26| Jawapan (edited)

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Tiga jam yang ditunggu terasa agak lama. Salman berpeluk tubuh di atas kerusi di ruangan menunggu. Mulutnya terkunci untuk bercakap apa-apa kepada Aisyah. Dia menekur ke lantai hospital sambil hati berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

"Ya Allah, aku meminta kepadaMu dengan berkat Nabi Muhammad nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad, aku bertawassul dengan mu kepada Allah supaya Allah kabulkan doaku. Permudahkanlah urusan pembedahan Ahmad di dalam sana. Beri dia kesembuhan yang cepat supaya dia dapat jalani hidup seperti kanak-kanak lain," bisik hati seorang hamba yang mencintai anaknya.

" Encik Salman dan Cik Aisyah," panggil seorang pegawai keselamatan yang menjaga pintu masuk wad unit jagaan rapi.

Mungkin pembedahan telah selesai. Salman dan Aisyah bingkas berdiri dan masuk ke dalam ruangan ICU. Terlalu banyak katil yang ada, mereka tidak tahu yang mana satu ialah Ahmad. Mujur jururawat di situ menunjukkan keberadaan Ahmad di katil yang mana satu.

Terdapat seorang doktor dan beberapa orang jururawat sedang berdiri berdekatan Ahmad. Dia memandang wajah Salman dan Aisyah yang baru tiba di situ dengan senyuman.

Benarlah Ahmad yang terbaring di atas katil. Matanya terkatup rapat seperti keadaan dia sedang tidur. Namun kesan darah masih bersisa di badannya. Salman menguatkan diri ketika itu bagi terus melihat Ahmad yang sedang keletihan. Pada mulut Ahmad ada satu tiub. Wayar lain pula berselirat di atas badannya yang memberitahu tahap oksigen, degupan jantung dan tekanan darah pada skrin monitor yang berdekatan.

Suasana sepi itu diselangi bunyi detikan daripada skrin itu. Terlalu banyak peralatan yang asing di mata Salman di situ. Dia tidak tahu apa fungsinya, yang mana sudah tentu Aisyah arif akan hal-hal itu.

Keadaan Ahmad membuat Salman terkilan di waktu itu. Ahmad yang masih kecil kelihatan terseksa bernafas melalui tiub. Kalau boleh, dia ingin membersihkan tubuh Ahmad sewaktu itu juga. Sisa darah merah menyakiti matanya.

Mereka diminta keluar bagi memberi ruang untuk petugas membersihkan diri Ahmad terlebih dahulu. Waktu melawat yang seterusnya ialah pada jam enam petang hingga jam lapan malam. Di wad ini, penjaga tidak dibenarkan untuk kekal dengan anak sehingga lewat malam. Itu hanya berlaku jika di wad biasa.

Ahmad masih berehat setelah bertarung nyawa. Cukup untuk melihat alunan nafas Ahmad, Salman sudah mampu untuk menenangkan fikiran. Rehatlah, nanti ayah datang lagi.

Salman memandang Ahmad dari jauh sebelum keluar dari kawasan itu. Dia tersenyum nipis kepada Aisyah. Gadis itu masih setia di sisinya setelah apa yang terjadi.

"Saya minta maaf sebab selalu heret awak dalam hal-hal macam ni," ujar Salman. Mereka melangkah ke anak tangga di hujung blok bangunan. Turun satu aras tangga, di situ tersedia surau bagi menunaikan ibadah solat.

"Saya dah anggap Ahmad macam keluarga sendiri," balas Aisyah dengan senyumannya.

Salman mengetap bibir. Dia sentiasa dijerut perasaan bersalah terhadap Aisyah Qomar. Kejamkah dia sebagai seorang lelaki?

"Saya rasa kalau saya hadap benda ni sorang-sorang, saya takkan mampu." Lelaki itu menghela nafas berat. "Terima kasih, Aisyah. Awak dah banyak sangat tolong saya."

Aisyah hanya diam di sisinya. Muak barangkali mendengar ayat Salman. Salman tersenyum nipis. Makin hari, Aisyah semakin cuba menyepikan diri. Dia sedar itu.

"Saya tahu memang akan jadi fitnah kalau kita terus macam ni. Orang-orang dekat masjid tadi pun ada cakap pasal kita. Kawan-kawan doktor awak semua cakap pasal saya, kan?" Kata-kata Salman menghentikan langkah Aisyah.

Aisyah tak mahu menafikan itu. Memang dia dihimpit kata-kata manusia di sekelilingnya. Mereka beranggapan macam-macam kerana mengetahui dia dan Salman tak mempunyai apa-apa hubungan. Aisyah pula sebagai seorang gadis sunti masih mengikuti lelaki itu bagi menguruskan Ahmad.

Kadang-kadang dia tahu perbuatannya ini akan menyakitkan hati sendiri. Air mata Aisyah mula mengalir dengan sendiri. Dia tahu dia cuma seorang perempuan yang menaruh rasa.

Salman turut mematikan langkah. Dia melihat gadis itu mengelap tangisan.

"Saya tak nak orang pandang serong dengan kita. Jadi..." sambung Salman.

Aisyah menekur lantai. Hatinya bagai hendak pecah saat itu. Dia takut untuk mendengar jawapan tetapi dia juga terlalu penat menunggu lelaki ini, Salman Firash.

Jika hari ini dia akan ditolak lelaki itu, tidak mengapa. Dia akan tetap mendoakan Salman agar dijodohkan dengan perempuan yang lebih baik darinya.

"Jadi saya rasa baik kita halalkan hubungan ni secepat mungkin."

Seperti ada satu renjatan eletrik halus tatkala Salman menghabiskan ayatnya. Dia mengangkat wajah memandang lelaki itu.

"Saya rasa saya dah kenal awak. Tak perlu dah tempoh pertunangan sebab saya tahu siapa Aisyah Qomar. Cuma saya harap keluarga awak akan terima lelaki macam saya yang tak kerja hebat mana ni. Dan... Terima Ahmad sebagai sebahagian keluarga."

"Terima kasih sebab berikan saya jawapan," balas Aisyah. Semoga Allah akan permudahkan urusannya.

"Saya dah beritahu mak saya pasal awak dan saya dah bincang dengan keluarga saya. Mungkin esok lusa kita boleh teruskan dengan akad nikah. Saya nak jaga Ahmad sama-sama dengan awak. Dan saya nak jaga awak sebagai isteri saya."

Aisyah mengangguk kecil. Wajahnya tertunduk malu dengan lelaki itu. Debaran hatinya masih terasa." Nanti saya beritahu keluarga saya. "

" Terima kasih, Aisyah," ujar Salman. Dia mengedipkan mata mengizinkan gadis itu beredar. Laluan koridor yang dilalui mereka tadi dipandangnya. Mungkin ini adalah jawapan terbaik setelah hampir setiap malam dia beristikarah memohon jawapan. Hakikatnya dia hanyalah seorang hamba yang tidak tahu mana yang harus dipilih. Semoga dengan pilihan ini, ada kebaikan yang akan datang.

***

Inilah hari yang tak pernah dia terfikir akan terjadi sekelip mata. Majlisnya kecil sahaja dan melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Ini kali pertama dia berjumpa dengan mak ayah Salman, dan pada hari itu juga dia bakal menjadi menantu mereka.

Tubuhnya dipeluk bonda Salman. Dia tersenyum kecil lalu mengucup tangan wanita tua itu. Hatinya masih berdebar sejak pagi meskipun akadnya telah sah. Dan dengan ini dia telah menjadi seorang isteri yang halal buat Salman Firash.

"Selamat datang ke keluarga kami, Aisyah," ujar bonda Salman. Dia membelai wajah menantunya dengan lembut.

Aisyah mengangguk kecil. Matanya berkaca. dengan kuntuman senyuman manis.

Pakaian yang dikenakan Aisyah hanyalah mana-mana baju yang ada di dalam almari bajunya. Yang mana sepadan dengan apa yang dipakai Salaman pada hari ini, baju itulah sedang dipakainya. Sehelai baju kurung berwarna kelabu cerah berhiaskan lace sulaman di bahagian lengan dan bawah baju.

Salman di sana segak berpakaian sepasang baju Melayu kelabu cekak musang yang senada dengan Aisyah. Kebetulan mereka mempunyai baju yang sepadan. Aisyah mengerling lelaki itu yang sedang bersembang dengan ayahnya.

Jari manisnya dipandang sepi hinggalah Salman datang kepadanya. Degupan jantung Aisyah beralun laju. Dia duduk bersimpuh sangat dekat dengan silaan Salman. Direlakan jemari untuk disentuh lelaki itu buat pertama kali seumur hidupnya. Hujung jarinya sejuk kerana tidak biasa menyentuh mana-mana tangan lelaki sebelum ini.

Aisyah menarik tangannya semula.

Perbuatannya itu menyebabkan Puan Rokiah menggeleng dengan senyuman. Belakang Aisyah diusap bondanya bagi memujuk untuk hulurkan tangan kembali.

Dia akur. Rasa malu dan segan bercambah di dalam hati. Ibu Salman turut memandangnya saat itu.

Jantungnya berdetak laju. Sesaat kemudian tersarunglah jari manisnya dengan sebentuk cincin emas. Cincin bertakhtakan bunga itu terletak elok di jari manis Aisyah. Aisyah menggenggam tangannya kembali bagi menghilangkan rasa sejuk itu.

Dia mengangkat wajah memandang Salman. Wajahnya sedikit takut dengan semua itu namun dia memaksa diri untuk menggulungkan senyuman. Salman tersenyum kecil melihatnya.

Setelah rasa itu hilang, barulah Aisyah mengucup tangan suaminya. Ubun-ubunnya yang beralas selendang dipegang Salman. Kedengaran sayup bacaan doa bagi memberkati masjid yang bakal di mana bermula detik ini.

Aisyah tersenyum manis. Bebola hazel matanya berkaca kerana sedar dia bukan lagi di bawah jagaan ayahnya. Lelaki di hadapannya ini yang akan menjaga dirinya selepas ini.

Tisu yang tergenggam sejak tadi digunakan bagi mengesat air matanya. Dia tahu, dia akan menangis bila-bila masa pada hari itu.

Beberapa keping gambar dia dan Salman diambil tanpa sedar oleh jurugambar. Masing-masing tersenyum manis. Tika jarinya bersulaman dengan Salman, perlahan-lahan hangat mengalir. Jarinya tidak lagi sejuk menggigil. Aisyah memandang ke arah kamera itu.

Perbelanjaan majlis kecil ini tidak sampai RM500 pun. Cincin yang tersarung di jari manisnya berharga RM300 lebih. Duit selebihnya pula untuk barangan jamuan yang dimasak sendiri oleh bondanya. Rumah Aisyah menjadi tempat akad nikah itu berlangsung diwalikan ayah sendiri.

Cuitan kecil di pinggangnya membuatkan Aisyah menoleh ke belakang. Kehadiran Najla di situ menyebabkan dia sedikit geram. "Kenapa datang lambat?"

"Zack uruskan hal rumah tadi. Itu yang lambat sikit. Sorry lah," Najla tersengih melihat wajah cemberut Aisyah.

"Pengantin baru mana boleh masam-masam," ujar Najla. Cincin dijari Aisyah ditangkap. Dia mengusap tangan Aisyah bagi memujuk gadis itu.

"Hm." Sahabatnya itu disalam dan dipeluk lama. Dia mendaratkan dagu di bahu Najla sambil memejamkan mata. Sedar-sedar sahaja air mata kegembiraannya mengalir. Najla telah bernikah dengan Zack beberapa hari yang lalu. Kemudian, hari ini dia pula yang menjadi isteri orang.

"Janganlah menangis." Najla menyeka air mata Aisyah.

Aisyah menggeleng perlahan.

"Jadi isteri solehah yang taat dengan suami. Dan semoga lahirnya zuriat yang soleh dan solehah. Dah... Jangan menangis." Bahu Aisyah diusap Najla.

Aisyah tertawa halus. Dia cuma terlalu gembira dengan semua ini. Tiada apa yang mampu diucapkan melainkan syukur ke hadrat Ilahi.

"Mana Salman?" soal Zack yang muncul secara tiba-tiba. Dia hampir sesat melilau mencari kawannya di dalam rumah banglo itu.

"Dia solat. Ada dekat tingkat atas," jawab Aisyah setelah menghapuskan air matanya.

"Oh... So macam mana dengan Ahmad?" Zack berdiri di sebelah Najla. Isterinya itu juga kalau boleh ingin melihat kanak-kanak lelaki itu.

"Ahmad ada dekat wad PICU. Kalau takde apa-apa mungkin hari ni dia pindah wad biasa," terang Aisyah.

"Hm, harapnya dia cepat baik. Kesian dia lama-lama dekat hospital," ujar Zack. Hatinya turut bimbang mendengar khabar Ahmad menjalankan pembedahan tempoh hari. Anak itu sudah dianggap seperti anak buahnya.

Aisyah meminta izin untuk beredar lalu mendapatkan Mikhail di hujung ruang tamu. Dia mendakap Mikhail sepuas-puasnya. "Terima kasih sebab terima Firash dan Ahmad."

Bibir itu masih tersenyum gembira.

"Pergilah dekat Firash tu, dia tengah tunggu Aisyah," ujar Mikhail.

Aisyah terus berubah riak wajah. Rasa segan dan malu tak mampu dikawalnya apabila Mikhail meleraikan pelukan. Memang Salman sedang berada di meja makanan.

Lelaki itu sedang mengalukan tetamu untuk menjamu selera.

Aisyah memanjangkan langkah ke arah Salman hinggalah dia benar-benar berdiri di sebelah lelaki itu.

"Aisyah nak makan?" soal Salman.

"Takpe," jawab Aisyah.

Tangan Aisyah diraihnya lalu dia mempersilakan gadis itu duduk di kerusi meja makan. Aisyah mengikut sahaja langkah lelaki itu.

"Petang nanti lepas asar saya nak pergi hospital."

Perkahwinan ini memang perkahwinan yang tak pernah dijangkakan Aisyah.

"Awak nak ikut?" soal Salman.

"Nak."

"Kita dah jadi suami isteri," ujar Salman dengan senyuman. "Jadi, terima kasih sebab terima saya." Dirinya terlalu banyak kekurangan. Sudah berkahwin pun masih sibuk ingin uruskan anak angkat padahal hari inilah hari paling bermakna buat pasangan kekasih. Kekasih? Mereka bukanlah kekasih pun sebelum ini.

"Terima kasih juga terima saya, Firash," balas Aisyah. Mungkin orang lain akan persoalkan mengapa dia pilih Salman. Jika ingin mengukur ilmu agama dan akhlak Salman saat ini, itu lebih dari cukup untuk dijadikan suami. Cuma, ilmu dan akhlak tidak terzahir pada luaran. Hanya hati yang mampu menilai dapat membezakan kaca dan permata.

Salman tertawa halus. "Nak makan? Kongsi dengan saya kalau takut tak habis."

Lelaki itu berlalu ke tempat makanan tanpa diminta. Dia mengambil sepinggan nasi minyak berlaukkan ayam masak merah. Kemudian, Salman kembali duduk di sebelah Aisyah di saat yang lain sibuk menjamu selera.

Terima kasih pada Najla dan Zack yang banyak membantu menghulurkan tangan.

"Saya nak minta maaf kalau nanti saya sibuk uruskan Ahmad dekat hospital," ujar Salman.

"Saya tak kisah. Ahmad pun anak saya juga," balas Aisyah.

"Kalau macam tu, makanlah banyak-banyak. Kejap lagi lepas kita kemas ruang tamu, kita pergi hospital ya?"Salman tersenyum senang. Dia gembira Aisyah menerima kekurangannya.

Aisyah turut tersenyum.

Suapan nasi yang Salman suakan membuatkan dia berona merah.

Mereka bukan pasangan kekasih, tetapi mereka akan berkasih sayang setelah diijab kabulkan. Meraikan setiap detik dengan cinta sebagai seorang suami dan seorang isteri.

***

Sebelum membenarkan Ahmad untuk discharge dari wad PICU, pemeriksaan telah dijalankan bagi memastikan anak kecil itu tidak demam dan sihat untuk proses pemindahan. Beberapa doktor dibawa berjumpa Ahmad, kemudian barulah Ahmad diberikan pelepasan.

Ahmad dipindahkan ke hospital biasa setelah itu. Dia ditempatkan berdekatan kaunter jururawat agar jika ada apa-apa yang terjadi, tindakan awal boleh diberikan secepat mungkin. Ahmad baru pulang dari PICU. Dia terlantar dengan alat bantuan pernafasannya.

Wajah Ahmad dielus Salman. Lelaki itu tersenyum kecil. Rasa lega selepas Ahmad dipindahkan ke wad biasa tak dapat diungkapkan. Mulai hari ini dia dapat menjaga Ahmad siang dan malam di hospital.

Ahmad diam memandang Salman. Tahu-tahu sahaja air matanya mengalir berlinang. Tangisan Ahmad tidak berbunyi kerana rongga mulutnya disambung dengan tiub pernafasan.

"Shh... Ayah ada dengan adik," pujuk Salman. Dia mengusap lengan Ahmad bagi meredakan tangisan kanak-kanak itu. Namun, air mata Ahmad masih mengalir lalu Salman membawanya ke atas riba. Betapa kanak-kanak itu diserbu rasa takut tanpa sesiapa di sisi. Dia menangis kerana tak mahu ditinggalkan lagi.

Salman mengesat segala air mata Ahmad yang membasahi wajah. Dia mencuit hidung kecil itu. Kedua-dua belah pipi Ahmad juga diusiknya. Ahmad tersebek-sebek memandang Salman.

Tubuh itu didakapnya lama beserta alunan zikir. Semoga hati kecil itu menjadi tenang setelah melalui hari-hari yang getir. Salman menoleh ke tepi apabila terasa bahunya disentuh. Wajah Aisyah menyapa pandangannya. "Ambillah kerusi duduk dekat abang."

Bibirnya berlabuh pada dahi Ahmad. Dia tersenyum melihat tangisan Ahmad sudah reda. "Maafkan ayah sebab tinggal Ahmad. Tapi ayah datang balik sebab ayah sayang adik. Jadi jangan menangis dah tau," pesan Salman lembut memujuk.

Ahmad mengganguk kecil. Dia masih kelihatan sukar untuk bernafas.

"Ayah sayang adik," ulang Salman lagi. Salman menepuk tubuh itu bagi membiarkan Ahmad tidur kembali. Biarlah dia rehat dengan cukup. Paras oksigen Ahmad masih rendah, kerana itulah doktor memakaikan tiub ini.

Tubuh Ahmad lesu, dia telah terlelap di riba Salman dengan mudah. Baju tshirt yang dipakai Salman digenggam Ahmad walau semasa dia tidur.

Aisyah memerhatikan Ahmad yang sedang didakap suaminya. Dia turun mengucup dahi Ahmad. Anak syurga ini telah menjadi asbab untuk dia dan Salman bertemu setelah sekian lama. Pertemuan yang tak dijangka-jangka. Kepalanya direhatkan pada bahu Salman sambil mata masih menatap wajah Ahmad. Apa yang dirasai Salman ketika itu, itulah yang dirasainya. Wajah Salman dari sisi dilihat Aisyah.

Dikurniakan pasangan itu satu nikmat. Maka hendaklah dijaga nikmat ini dengan mengikut syarak. Dengan mengikut syarak, akan diketahui cara untuk menjaganya dengan betul supaya diberkati Allah.

Aisyah melurutkan jari Ahmad dari terus menarik baju Salman. Tubuh itu dicempung Salman lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas katil. Selimut ditariknya bagi membaluti tubuh Ahmad. Ahmad berkerut-kerut apabila sedar dia telah diletakkan ke atas katil. Terus Salman mendodoi anak itu sehingga dia terlelap kembali.

Kemudian, Salman kembali bersandar pada kerusi. Dia menghadap Aisyah setelah hari yang memenatkan ini. Dipandang gadis itu dengan segaris senyuman nipis. "Abang minta maaf kalau sebelum ni banyak sangat susahkan Aisyah. Kita tak sempat tadi nak cakap sangat," dia menggosok belakang lehernya tanda bersalah.

"Takpe. Lagipun tadi kita sibuk sangat," balas Aisyah. Tangan kanannya diraih Salman. Di situ tersarung cincin yang dibeli Salman menggunakan duit simpanan sendiri. Segala perbelanjaan majlis kecil itu adalah dari Salman semuanya.

Salman tersenyum melihat cincin itu. Jarinya mengusap cincin berkenaan dengan sebuah harapan.

Rasa penat hari ini masih tersisa. Kemaskan ruang tamu, membasuh pinggan mangkuk dan segalanya.

"Terima kasih, Aisyah," lafaz Salman. Dia tak mahu mensia-siakan seseorang yang telah bersusah payah kerananya. Tidak sesekali. Mungkin Aisyah telah muak mendengar perkataan ini tetapi dia tetap akan melafazkannya.

"Sama-sama, abang." Aisyah menekur cincin itu.

Satu kucupan berlabuh pada dahi Aisyah.

***

Next chapter:
"Adik kena panggil doktor Aisyah ibu lepas ni tau."

***

vote x comment
kita dah hampir sampai penamat cerita lagi dua bab mungkin.
i m crying T^T

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro