Aku dan Malaysia

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Penulis: Aliah Syuhada 

PERJUANGAN

Apakah yang didefinisikan sebagai perjuangan?
Berlari gagah ke medan perang?
Mengangkat senjata dan menumpaskan musuh?
Atau menitiskan banyaknya darah sesama manusia?

Kadang mereka terlupa bahawa perjuangan bukan hanya sekadar peperangan, keganasan, dan pembunuhan.
Bahkan, ia lebih daripada itu.

Mereka yang keluar mencari makan? Berjuang.
Mereka yang membantu manusia lain? Berjuang.
Mereka yang mengeluarkan sedekah jariah? Berjuang
Mereka yang mempertahankan hubungan percintaan? Berjuang..
Mereka yang daftar mengundi? Berjuang.

Aku... juga berjuang.
Perjuangan yang tersemat atas nama keluarga, bangsa, agama dan negara.
Dan perjuangan aku, bukan semata mengerah keringat, malahan juga mengerah buah fikir.

Tintaku melakar aksara demi perjuangan ini.
Apa termampu, aku coretkan ia di permukaan rata.
Bukan hanya kerana nama, aku melakukan ini.

Bahkan kerana tintaku... medan perjuanganku.

AKU menapak keluar dari rumah apartment kos rendah yang sudah aku diami selama lebih lima tahun. Kesetiaanku pada rumah itu terbina hanya kerana ia sahaja satu-satunya tempat yang boleh aku gunakan untuk berteduh. Aku bukan anak orang berada, jauh sekali anak orang ternama. Aku juga bukan ahli bijak pandai. Aku hanya aku yang sudah hampir sebulan lamanya menganggur setelah dibuang kerja sebagai seorang kerani.

Kini, aku sedang berusaha mendapatkan sejumlah wang demi sesuap nasi. Walau aku tiada tanggungan dan tiada ibu bapa yang perlu disara, tetap juga aku perlu menyara kehidupanku sendiri. Aku tidak tahu pekerjaan apa yang sesuai dengan kelayakanku kerana aku hanya lepasan SPM. Aku lepas kerja kerana pun hanya kerana ihsan sahabat lamaku yang sudah meninggal dunia. Sadis, bukan?

Aku ada terfikir hendak menjadi seorang penulis. Meluahkan bakat, jiwa dan perasaan aku melalui aksara yang tertulis. Tetapi, tiada keyakinan diri yang tersisa dalam diri aku. Berpuluh penulisan yang aku karang, semuanya aku campakkan ke dalam tong sampah dan malam tadi, aku menukilkan luahan tentang sebuah perjuangan. Perjuangan menurut definisiku. Tetapi, hanya setakat menulis sahajalah. Hendak menghebahkan penulisan aku buat bacaan umum, sungguh aku malu! Keyakinan diri jatuh merundum sehingga ke dasar laut.

Sambil langkah kaki aku terhayun tanpa hulu tuju yang pasti, aku melihat pemandangan di persekitaranku. Sebuah bangunan yang terbina megah di tengah bandar raya Kuala Lumpur tertangkap di ruang pandanganku. Aku tersenyum sendiri tatkala fikiran terlintas perkataan kembar. Keunikan Malaysia yang tiada di negara lain. Kagum aku dengan mereka yang berpenah lelah demi membina keistimewaan yang gah ini. Orang gelar, bangunan pencakar langit. Harap mereka di kerajaan langit sana tidak marah lah ya.

Punggung aku labuhkan di sebuah bangku yang terdapat berdekatan tempat aku bersiar. Entah mengapa, mengingatkan hari merdeka yang hampir menjelang tiba, aku menjadi sayu. Hati aku dicengkam sedikit pilu kerana orang tuaku mati kerana perjuangan mereka untuk negara. Ayah aku seorang anggota polis, dan tidak kurang hebat juga ibuku. Mereka pergi meninggalkan aku semasa aku masih lagi bersekolah rendah.

Dalam pada fikiran melayang, anak mataku melilau lagi buat yang kesekian kalinya. Dapat aku melihat seorang pak cik tua yang sedang menadah tangan demi mendapatkan sedikit wang bagi membeli sesuap nasi. Terdapat dua orang kanak-kanak lelaki di sisinya. Seorang terlihat berbalut kakinya, sedang seorang lagi... istimewa. Aku mengagak daripada gaya dan bahasa tubuhnya.

Perasaanku tersentuh melihat keadaan anak beranak itu. Perjuangan seorang ayah dalam membesarkan anak-anak. Poket seluar aku seluk lalu aku keluarkan isi di dalamnya. Hanya ada dua keping not RM10 yang sudah aku tetapkan sebagai peruntukan makan tengah hariku. Berbelah bahagi rasa hati ingin memberi, tetapi pesanan arwah ibuku terngiang di fikiran.

"Abang, nanti ada duit... tak kiralah berapa pun jumlah duit abang, jangan kedekut untuk berbahagi dengan orang. Kita bantu orang hari ini... suatu hari nanti, Allah pasti bantu kita. Kita bagi lebih pada orang, Allah akan gandakan banyak lagi untuk kita. Ingat pesanan ibu ni, ya?"

Bersama hati yang aku tetapkan dalam keikhlasan, aku melangkah juga ke arah tiga figura yang menjadi tumpuan anak mataku sedari tadi. Aku meribakan lutut aku di hadapan pak cik tua yang sedang duduk di jalan lalu sekeping not RM10 di genggaman aku hulur kepadanya.

"Pak cik... ini ada sedikit sumbangan ikhlas daripada saya ya. Maaf, saya tak mampu bagi banyak sebab ini aje yang saya ada." Aku bersuara dengan nada yang penuh berhemah. Lagak sopan santun aku tunjukkan kepadanya. Keperibadian anak jati Malaysia.

Pak cik itu kelihatan terharu. Dapat aku melihat air matanya yang sedikit bergenang. Melihat ke arah bekas duitnya, tahulah aku bahawa dia belum mendapat apa-apa sumbangan hari ini.

"Terima kasih, nak..." Pak cik tua itu mengenggam lenganku. Suaranya bergetar sebak.

"Sama-sama." Aku tersenyum ikhlas. "Ini anak-anak pak cik ya?" Aku menyoal bagi kepastian diriku sambil tangan aku trehala sekejap ke arah dua orang kanak-kanak di samping pak cik itu.

"Ya. Ini anak-anak pak cik. Pak cik ada dia orang aje. Isteri pak cik meninggal dua tahun lepas. Pak cik kena buang kerja. Sekarang, pak cik seorang diri besarkan anak-anak pak cik."

Aku mengangguk perlahan mendengar cerita pak cik itu. Tumpah selautan simpati aku kepadanya. Bukan mudah hendak membesarkan dua orang anak dengan keadaannya yang keseorangan dan tidak berkerja. Lagi kedua-dua anaknya terlihat ada sakit masing-masing.

"Pak cik dengan anak-anak pak cik dah makan?"

Pak cik itu menggeleng. "Belum ada hasil lagi hari ni, nak. Kami tak dapat makan."

"Macam tu, pak cik tunggu dulu ya. Saya nak ke restoran tu kejap. Sekejap lagi saya datang balik," beritahuku sambil tubuh aku bangkitkan sepenuhnya daripada meriba lutut di hadapan pak cik itu.

"Nak, tak perlu susah-susah. Ni, kamu dah bagi pun..." Pak cik itu ingin menahan langkahku, tetapi aku menyentuh perlahan lengannya. Menepuk lembut.

"Tak apa. Sekejap ya." Terus aku berlalu ke arah restoran berdekatan. Restoran mamak menjadi pilihanku memandangkan bajet aku tidaklah terlalu mahal.

Ramai juga orang yang memilih nasi campur di kedai mamak ini nampaknya. Sambil menunggu giliran aku dilayan, aku memerhati sekeliling restoran. Aku melihat pasangan yang terlihat seakan bertikam lidah. Serta-merta, fikiranku menjengah pada isi penulisanku malam tadi. Perjuangan dalam hubungan percintaan. Harapnya mereka kekal dan mahu mempertahankan cinta yang telah terbina.

Tidak mahu terlalu menyibuk hal peribadi orang, aku meliarkan lagi pandangan. Rata-rata pelanggan di situ mempunyai tanda di cap jari mereka. Berkerut dahi aku kerana aneh. Fikiran aku perah memikirkan asbab tanda hitam itu. Dahi aku tepuk sedikit kuat. Mengundi! Ya Allah... macam mana aku boleh terlupa untuk daftar mengundi tahun ni? Aduhai...

Kata sayang, cintakan tanah air...

Haruslah menunjukkan bakti kepada negara tercinta ini.

Kesal aku rasakan dengan kealpaanku. Terlalu runsing tentang hal pengangguranku, lalai aku dengan hal-hal semasa. Nasib sahaja tarikh kemerdekaan negara masih terpahat jitu di ingatan. Kalau tidak, mahu hukuman buang negara. Huhuhu...

Ampuni rakyatmu ini, wahai negaraku.

Setelah beberapa minit menunggu, tiba giliran aku untuk membuat pesanan. Aku hanya mampu membeli nasi putih, sedikit kuah kari dan sayur. Setakat bajetku yang tidak melebihi RM10. Tidak mengapalah. Apa yang termampu ya.

Usai membayar, aku kembali semula ke arah pak cik tua yang masih berada di tepi jalan bersama anak-anaknya. Aku duduk semula dengan kedudukan yang sama seperti tadi. Nasi bungkus itu aku hulurkan kepada pak cik itu. Sekali-sekala aku ikat perut. Kasihan anak beranak ini yang pastinya lebih memerlukan daripada aku.

"Pak cik... ambil lah. Maaf ya, kalau tak seberapa. Ini je yang saya mampu."

"Ya Allah... nak! Terima kasih banyak-banyak. Tak terbalas budi anak pada pak cik dan anak-anak. Hanya Allah je yang mampu membalasnya. Terima kasih ya," ucap pak cik itu dengan suara yang kedengaran serak. Aku tahu dia sangat terharu dengan pemberianku.

"Sama-sama, pak cik." Aku tersenyum lagi. Senang hati dapat membantu pak cik itu.

Arwah ibu pesan lagi, kalau ada orang susah perlukan bantuan kita... bukan dia yang diuji Allah sebenarnya, tetapi kita sendiri. Allah nak melihat betapa kita ini seorang yang pemurah, mengasihi sesama makhluk atau sebaliknya.

Seketika, aku melihat pak cik itu menghulurkan bungkusan nasi ke arah anak-anaknya. Bungkusan itu dibuka sebelum kedua anak itu datang mendekat. Senyuman mereka melebar. Jelas terpampang cahaya kebahagiaan pada wajah mereka dan ia membuatkan hati aku terasa bahagia sama.

"Kebahagiaan itu bukan sekadar apabila kita menerima, tetapi juga memberi. Abang jangan lupa yang dalam rezeki abang, ada juga rezeki orang lain terkumpul sama. Belajar untuk bermurah hati ya. Allah suka hamba-Nya yang suka membantu, tak sombong dengan orang dan sentiasa merendah diri."

Mengingatkan pesanan demi pesanan ibu yang melekap kemas di kotak ingatan, pandangan aku terasa berbalam dengan cecair jernih. Merindui pemilik suara itu. Andaikan sahaja arwah ibu masih ada, ingin sekali aku menunjuk bakti aku kepadanya. Namun, pada masa yang sama, segunung kesal terasa merantai jiwa kerana keadaan diriku yang sekarang. Penganggur terhormat. Hormat ya? Senyum sinis untuk diri sendiri.

"Kenapa anak menangis? Anak lapar juga ya? Maafkan pak cik sebab menyusahkan anak. Anak ambil lah balik 10 ringgit ni." Pak cik yang masih berada di hadapan aku menghulurkan duit dengan riak wajah yang penuh serba-salah.

Aku juga ikut serba-salah melihat tingkahnya. "Eh, tak... pak cik! Bukan sebab saya lapar. Maaf, saya teremosi sampai ganggu pak cik dengan anak-anak pak cik nak makan." Aku menolak perlahan huluran wang kertas itu.

"Anak ada masalah?" Pak cik itu kelihatan berminat ingin bermesra dengan aku.

Aku juga merasa senang ingin terus berbicara dengannya. "Saya rindu arwah ibu saya."

"Oh, macam tu..." Kepala pak cik itu terangguk-angguk perlahan.

Aku tersenyum tipis, sedikit sayu dengan hati yang merindu kepada manusia yang tidak mungkin kembali ke sisiku.

"Untung arwah ibu... ada anak macam anak ni. Pemurah, pandai menghormati orang tua, rupa tu... adalah... bolehlah..."

Aku tertawa mendengar pujian terakhir pak cik itu. Aku tahu apa yang diungkapkan pak cik itu adalah ikhlas lahir daripada hati.

"Rindu arwah ibu, sedekahkan doa banyak-banyak untuk arwah. Doa seorang anak yang soleh, itu yang diimpikan setiap ibu bapa apabila mereka sudah pulang kepada Ilahi. Allah berikan anak rasa kehilangan, sebab dia nak anak belajar berdikari dan bersyukur dengan apa yang anak miliki. Sekarang, terbukti hikmah di sebalik ujian Allah kepada anak. Anak mampu berbahagi rezeki anak dengan pak cik dan anak-anak pak cik. Anak mampu bersiar-siar seorang diri dekat sini, tanpa ada sesiapa yang teman. Anak seorang lelaki yang hebat. Pasti arwah ibu bangga dengan anak."

Aku mengangguk perlahan. Tersenyum halus mendengar kata-kata semangat daripada pak cik tua yang tidak aku kenali.

"Terima kasih, pak cik." Aku mengucapkan itu kerana semangat yang diberikannya.

"Pak cik yang patut berterima kasih dengan anak. Sebab anak, pak cik dapat melihat anak-anak pak cik tersandar kekenyangan. Tersenyum kebahagiaan. Terima kasih ya, nak. Pak cik doakan kamu sentiasa dipermudahkan urusan dan dicukupkan segala keperluan."

Setelah merasakan tiada apa-apa lagi yang membuatkan aku perlu tunggu, aku meminta diri daripada pak cik itu. Anak-anaknya juga aku berikan sebuah lambaian yang mesra. Bersama pak cik itu, aku belajar tiga isi dalam perjuanganku. Perjuangan dalam meneruskan hidup. Perjuangan dalam membantu orang lain. Juga perjuangan dalam memberi sedekah kepada orang yang memerlukan.

Kini, aku tahu bahawa aku juga harus berjuang demi hidupku sendiri. Tidak mungkin aku hendak membiarkan diriku terus berada di posisi ini. Aku perlu meneruskan baktiku kepada orang sekelilingku. Aku perlu meneruskan usahaku dalam membantu masyarakatku. Aku juga perlu meneruskan perjuangan ibu dan bapaku demi tanah air tercinta ini.

Walaupun aku tidak mampu menjadi seorang askar yang gugur di medan perang, tetapi aku punya sesuatu dalam diri aku yang boleh aku sumbangkan kepada manusia lain. Perjuangan tidak hanya terhad kepada peperangan demi tanah air, bahkan ia lebih daripada itu.

Penulisan yang selama ini masih tersemat dalam fikiranku, masih aku boleh gunakan demi menabur kebaikan kepada orang lain. Akan aku berikan manfaat yang sesungguhnya kepada manusia di sekelilingku demi mencari keredhaan Tuhan bersama-sama.

Ini kerana... tintaku adalah medan perjuanganku.

Perjuanganku demi keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro