Bab 11

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Melalui dinding kaca itu, Adam Dennis dapat melihat Tengku Zahiruddin dan Luqman Hakim terbaring di dalam wad unit rawatan rapi. Pelbagai alat disambungkan kepada mereka. Tengku Zahiruddin tidak pulang untuk makan malam bersama pada malam hari raya. Dia hanya memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan mencari Tengku Amir secara bersendirian. Rahimi yang sering menemani Tengku Zahiruddin pula dibenarkan pulang bercuti bersama keluarga.

Kemudian, larut malam itu mereka dikejutkan dengan berita serangan Puteri di kediaman Dato' Asyraff. Nama yang tidak termasuk langsung dalam senarai nama yang dipantau oleh mereka. Adam Dennis menggenggam erat penumbuk. Gumamnya menahan geram, "Saya akan hentikan semua ini. Saya tidak mahu ada insan yang tidak bersalah terus menjadi mangsa!"

Sebelum pulang, Adam Dennis menjenguk masuk ke wad yang menempatkan Tengku Amir. Meskipun kecederaan Tengku Amir tidak separah Tengku Zahiruddin dan Luqman Hakim, lelaki itu turut kehilangan banyak darah. Ketika tiba di wad, Tengku Amir yang telah diberikan ubat serta antibiotik, masih belum sedarkan diri.

Seorang lelaki lingkungan usia 50-an mengambil tempat di tepi katil. Memandang sayu Tengku Amir yang sedang lena. Perlahan-lahan Adam Dennis berjalan menghampiri. Lelaki tua itu menoleh apabila menyedari bahunya disentuh orang. Meskipun hujung mata kelihatan basah, lelaki itu cuba memberikan reaksi wajah seakan dirinya tidak apa-apa.

Ujar Adam Dennis lembut, "Usahlah Pakcik Akmal merasa bimbang. Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Keadaan Zahiruddin dan remaja lelaki itu sudah pun stabil. Tiga orang gadis yang lain juga telah menjalani rawatan dan mereka kini sedang berehat di dalam wad."

Tengku Akmal berpaling ke arah Adam Dennis dengan bibir tersenyum nipis dan wajah yang meredup. Keluh Tengku Akmal, "Pakcik telah menjangka perkara sebegini akan berlaku, tetapi pakcik tetap tidak dapat menghalangnya."

"Esok, kita akan pindahkan Tengku Amir ke tempat lain. Meskipun Puteri berada di tangan polis, saya masih bimbang Mel akan bertindak menyerang hospital. Sekiranya perkara itu berlaku, ramai orang yang tidak bersalah akan terlibat."

Tengku Akmal mengangguk lemah. Semenjak kematian abang sulungnya, Tengku Akmal telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatukan seluruh keluarga yang berpecah-belah, namun usaha itu seakan terlalu sukar untuk dilaksanakan.

"Dua puluh tahun dahulu, apabila mereka membuat keputusan untuk berpindah, pakcik tidak dapat menghalang mereka. Kemudian, mereka muncul kembali selepas sepuluh tahun, mengambil alih Empayar Tengku. Tanpa pakcik ketahui, mereka berusaha untuk mendapatkan semula Puteri daripada pihak berkuasa dengan menggunakan semua saluran undang-undang yang ada. Apabila pakcik mengetahui berkenaan pengubahsuaian serta pembaikan yang dilakukan terhadap Puteri, segala-galanya sudah terlambat. Pakcik telah kehilangan kuasa terhadap urusan Empayar Tengku." Suara Tengku Akmal kedengaran sebak.

Adam Dennis mengusap bahu pakciknya itu dan berkata dengan tenang, "Sebagaimana yang pakcik ketahui, kami telah membangunkan Moonlight, khusus untuk menentang Puteri. Berdasarkan simulasi yang telah dilakukan, kekuatan Moonlight sepatutnya melebihi Puteri. Namun begitu, Moonlight masih perlu diuji." Penerangan yang dibuat oleh Adam Dennis, membuatkan Tengku Akmal mengangguk.

"Ada satu perkara yang mengganggu saya." Adam Dennis menggaru-garu dagu. Kening hampir-hampir bertemu dek dalamnya berfikir.

"Apa perkara yang mengganggu kamu?" Soal Tengku Akmal.

"Saya telah melihat keadaan rumah itu. Meskipun mereka memberi penentangan yang hebat, ditambah dengan bantuan daripada gadis bertangan mekanikal itu, usaha mereka itu hanya boleh memberi sedikit kesan sahaja kepada Puteri. Perbezaan kuasa mereka terlalu jauh, ibarat semut melawan gajah. Tengku Amir tentu sangat memahami bahawa mereka langsung tidak mempunyai peluang untuk menang."

"Jadi?"

"Pada pendapat saya, mereka dapat mencabut 'Ruby' daripada Puteri, hanya setelah Puteri terhenti. Persoalan yang bermain di kepala saya adalah bagaimana Puteri boleh terhenti dan siapakah yang melakukannya?"

"Hmm.. ia satu persoalan yang menarik. Kita hanya akan dapat mengetahui hal sebenar apabila mereka sedar kelak. Sementara itu, marilah kita pulang dahulu ke rumah. Isteri pakcik dengan bantuan chef di rumah telah menyediakan juadah istimewa. Sayangnya Zahiruddin tidak dapat menikmati hidangan yang disediakan. Selepas Zahiruddin sembuh, pakcik akan meminta mereka menyediakan juadah istimewa khusus buatnya."

Tengku Akmal bingkas bangun daripada duduk dan menghampiri semula katil Tengku Amir. "Juga juadah istimewa buat satu-satunya adik yang saya sayangi. Semoga cepat sembuh." Dahi Tengku Amir diusap perlahan, sebelum Tengku Akmal melangkah keluar daripada wad.

"Semoga cepat sembuh, pakcik," ujar Adam Dennis sambil menurut Tengku Akmal keluar.

Setelah semua pelawat keluar meninggalkan wad, Tengku Amir yang sedang terbaring di atas katil, membuka mata. Wajah yang tenang sewaktu pura-pura lena tadi, bertukar keruh. Perlahan-lahan dia menggagahkan diri untuk bangun. Cubaan menyeka air mata daripada jatuh membasahi pipi gagal. Bisik Tengku Amir, "Maafkan saya, abang."

++++

Sebaik sahaja membuka mata, Sarah mendapati dia sedang terbaring di sebuah bilik yang asing. Dinding dan lelangit yang dicat putih menyebabkan dia dapat mengecam tempat itu sebagai hospital dengan segera. Dia melihat pakaian yang dikenakan sebelum ini sudah berganti dengan pakaian hospital. Sebuah tiub glukosa disambung ke tangan kiri. I-Ran kepunyaan Sarah terletak elok di atas sebuah kabinet kecil di sisi katil. Sarah cepat-cepat mengambil alat itu dan memeluk rapat ke dada seakan melindungi harta karun yang paling berharga.

"Oh, Sarah sudah terjaga?" Tegur seorang doktor muda yang datang memeriksa rekod melalui sebuah alatan seperti I-Ran, tetapi alatan itu khusus dibina untuk kemudahan di hospital. Doktor wanita dengan tag nama Maisarah itu menghalakan sebuah alatan ke dahi Sarah dan mencatatkan suhu yang dibaca. "Nampaknya demam Sarah semakin kebah. Adakah Sarah mengalami sakit di mana-mana bahagian badan?" Soal Dr. Maisarah sambil memeriksa Sarah menggunakan stateskop.

Sarah menggeleng lalu bertanya, "Doktor, hari ini hari apa?" Kedengaran suara takbir berkumandang di televisyen yang dipasang buat hiburan pesakit di wad.

Jelas Dr. Maisarah, "Hari ini hari Khamis, hari raya kedua. Apabila Sarah dihantar ke sini bersama orang lain, Sarah mengalami demam panas dan tidak sedarkan diri sehingga ke hari ini."

Sarah melihat ke sekeliling seakan mencari-cari sesuatu. "Bagaimana dengan abang saya? Adakah abang saya selamat? Bagaimana dengan Kak Fifi dan orang lain?" Soal Sarah bertalu-talu.

Balas Dr. Maisarah lembut, "Mereka berada dalam keadaan selamat. Doktor di sini telah memberikan sepenuh usaha merawat mereka. Sarah jangan bimbang ya."

Seluruh warga hospital maklum dengan peristiwa yang menimpa mereka. Berita serangan di kediaman Dato' Asyraff cepat sahaja menjadi bualan ramai. Bunyi letupan yang memusnahkan bahagian hadapan rumah itu dapat didengari oleh hampir semua orang di bandar kecil mereka. Pada malam itu, Bandar Cempaka Jaya bingit dengan bunyi siren ambulans, polis dan juga bomba, berpusu-pusu menuju ke tempat kejadian. Penduduk bandar juga keluar untuk mengetahui apa yang telah terjadi. Doktor dan petugas perubatan segera bersedia apabila dimaklumkan berkenaan keadaan mangsa-mangsa.

Kehadiran Tengku Akmal, Pengarah Hospital Bandar Bintang; seorang tokoh yang terkenal dalam dunia perubatan, mengejutkan semua petugas Hospital Bandar Cempaka Jaya. Pengarah hospital segera bergegas apabila dimaklumkan berkenaan kedatangan Tengku Akmal ke situ. Soal pengarah hospital, "Adakah Dr. Tengku meragui keupayaan kami mengendalikan kes ini, sehingga tuan doktor terpaksa turun sendiri ke sini?"

Ketika Tengku Akmal tiba, kesemua mangsa telah dibawa ke hospital dengan ambulans. Dua orang yang cedera parah telah segera dihantar ke bilik pembedahan untuk menjalani rawatan lanjut, manakala yang lain dimasukkan ke wad kecemasan.

Meskipun pengarah hospital itu seakan kurang senang dengan kehadirannya di situ, beliau tetap juga membawa Tengku Akmal ke ruang pemerhatian dewan pembedahan. Menitis air mata Tengku Akmal apabila melihat Tengku Zahiruddin terbaring tidak sedarkan diri di atas katil bedah, dengan sepasukan doktor bertungkus-lumus menyelamatkannya.

"Sahabat saya Dr. Hafiz, harap dapat maafkan saya. Kehadiran saya di sini bukanlah kerana mencurigai kemampuan doktor dan pasukan menguruskan kes ini. Kalian merupakan pakar dan profesional dalam menjalankan tugas masing-masing. Hari ini saya datang bukanlah atas kapasiti saya sebagai seorang doktor atau pengarah Hospital Bandar Bintang, tetapi saya hadir kerana saya adalah ayah dan abang kepada seseorang."

Kening Dr. Hafiz terangkat sebelah. "Apa maksud doktor?"

Tengku Akmal meletakkan kedua telapak tangan, melekap ke cermin pemerhatian. "Pemuda yang sedang bertarung nyawa di dalam dewan bedah itu adalah anak lelaki sulung saya. Manakala lelaki yang lebih matang usianya di bahagian kecemasan itu pula merupakan adik lelaki saya."

+++

Dr. Maisarah melihat gadis di hadapannya itu masih berada dalam keadaan keliru. Meskipun dia merupakan satu-satunya orang yang tidak mengalami kecederaan dalam serangan tersebut, gadis itu mengalami trauma dan demam panas. Berkali-kali gadis itu meracau dan menangis dalam tidur sehingga terpaksa ditenangkan oleh doktor serta jururawat yang bertugas. Menurut pihak polis, keluarga gadis itu sedang berada di tanah suci, menunaikan ibadah haji. Muncul juga beberapa orang yang mengakui bahawa mereka adalah keluarga jauh gadis bernama Sarah itu, tetapi demi keselamatan mereka semua, pihak polis tidak dapat memberi kebenaran kerana tiada siapa yang boleh mengesahkan kesahihannya. Tambahan pula, beberapa orang wartawan telah ditahan atas cubaan menyeludup masuk ke hospital untuk membuat liputan.

"Bolehkah saya berjumpa dengan mereka?" Soalan yang dilontarkan oleh Sarah mengembalikan Dr. Maisarah daripada khayalnya.

Dr. Maisarah mengangguk. "Sarah boleh melawat mereka, tetapi sebelum itu, Sarah perlu makan dan ambil ubat seperti yang telah saya preskripsikan."

"Bolehkah saya melawat mereka?" Soal Sarah lagi seakan tidak mendengar jawapan yang diberikan oleh doktor. Sarah hanya termenung di atas katil. Dia cuba bangun, tetapi segera ditahan oleh doktor.

"Sarah perlukan tenaga untuk melawat mereka. Saya mahu Sarah makan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah Sarah boleh melihat mereka. Jururawat akan membantu Sarah ke sana."

"Baik, doktor."

++++

"Abang! Bagaimana dengan abang saya?" Jerit Sarah di hadapan tingkap kaca wad ICU yang menempatkan Luqman Hakim dan Tengku Zahiruddin. Kedua-dua orang itu terbaring tidak sedarkan diri dengan pelbagai tiub dan mesin disambungkan kepada mereka. Jururawat yang berada di situ, cuba memujuk dan mententeramkan Sarah, tetapi gadis itu terus meraung.

"Gadis kecil, tahukah kamu bahawa abang kamu seorang yang sangat kuat semangat?" Tangisan Sarah terhenti serta-merta apabila mendengar kata-kata itu. Dia mengalihkan pandangan dan mendapati seorang lelaki tua yang berpakaian kemas berdiri di sisinya.

"Apa maksud pakcik?"

Lelaki tua itu melemparkan pandangannya ke arah dua orang yang masih berbaring di sebalik dinding kaca itu. "Mereka berdua telah berjaya melalui saat-saat yang getir. Perjuangan antara hidup ataupun mati. Para doktor boleh berusaha untuk merawat mereka, namun semangat juang yang tinggi untuk terus hidup yang sebenarnya banyak membantu. Doktor telah melakukan tugas mereka. Tugas kita selain daripada berdoa kepada Tuhan supaya mereka dapat sembuh seperti sedia kala, adalah untuk merangsang kembali semangat mereka. Abang kamu tentunya merasa sedih apabila mengetahui bahawa adik perempuannya menangis di luar."

"Jadi, apa yang perlu saya lakukan?"

"Berhenti menangis dan mulalah berdoa semoga mereka segera sedar dan sembuh."

Sarah cepat-cepat mengesat air matanya. Bibir digigit dan mata dibuka besar sebagai usaha menahan diri daripada menangis lagi. "Terima kasih pakcik. Saya tidak akan menangis lagi."

"Baguslah jika begitu."

"Siapakah nama pakcik?"

"Panggil sahaja pakcik dengan nama Pakcik Akmal."

Sarah dapat melihat mata lelaki tua itu kelihatan berkaca-kaca. "Mengapa pakcik bersedih?"

"Pakcik juga sedang berdoa supaya Tuhan menyembuhkan mereka dengan segera."

Sarah terdiam seketika sebelum menyambung, "Wajah abang yang seorang itu sangat mirip dengan pakcik."

"Abang yang seorang itu adalah anak lelaki pakcik."

"Oh."

++++

Kemunculan dua pegawai polis itu seakan telah dijangka. Kedua-duanya memperkenalkan diri sebagai Inspektor Anita dan Sarjan Hassan. Selepas perbualan panjang dengan Tengku Akmal, Sarah menjadi lebih tenang. Fikirannya lebih rasional. Dr. Maisarah yang membuat pemeriksaan terhadap Sarah, akhirnya memberikan kebenaran kepada pihak polis untuk mengadakan sesi temu bual.

Sarah telah menyalin seragam hospitalnya kepada pakaian kasual yang dibelikan oleh Tengku Akmal. "Pakcik rasa bersalah, kerana kalian adik-beradik terlibat sama dalam hal ini. Biarlah pakcik menjadi penjaga sementara kalian," Ujar lelaki tua itu apabila Sarah menolak pemberiannya.

Sarah juga telah melawat Syafii yang ditempatkan di wad berbeza dengannya. Syafii juga mengalami demam panas akibat trauma. Ketika Sarah hadir di tepi katil Syafii, panas badan Syafii masih belum kebah. Sarah membantunya untuk makan bubur nasi yang disediakan oleh pihak hospital. Namun begitu selepas beberapa suap, Syafii menolak makanan yang disuakan kepadanya lalu meminta diri untuk tidur.

"Apa yang puan inspektor mahukan?" Soal Sarah, sebaik sahaja mereka mengambil tempat di sebuah sofa yang disediakan oleh pihak hospital.

"Saya mahu mendengar daripada Sarah, apakah sebenarnya yang telah berlaku pada malam itu."

Jawab Sarah acuh tidak acuh, "Puan sepatutnya bertanya kepada pakcik Amir, kerana dia lebih maklum akan hal ini. Android itu memburu dia, dan bukannya kami."

"Kami ingin bertanya juga kepada Tengku Amir, tetapi malangnya kami tidak dapat berbuat demikian buat masa ini."

"Kenapa?"

"Tengku Amir dan Nailofar telah lari daripada hospital pada petang semalam. Tengku Zahiruddin dan Luqman Hakim pula mengalami cedera parah dan belum sedarkan diri. Keadaan Syafii juga tidak dapat membenarkan kami untuk bertanya apa-apa kepadanya. Oleh yang demikian, hanya Sarah sahaja yang dapat membantu kami memahami apa sebenarnya yang berlaku pada malam tersebut," jelas Inspektor Anita.

"Siapa Nailofar?" Dahi Sarah berkerut seakan cuba mengingati sesuatu. Kemudian dia menggeleng dan menepuk kepala. "Saya tak kenal orang yang bernama Nailofar."

"Oh, kamu tidak mengenali Nailofar? Nailofar merupakan wanita bertangan mekanikal yang turut cedera dalam peristiwa tempohari. Saya faham, Sarah mungkin tidak mahu mengingati kembali peristiwa tersebut. Namun begitu, kami memerlukan maklumat untuk menangkap penjenayah yang mengawal Puteri. Selagi mereka lepas bebas di luar, tidak mustahil perkara sebegini berulang lagi kepada orang lain. Bolehkah Sarah bercerita kepada kami, apa sebenarnya yang berlaku?"

Sarah terdiam seketika sebelum menjawab, "Baiklah."

Semua perkara diceritakan mengikut urutan peristiwa. Bermula daripada bagaimana mereka mengenali Tengku Amir, kemudian menjemput lelaki itu untuk makan bersama. Setelah itu, muncul pula Tengku Zahiruddin yang memaksa Tengku Amir untuk meninggalkan rumah mereka dengan segera. "Android itu muncul secara tiba-tiba. Ia menggodam Fly, iaitu AIDA rumah kami dan menyebabkan semua laluan keluar tertutup rapat. Kami cuba melarikan diri melalui pintu dapur. Oleh sebab Fly telah mengunci semua pintu termasuk pintu dapur, kamu berusaha memecahkannya dengan menggunakan lesung batu tetapi gagal. Kemudian, 'BOMM!!' pintu hadapan rumah kami musnah dibom!"

"Bom?"

"Saya tidak tahu sama ada ia adalah bom, roket atau apa sahaja senjata. Rumah kami bergegar akibat letupan itu. Ketika itu, kami tahu bahawa kami berada dalam keadaan bahaya. Belum sempat kami melarikan diri, android itu telah berdiri di hadapan kami dan menikam anak saudara pakcik Amir." Sarah bercerita bersungguh-sungguh.

"Anak saudara pakcik Amir? Tengku Zahiruddin?" Inspektor Anita menunjukkan gambar Tengku Zahiruddin. Perbualan itu dirakam sepenuhnya. Sarjan Hassan yang hadir bersama Inspektor Anita hanya diam di sisi dan mencatat sesuatu di I-Ran.

Sarah mengangguk. "Abang Zahiruddin datang ke rumah kami dan memaksa pakcik Amir mengikutnya dengan segera. Berulang kali dia memberitahu, bahawa Pakcik Amir berada dalam keadaan bahaya. Namun begitu, tidak sempat dia menyatakan sebabnya, Puteri muncul secara tiba-tiba."

Diam seketika. "Oh ya, seingat saya, sebelum dia ditikam oleh Puteri, dia pernah berinteraksi dengan orang yang mengawal di sebalik android itu. Abang Zahiruddin memujuk orang yang mengawal Puteri supaya tidak membunuh lagi, tetapi malangnya orang itu enggan dan mengarahkan Puteri menikamnya."

"Orang yang mengawal Puteri?" terbeliak mata Inspektor Anita mendengar maklumat itu. "Adakah orang yang mengawal itu turut berada di situ?"

Sarah menggeleng. "Wanita itu tidak berada di rumah kami. Dia berhubung dengan pakcik Amir dan anak saudaranya itu melalui perantaraan AIDA kami. Dia hanya mengawal dari jauh."

Celah Sarjan Hassan, "Kamu sebut wanita? Adakah orang yang mengawal android itu seorang wanita?"

Sarah terdiam seketika, seakan berfikir. "Wanitakah? Minta maaf, saya kurang pasti pula. Barangkali saya terkeliru dengan suara Fly, AIDA kami. Saya mendengar pakcik Amir dan abang Zahiruddin memanggil orang di sebalik robot itu sebagai 'Mel'."

"Kami cuba melawan untuk mempertahankan diri tetapi usaha kami hanya sia-sia. Kemudian seorang perempuan muncul secara tiba-tiba dan berlawan dengan Puteri."

"Nailofar?"

Nama yang disebutkan oleh Inspektor Anita membuatkan Sarah mengangkat bahu. "Barangkali ya, namanya Nailofar. Namun begitu, natijahnya tetap sama. Robot itu tidak dapat dihentikan. Abang cedera parah kerana ditikam dan kini tidak sedarkan diri di wad rawatan rapi. Kak Fifi juga tercedera, sedangkan saya hanya bersembunyi di dapur." Tidak semena-mena, gadis yang kelihatan tenang itu menangis teresak-esak. Inspektor Anita mendakap erat gadis itu lalu mengusap kepalanya.

"Meskipun ramai yang cedera, bersyukurlah kerana semua orang berada dalam keadaan selamat. Tiada yang kehilangan jiwa dalam peristiwa serangan itu." Inspektor Anita menunggu sehingga gadis itu kembali tenang sebelum bertanya, "Bagaimana robot itu boleh berhenti?"

Pantas Sarah menggeleng. "Saya tidak tahu. Saya mendengar suasana menjadi senyap sunyi secara tiba-tiba. Apabila saya menjenguk, saya melihat robot itu telah berhenti dan semua orang berada dalam keadaan cedera parah. Ketika itu, polis pun tiba di rumah kami. Saya berlari ke arah polis dan saya tidak ingat perkara seterusnya."

++++

"BOMM!!" Satu letupan menggegarkan seluruh kompleks makmal teknologi Kota Kundang. Segerombolan lelaki berseragam ungu lengkap dengan pelbagai senjata, berlari masuk ke dalam kompleks tersebut. Kedengaran bunyi berbalas tembakan dan disulami jerit-pekik dari dalam kompleks tersebut.

Selepas beberapa ketika, keadaan menjadi tenang. Tiada lagi bunyi tembakan kedengaran. Kumpulan lelaki berseragam ungu itu keluar dengan sebuah troli yang bertutup dengan kain putih. "Kami telah mendapatkan Puteri!" Lapor mereka melalui alat perhubungan.

"Bagus! Bawa Puteri pulang untuk diperbaiki!" Seorang lelaki memberi arahan.

"Baik komander!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro