suasana kesibukan Kuala Lumpur itu sangat terasa bila berada di rumah ini.

"Itik gembo-gembo~" Bila dah bosan begini mulalah Hana menyanyi.

"Aye kedek-kedek
Bilo tembok
Jalan seiringe
Muka come lote
Peel biar molek~"

Badannya bergerak sekali dengan lagu Itik gembo-gembo yang dinyanyikan oleh kumpulah A to Z itu. Dia baru sahaja tengok kumpulan itu berentap di AJL tempoh hari. Sebab itu dia jadi ingat liriknya. Malah tarian kumpulan itu masih jelas dalam kepalanya.

"ITIK GEMBO-GEMBO,
AYAM KEDEK-KEDEK,
JALAN SEIRINGE,
MUKA COME LOTE,
PEEL BIAR MOLEK!"

Mulalah dia menari sepertimana kumpulan itu menari di pementasan yang dia tonton tempoh hari. Penuh bersemangat.

Sehinggalah dia berpusing ke beranda rumah sebelah, matanya terus bersabung dengan mata seseorang yang sedang merenungnya dari beranda rumah sebelah.

Rumah Abang Hariz.

Tapi yang tenung dia tu bukan Abang Hariz.

Tapi lelaki kerek yang entah apa benda nama dia tu!

"Arghhh!!!" Tidak menunggu lama, terus Hana menjerit ganas langsung melompat masuk ke dalam rumah. Langsung berguling ke lantai kerana terlampau malu dengan kejadian sebentar tadi.

Tapi keadaan tersebut hanya seketika sahaja, sedang dia berguling-guling penuh emosi itu tiba-tiba dia terfikir sesuatu.

"Kenapa pulak aku jadi pemalu hari ni? Ewww.." Hana bangun berdiri langsung mengemaskan pakaiannya. Baru tersedar tidak sepatutnya untuk seorang Hana Solehah berasa malu hanya kerana berkaroke di beranda rumah sendiri. Rambutnya juga dia betulkan kemas-kemas.

Dia kembali ke beranda, tapi dia terlebih dahulu menjengukkan kepala sebelum mengeluarkan kaki. Sebenarnya seram juga bila teringat renungan encik kerek itu. Syukur sahaja encik kerek itu sudah tiada di tempatnya tadi. Hana spontan meraup wajah seraya mengucap Alhamdulillah dengan penuh keimanan.

Baru sahaja dia hendak sambung menyanyi lagu tidak semena terdengar loceng rumahnya berbunyi. Dia merengus kencang. Sedikit rimas bila mendengar bunyi itu.

Tapi dia tetap juga melangkah ke pintu. Bila dia mengintai dari celah lubang kecil itu, dia dapat lihat seorang lelaki dengan t-shirt lengan pendek sedang berdiri di depan pintunya.

Macam kenal.

Dia pantas membuka pintu. Sebaik pintu dikuak, tersembul tubuh Ameer di depan pintu.

Hana ternganga sedikit bila menyedari rupanya Ameer di depan rumahnya.

"Eh encik tuanku? Apa encik tuanku nak?" Hana pandang kiri kanan di luar rumahnya. Manalah tahu sebenarnya Ameer bawa jemaah jabatan agama datang sini, biar dituduh tangkap basah. Boleh kahwin free.

Astaga Hana. Ke situ jugak kau fikir.

Ameer nampak nak cakap sesuatu tapi tak mampu. Matanya kerap memandang kr arah lain.

"Encik..?"

"Kau ada kerja sekarang?"

"Huh?"

"Aku tanya, kau sekarang ada kerja ke tak?"

"Kerja apa? Kerja rumah ke kerja tetap yang bergaji tu?"

"Kerja bergaji."

Hana berfikir sejenak. "Tak ada." Dia menggeleng.

"Kalau aku tawarkan kerja, kau nak tak?"

"Huh?"

Ameer mengeluh. "Kalau aku tawarkan kau kerja, kau nak tak?" Dia mengulang dengan penuh sabar.

Hana terkebil-kebil. "Saya? Kerja? Kerja apa?"

Ameer diam sejenak.

Bila melihat Ameer diam macam tu Hana terus tutup dadanya dengan muka curiga. Matanya memandang Ameer cuak macam sedang memandang perogol bersiri.

"Kau jangan fikir lebih-lebih." Ameer sempat bagi amaran.

"Dah tu, kerja apa?" Hana turunkan tangan. Dia memang sedang cari kerja sekarang. Kalau ada orang tawarkan dekat dia tu memang dia orang pertama yang sahut. Selagi halal.

Ameer melepas nafas berat. Sudah terlalu lama dia fikirkan hal ini. Dia memang memerlukan bantuan. Dan entah kenapa, orang pertama yang muncul dalam kepalanya ialah Hana.

Dia sendiri tak faham kenapa.

Hana pula setia menunggu jawapan Ameer. Sedikit teruja untuk mengetahui kerjanya.

"Pembantu peribadi." sepatah Ameer bersuara.

"Hah?" Hana rasa dia salah dengar.

"Jadi pembantu peribadi aku."

.
.
.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro