Bab 10

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Setelah Tengku Zahiruddin jatuh tersungkur ke lantai berlumuran darah, Puteri mara secepat kilat dan menghentikan langkah Tengku Amir. Syafii dan dua beradik itu terkaku di tempat mereka berdiri. Lutut mereka menggeletar kerana ketakutan. "Apa khabar pakcik?" Mel bersuara melalui Fly. Puteri terus merenung lelaki itu, menanti arahan seterusnya.

Meskipun berwajah sugul, Tengku Amir cuba tersenyum. Tengku Amir melihat anak saudaranya itu melalui ekor mata sebelum menumpukan pandangan kembali ke arah Puteri. Tengku Zahiruddin sedang bertarung dengan masa. Mata Tengku Zahiruddin terbeliak dan tubuhnya menggeletar. "Apa khabar Puteri?"

Tengku Amir melangkah menghampiri Puteri. Isyarat tangan diberikan kepada Luqman Hakim dan yang lain supaya segera membantu Tengku Zahiruddin. Luqman Hakim segera mengambil beberapa helai kain tuala kecil daripada laci kabinet dan cuba memberanikan diri mendapatkan Tengku Zahiruddin. Tuala-tuala kecil itu ditekap ke luka bagi mengelakkan darah daripada terus mengalir keluar.

Luqman Hakim mengerling ke arah Syafii dan Sarah. Keadaan Sarah jauh lebih baik daripada Syafii yang yang terus terkaku di pintu dapur, menangis tanpa suara.

Tangan digamit ke arah Sarah, "Mari bantu abang. Kita perlu segera atau Tengku Zahiruddin akan mengalami kejutan akibat kehilangan terlalu banyak darah dalam tempoh yang singkat." Suara Luqman Hakim kedengaran tenang, namun air mukanya tidak dapat menyembunyikan perasaan takut yang menguasai. Entah berapa kali tuala kecil yang dipegang, terlepas ke lantai, namun Luqman Hakim tetap berusaha membantu Tengku Zahiruddin.

Puteri kelihatan lebih berminat dengan Tengku Amir berbanding dengan Tengku Zahiruddin dan yang lain-lain. Apabila dua beradik itu menarik Tengku Zahiruddin lebih jauh, Puteri tidak memberi sebarang reaksi.

Setelah memastikan Tengku Zahiruddin selamat diuruskan oleh Luqman Hakim dan Sarah, Tengku Amir menyambung kata, "Adakah kamu merindui saya?"

"Aku tidak pernah merindui kau! Dua puluh tahun aku menanti saat ini! Hari ini nyawa kau akan tamat di sini!" Fly bersuara lebih tinggi dengan Mel berada di sebaliknya. Suara yang sarat dengan perasaan dendam kesumat.

Senyuman mengejek terukir di bibir Tengku Amir. Menambah sakit hati Mel yang memerhati dari jauh. "Maaf, saya tidak berkata kepada manusia yang berselindung di sebalik Puteri. Saya bertanya kepada Puteri sendiri." Tengku Amir memandang ke arah Puteri, seakan seorang Majnun memandang Lailanya. Pandangan yang dipenuhi dengan perasaan rindu. "Setelah dua puluh tahun berlalu, Puteri, adakah kamu masih mengingati Merah?"

"Aku benci kauuu!!!" Jerit Fly dan serentak dengan itu Puteri menghayunkan tangan menyerang Tengku Amir. Lelaki itu mengelak ke tepi dan melepaskan tendangan ke arah Puteri. Puteri cuba membalas kembali namun setiap serangannya berjaya dielakkan oleh Tengku Amir.

Walaupun sibuk menguruskan Tengku Zahiruddin, Luqman Hakim sempat memerhatikan pertarungan di antara Tengku Amir dan Puteri. Bisik Luqman Hakim kepada Sarah, "Sekiranya ia adalah android Puteri seperti yang tercatat dalam buku sejarah, Pakcik Amir tidak akan mempunyai peluang untuk menang!"

"Apa cadangan abang?"

"Ia adalah sebuah android, sebuah mesin. Kalau abang tidak salah menjangka, android ini yang telah mengambil alih Fly. Jika kita dapat mencapai semula sistem Fly dan melepaskan 'itu', android ini akan menerima kesan yang sama seperti Fly. Ia sepatutnya terhenti serta-merta. Sarah ada I-Ran di tangan?" Sarah mengangguk lantas mengeluarkan I-Ran dari poket baju dan ditunjukkan kepada Luqman Hakim. "Bagus! Boleh Sarah gunakan mana-mana komputer untuk mencapai sistem Fly?"

Sarah memegang kepala untuk menumpukan perhatian. Seakan tidak mahu perasaan takut menguasai diri. "Saya boleh cuba menggunakan Siti Khadijah. Harapnya Siti Khadijah tidak terpengaruh dengan android itu. Tetapi, adakah kita benar-benar perlu melancarkan 'ia'?"

"Kita tidak ada pilihan lain. Pakcik Amir tidak akan dapat bertahan lama. Sekiranya kita mahu selamat, kita perlu gunakan apa sahaja cara yang ada. Abang akan membantu Pakcik Amir melengah-lengahkan masa. Mungkin tidak dapat membantu, tetapi abang harus mencuba juga. Sementara itu, Sarah cuba capai sistem Siti Khadijah dan lepaskan 'itu'. Pastikan tindakan kamu tidak kelihatan begitu ketara sehingga menyebabkan orang yang mengawal Fly dari jauh, dapat menyedari apa yang kamu sedang lakukan."

"Kak Fifi, bolehkah kakak membantu menekan tuala di tempat luka ini?" Syafii mengangguk perlahan. Oleh sebab lututnya menggeletar dengan kuat, Syafii terpaksa merangkak untuk mendapatkan mereka.

Tengku Amir telah pun memindahkan pertarungan ke ruang tamu. Ketika Luqman Hakim muncul dengan besi pemanggang kebab sebagai senjata, langkah Tengku Amir telah pun semakin perlahan. Biarpun Tengku Amir handal berlawan, pertarungan dengan sesuatu yang tidak kenal erti penat, benar-benar menghabiskan tenaganya.

Setelah yakin Syafii boleh menguruskan Tengku Zahiruddin, Sarah mengambil tempat di sudut dapur, duduk rapat menghadap kabinet. I-Ran dibuka dengan penuh harapan. Duduk di dapur tidak memberikan peluang kepada Sarah untuk melihat apakah yang telah berlaku di ruang tamu. Dia tidak tahu bahawa Luqman Hakim dan Tengku Amir mulai tercungap-cungap dan Puteri menguasai keadaan.

"Arghhh!!" Jeritan Luqman Hakim membuatkan Sarah dan Syafii tersentak. Serentak mereka menoleh ke arah pintu dapur menghala ke ruang tamu.

"Apa yang telah berlaku di luar sana?" Tangis Syafii.

Sarah tidak menjawab. Tangannya terketar-ketar menaip sesuatu di I-Ran. "Fokus Sarah, fokus! Cepatlah Siti Khadijah!" Gesa Sarah. Air mata turut bercucuran membasahi pipi. Sekiranya tersilap menaip arahan di I-Ran, Sarah akan menggoncang-goncangkan I-Ran dan berbisik, "Tolonglah, saya perlu cepat."

Tengku Amir mencapai apa sahaja yang boleh dan dilemparkan kepada Puteri. Kebanyakkan serangannya tidak mendatangkan kesan fizikal kepada Puteri dan hanya mampu membuatkan android itu melangkah beberapa tapak ke belakang. Besi pemanggang yang digunakan oleh Luqman Hakim bertukar ke tangan Tengku Amir. Besi yang asalnya lurus dan digunakan untuk memanggang kebab ala Timur Tengah itu telah pun menjadi bengkang-bengkok.

Puteri melepaskan tendangan mengenai perut Tengku Amir. "Arghh!!" Tengku Amir tersungkur ke lantai sambil menekan perutnya. Puteri bersedia untuk menikam Tengku Amir apabila Luqman Hakim yang telah tercedera mengambil kerusi dan menghayunnya ke kepala Puteri. Android itu hanya tersentak seketika sebelum berpusing ke arah Luqman Hakim lalu menikamnya.

"Luqmann!!!" Syafii meluru ke arah Puteri lalu membaling android itu dengan beberapa botol sos dan kicap.

Puteri yang diliputi kicap dan sos mula menghampiri Syafii apabila, "BLAMM!! BLAMM!! BLAMM!!" beberapa das tembakan dilepaskan oleh seseorang mengenai Puteri. Android itu tersentak beberapa ketika sebelum penembaknya mulai menyerang Puteri bertubi-tubi dengan menggunakan belakang senapang.

"Nailofar?" Soal Tengku Amir yang cuba menggagahkan diri untuk bangun.

Nailofar mengalihkan gugel daripada menutupi mata. Ujarnya keras, "Bukankah saya telah memberi amaran untuk kamu pergi daripada bandar ini?"

"Hati-hati!!" Syafii memberi amaran apabila melihat Puteri mulai bangun daripada lantai dan meluru sekelip mata ke arah Nailofar. Android itu menghayunkan tangan yang telah bertukar menjadi senjata seperti pedang. Nailofar cuba melindungi dirinya dengan menghalang menggunakan tangan kanan. "Jangannn!!" Syafii menjerit dan kedengaran bunyi seperti logam berlaga dengan kuat. Mereka dapat melihat lengan baju Nailofar terkoyak dan mendedahkan rupa sebenar lengan kanannya.

"Tangan mekanikal?" Soal Tengku Amir. Nailofar menggigit bibir menahan nyilu sebelum bangkit kembali dan menumbuk android itu menggunakan tangan kanannya berulang-kali. Tengku Amir yang telah pun berdiri kembali hanya menggeleng. "Tangan mekanikal itu tidak cukup untuk mengalahkan Puteri."

"Apa yang kita perlu lakukan?" Soal Syafii. Tengku Amir dapat melihat Syafii cuba menggagahkan diri, berdiri di atas kaki yang menggigil ketakutan. "Apa yang boleh kita lakukan untuk menghentikan robot itu?"

"Kita perlu hentikan sumber kuasa Puteri! Uhuk... uhukk!!" Tengku Amir mulai terbatuk-batuk. Darah keluar daripada mulutnya.

"Pakcik tidak apa-apa?"Syafii menjadi panik.

Tengku Amir menggeleng. "Ia tidak seberapa jika dibandingkan dengan kecederaan Zahiruddin dan Luqman." Tengku Amir mengerling ke arah Luqman Hakim yang tersungkur di tepi dinding. "Pertama, kita perlu hentikan sumber tenaga AIDA. Puteri menyerap tenaga yang disalurkan oleh AIDA kamu. Ia hanya akan menggunakan tenaganya sendiri apabila saluran tenaga daripada rumah ini dihentikan. Pakcik dan Nailofar akan cuba berlawan dengan Puteri. Tugasan menghentikan sumber tenaga Fly, pakcik serahkan kepada kamu!"

"Pakcik tahukah bagaimana hendak menghentikan Puteri?" Soal Syafii.

"Barangkali pakcik masih teringat di manakah kedudukan sumber tenaga Puteri!" Tengku Amir memberi isyarat dengan tangan supaya Syafii beredar dengan segera. Syafii menoleh sekilas ke arah Luqman Hakim dan berlari menuju ke bilik stor.

"Aku tidak akan benarkan kamu mematikan sumber tenaga AIDA!" Jerit Fly lalu mengaktifkan semua robot domestik dan mengejar Syafii. Langkah gadis itu semakin luas menghampiri bilik stor yang menempatkan kotak punca tenaga.

"Tumpukan pada bahagian kiri dadanya! Punca tenaga Puteri menyerupai kedudukan jantung manusia!" jerit Tengku Amir. Nailofar mengangguk dan menumpukan serangan pada bahagian yang dimaksudkan.

Seorang wanita berpakaian serba ungu memerhatikan pergerakan semua penghuni rumah melalui sistem AIDA yang digodam oleh android bernama Puteri itu. Dia melihat seorang lelaki dan seorang perempuan bertarung dengan android kawalannya. "Dapatkan identiti perempuan bertangan mekanikal itu!" Jerit wanita itu. Melalui skrin yang sama, dia dapat menyaksikan seorang perempuan sedang diserang oleh robot-robot domestik. Dua orang tercedera parah dengan seorang berada di ruang tamu dan seorang lagi di dapur.

"Zahiruddin, kau tidak pernah merasai apa yang kami rasakan. Kau tidak pernah berhadapan dengan cercaan dan makian orang. Kau tidak pernah kehilangan segala-galanya. Kau masih mempunyai keluarga dan nama. Berbanding dengan kami yang terpaksa meninggalkan semua yang kami miliki, berhijrah ke tempat baru dan terpaksa memulakan hidup semula. Semuanya adalah disebabkan oleh lelaki yang tidak berhati perut itu. Kemudian, kau meminta aku untuk melupakan segalanya dan memberi kemaafan kepada lelaki itu?" Wanita bernama Mel itu mencebik. Visual Tengku Zahiruddin yang terbaring di atas lautan darah di dapur itu diperhatikannya dengan wajah yang penuh dengan perasaan benci dan dendam.

"Aku akan lakukan apa sahaja, asalkan aku dapat lunaskan dendam yang tersimpan sekian lama. Tiada siapa yang boleh menghalang, meskipun orang itu adalah kau wahai sepupuku." Mel tersenyum sinis.

Mel mengalihkan pandangan ke arah skrin yang menunjukkan keadaan di ruang tamu. Dia melihat Tengku Amir dan wanita bertangan mekanikal itu mulai kelelahan dan dia ketawa terbahak-bahak. "Adakah kalian sangka, selepas dua puluh tahun Puteri masih Puteri yang dahulu?" Mel bersuara melalui Fly. "Aku telah ubahsuai Puteri. Meskipun tanpa kuasa tenaga daripada AIDA rumah ini, Puteri masih mempunyai sumber tenaga yang besar!"

"Yang Mulia Tengku, letupan tadi menyebabkan pihak berkuasa mengetahui berkenaan hal ini dan mereka dalam perjalanan ke lokasi Puteri!" Seorang pembantu muncul di sebuah layar visual.

Mel mengangguk. "Aku bosan dengan permainan ini. Puteri, hapuskan mereka dengan segera! Gunakan kuasa maksimum!" Mel memberi arahan. Serentak dengan itu, Puteri menaikkan kadar tenaga ke tahap maksimum. Nailofar menyerang sekali lagi dengan penumbuk tangan kanan, tetapi serangannya kali ini tidak mendatangkan apa-apa kesan. Puteri menahan lengan mekanikal Nailofar dan menghempas wanita itu ke dinding.

Puteri melompat ke arah Tengku Amir dan Mel tersenyum girang. "Hayatmu setakat ini sahaja, wahai pakcik!" Puteri mula menyerang Tengku Amir bertubi-tubi. Setiap kali Puteri berhasil mencederakan lelaki itu, Mel di sebalik skrin ketawa terbahak-bahak. Tengku Amir akhirnya terjatuh ke lantai dengan luka di seluruh badan. Puteri menghampiri Tengku Amir dengan wajah tanpa sebarang emosi. Android itu mengangkat tinggi tangannya dan bersedia untuk menyerang lagi. Tengku Amir yang sudah keletihan hanya memandang dengan pasrah.

"Matilah kau!" jerit Fly. Puteri menghayun tangan. Tengku Amir cuba menahan dengan kedua belah tangannya. Nailofar yang tersungkur di tepi dinding menjerit. Luqman Hakim yang kehilangan banyak darah cuba bersuara untuk menghalang. Mel di sebalik skrin ketawa terbahak-bahak melihat wajah cemas semua mangsanya. Hayunan tangan Puteri hampir mengenai Tengku Amir, apabila skrin di hadapan Mel bertukar gelap-gelita secara tiba-tiba. Tiada sebarang imej dipaparkan. "Apa yang telah berlaku?!" Jerit Mel.

"Kami terputus hubungan dengan Puteri!" Pembantunya memberi makluman.

"Apa?"

++++

Setelah beberapa minit berlalu, Tengku Amir membuka mata dan mendapati Puteri telah pun berhenti bergerak. Wajah Tengku Amir kelihatan cemas dan gugup. Dia melihat bilah tangan android itu hampir-hampir mengenai kepalanya. Fly sudah tidak bersuara dan robot-robot domestik yang menyerang Syafii juga sudah terhenti. Gadis itu jatuh terduduk ke lantai, kemudian meraung sekuat-kuatnya.

"Apa yang telah berlaku?" Soalan sama yang dilemparkan oleh Mel. Bezanya kedudukan Mel sebagai pengemudi Puteri dan Tengku Amir sebagai bakal mangsa. Nailofar yang berada di tepi juga memerhati Puteri dengan tanda tanya. Meskipun mengalami kecederaan yang agak parah, Luqman Hakim masih mampu untuk tersenyum dengan kegembiraan terpancar pada wajahnya.

Keadaan sunyi di ruang tamu membuatkan Sarah berlari keluar dari ruang dapur. I-Ran digenggam rapat ke dada. "Adakah dia telah berhenti? Adakah android itu berjaya dihentikan?" Sarah menghampiri Puteri yang terkaku untuk memastikan bahawa android itu tidak bergerak lagi. "Saya ikut cakap abang untuk lepaskan 'ia'. Mujurlah Siti Khadijah masih boleh digunakan. Adakah ia berkesan? Puteri benar-benar berhenti?" Sarah bercakap tidak berhenti sambil mengesat air mata yang tidak putus-putus mengalir dengan hujung bajunya.

Tidak semena-mena Tengku Amir jatuh melutut ke lantai. Dia tidak dapat menahan diri daripada mengalirkan air mata, lalu tunduk sujud sebagai tanda kesyukuran. "Sarah, dia telah berhenti. Dia telah berhenti tepat pada waktunya. Terima kasih Sarah, terima kasih!" balas Tengku Amir meskipun kurang pasti dengan apa yang telah berlaku. Seluruh tubuhnya luka-luka, namun kecederaan Tengku Amir tidak seserius Luqman Hakim dan Tengku Zahiruddin.

"Saya telah hubungi pihak berkuasa... dan juga hospital... juga bomba... juga pejabat datuk bandar... pengetua sekolah... pakcik kedai ais krim... Siapa lagi yang perlu saya hubungi? Saya tidak tahu!" Gadis itu kelihatan keliru. Sarah segera mendapatkan Luqman Hakim yang sedang berlumuran darah. "Abang bertahanlah! Mereka akan tiba tidak lama lagi! Mereka akan selamatkan semua orang! Semua orang akan selamat! Semua orang akan selamat!"

"Apa yang telah kamu lakukan?" Soal Tengku Amir. Meskipun tubuhnya masih belum berhenti daripada menggigil, Tengku Amir segera memeriksa Puteri untuk memastikan ia benar-benar terhenti. Kot panjang berwarna coklat yang dikenakan oleh android itu dibuka. Besi pemanggang kebab digunakan untuk mengumpil kepingan logam yang menutupi dada Puteri. "Saya mahu memastikan ia benar-benar berhenti berfungsi."

"Biar saya bantu." Nailofar berusaha untuk bangkit dan menghampiri Tengku Amir. Tangan mekanikalnya yang rosak teruk akibat bertempur dengan Puteri, dimanfaatkan untuk membantu. Kepingan logam tersebut berjaya diumpil keluar dan mereka dapat melihat sebuah objek berwarna merah seperti permata delima yang dilingkari wayar yang berselirat. "Apakah benda merah itu?"

"Ia adalah jantung Puteri. Keluarkan ia daripada tempatnya." Objek merah itu disentap keluar dengan segera oleh Nailofar dan diserahkan kepada Tengku Amir. Setelah itu, Tengku Amir mengalihkan pandangannya kembali ke arah Sarah yang masih menangis. "Apa yang telah kamu lakukan?" Soalnya lagi.

"Syukur kepada Tuhan! Emak telah membina satu program ringkas yang akan hentikan semua operasi Fly sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Saya gunakan I-Ran untuk masuk ke komputer saya, Siti Khadijah. Mujurlah Siti Khadijah tidak dipengaruhi oleh Puteri. Saya gunakan Siti Khadijah untuk lepaskan program yang bertindak seperti virus itu." Mata Sarah yang masih basah itu, bercahaya-cahaya apabila bercerita. "Oleh sebab Puteri sedang memanipulasi sistem Fly, ia juga terdedah kepada virus tersebut!"

"Apa nama virus tersebut?" Soal Tengku Amir sedikit sangsi.

"Virus L-2!"

Tengku Amir menelan air liur. Nama itu mengingatkannya kepada peristiwa dua puluh tahun lalu. Selepas dua dekad berlalu, semua watak utama seakan kembali menjelma.

Bunyi siren penguasa semakin jelas menghampiri rumah yang berlubang besar di bahagian hadapannya itu. Sarah cepat-cepat melangkah keluar menyambut mereka. "Tolong! Tolong abang saya dan mereka! Android itu menyerang mereka. Mereka berdarah dan cedera. Tolonglah mereka," ujar Sarah sebelum dia sendiri rebah di atas runtuhan dinding rumah mereka.

++++

Datin Normi yang sedang berzikir tersentak apabila I-Rannya memberi maklumat bahawa Virus L-2 telah dilancarkan. Perasaan bimbang tidak dapat dilindung dari wajah. Nombor Luqman Hakim dan Sarah cuba dihubungi, tetapi talian gagal disambungkan. Nombor Syafii didail pula, tetapi jawapannya tetap sama. "Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku daripada bala dan bencana."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro