1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

2 bulan kemudian...

USAI membutangkan baju kemejanya, kunci motor yang berada di atas meja dicapainya. Tidak lupa juga topi yang tersangkut pada bucu cermin dicapai sama. Langkah kakinya kini bergerak keluar dari bilik sebelum menuju ke bilik Dahlan.

Langsir yang menutupi bilik abah diselak sedikit lalu bayangan abah yang sedang menyarungkan songkok di kepalanya menjadi tatapan mata.

"Dah siap, abah?" Tanya Kaer bersama senyuman di bibir.

"Dah." Dahlan turut sama senyum lalu langkahnya dibuka menghampiri Kaer.

"Abah nak Dhaf hantar abah dekat mana? Dhaf dah bagitahu Firash Dhaf lambat sikit harini." Kaer menyoal Dahlan saat mereka tiba di ruang tamu. Duduk dilabuhkan sebentar bagi menikmati kopi yang sudah dibancuh oleh Kaer.

"Abah rasa Dhaf tak payah hantar abahlah. Tadi kawan abah tu ada telefon. Katanya dia sendiri yang nak datang ke sini. Alang-alang tu dia nak tengok sekali kawasan sawah padi kita." Ujar Dahlan bersama tangan yang mencapai secawan kopi.

"Kawan? Dia kawan abah ke?" Rasanya semalam abah tak ada pun bagitahu dia bahawa Tan Sri yang berminat dengan sawah padi mereka itu adalah temannya.

"Ya. Kawan lama. Lama juga rasanya kami tak berhubung. Tahu-tahu semalam dia telefon abah semula. Katanya ada yang perkenalkan kawasan kampung kita dekat dia. Itu yang cepat-cepat dia cari abah." Terang Dahlan.

Kaer sekadar menganggukkan kepalanya mendengarkan kata-kata abah itu. Lagi bagus sebenarnya jika abah saling mengenali dengan investor mereka itu. Mudah untuk mereka berurusan kemudian hari.

"Pukul berapa kawan abah tu sampai? Dia tahu tak jalan ke rumah kita ni?" Kaer kerling jam di tangan. Dia janji dengan Firash untuk tiba di sawah padi pukul 9 jadi dia masih ada setengah jam lagi untuk temankan abah.

"Abah dah bagi alamat dah dekat dia. Rasanya sekejap lagi dia sampailah tu." Balas Dahlan. Susuk tubuh Kaer dipandangnya lama. "Kalau Dhaf rasa Dhaf nak pergi sekarang pun tak apa. Abah boleh je tunggu sorang." Sambung Dahlan lagi.

Mendengarkan ujaran Dahlan itu, Kaer akhirnya menganggukkan kepalanya. Bayangan Firash melakukan kerja seorang diri tiba-tiba bermain di fikirannya.

"Kalau abah dah cakap macam itu tak apalah. Dhaf pergi sawah dulu. Kalau ada apa-apa nanti abah cepat-cepat telefon Dhaf tau." Kaer bangun dari duduknya. Tangan dihulurkan pada Dahlan untuk bersalaman.

"Ya. Hati-hati naik motor tu." Sempat Dahlan menasihati anak lelakinya tatkala huluran tangan itu disambut.

"Baik, abah. Assalamualaikum." Senyuman diberikan kepada Dahlan tatkala kakinya tiba di tangga pintu.

"Waalaikumsalam."





BEKAS berisi mihun goreng yang baru sahaja dimasak itu kini diletakkan di atas meja makan. Sepiring pinggan dicapai lalu mihun goreng tadi diisi sebelum diletakkan di hadapan Puan Sri Daria.

"Jemput makan, Puan Sri." Ujar Mak Milah sambil tangan menuangkan pula kopi di dalam cawan.

"Terima kasih, Kak Milah. By the way, mana Tan Sri? Sejak I bangun pagi tadi lagi I tak nampak dia. Dia ada bagitahu Kak Milah tak dia pergi mana?" Soal Puan Sri Daria pelik.

Selalunya suaminya tidak pernah menghilang tanpa memberitahunya apa-apa tetapi pagi tadi bayangan lelaki itu langsung tidak kelihatan.

"Tan Sri awal pagi tadi lagi dah keluar, Puan Sri. Dia bagitahu yang dia ada nak melawat kawasan harini. Katanya mungkin dia akan balik lewat sikit." Beritahu Kak Milah kembali sama seperti apa yang Tan Sri Azzam beritahu padanya.

Puan Sri Daria mengangguk kepalanya faham mendengarkan itu. Sudu dan garfu dicapai namun tatkala tangannya baru sahaja ingin menyuapkan mihun tersebut ke dalam mulut, tingkah terhenti serta-merta.

"Semalam Ayreen balik pukul berapa ya, Kak Milah?" Tanya Puan Sri Daria lagi.

Mak Milah terdiam sejenak. "Rasanya pukul 1 pagi, Puan Sri." Balas Mak Milah kemudiannya.

Puan Sri Daria menggelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan tatkala mendengar balasan Mak Milah. Ayreen ini memang sudah melampau!

"Tak apalah kalau macamtu. Kak Milah boleh sambung kerja Kak Milah semula." Segaris senyuman diberikan buat pembantu rumahnya itu sebelum bayangan Mak Milah hilang ke dapur.

Usai pemergian Kak Milah, Puan Sri Daria turut bangun dari duduknya. Makanan di atas meja ditinggalkan begitu sahaja bersama kaki yang mula mendaki tangga.

Tok! Tok! Tok!

"Ayreen! Ayreen Adreanna!" Puan Sri Daria mengetuk pintu bilik anak gadisnya itu tidak henti bersama suara yang berselang-seli menyeru nama Ayreen.

Pintu tersebut akhirnya terkuak dari dalam sebelum memaparkan wajah bangun tidur Ayreen yang kini sedang menutup mulut yang sedang menguap.

"Ha, bangun pun." Puan Sri Daria mencekak tangannya ke pinggang sebelum pintu bilik Ayreen ditolak dan dia melangkah masuk ke dalam.

"Hm, mummy. Kenapa you ketuk pintu bilik I macam nak roboh ni?" Ayreen menggosok matanya yang masih kabur itu bersama suara yang serak.

"Saja. Nak kejut anak dara yang balik lewat semalam ni," ujar Puan Sri Daria dengan nada yang memerli. Langsir tingkap kini dibuka luas sehingga cahaya menerobos masuk ke dalam bilik tersebut.

"Mummy! Kenapa you buka langsir? Awal lagilah kalau nak suruh I bangun," Ayreen mula menutup wajahnya tatkala cahaya tersebut turut sama mengena padanya. Ada nada tidak puas hati dalam kata-kata itu.

"Awal apanya? Dah nak tengahari pun. Takkan nak tunggu matahari tegak atas kepala dulu baru nak bangun, Ayreen Adreanna?" Puan Sri Daria kembali memusingkan tubuhnya menghadap Ayreen yang menayangkan wajah masam.

"Orang dahlah tengah mengantuk. Lepastu suruh bangun awal pula," gumam Ayreen perlahan bersama duduk yang dilabuhkan di atas katil.

"Oh, tahu pula mengantuk? Masa balik lewat semalam tak fikir pula?" Puan Sri Daria sudah mula berura-ura ingin membebel.

"Bukan salah I lah, mummy. Dah karoake tu yang habis lambat. Takkan I nak membazir pula. Kenalah nyanyi sampai habis masa," balas Ayreen dengan tangan yang sudah disilangkan ke dada.

Dahi Puan Sri Daria sudah berkerut seribu tatkala balasan anak gadisnya itu menyapa koklea telinga. Boleh pula disalahkan pusat karoake itu sedangkan dia sendiri yang memilih untuk pergi pada waktu tersebut?

"Sudah. Tak payah nak bagi banyak alasan. I tak sudi pun nak dengar." Tegas Puan Sri Daria. "Ini nasib baik tau daddy you tak ada dekat rumah. Kalau tak, I tak tahulah apa nasib you!" Sambung Puan Sri Daria lagi.

Ayreen menghela nafas lemah mendengarkan bebelan mummy yang tidak berhenti itu. Sesungguhnya dia benar-benar mengantuk tika ini sehingga dia tidak mampu mencerna apa pun yang mummy katakan.

"Ayreen Adreanna! Dengar tak apa yang I cakap ni?" Suara halilintar Puan Sri Daria itu kembali menyedarkan Ayreen yang sedang curi-curi tidur.

"Hm, dengar."

"Good. Kalau dengar, pergi bangun mandi sekarang. If you don't come downstairs within 30 minutes, siap you!" Amaran keras itu diberikan kepada anak gadisnya sebelum Puan Sri Daria keluar dari bilik tersebut.

Melihatkan pintu yang sudah tertutup rapat itu buatkan Ayreen rasa ingin menangis. Tubuh kini dibaringkan kembali ke katil lalu sebuah bantal diletakkan di atas muka sebelum dia lepaskan jeritan maha kuat.

"Mengantuknya!"





MUNCUNG penyembur racun serangga itu dihalakan pada sawah bersama langkah kaki yang bergerak ke kiri dan ke kanan. Sesekali tuala di leher digunakan untuk mengelap peluh yang merenek dek panahan cahaya matahari.

"Dhaffa!" Suara Firash yang kedengaran dari jauh membuatkan Kaer memusingkan sedikit tubuhnya.

"Ada apa?" Tingkahnya kini diberhentikan sebelum fokus diberikan kepada Firash. Topi yang berada di atas kepala diperbetulkan sedikit.

"Itu ha, abah kau datang." Firash memuncungkan bibirnya ke arah sebuah kereta Alphard yang berada di seberang jalan. Kelihatan Dahlan bersama seorang lelaki tua yang kini sedang rancak berbicara berdua.

Agaknya itulah Tan Sri Azzam, kawan lama abah yang berminat untuk menjadi pelabur untuk projek sawah padi mereka ini.

"Siapa yang jalan dengan abah kau tu, Dhaf? Macam orang bandar je," tegur Firash bersama rasa ingin tahu.

"Abah cakap tu kawan lama dia. Lagi satu dialah pelabur yang aku bagitahu kau semalam. Yang berminat dengan sawah padi abah aku ni," beritahu Kaer. Matanya masih tidak lari dari terus memandang ke arah mereka berdua.

"Hebat abah kau, Dhaf. Kawan dia bukan calang-calang," kata Firash dengan nada bergurau. Bahu lelaki itu ditepuknya sebelum mereka berdua hamburkan tawa.

"Dhaf, Fir, mari sini!" Dahlan segera memanggil anak lelakinya dan juga temannya itu sebaik sahaja dia tiba di hadapan sawah padi tersebut.

Dhaffa dan Firash mara ke arah Dahlan tatkala diseru sebegitu. Masing-masing menayang senyuman tatkala pandangan Tan Sri Azzam berlabuh pada mereka.

"Zam, ini aku kenalkan dekat kau. Dhaffa, anak lelaki tunggal aku." Ujar Dahlan memperkenalkan anak lelakinya kepada Tan Sri Azzam.

"Jadi inilah anak lelaki kau yang kau ceritakan dekat aku tu?" Soalan Tan Sri Azzam itu Dahlan balas dengan anggukan.

Kaer senyum lalu tubuhnya menunduk sambil menghulurkan tangan. "Apa khabar, Tan Sri?"

"Eh, apa pula panggil Tan Sri. Panggil uncle sudahlah. Alhamdulillah, uncle khabar baik." Dalih Tan Sri Azzam. Huluran itu disambut lalu tangannya naik menyentuh bahu Kaer. Bibirnya pula mengukir senyuman melihatkan wajah anak kepada teman baiknya itu.

Sungguh sejuk matanya memandang.

"Ini pula kawan baik Dhaffa. Firash namanya. Firash pun dah macam anak aku dah." Firash pula diperkenalkan kepada Tan Sri Azzam dan lelaki itu hanya tersenyum.

"Sihat, Firash?" Soal Tan Sri Azzam berbasa-basi.

"Alhamdulillah, uncle." Firash turut tersenyum.

Tan Sri Azzam memusingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan sebelum dahinya berkerut sedikit.

"Dhaffa dengan Firash kerja berdua aje dekat sawah ni?" Tan Sri Azzam pandang Kaer dan Firash silih berganti.

"Iya, uncle. Berdua je. Dulu bertiga tapi sekarang sorang tu dah pindah bandar." Beritahu Kaer.

Sememangnya dahulu mereka bertiga. Dia, Firash dan Hazmi tetapi sejak lelaki itu berkahwin, dia memilih untuk pindah ke bandar. Maka tinggallah mereka berdua di sawah padi ini.

"Besar rupanya sawah kau ni, Lan? Tak sangka pula aku," kata Tan Sri Azzam bersama mata yang menganalisa seluruh kawasan sawah 4 ekar itu.

"Bolehlah, Zam. Cari makan," balas Dahlan sambil mengukir senyuman.

"Tak sia-sialah aku pilih sawah kau ni untuk aku labur. Banyak hasilnya nanti." Tan Sri Azzam mula bergurau sebelum Dahlan menghamburkan tawa.

"Eh takkan kita nak berborak dekat sini je? Jom bah, uncle, kita duduk dulu dekat pondok tu," ajak Kaer.

"Boleh boleh! Kaki uncle ni pun dah lenguh dari tadi berdiri." Tan Sri Azzam tersenyum.

"Mari, Zam." Dahlan turut mengalu-alukan Tan Sri Azzam dah berlalu ke pondok.







BUNYI tapak kaki yang kedengaran dari arah belakang mengalihkan pandangan Puan Sri Daria yang sedang bersantai di ruang tamu. Aktiviti mengilat kukunya juga terhenti sebaik sahaja matanya menangkap susuk tubuh Ayreen yang sudah bersiap ingin keluar.

"Ha, ni nak pergi mana pula? Keluar lagi?" Soal Puan Sri Daria bersama mata yang memincing.

Ayreen tersengih kecil. "Haah, mummy. Nak keluar dengan Yara sekejap. Ada food festival dekat Ampang tau, mummy!" Tubuh mummynya didekati lalu punggungnya dilabuhkan di sisi sofa.

"Boleh percaya ke sekejap you tu? Mummy perasan sejak akhir ni you selalu sangat balik lewat. Tak ingat ke pesan daddy? Balik rumah sebelum 11 malam, Ayreen." Puan Sri Daria kembali mengingati anak gadisnya itu.

"Mestilah I ingat, mummy. I tak pernah lupa tau. Cuma kadang-kadang tu I terleka sikit. Biasalah bila dah keluar kan?" Pujuk Ayreen bersama tangan yang mengusap bahu wanita itu.

"Banyaklah alasan you tu." Jelingan tajam diberikan kepada Ayreen tanda dia sudah bosan mendengar alasan anak gadisnya itu.

"Ala, bolehlah, mummy. I janji malamni I balik awal. Nak pergi food festival tu aje. Promise!" Ayreen mengangkat sebelah tangannya ke atas tanda berjanji.

"Berapa kali dah you berjanji tapi lastnya? Balik lambat juga." Sejujurnya janji Ayreen itu terlalu susah untuk dipercayai.

"Kalini I janji yang betul-betul janji! I akan balik sebelum daddy balik! You can keep my promise!" Bersungguh-sungguh Ayreen berjanji bersama kepala yang terangguk-angguk. Sememangnya malam ini dia hanya mahu keluar ke food festival itu sahaja bersama Yara.

"Janji ya dengan I? Sebelum daddy balik, you kena balik dulu. Sebab kalau daddy dah balik, I dah tak boleh selamatkan you tau. You should answer him yourself. I'm out in this case." Puan Sri Daria mengingatkan anak gadisnya itu sekali lagi.

"Understood!. Thank you, mummy! Thank you so much!" Ayreen ukir senyum. Tubuh mummynya dipeluk lalu pipi itu diciumnya.

Pon! Pon!

"Yara dah sampai!" Mendengarkan bunyi hon di luar rumah, Ayreen kembali tegakkan tubuh. "Okeylah, I pergi dulu tau, mummy! Take care! I love you!" Tangan wanita itu dicium sebelum dia bergerak menuju ke pintu.

"Ingat! Sebelum daddy balik!" Pesan Puan Sri Daria buat kesekian kalinya.

"Noted, mummy!"




how's first chapter? okay tak?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro