27| Mendung Beralih Cerah [TAMAT]

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hari ni gelakan ketawa Ahmad sudah kedengaran di gegendang telinga kerana tiub pernafasan telah dicabut doktor. Paras oksigennya sudah mencecah tahap normal dan tak perlukan bantuan lagi. Kanak-kanak itu tersenyum riang melihat barang mainan yang dibawa Salman. Mungkin ini bukan barang mainan yang seperti selalu tetapi lebih kepada untuk proses pembelajaran.

Buku abjad itu dilihat Ahmad penuh minat. Setiap satu muka surat terdapat kartun haiwan yang timbul.

Rambut Ahmad diusap Salman lembut. Rasa sejuk menyucuk kulit di hujung sudut bilik. Katil Ahmad dipindahkan sedikit jauh dari kaunter jururawat kerana perkembangan kesihatannya.

"Ayah," panggil Ahmad.

"Ya," jawab Salman. "Ayah buat susu untuk adik. Jom kita minum." Sebotol susu suam disuakan kepada Ahmad.

Kanak-kanak itu memandang Salman. Dia pelik apabila ayahnya datang berseorangan. Apabila ditanya, katanya doktor Aisyah kerja hari ini. "Ayah tak kerja ke?" Meskipun dia tidak tahu pekerjaan ayahnya, tetapi selalunya Salman akan memberikan alasan 'kerja' setiap kali tidak melawatnya di rumah kebajikan.

Salman menggeleng. "Kerja ayah sekarang ni untuk jaga anak manja ayah ni sampai sihat." Lengan Ahmad dicuitnya hingga ke ceruk leher. Kanak-kanak itu tergelak diusik begitu. Dia memegang telapak tangan Salman agar tidak terus menggeletek.

Botol susu tadi mula diminum Ahmad. Dia mengiring memandang Salman kerana tak mahu Salman hilang dari pandangannya. Seketika raut wajah Ahmad berkerut apabila Salman memasukkan sesuatu ke tepi bibirnya melalui picagari. Rasa pahit ubat bercampur dengan susunya. Terus dia menggeleng tak mahu minum.

"Adik minum la susu ni sampai habis," pujuk Salman. Tadi dia telah terlebih picit, itu yang rasa pahit dapat dikesan Ahmad. Sepatutnya dia perlu biarkan ubat itu ditelan sedikit demi sedikit supaya Ahmad tidak sedar. Untuk jaga anak istimewa ini memang banyak cabaran.

Penat berbuat pelbagai pujukan, Ahmad tetap tak mahu membuka mulut apabila disuakan puting susu kepada bibirnya. "Tak cedap.. Tak nak."

"Adik nak keluar hospital tak? Kalau nak kena dengar cakap ayah," ujar Salman.

Ahmad menggeleng kecil dan menjuihkan bibirnya. Rasa pahit tadi masih ada di anak tekak. Habis susunya yang berperisa madu hilang keenakan.

"Nanti ayah bawa adik pergi zoo nak? Kita boleh tengok gajah... Adik tahu tak gajah tu besar? Nanti ada singa putih... Ada ikan jerung.."

"Tapi... Adik cakit. Mana boleh keluar," monyok Ahmad. Dia tahu semua yang disebut Salman pasti akan ditunaikan tetapi sudah lama dia terperap di hospital dan tak jenguk dunia luar. Botol susu di tangan Salman dipandang sepi.

"Sebab tu la adik kena dengar cakap ayah. Nanti dah sihat kita boleh pergi sana. Bila dah sihat adik boleh buat macam-macam." Senyum Salman.

"Adik nak bela tucen (kucing.)" Ahmad memandang Salman dengan mata hitamnya yang bersinar-sinar. Dia mahu haiwan yang berkaki empat itu.

"Kucing?" Salman berkerut.

"Adik nak panggil dia Bingo," ujar Ahmad perlahan. Dia takut Salman akan memarahinya.

"Yelah. Nanti kita cari Bingo," akur Salman. Dia pasrah hendak melayan semua permintaan Ahmad. Asalkan anak itu ingin minum susu kembali, bolehlah dia picitkan ubat ke dalam mulutnya.

Ahmad tersenyum meleret ke telinga. Dia memegang botol susu itu sambil membelek corak padanya bagi menghilangkan bosan. Susu itu diminum hingga terlihat dasar kemudian dia serahkan botol pada Salman kembali.

Perutnya telah kembung dengan susu.

"Ayah nyanyi la bangau. Adik nak dengar," pinta Ahmad.

"Bangau pulak budak ni..."

Ahmad tertawa kecil.

"Nyanyilah," ujar Ahmad.

Salman yang duduk di kerusi itu merehatkan kepala ke bantal yang sama di sebelah Ahmad. Dia memeluk Ahmad dengan sebelah tangannya. "Ayah nak nyanyi la ni."

Pipi Ahmad dikucupnya sekali dengan pucuk hidungnya.

"Tapi kena janji sesuatu," ujar Salman.

"Apa?" Ahmad memeluk lengan Salman itu.

"Lepas ni adik kena panggil doktor Aisyah... Ibu. Boleh?"

"Ibu?"

"Ya. Panggil ibu. Sebab dia akan jadi ibu adik. Jadi jangan panggil doktor-doktor."

"Ibu?"

"Ya, sayang... Adik lah nyanyi. Ayah nak dengar. Asyik ayah je yang kena nyanyi," kata Salman.

"Hm... Keyabau.."

"Bangau dulu."

"Bangau oh bangau... Kenapa engkau kuyus... Macam mana aku tak kuyus... Makan naci mentah."

Salman sudah menahan ketawa di sisinya. "Lagi?"

"Naci oh Naci.. Kenapa engkau kuyus..."

"Nasi mentah," bisik Salman.

"Naci kenapa mentah? Mentah tu apa ayah?" soal Ahmad polos.

***

"Spironolactone, furosemide, captopril..." Aisyah melihat ubat-ubatan di tangannya. "Abang, ubat jenis ni kena simpan dalam peti sejuk. Saya simpan, ya?"

Gadis itu berlalu ke meja biliknya lalu menyimpan kesemua ubat ke dalam peti sejuk mini yang kosong itu. Segala barang hospital di simpan pada satu tempat agar tidak berselerak.

Salman mendaratkan tubuh Ahmad ke tengah-tengah katil. Dia tersenyum gembira melihat Ahmad yang hampir sihat sepenuhnya. Usai membayar dan proses dokumentasi, Ahmad diizinkan untuk pulang ke rumah hari ini.

Matanya mengekori Aisyah yang sedang sibuk membuka selendang di hadapan cermin. Jarum peniti satu per satu ditarik keluar. Selendang itu diletakkan ke dalam bakul baju kotor. Sedar dirinya diperhatikan sejak tadi, pipi Aisyah menjadi kemerahan.

Salman tersenyum melihat gadis itu malu dipandang begitu.

"Kenapa?" soal Aisyah. Dia merapati Salman yang sedang duduk di birai katil.

"Takde apa. Cuma... Terima kasih sebab terima abang." Salman masih dengan senyumannya. Terima kasih kerana terima Ahmad meskipun anak itu tiada pertalian darah, maka itu akan menjadi isu aurat yang berpanjangan. Nanti Aisyah tidak boleh membuka tudungnya di hadapan Ahmad apabila kanak-kanak itu menginjak remaja. Bakal anak perempuan mereka juga adalah bukan mahram kepada Ahmad. Jika Ahmad diambil ketika bayi, mungkin dia boleh dijadikan anak susuan. Tetapi tidak mengapalah, asalkan kanak-kanak itu membesar dengan sihat, Aisyah mampu untuk terima semuanya.

"Abang janganlah cakap macam tu," balas Aisyah. Dia tidak suka Salman berasa rendah diri begitu sedangkan mereka sama-sama berjuang untuk menjaga Ahmad selama ini. Ahmad juga adalah anaknya.

Bilik yang sedang diinap buat sementara waktu ini ialah bilik Aisyah Qomar di rumah orang tuanya. Salman berasa segan di situ dan masih cuba sesuaikan diri. Kepalanya direhatkan pada bahu Aisyah.

Kedua-dua mereka diam tidak bersuara. Hati itu tahu betapa sukar yang mereka telah alami hingga ke hari ini untuk masih kuat berdiri. Terutama sekali buat Salman. Terdapat satu tatu di belakang badannya yang disedari Aisyah setiap kali Salman menanggalkan baju. Namun dia tidak persoalkan itu kerana tahu lelaki di sebelahnya ini sudah keluar dari dunia jahilnya. Tatu itu akan jadi satu aib yang akan disimpan baik oleh Aisyah agar nanti bakal anak-anak mereka tidak persoalkan.

"Aisyah sayang abang kerana Allah. Semoga kita akan bersama sampai bila-bila," bisik Aisyah.

Apabila gadis itu menoleh ke arah Salman. Ternyata Salman sudah terlelap di bahunya. Mungkin kerana terlalu penat dengan urusan hospital hari ini. Dia terpaksa bawa Ahmad ke banyak unit untuk mendapat surat pelepasan bagi pulang ke rumah. Kemudian, kena uruskan urusan mahkamah pula. Wajah Salman kelihatan benar-benar lesu. Badannya sakit asyik tidur di kerusi ketika menjaga Ahmad.

"Abang," panggil Aisyah. Dia menepuk bahu lelaki itu perlahan.

"Hm?" gumam Salman. Matanya masih terpejam kepenatan.

"Pergilah tidur sebelah Ahmad. Nanti saya gerak bila azan asar." Bahu Salman diusapnya. Dia meraup rambut lelaki itu ke belakang. Kasihan suaminya kepenatan. "Abang... Tidur dekat katil. Sakit badan nanti."

"Okay," akur Salman.

Lelaki itu merangkak dan merebahkan diri di sebelah Ahmad. Kanak-kanak itu didakapnya sebelum dia melelapkan mata kembali. Dua raut wajah itu sentiasa membuatkan hati Aisyah menjadi tenang.

"Ibu..." panggil Ahmad. Dia tersedar dari lenanya disebabkan Salman. Sedar-sedar sahaja kawasan sekitar sudah berubah. Wajah kanak-kanak itu kelihatan takut.

"Ya, sayang." Aisyah mendapatkan Ahmad yang terbaring di sebelah Salman itu.

"Nak peluk," pinta Ahmad.

Aisyah turuti sahaja permintaan anak angkatnya. Dia mengalihkan lengan Salman lalu mengangkat tubuh Ahmad. Ubun-ubun kanak-kanak itu diciumnya.

Ahmad diam meringkuk di atas riba Aisyah. "Nak tidur sebelah ayah?" soal Aisyah lembut.

Kanak-kanak itu menggeleng. Dia mendongak melihat wajah Aisyah yang amat dekat dengannya lalu senyuman kecil terukir. Wanita yang dianggap doktor itu perlahan-lahan diterima Ahmad.

"Ibu, ibu cantik.." ujar Ahmad. Dia cuba memegang wajah Aisyah lalu dilihat ke dalam mata ibunya. Mata itu berwarna hazel tidak seperti Salman. Rasa mengantuknya telah pun hilang.

"Terima kasih, adik." Aisyah melagakan hidungnya dengan pucuk hidung Ahmad. Pipi Ahmad dikucup sekilas.

"Ayah tidur ke?" soal Ahmad. Wajah Salman yang ketiduran dikerlingnya sepintas lalu.

"Ya, ayah penat. Ibu buat susu nak?"

Ahmad menggeleng. "Adik nak duduk dekat ayah."

Aisyah membiarkan sahaja anaknya itu merangkak ke arah tubuh Salman. Dia berbaring elok di sebelah Salman untuk mendapatkan ruang kasih sayang.

***

Kelopak matanya semakin layu padahal malam baru saja menjengah. Dia terlelap sesaat kemudian dalam keadaan meniarap. Dengkuran halusnya menyapa Aisyah. Aisyah yang baru sudah mengurut belakangnya mengintai wajah suaminya.

"Abang." Bahu Salman ditepuk Aisyah perlahan.

"Hm..." Salman masih memejamkan mata. Tapak tangan Aisyah yang melekap di bahunya dipegang. "Urut bahu," pinta Salman. Dia mahu tidur seketika setelah makan malam bersama-sama keluarga Aisyah di bawah tadi. Mujurlah Ahmad telah tidur terlebih dahulu di katil kecil berdekatan katil mereka, dapatlah Salman berehat.

"Sakit lagi?"

"Rasa lenguh." Inilah akibat dia asyik tidur atas kerusi ketika di hospital. Salman mencelikkan matanya beberapa kali lalu dia mengesot dan berbaring di atas riba Aisyah. Nafas panasnya dihela.

"Abang tidurlah kalau penat," ujar Aisyah lembut. Tangannya mengurut pelipis Salman pula untuk melegakan keletihan lelaki itu. Suaminya telah banyak korbankan masa untuk menjaga Ahmad sementara dia bekerja di klinik. Dalam masa yang sama, Salman juga masih membuat perkhidmatan membaiki gadget bagi menambah wang sakunya.

Segala yang dilakukan Aisyah benar-benar membuatkan Salman semakin mengantuk. Pelipisnya ditekan tidak terlalu kuat tetapi masih mampu untuk melegakan kepalanya.

"Abang nak demam ni," risau Aisyah tiba-tiba. Dia merasai ruas dahi Salman yang suam itu.

Salman hanya menggeleng. Dia cuba lena dengan memejamkan mata. Terasa kepalanya dialihkan kepada bantal lalu dia membuka mata.

Aisyah kembali kepadanya dengan membawa segelas air dan sepapan ubat. Wajah Salman ditiliknya bagi memastikan suhu itu tidak terlalu tinggi. Pada saat itu barulah Salman dapat melihat wajah bimbang Aisyah. Dia tersenyum kecil meskipun kepenatan.

"Terima kasih," bisik Salman.

Salman terduduk tegak bagi menelan ubat panadol berbilaskan air suam kerana disuruh Aisyah. Tanpa berfikir panjang, Salman turuti sahaja lalu berbaring kembali ke atas bantal.

"Abang rehat la. Badan abang penat ni. Abang nak apa-apa lagi? Nak saya ambil cool fever? " kata Aisyah.

"Abang nak Aisyah." Ayatnya perlahan namun masih didengari Aisyah. Aisyah berkerut memandang suaminya sebelum dia tersenyum kecil. Dia berbaring di atas bantal yang sama dengan Salman, membiarkan mata mereka bertaut buat seketika. Mata hazel yang disangkakan Salman itu contact lense.

Salman mengusap pipinya lembut. Dia melihat ke segenap wajah isterinya. Terdetik rasa rindu bertapak di hati. Baru beberapa minggu mereka bergelar suami isteri, dan kebanyakan malam dia hanya tidur di hospital bersama-sama Ahmad. Kasihan Aisyah penat bekerja dan pulang ke bilik seorang diri tak ubah seperti orang yang tak punyai suami. "Abang minta maaf kalau Aisyah terasa abang tak tidur dekat rumah sebelum ni."

Aisyah menggeleng. Tapak tangan Salman dipegangnya. "Aisyah faham abang kena jaga Ahmad. Tapi sekarang ni Ahmad dah keluar hospital, semua tu tak jadi masalah pun."

"Terima kasih, bidadari saya." Anak rambut Aisyah dibawa ke belakang telinga agar dia dapat melihat wajah itu dengan jelas. Dari mata hazelnya, pucuk hidung itu dan bibir yang sentiasa mengukirkan senyuman buat dia. Untungnya dia untuk mempunyai isteri yang sentiasa menjadi tulang belakang seperti ini.

"Abang kan suami Aisyah, syurga Aisyah," balas Aisyah berserta senyuman. Dia merelakan diri untuk Salman mengusap wajahnya. Hangat kasih sayang yang sudah lama dia hauskan mengalir perlahan-lahan melalui itu. Baru hari ini dia dapat meluangkan masa bersama Salman, suaminya.

" Abang rasa abanglah orang paling beruntung sebab dapat isteri macam Aisyah. Cantik... Baik... " Terasa ceruk lehernya mula merenik peluh, mungkin ini kesan memakan ubat tadi.

Aisyah tersenyum kecil mendengar pujian itu. "Aisyah pun beruntung sebab ada abang."

Salman tertawa halus. Lelaki itu menarik isterinya lebih dekat, kepala Aisyah dialaskan ke atas lengannya. Ubun-ubun wanita itu dikucup sekilas.

Tawaan Aisyah kedengaran apabila Salman bergurau senda dengannya. Pelukan hangat lelaki itu membuatkan dia selesa untuk bersama. Makin lama, suara Salman semakin gemersik di pendengaran.

Salman telah memastikan Ahmad dalam keadaan nyenyak ketiduran. Kedua-dua suami isteri itu sudah menunaikan solat isyak berjemaah tadi. Dia beralih kepada isterinya yang indah di pandangan mata. Memang menjadi suami isteri itu menghalalkan yang haram.

"Bismillahi Allahumma jannibnasy syaitana wa jannibisy syaitana ma razaktana," lafaz Salman. Aisyah mengaminkan doa tersebut.

***

Mata Ahmad bersinar-sinar melihat bangunan yang tersergam indah itu. Apabila dia dibawa masuk, kelihatan terlalu banyak barang di setiap kompartmen. Dia menoleh ke kiri dan kanan, ini syurga mainan buat kanak-kanak sepertinya.

Ramainya orang. Masing-masing membawa bakul dan troli.

"Man, rumah kau dah siap kemas? Ada apa-apa yang aku boleh tolong?" soal Zack.

"Takpe. Aku dah kemas dengan Aisyah semalam. Kikis cat tu lah benda paling penat aku rasa," ujar Salman. "Tapi alhamdulillah siap. Petang ni aku sambung cat pula."

"Sorry tau. Aku bukan tak nak tolong semalam..." Zack mula sedih. Padahal ketika dia membersihkan rumah, Salman banyak menolong itu dan ini sehingga dalam satu hari saja rumahnya telah siap dibersihkan.

"Takpe. Aku tak kisah pun. Najla macam mana?" Mata Zack mengerling Najla yang sedang memaut lengan Aisyah di belakang mereka. Pandangannya jatuh pada perut Najla yang terselindung disebalik baju

"Dia... Dia pregnant. Dah dua bulan." Zack tersenyum gembira. Hatinya masih berdebar hingga ke hari ini. Ketika membawa Najla membuat pemeriksaan di klinik kerana tidak lalu makan, dia tak menjangkakan Najla sedang membawa kandungan. Perasaan gembiranya tak mampu disorokkan lagi. Keluarga mertuanya terlalu baik padanya, nak-nak lagi apabila mengetahui anak di dalam rahim Najla.

"Apa ni? Dah lah kau kahwin awal. Kau dapat anak awal?" Salman menghela nafas sambil menggeleng.

Tawa Zack meledak. Dia memaut bahu Salman. "So aku kahwin awal. Aku menang, kau kalah. Boleh eh aku nak minta apa-apa dari IKEA ni? Nak TV satu... Sofa satu... "

"Wah-wah. Kau ingat aku kerja CEO? Aku ni baru je dapat kerja dekat syarikat tu... " geleng Salman lagi. Dia turut terpukau melihat semua pilihan perabot yang ada. Ahmad masih memegang sebatang pensel kayu dan sehelai kertas untuk memudahkan pembelian mereka pada hari ini. Biarlah kanak-kanak itu yang mahu pegang, nanti tak bagi merajuk pula.

"Tahniah tau, Zack. Jaga Najla elok-elok, aku nak pergi tengok bahagian karpet jap dengan Aisyah. Kau ambillah apa-apa, nanti aku bayarkan. Tapi satu barang je tau," pesan Salman. Dia menepuk bahu Zack sebelum mendapatkan Aisyah.

Najla terpaksa meninggalkan Aisyah apabila Zack mahu pergi ke area lain. Aisyah tersenyum gembira sambil memandang Salman di sepanjang perjalanan. " Abang tahu, Najla mengandung. Dah dua bulan. "

" Tahu. Alhamdulillah, rezeki." Dia memegang tangan Aisyah erat. "Nanti adalah rezeki kita," sambung Salman.

Aisyah mengangguk kecil. Pipi Ahmad yang telah berisi itu ditariknya. "Nanti Ahmad jadi abang, tak boleh panggil adik dah."

"Mana oleh, ibu. Adik kena panggil adik la," Ahmad berkerut. Dia mencebik kerana rasa tergugat dengan kedudukannya. "Adik tu adik la... Mana oleh panggil abang," gumam Ahmad.

Salman tertawa melihat riak anaknya. "Ya, adik kena panggil adik. Jom kita pergi tengok karpet dulu." Sebelah tangannya mendukung utuh Ahmad, sebelah lagi pula bersulaman dengan Aisyah. Luka Ahmad telah sembuh sepenuhnya dan tidak perlu lagi untuk ke klinik paedatrik. Keluarga kecik mereka sedang perlahan-lahan ingin mencorakkan hidup.

Di kawasan permaidani, banyak gulungan kapet tersusun di setiap kabinet. Buku katalog diselak pasangan itu untuk melihat karpet yang sesuai bagi rumah baharu mereka. Kawasan ruang tamu telah dibincang untuk dijadikan ruangan solat dan pelbagai majlis ilmu jika menjemput kawan-kawan asatizah mereka. Rumah yang dibeli bukanlah sebesar rumah orang tua Aisyah, biasa-biasa sahaja keluasannya. Maka, untuk adakan bilik solat, mereka tidak mempunyai ruang khas.

"Abang, karpet ni cantik, kan?" Aisyah menunjuk pada satu rajah. Dia memandang Salman dengan senyuman yang meleret ke telinga. Terbayang-bayang ruang tamu rumah mereka dibengang karpet itu. Derapan kaki kecil berlari-lari menyentakkan Aisyah. Dia mata berharap rezekinya akan tiba.

"Cantik." Keluasan karpet itu mampu menutupi hampir kesemua lantai ruang tamu andai dibeli dua.

Selepas itu, mereka beralih pula ke kawasan perabot ruang tamu. Beberapa bentuk kerusi dan meja disenaraikan sebelum membuat keputusan akhir. Beranda rumah mereka yang berbumbung elok dijadikan sebagai ruang tamu kedua untuk menyambut tetamu. Ruangan solat tadi memang tidak diletakkan apa-apa kerusi, hanya ada almari-almari tinggi bagi penyimpanan buku ilmiah dan kitab-kitab.

"Abang, nanti kalau ada rezeki... Abang nak berapa orang anak?" soal Aisyah secara tiba-tiba. Dia terdetik untuk mempunyai anak juga. Nak-nak lagi setelah melihat kegembiraan Najla dan Zack.

Salman menjongketkan sebelah keningnya kerana tidak fokus. Dia sedang bersabar dengan Ahmad yang sibuk mengalihkan muka surat buku katalog. Sibuk sangat budak kecil ni nak tolong pilih kerusi. "Sayang kata apa?"

"Abang nak berapa orang anak..." ujar Aisyah perlahan. Perbuatan Salman mematikan rasa terujanya.

"Abang nak tujuh macam nabi kita. Tiga orang lelaki, empat perempuan. Ahmad yang mengada ni pula ibarat anak angkat nabi. Jadi... semua sekali kalau termasuk Ahmad, kena ada lapan lah," ujar Salman.

Aisyah tertawa halus lalu dia menyimpulkan senyuman. Jika begitu, mereka perlu awal-awal aturkan penggunaan rumah mereka. Biarlah tidak besar seperti banglo, tetapi dalam rumah itu penuh keberkatan.

Terasa tapak tangan Salman melekap di abdomen perutnya. Lelaki itu sedang memandangnya dengan senyuman manis. "Nanti dalam rahim ni akan ada anak-anak kita. Anak-anak yang akan kita didik sama-sama."

Perbuatan itu membuatkan Aisyah terkelu.

"Jadi... Sayang jangan risau. Nanti rezeki kita adalah. Lagipun kita baru kahwin lima bulan. Allah tak beri lagi rezeki zuriat, tapi tengok kita sekarang. Allah beri rezeki rumah... Abang pun dapat kerja tetap," ujar Salman lembut. Tangannya naik mengusap rahang Aisyah.

Aisyah memegang tangan Salman dan dilekapkan pada pipinya. Dia tersenyum gembira. Air matanya perlahan-lahan mengalir menuruni lekukan wajah. "Ya..."

Tubuh Aisyah dibawa ke dalam dakapan. Ahmad kelihatan gembira apabila mereka memeluknya. Dicium kedua-dua pipi ibu dan ayahya itu.


Semoga terbentuk jalan ketaatan yang lebih panjang dalam menjalani bahtera keluarga. Kebahagian itu akan berpanjangan jika kita bersyukur seadanya.

TAMAT

***

Mendung berlabuh tirai. Terima kasih semua. Nanti kan epilog pula tau. I m happy for them.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro