13 | Patah

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Bunyi seruan azan membisik ke gegendang telinganya. Dia membuka mata sedikit luas lalu cahaya lampu menerjah ke retina mata. Dipencilkan mata itu dek silau lampu. Benda pertama yang terlihat di kaca matanya adalah wajah Ahmad yang terleka meminum susu dari botol di sebelahnya. Dia pun sedikit berkerut dan meluaskan lagi penglihatan.

Dilihat betul-betul susuk tubuh kanak-kanak itu. Pudarlah bayangannya lalu Salman melilaukan mata ke sekeliling. Dia sendirian di atas katil bercadar putih itu.

Kiri dan kanannya hanyalah langsir hijau lembut yang memisahkan antara ruangan itu dan ruangan yang lain. Salman mengangkat pula lengan kirinya yang telah pun tercucuk branula. Rasa kebas masih bersisa. Lengannya tak mampu bergerak terlalu banyak.

"Awak dah sedar?" soal Aisyah yang baru tiba.

Kening Salman berkerut sedikit. "Saya dekat mana ni?" Suaranya perlahan saja menyoal. Nyata tenaganya masih tak kuat.

"Awak dekat hospital."

"Hospital?" Salman inginkan kepastian.

"Ya. Lepas saya hantar Ahmad tadi, terus saya bawa awak ke hospital," terang Aisyah. Dia merapati katil Salman. Wajah pucat itu ditatapnya.

"Saya sakit ke?"

"Awak demam. Paras hemoglobin awak pun agak rendah. Jadi... Awak rehatlah dulu dekat sini. Nanti kalau dah sihat sikit, boleh discharge. " Senyum gadis itu.

"Tak lama, kan?" Salman sedikit khuatir jika terpaksa lama-lama di sini.

"InsyaAllah, tak. Awak rehatlah. Nak minum air?" Aisyah membuka botol air mineral 500ml yang baru dibelinya tadi.

Jujur, Salman berasa kekok. Dia sedang terbaring begini, doktor itu pula sedang berdiri berdekatan katilnya. Perlahan-lahan dia cuba untuk duduk bersila.

Bibirnya yang kering itu mula dibasahi air. Terasa sejuk alirannya menyegarkan anak tekak.

"Awak sarapan tak tadi?" Berdasarkan bacaan gula dalam darah Salman, Aisyah menebak bahawa lelaki itu belum menyantap apa-apa. Kerusi berdekatan ditarik lalu dia berlabuh di situ.

"Tak," geleng Salman. Botol air itu dihulurkan kembali kepada Aisyah. Ekor matanya sempat menangkap sesuatu yang dibawa Aisyah.

"Saya sempat pergi kedai tadi. Kalau awak tak lalu nak makan makanan hospital, awak makanlah roti ni. Nanti lepas ni saya nak balik rumah dah."

Kenapa?

Kenapa dia terlalu baik.

"Aisyah. " panggil Salman.

"Ya? " Gadis itu sedikit segan apabila mendengar namanya dipanggil.

"Mana phone saya? "

"Lupa nak bagi. Saya takut ada orang curi tadi sebab tu saya ambil." Aisyah tersipu malu lalu menyelongkar tas tangannya. Dia meletakkan jinjingan plastik tadi ke birai katil untuk memudahkan pencarian.

Salman mengambil plastik itu dan melihat isinnya. Ada dua biji roti berkrim coklat yang  mungkin mampu menaikkan selera anak tekaknya. Sekarang ini dia risaukan kalau-kalau ada panggilan yang tak berjawab dari Zack atau Farah Ain.

Tika telefon pintar dihidupkan, hampa tiada satu pun panggilan masuk dari simkad personalnya.

"Kalau takde apa-apa, saya nak balik," pamit Aisyah sopan. Dia bimbang untuk lama-lama berduaan dengan lelaki bukan mahram itu.

"Hati-hati."

Gadis itu membalas dengan senyam nipis lalu beransur pergi.

Salman menggenggam telefon pintar itu. Jarinya membuka peti perbualan bersama-sama Farah Ain. Mesej terakhir yang dibalas adalah dua hari yang lalu. Mesej-mesej selepas itu langsung diabaikan, Salman berasa tersisih dengan perbuatan gadis itu.

Lelaki itu kembali berbaring dan merehatkan lengan kirinya. Tangan kanannya ralik menarik selimut nipis hospital. Sejuk juga lama-lama di situ. Dia memandang ke kiri dan kanan sekali lagi. Pandangannya berakhir ke siling.

Baru saja hendak melelapkan mata, notifikasi whatsapp tiba-tiba sahaja mengerumuni skrin telefon. Mesejnya dari nombor yang sama. Siapa lagi kalau bukan Zack.

Zack hensem

Man, kenapa off data?
On la
Hello?
Internet kau expired ke?
Kalau broken pun tak payah lah sampai nak off telefon. Nanti aku nak contact susah.
Aku keluar jap tau.
Bila kau nak suruh aku jemput kau? Ewah berdating sakan dengan doktor tu.

"Budak ni..." wajah toya Salman terpampang. Bar bateri telefon membuatkan Salman terdetik untuk menelefon Zack.

"Hello, ha baru reti nak buka telefon? Kalau tak reti nak balas mesej baik buang je telefon tu."

Salman menghela nafas halus. "Aku warded ni. Boleh tak tolong bawa power bank?"

"Warded? Tangan kau okay tak? Kena jangkitan kuman ke? Aku ish... Aku dah suruh duduk rumah je tapi kau degil. Dekat luar tu banyak kuman tahu tak?

" Kau ni bising la," Salman menjauhkan sedikit skrin telefon dari telinganya. Bingit dengan bebelan si Zack.

"Nanti aku hantar barang. Best la aku tidur malam ni katil luas."

Nak bandingkan Farah Ain dan Zack, kawannya itu jauh lebih mengambil berat perihalnya. Usai menamatkan panggilan dengan teman sebilik, Salman mencuba nasib pula untuk berhubung dengan Farah Ain. Dia melihat gambar profil gadis itu sementara menunggu panggilan terjawab.

Farah Ain memang baik padanya. Ceria, pandai bergurau senda, pandai juga ambil hatinya yang sudah lama tidak bercinta. Prasangka buruk dibuang jauh-jauh. Salman tak mahu harapannya untuk pergi jauh dengan gadis itu terbengkalai di tengah jalan hanya kerana persepsi negatif yang datang dari diri sendiri.

"Hello, Ain. Sihat?" ujar Salman.

"Kenapa call Ain ni?" Dingin suara di sebelah sana.

"Takde apa. Cuma rindu dah lama kita tak jumpa." Salman jawab bersahaja. "Abang warded-"

"Warded?" Farah Ain berdecit. "Tak payahlah guna alasan lapuk macam tu semata-mata nak tarik perhatian Ain."

Wajah Salman berkerut. "Abang beritahu je."

"Jadi? Nak Ain kesiankan? Tak perlu pun nak tipu sakit la apa."

Jeda.

"Ain ni kenapa ya? Kenapa bila abang ajak keluar tak nak?"

"Ain sibuk, abang tak faham ke? Ain sibuk. Abang boleh cari orang lain untuk layan abang. Orang yang takde kerja."

"Kalau sibuk pun, okay fine abang faham. Tapi kenapa Ain macam cuba elak dari abang sekarang ni? Siap tuduh abang reka alasan warded? Abang bukannya hamak sangat nak perhatian orang sampai sanggup tagih simpati. " Dada Salman berombak laju. Dia menahan marahnya dengan gadis itu. Terasa hina di mata gadis kolej itu.

Farah Ain terdiam.

"Just stop it. Jangan tunjuk sangat terhegeh-hegeh dekat Ain."

"Ya, memang abang terhegeh-hegeh. Empat bulan kita kenal, empat bulan abang cuba kenal Ain. Abang sayang Ain. Salah ke kalau terhegeh-hegeh?"

"Jangan mesej atau call Ain dah lepas ni."

"Beritahu abang, kenapa? Sebab Ain budak kolej yang ada masa depan? Sebab tu tak nak beri peluang dekat orang macam abang untuk pegang cinta Ain?"

"Tak payahlah lebih-lebih. Kita cuma kenal empat bulan je."

"Beritahu abang, apa salah abang?" Salman masih cuba berlembut dengan buah hatinya. Walauapa pun cara dia harus selesaikan kedinginan antara mereka.

"Mungkin betul apa abang kata. Ain patut cari lelaki yang ada masa depan. Bukannya lelaki yang hanya tahu mengayat dan ajak keluar hari-hari."

Hati Salman bagai ditikam saat itu. Dia mengetap gigi kegeraman. "Apa masalah Ain? Lelaki mana yang ajar Ain cakap macam ni?"

"Takde siapa-siapa yang ajar. Salman, saya nak putuskan hubungan ni. Maaf."

Salman tertawa sendiri selepas menahan marah. "Serius la?"

"Ya."

"Selepas kata-kata 'saya terima awak seadanya' dari bibir awak. Saya ingat awak akan bagi peluang pada saya."

"I dont wanna have a fight with you."

Senyumannya terukir hambar. Hatinya dipermainkan begitu sahaja oleh seorang gadis. Harapan yang terbina selama ini musnah berkecai.

Betul kata Zack. Buat apa dia nak gadaikan nyawa untuk perempuan yang baru dia kenal?

Sebutir mutiara jernih jatuh menitis ke cadar katil.

"Saya sayang awak, Ain," hujung ayat telah pun serak suaranya. Air mata itu dibiarkan mengalir.

"Sayang awak tak bermakna pada saya. Kita tamatkan je semua ni daripada saya perlu terus seksa perasaan awak. Sedangkan secebis rasa pun tak pernah hadir dalam hati saya."

Butang merah disentuhnya.

Salman mengesat sisa tangisan. Apa salah dia?
Dia meringkukkan tubuh dan memeluk lutut di atas katil itu. Air matanya semakin galak mengalir.

Dia tak sanggup lagi mendengar kata-kata yang bakal menggores hatinya.

***

" Salman!" Zack ternaikkan suara apabila ternampak wajah Salman. Betapa gembiranya dia setelah penat mencari nombor katil itu.

"Aku tak biasa la pergi hospital. Tersesat pula tadi." Zack mengusap belakang lehernya lalu berlabuh di atas kerusi. Dia meletakkan beg galas di kaki kerusi lalu kembali memandang Salman. Di dalam itu ada sepersalinan baju, tuala dan beberapa peralatan mandi.

"Kau ni apahal buat muka macam tu?" Zack menegur wajah muram Salman.

Salman terus membelakangi Zack. Birai yang memisahkan katil di hadapannya dimenungkan.

"Aku bawa dah ni powerbank dan barang-barang kau. Tapi sikit je la barangnya sebab kau tak lama kan dekat sini? Kau demam je kan?" Telefon pintar Salman di sebelah bantal dicapai Zack. Matanya terbuntang melihat separuh skrin yang telah rosak. Jarinya meleret ke kiri dan kanan bagi memeriksa tahap kerosakannya. Beberapa bahagian skrin telefon itu telah menggelap akibat hentakan kuat. Warnanya habis pecah-pecah.

"Kau buat apa ni? Sayang telefon kau ni. Ingat murah ke?" gumam Zack. Samsung galaxy S10+ itu dibelek-belek setiap sudut. "Mahal ni weh nak tukar skrin."

Telefon semahal itu senang-senang sahaja Salman lempar ke dinding beberapa ketika yang lalu. Jururawat jugalah yang mengutip dan memberi kembali kepada dia.

"Kau nak ambil telefon tu ambil la. Aku tak nak." Salman berbisik perlahan.

"Kau ni kenapa Man? Broken lagi? Relakslah." Zack pula yang mengeluh. Dia tahu sejak dua menjak ini hubungan Salman dan Farah Ain agak dingin. Tetapi tak tahu pula sejauh mana mereka bergaduh. Gadjet itu dicucuk dengan kabel USB lalu diletakkan kembali di sebelah bantal Salman bersama-sama powerbank. Mujur telefon itu masih bercahaya.

Belakang badan Salman menjadi tatapan Zack memandangkan sahabatnya itu tak mahu menghadap ke arahnya. "Mana kau punya screen protector?"

Zack bingkas bangun dan bercengkak pinggang. "Aku penatlah layan orang takde mulut ni."

Pandangannya jatuh pada pinggan makanan yang masih tak berusik di atas meja katil. Semasa bangun pagi tadi pun Salman tak menjamah apa-apa kerana terburu untuk berjumpa Ahmad. Kini matahari pun sudah terbenam, Salman masih tak menyantap sesuap nasi. Zack melangkah ke sisi yang sedang dihadap Salman. "Salman, kita tak perlu tangiskan orang yang tak hargai kita."

Objek yang tergenggam Salman dilurut jari jemari Zack. Zack mengambil pelindung skrin kaca yang telah berderai di tangan kawannya itu. Tersisa darah di celahan retakan kaca.

"Dia kata dia nak cari lelaki yang ada masa depan. Aku takde masa depan ke Zack?" Salman memandang Zack. Soalannya polos kedengaran di telinga lelaki itu.

Zack tersenyum nipis. "Kita ada masa depan. Masa depan tak semestinya kena kerja yang bagus-bagus. Sekarang pun kita tengah berusaha nak ubah hidup." Telapak tangan Salman diraih Zack. Dia membuang sisa kaca. yang berbaki pada kulit itu. Patutlah skrin telefon Samsung itu tiada pelindung.

" Ingat, kau ada aku, Ahmad dan... Doktor Aisyah," ujar Zack lagi.

Salman diam tak berkutik. Dia masih lara dengan perasaannya.

"Tapi Doktor Aisyah cuma kawan aku je. Mana sama dengan Ain," tutur Salman seperti tiada semangat.

"Entahlah kau buta ke apa, Man. Terang-terang dia risaukan kau sampai bawa pergi hospital. Kalau aku, aku tinggal je kau tepi jalan." Zack terduduk di birai katil.

"Maksud kau?"

"Bro, perempuan ni penuh dengan perasaan malu. Doktor tu suka kau walaupun dia tak kata dia suka kau. Complicated, kan?" Perlahan-lahan dia meletakkan tangan Salman. "Kau kena basuh darah-darah ni semua."

Salman melarikan anak matanya. "Mana kau tahu? Kau bukan pernah jumpa dia pun..."

"Aku tahu la. Kau tak makan lagi, kan? See... Tu pun aku tahu juga." Sebungkus roti berkrim coklat diambil Zack. "Ni mesti doktor tu beli."

"Hm, ya."

"Farah Ain tu entah siapa-siapa je kau jumpa dekat Facebook. Aku bukan apa, tapi aku ada stalk la dia juga hari tu." Zack membuka plastik roti itu dengan sekali koyakan lalu dihulur kepada Salman.

Salman terpaksa bangkit dan bersandar pada kepala katil. Dia menyambut pemberian itu. "Kau nak cakap apa sebenarnya? "

"Aku tengok Facebook tu mula aktif beberapa hari sebelum dia berkawan dengan kau dekat Facebook. Padahal sebelum tu, satu habuk pun takdenya dia rajin nak post apa-apa. Pelik jugalah," Zack mengangkat bahu sendiri. Dia mengambil pula botol air mineral. "Weh, nasi tu kau nak makan tak?"

"Makanlah, aku tak lalu." Secebis roti dimasukkan ke dalam mulutnya. Salman hanya melihat Zack mengambil pinggan plastik hospital dan membawa ke riba.

"Kadang-kadang aku curiga juga dengan Farah Ain tu. Sebab tu bila kita buat kerja, aku suruh kau tinggalkan phone dekat rumah. Tapi kau degil, nak juga bawa phone kau." Walaupun nasi hospital hanya lauk sup sayuran, Zack tetap menjamu penuh berselera.

"Zack, bila kita kena lapor diri dekat Mat Shah?" soal Salman.

"Lusa."

"Peluru kau banyak lagi tak?"

"Eh, kau nak pergi bunuh Mat Shah ke? Jangan main-main, Man."

***

Walaupun tak ramai baca, tetap nak update :) Selamat membaca. Drop comment & jangan lupa vote.

***
Upcoming chapter:
"Cari awek dia. Kalau Salman tak muncul juga, buat sampai dia muncul."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro