05 | Kopi Masin

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Seperti yang Ameer telah pastikan daripada penyiasatannya - sememangnya Affendy membuat kerja kotor dengan berlakon menjadi lelaki soleh semata-mata untuk menangkap gigolo baru. Dia mencari lelaki yang berseorangan dan tidak ada hala tuju. Yang datang ke Kuala Lumpur hanya untuk mencari kerja. Selalunya orang yang nasibnya sebegitu akan menetap di masjid seketika untuk menenangkan diri dan merencana. Kerana itu, Affendy akan mengambil peluang itu sebaiknya dengan berbaik dengan mereka. Dalam persis lelaki soleh, tak mustahil dia akan berjaya memerangkap orang yang sedang kebuntuan.

Antara masjid yang Affendy selalu datang ialah masjid semalam, sama seperti dia menegur Ameer seperti itulah dia pernah menegur orang lain.

Apabila Ameer bertanya pada Tok Imam masjid itu ketika siang tadi - Tok Imam berkata bahawa Affendy selalu muncul waktu maghrib dan isyak. Waktu itulah Affendy selalu kelihatan berbual dengan mana-mana pemuda.

Tok Imam mengenali Affendy kerana dia kagum dengan anak muda seperti Affendy atau dikenali dengan nama Abang Muslim itu - istiqamah solat berjemaah di masjid. Apatah lagi, Affendy mempunyai sikap yang peramah dengan semua orang. Dia sangat suka membantu anak-anak muda yang terputus bekalan dalam safar dan juga selalu bersedekah. Kerana itulah apabila Ameer menyebut sahaja nama Muslim terus Tok Imam mengenalinya.

Kertas dalam lipatan tidak kemas itu dihempas ke meja. Selajur dia melabuhkan duduk di kusyen dengan belakang leher direhatkan. Mata terpejam sedikit pening. Seharian dia berada di luar hari ini semata-mata hendak mencari bukti bagi jenayah Affendy. Namun nampaknya Affendy senyap sunyi pada siang hari. Hanya pada malam hari dia hidup membuat kerja terkutuknya.

Matanya terbuka selepas beberapa jenak. Fikirannya tenang sedikit. Sebaik dia membuka mata terus pandangan jatuh pada Hana yang sedang menulis sesuatu di atas meja. Ada laptop di tepi gadis itu, kadang-kadang Hana akan menjenguk laptop seolah mencari maklumat untuk disalin. Tekun gadis itu membuat kerja dalam keadaan sebegitu selesa bersila.

Di sudut sana, kelihatan Hariz sedang menghadap laptopnya dengan begitu khusyuk. Sebuah buku tebal tergeletak elok di sebelahnya. Juga seperti Hana, sesekali dia mencoret sesuatu di atas buku tersebut.

"Kau dah jumpa?" Ameer melaung sedikit pada Hariz.

Hana pula yang tersentak dengan soalan itu. Sebab dia terlalu tekun tadi, jadi dia tak sedar langsung dengan kewujudan Ameer di sini. Spontan dia mengurut dada sebelum kembali menulis apa yang Abang Hariz suruh dia tulis tadi.

"Dah." Hariz di meja menyahut. Tangannya pantas membelek muka surat dalam buku tebal itu. Selajur itu dia bangun mendekati Ameer.

"Ada lapan detektif pernah siasat kes ini. Tapi semua ditutup tanpa siap." Hariz melabuhkan duduk setentang Ameer. Hana pula terus sahaja buat kerjanya. Langsung tidak peduli dua lelaki di kiri kanannya.

"Kes ni dibuka sejak 2006 lagi, Inspektor Hadi dan Inspektor Ramzan pegang kes ini waktu tu. Affendy dituduh melacur wanita berkelas tinggi. Lepas sebulan, kes tergantung sebab tiada bukti untuk masukkan Affendy dalam penjara. Waktu tu Affendy sempat kena reman seminggu tapi dibebaskan balik." Hariz hulur buku pada Ameer. Ameer menyambutnya lantas dibaca semua maklumat yang Hariz berjaya kutip.

"Tahun 2008, akhir tahun macam tu.. Kes dibukak semula sebab ada kes pembunuhan yang melibatkan salah seorang anak buah Affendy. Lagi sekali Affendy kena reman, tahanlah dua minggu lebih siasatan tu tapi akhirnya ditutup balik sebab tak ada bukti jugak."

"Waktu tu lebih kurang empat inspektor yang turun padang siasat kes tu. Tapi semua jumpa jalan mati." sambung Hariz.

"Last sekali, tahun lepas kes ini dibukak balik. Sebab ada tuduhan menyeludup dadah dan jugak dagang manusia atas Affendy. Tapi sama jugak, kes bergantung macam tu je sebab tak ada bukti untuk tarik Affendy ke mahkamah." Hariz hela nafas selepas menjelaskan separuh penyiasatannya ini.

Ameer berkerut sedikit. Matanya masih tekun membaca.

"Tapi, sepanjang-panjang Affendy direman, langsung tiada nama Dato' Robert naik sekali. Malah nama MIMA pun tak ada. Semuanya hanya Affendy dan Affendy."

"KING'S?"

Hariz menggeleng. "Pun tak ada dalam kertas siasatan. Hanya nama Affendy yang selalu ada."

"Hana, dah siap?" Hariz bertanya pada Hana.

Hana pandang Hariz, "Dah."

"Ini dia semua maklumat yang saya dah kumpulkan tentang Affendy." Hariz ambil buku dari Hana. Bahagian yang bertanda kuning ditunjuk.

"Lepas tu, ini nama inspektor terkini yang siasat pasal Affendy." Bahagian bertanda hijau dibuka.

"Inspektor Fawwaz." Baca Ameer. Gambar inspektor tersebut ditatap. Masih muda.

"Rupanya, Affendy memang dikehendaki polis cuma sebab tak ada bukti nak masukkan dia dalam penjara jadi polis tak boleh buat apa. Lagipun, saya syak ada rasuah dalam polis sebab tu Affendy selalu terlepas. Yalah, Dato' Robert kan banyak duit." Hariz memeluk tubuh.

"Hana rasa, dia sendiri lepaskan diri dia. Yalah, dia pun banyak duit. Gaji dia tiap bulan, lapan juta ribu kot." Hana menyampuk dengan kepala tergeleng-geleng.

"Lapan juta ribu?" Hariz berkerut. Sedikit aneh dengan jumlah itu.

"Ya, lapan juta ribu! Dalam maklumat yang abang bagi tadi sebut macam tu. Banyak kan?"

Hariz makin berkerut. Dia kemudian mengira dengan jarinya untuk mendapatkan jumlah yang disebut Hana.

"Kau dapat mana jumlah tu?" Ameer kemudian bertanya.

Hana terus pandang Ameer. Dia kemudian bangun dari silanya, langsung mendekati Ameer untuk mengambil buku tadi. Ameer hanya diam memandang tingkah gadis itu. Hana terjumpa muka surat yang dia tulis tentang pendapatan bulanan Affendy. Terus dia tunjuk pada Ameer.

"Ini. Lapan juta ribu kan?" Soal Hana.

Ameer pandang nombor yang ditunjuk Hana. Lama Ameer diam menatap nombor itu.

"Hari tu kau ambik SPM ke UPSR?" Tiba-tiba Ameer bertanya. Dia sempat membelek muka surat lain. Sebelum kembali ke muka surat tadi.

"SPM lah." Hana jawab tanpa curiga.

Ameer angkat muka. Memandang Hana yang berwajah tak bersalah. Buku diletak di hadapan Hana.

"Kalau begitu, baik kau ambik UPSR semula." Ameer bangun dari kerusinya. Jaket dibuka. Sekejap sahaja dia lesap dalam bilik kerja Hariz.

Hana terpinga-pinga. Baru sahaja dia hendak ambil buku tersebut, Hariz terlebih dahulu merembat buku itu.

"Hei!" Hana naik angin.

Hariz tidak pedulikan Hana. Segera dia mencari nombor yang disebut lapan juta ribu oleh Hana tadi. Sekejap dia pun ketawa terbahak-bahak. Baru faham kenapa Ameer menyuruh Hana ambil UPSR semula.

"Apaa?" Hana berkerut durja.

"Lapan juta ribu apanya? Ini lapan ratus ribu, cik adik! Dahlah lapan juta ribu tu tak wujud dalam math!" Hariz terus ketawa.

Hana terus merampas buku itu dari Hariz. Diperhatikan nombor tersebut.

"Mana ada! Betullah ni lapan juta ribu!" Hana nampaknya masih menegakkan pendiriannya. Langsung tidak sedar kesilapannya.

Tawa Hariz mati. Dia kemudian menggeleng kepala sebelum berdiri.

"Betullah apa tuanku cakap, pergi ambik UPSR baliklah, Hana." Hariz bergerak masuk ke biliknya.

"Haa? Apa salahnya?! Memang ni lapan juta ribu kan?" Hana terkulat-kulat ditinggalkan.

Untuk kali pertamanya, dia rasa sangat bodoh.

.
.
.

Ruang tamu bersepah dengan segala kertas dan barang-barang yang mereka gunakan untuk siasatan ini. Sejak sebelum asar lagi, ruang tamu ini sudah sebegini rupanya. Malah sejak isyak masuk, makin teruk pula rupanya. Meja kopi sudah tiada rupa. Penuh dengan barang Ameer.

Hana pula membantu mana-mana kerja yang ringan sahaja. Dia lebih banyak membantu untuk mengumpulkan maklumat yang Ameer atau Hariz sudah jumpa. Mereka sekarang sedang cuba mencari bukti kukuh untuk menaikkan Affendy ke mahkamah. Sebentar tadi, Hariz sudah cuba menghubungi Inspektor Fawwaz namun nampaknya Inspektor Fawwaz sedang sibuk di luar. Ada kes perlu lelaki itu selesaikan.

Kerana itu, sambil menunggu Inspektor Fawwaz menjawab panggilan mereka - Ameer sibukkan diri dengan mendalami siasatan demi siasatan yang pernah dibuat terhadap Affendy. Boleh kata banyak juga tuduhan pada Affendy. Bukan satu dua sahaja. Tapi sayangnya, semua tiada bukti malah Affendy banyak alibi. Dari situ, Ameer dapat lihat bahawa banyak pegawai polis yang korup membantu Affendy sehingga lelaki tak guna itu boleh terlepas dari setiap tuduhan. Malah alibi yang ada bukan calang-calang, semuanya kuat dan tidak boleh digugat.

Lagi aneh, langsung tiada nama KING'S dalam siasatan ini apatah lagi nama Dato' Robert. Nama MIMA lagilah tiada. Benar seperti yang Hariz katakan, tiada langsung perkara yang boleh mengaitkan Dato' Robert dengan Affendy. Hanya ada akaun keluar masuk keuntungan MIMA yang boleh menjadi sedikit bukti bahawa Affendy pernah berurusan dengan MIMA. Itupun, keuntungan itu seolah datang dari jalan yang 'bersih'. Bukan dari jalan yang kotor.

Ameer licinkan kopi dari mug. Diletak atas meja dengan sedikit kuat. Mengejutkan Hana yang sedang tersengguk-sengguk. Hana pandang kanan kiri dengan terpinga-pinga. Menyangka bunyi tadi ialah merbahaya.

"Basuh mug aku." Ameer tolak mug itu ke arah Hana. Dia kemudian menyambung kerja.

"Huh?" Hana ingat dia salah dengar.

Ameer berhenti menaip, pandang Hana dengan tajam.

"Oooohh.." Hana baru faham. "Basuh mug tuanku." Hana sempat menyindir sebelum ambil mug itu. Dia kemudian berdiri, sempat jeling Ameer. Ameer buat tak layan sahaja.

Hana bergerak ke dapur dengan tak puas hati. Sejak kerja dengan Ameer, memang dia selalu kena buli. Ambik air kosonglah. Basuh cawanlah. Bersihkan dapurlah. Dia sekarang dah konfius dia kerja sebagai orang gaji ke sebagai pembantu peribadi.

Hana bergerak ke singki, dibasuh mug itu bersih-bersih.

Dia pun satu hal, pergi terima tawaran kerja ni kenapa?

Hana mengeluh. Sebenarnya, dia terima kerja ini hanyalah sebab dia nak tolong Luqman. Walaupun malam tu, dia jumpa Luqman hanya sekejap tapi perasaan simpati tu dah ada. Apatah lagi bila dia tengok Luqman kena belasah dekat belakang bangunan tu. Kesian Luqman.

Sebenarnya apa jadi? Kenapa Luqman boleh ada dekat situ padahal Luqman tak rela? Kesian Luqman.

Hana mengeluh lagi. Dia mengeringkan sedikit mug Ameer tadi dan menuang air panas baru. Dia nak buat kopi untuk dia pulak.

Bekas gula diambil dan diletak tiga sudu. Dikacau rata. Sebelum kopi diletak di dalamnya. Tanpa mencicip dahulu untuk dirasa, dia terlebih dahulu mengheret kaki keluar dari dapur sambil menatang mug. Tak tahu kenapa, dia rasa penat sangat malam ni. Mungkin sebab dia banyak guna otak sikit harini.

Dia berdiri di tepi meja yang diduduki Ameer. Kelihatannya Ameer sangat sibuk meneliti maklumat dalam laptop. Hariz juga kelihatan sibuk dengan laptop. Hana tak tahu apa benda yang diorang sibuk sangat. Hana malas layan sebenarnya tapi disebabkan semua ini ada kaitan dengan Luqman, Hana terima jelah walaupun susah nak hadam. Banyak sangat nombor! Dia benci nombor! Huh!

Bila dia lihat Ameer, dia mula rasa jengkel. Lelaki tu suka suruh-suruh orang macam dia tu putera raja. Hampeh.

Sudahlah suka hati suruh panggil dia tuanku. Berlagak macam dia sultan ke apa.

"Kalau saya tak boleh tahu nama encik, saya nak panggil apa? Takkan, encik je. Atau tuan je. Bosanlah. Boss ke? Eh sedap jugak kalau panggil boss."

"Panggil tuanku."

"Tuanku? Eee dah kenapa panggil macam tu? Janganlah sebab saya sindir encik dengan panggilan tu, encik nak guna?"

"Apa salahnya? Lagipun kau yang mulakan."

"Yalah, tapi saya tak serius pun. Saya main-main je. Kalau--"

"Panggil jelah."

Hana mencebik bila teringat balik perbualan tu. Memang betul pun, dia yang mula panggil Ameer tuanku. Sebab dia nak sindir Ameer. Tak sangka Ameer ambil serius dengan perkara itu.

Hana melihat sahaja Ameer menaip sesuatu di laptop. Ralit pula bila tengok Ameer buat kerja.

Mula-mula tengok lelaki ini, rasalah meluat dan menyampah. Tapi, makin lama Hana pandang Ameer, tiba-tiba Hana rasa hensem pulak. Macam macho je bila Ameer hadap laptop dengan tshirt lengan panjang yang disingsing kemas. Nampak kemas dalam selekeh. Nampak hot pulak. Auch. Tiba-tiba Hana rasa blushing. Bukan selalu dia rasa blushing tengok lelaki, lagi-lagi depan Ameer. Aduh.

Tadi baru kutuk, tiba-tiba rasa blushing. Tak betul kau Hana. Biasalah, remaja belasan tahun.

Hana ketap bibir. Tak nak senyum macam orang angau. Kemudian dia menghirup kopi yang sedari tadi dibiarkan agar sedikit suam. Sebaik kopi berjaya masuk ke mulut serta-merta dia tersembur keluar kopi tersebut. Bukan sembur biasa malah sembur sampai tercampak sekitar semeter darinya. Hana tak sedar apa-apa sebab sekarang dia sibuk terbatuk-batuk keras dan meludah air liur yang terasa pelik macam baru lepas menelan minyak tanah.

Selepas beberapa saat baru Hana ingat sesuatu, pantas dia memandang Ameer. Tepat seperti jangkaannya, kertas di atas meja habis basah dengan kopi. Malah ada yang terpercik ke muka Ameer. Yang pasti, Ameer kejung di tempatnya.

Wajah itu tegang yang tidak mampu diceritakan.

Hana mengetap bibir yang mula bergetar. Dia rasa nak menangis. Sikit lagi air matanya nak keluar. Hanya menunggu masa hendak keluar. Mulutnya masih rasa pelik. Itu juga salah satu punca dia hendak menangis.

"Kenapa ni, Hana?" Hariz memegang kepala melihat semua ini. Habis basah kertas maklumat Ameer. Bukan basah biasa-biasa, siap ada ada buih kecil sekali.

Hana sudah mencebik. Suaranya hendak terkeluar tapi tak mampu. Apatah lagi bila dia melihat Ameer sedang menarik nafas dengan mata tajam merenung semua kertas di atas meja.

Hana tahu, Ameer mesti marah lepas ni. Hana yakin sangat.

"Kau memang tak pakai otak ke?" Ayat pertama keluar dari mulut Ameer.

Hana menunduk. Dia sudah mula menangis. Hariz pula terdiam. Tahu yang majikannya pasti sedang marah. Kalau ditegur lagilah marah.

"Kau basahkan semua bukti yang aku dah kumpul.." Rahang Ameer tegang. "Kau.." Ameer sendiri tidak tahu nak cakap apa. Sebab dia betul-betul marah sekarang.

"Saya minta maaf.." Hana mencebik sangat sedih. Tiba-tiba dia jadi sangat terasa bila Ameer marah padanya.

"Saya tak sengaja. Saya minta maaf." Hana hampir tersedu-sedu.

Ameer bangun dengan nafas berbahang.

"Aku tak hadap pun maaf kau lah." Kasar jawapan Ameer. "Masalahnya sekarang, siapa nak kumpulkan balik bukti aku tadi?! Kau?!" Melonjak naik suara Ameer sampai Hana tersentak dibuatnya.

"Kau baru semburkan kopi dekat semua ni.. Ugh. Aku malas cakaplah. Kau memang menyusahkan."

Ameer mendengus kasar langsung bergerak ke pintu rumah. Pintu dihempas kuat sampai bergegar rumah ini.

Hana pun apa lagi, terus menangis sampai tersedu-sedu.

Hariz menghela nafas. "Tak apalah, Hana. Kita sama-sama kemas semua ni." Mug di tangan Hana diambil. Bimbang jugak jatuh nanti.

"Abang Hariizz.." Hana masih tersedu-sedu.

"Ya?"

"Kenapa kopi ni masin?!" Hana pun meraung. Terus bertinggung sambil menekup wajahnya. Di situ dia teresak-esak.

Sebenarnya, dia menangis ni bukan sebab kena marah Ameer sahaja tapi sebab mulutnya rasa payau sangat. Dia baru telan kopi yang tersangat masin sebab itu dia boleh tersembur keluar kopi itu tadi. Dia bukannya sengaja!

Masalahnya sekarang, kenapa kopi ni masin sangat!? Huaaaaa!!

"Masin?" Hariz berkerut. Terus dia mencelup jarinya ke dalam kopi itu, hendak dirasa pada lidah.

Sebaik jari menyentuh lidah, terus dia tersedak. Rosak deria rasa lidahnya.

"Masin gila! Hana guna air mata ke apa ni?!"

"Hana guna air biasalah!"

"Lepas tu letak garam?"

"Mana ada!" Hana tercebik-cebik. "Hana letak gula lah!"

Hariz terus pandang kabinet dapurnya. Matanya mengecil sebaik terlihat bekas garam terletak elok di atas kabinet seperti baru lepas digunakan.

"Penutup hijau ke penutup biru?" Soal Hariz dengan mata menyepet.

"Penutup hijau lah. Macam yang tuanku selalu guna."

"Wei itu garamlah!"

Hana berhenti menangis. Terus angkat kepala memandang Hariz.

"Dah tu kenapa tuanku selalu guna bekas tu untuk buat kopi?"

"Itu sebab tuan kau tu suka minum kopi masin!"

Hana tercengang.

Untuk kali keduanya, Hana rasa dia sangat bodoh.

.
.
.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro