Bab 12: Menggantang Asap Mengukir Langit

Mร u nแปn
Font chแปฏ
Font size
Chiแปu cao dรฒng

"Berhenti!"

Dua batang tombak melintang pangkah di hadapan tubuh Damrik dan Putera Zulkarnain, membantutkan niat masing-masing untuk menyerang balas. Mereka berdua pantas memandang gerangan orang yang menghadang mereka. Empat orang Satria Istana menggenggam tombak masing-masing dengan kejap. Damrik pula ditolak agar menjauhi Putera Zulkarnain. Sabrang pula ditekan meniarap di tanah oleh Satria-satria Istana yang lain.

"Entah apa yang telah terjadi antara tuan muda dengan Tengku Putera. Tetapi, jika tuan muda tidak memadamkan parang api itu, khuatir kami harus menganggap tuan muda berniat tidak baik."

Perhatian mereka semua tertuju pada empunya suara lantang yang terlontar di antara mereka.

Seorang lelaki, dalam lingkungan usia akhir 30-an melangkah ke tengah gelanggang itu. Aura kewibawaannya memancar dalam setiap geraknya, menunjukkan dia bukan sembarangan orang. Datangnya bersama sekumpulan Satria-satria Istana yang mengekor di belakangnya. Semua orang yang ada di situ juga menyisih untuk memberi laluan, jelas menunjukkan dia berpangkat tinggi jika dibandingkan semua yang hadir di situ.

Putera Zulkarnain tersengih dalam hati. Sebenarnya, dia telah menanti hulubalang yang menjaga pintu dewan makan tadi kembali bersama orang yang berpangkat. Sesiapa sahaja, asalkan boleh menghentikan pertarungan yang dia cetuskan ini. Tetapi, orang yang bergegas ke mari ialah lebih baik dari yang dia dijangka.

Datuk Muzdamar Nakhir. Bentara Utama, pemimpin Satria Istana.

"Tuan Muda Damrik, padamkan api itu sekarang!" suara Datuk Muzdamar naik seoktaf.

Walaupun jelas tidak berpuas hati, Damrik akur menghilangkan parang apinya itu.

"Patik juga minta Tengku putera padamkan api di lengan Tengku."

Putera Zulkarnain ketawa perlahan sambil mengangguk. Dia mengibaskan lengannya ke sisi. Api yang dijana dengan kuasa Karunianya itu terpadam seperti lilin ditiup angin. Putera Zulkarnain duduk bersila di atas tanah sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya separas bahu.

Dua Satria yang menahannya saling pandang-memandang. Perlahan-lahan mereka mencabut tombak mereka. Tidak perlu mereka menahan Putera Zulkarnain lagi yang ditahan tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif.

"Boleh patik minta penjelasan apa yang Tengku lakukan di sini?" Datuk Muzdamar bertanya.

"Beta ingin berkenalan dan adu kekuatan dengan Satria-satria yang bakal menjadi pengawal peribadi beta. Apa salahnya?" balas Putera Zulkarnain bersahaja.

"Tapi, yang patik dengar... Tengku cuba membuatkan mereka meninggalkan pasukan pengawal peribadi Tengku," Datuk Muzdamar menyoal dengan nada yang rendah. "Apa niat Tengku sebenarnya?"

"Seperti yang Datuk dengar, beta meminta mereka untuk pulang semula ke posisi mereka sebelumnya. Beta tidak menginginkan pengawal peribadinyang ramai. Mereka lebih baik berbakti kepada Inderagana daripada berbakti kepada beta."

Datuk Muzdamar memicit batang hidungnya. "Tengku, mereka yang ada disini telah datang jauh-jauh, membuktikan kekuatan mereka agar dapat berkhidmat bakti kepada Tengku. Ini juga ialah aturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Pembesar-pembesar Inderagana dengan keizinan TuankubRaja Zulaqram Shah, ayahanda Tengku sendiri. Tidak wajar Tengku bertindak sewenang-wenangnya begini... Semuanya untuk keselamatan Tengku."

"Datuk Bentara Utama, 30 puluh orang Satria yang jaguh dan gagah perkasa untuk mendahulukan keselamatan seorang anak raja, atau mendahulukan keselamatan seluruh rakyat Inderagana. Manakah yang lebih utama?"

Soalan Putera Zulkarnain tidak mendapat balasan. Tidak dari Datuk Muzdamar, tidak dari para Satria yang mula berkerumun di sekeliling mereka. Putera Zulkarnain bangun berdiri, menepuk-nepuk bajunya yang masih putih bersih, tetapi membiarkan kain samping dan seluarnya masih berdebu.

"Usahlah menggantang asap, mengukir langit, datuk..." kata Putera Zulkarnain perlahan. Matanya memandang para pemenang sayembara itu sambil tersenyum.

"Beta tunggu jawapan tuan-tuan. Esok pagi, pilihlah antara pulang bersama habuan yang beta janjikan. Atau... jika kalian masih ingin mengasuh putera raja ini, kekallah menunggu arahan yang seterusnya."

Pengumuman Putera Zulkarnain awal-awal tadi kembali terngiang-ngiang di benak setiap Satria-satria yang ada di situ. Wajah mereka bergelodak keraguan. Walau bagaimanapun, wajah Putera Zulkarnain pula tampak begitu yakin.

"Datuk Muzdamar, Datuk boleh bertanya kepada para orang-orang suruhan istana bersaksi tentang perbuatan beta sebentar tadi. Tapi, usahlah tuan bimbang. Beta akan bertanggungjawab dengan apa yang beta telah lakukan. Biarlah beta menjawab pada ayahanda beta atau pada Majlis Pembesar-Pembesar Inderagana."

Buat seketika, Putera Zulkarnain beradu pandang dengan Bentara Utama ini. Datuk Muzdamar yang terlebih dahulu menamatkan tentangan mata mereka dengan meraup wajahnya.

Dia berkata, "Kalau begitu, patik minta kerjasama Tengku untuk kembali ke kamar Tengku. Biar anak buah patik mengiringi."

"Tidak perlu. Beta tahu jalan ke kamar beta sendiri." Secepat itu juga Putera Zulkarnain menolak. Matanya terus melilau mencari seseorang, lalu hinggap pada seorang remaja yang kepoh menyelitkan diri dalam kerumunan di situ. "Kamu, ambilkan capal beta."

"Pa... patik, Tengku?" Awang yang tadi menjadi pengadil yang tidak dilantik menuding pada dirinya sendiri. Putera Zulkarnain mengangguk, menyebabkan budak muda itu segera berlari untuk mendapatkan capal Putera Zulkarnain yang terdampar jauh kerana dicampak tuannya.

"Beta minta diri."

Semua yang ada di situ hanya dapat memerhatikan Putera Zulkarnain melangkah pergi. Awang yang disuruh mengambil capalnya berlari seperti lipas kudung mengekori putera itu. Susuk tubuh mereka menghilang ditelan kegelapan lorong istana.

Sepanjang perjalanan pulang ke kamarnya, Putera Zulkarnain telah menolak dengan baik satu-persatu pelawaan untuk menemaninya oleh para Satria Istana yang berkawal. Mereka hanya mampu melihat putera raja itu menelusuri koridor istana dengan hanya ditemani seorang remaja pesuruh istana.

Tidak lama kemudian, mereka berdua sampai ke sayap kanan istana. Sebaik sahaja melepasi gerbang besar yang menuju bahagian kediaman Putera Zulkarnain, postur tubuh pesuruh remaja itu serta-merta bertukar. Dari tunduk seperti takut-takut, kepada tegak dan yakin.

Dia mendahului Putera Zulkarnain dan membukakan pintu kamar itu untuk tuannya. Putera Zulkarnain menepuk bahu remaja itu sambil tersenyum sambil melangkah masuk ke kamarnya.

Pintu kamar ditutup.

"Tengkuuu!" Panjang rengek remaja itu serta-merta menghamburkan tawa kecil Putera Zulkarnain.

"Pandai engkau bersandiwara tadi, Alang. Dari mana engkau mendapatkan pakaian seragam pelayan dapur istana?" Putera Zulkarnain terlebih dahulu bertanya.

Mulut Alang terbuka dan terkatup semula gara-gara perkara yang hendak diperkatakannya terbantut. Dia terkebil-kebil sebentar kerana kebingungan sendiri.

Alang menggumam sendiri, "Jika sekadar mendapatkan seragam bukanlah masalah besar untuk patik. Tapi, Tengku!"

Nampaknya Alang masih mahu menyambung geramnya. Putera Zulkarnain acuh tidak acuh sambil meleraikan ikatan topeng peraknya. Dia akhirnya duduk di atas katil menghadap Alang. Putera itu menopang dagu, tanda sudah bersedia untuk menadah telinga mendengar bebelan pembantunya itu.

Alang bercekak pinggang lalu menghela nafas dalam-dalam.

"Tengku kata tadi, Tengku berniat untuk bertemu dengan para pemenang sayembara itu dan pergi. Manakala, patik akan tinggal di sana untuk memerhatikan tindakan dan mereka selepas itu. Mencabar mereka bertarung tidak termasuk dalam rancangan, Tengku!" Bak peluru Alang membebel.

"Banyak perkara tidak terduga berlaku, Alang. Tidak semua akan mengikut rancangan kita," bidas Putera Zulkarnain tenang.

Walau bagaimanapun, hujung bibirnya terjungkit membentuk sengih. Makinlah Alang geram kerana dia tahu sengih itu bermakna Putera Zulkarnain sengaja berbuat demikian.

"Tengku membahayakan diri... Jantung patik mahu gugur bila ada ramai orang menyerang Tengku serentak! Janganlah Tengku selalu bertindak begini. Pendek nyawa patik! Berilah patik amaran awal-awal supaya dapat bersedia jika terjadi apa-apa..." Rengek Alang nyaris-nyaris bertukar raung di situ.

"Baiklah, baiklah... maafkan beta." Putera Zulkarnain mengangkat kedua-dua tangannya seperti menyerah diri. Dia memujuk, "Tapi, semuanya berakhir lebih baik dari jangkaan. Jadi, usahlah khuatir,"

Walau bagaimanapun, renungan tajam dan cebik bibir Alang cukup untuk memberitahunya bahawa sedikit pun remaja itu tidak mempercayai kata-katanya. Sekali lagi, Putera Zulkarnain ketawa. Makin muncung bibir Alang.

Akhirnya, Alang mendesah, tanda mengalah. Putera Zulkarnain sentiasa tahu apa yang dilakukannya. Jadi, kecuali dia diberitahu, dia tahu belum masanya.

"Sudahlah kalau begitu. Adakah Tengku perlukan apa-apa lagi?"

"Beta mahu bersiram sebelum beradu."

"Baiklah."

Sementara Putera Zulkarnain melangkah masuk ke dalam bilik air, Alang pula pergi ke bilik yang berada bertentangan. Dia keluar semula membawa kain dan pakaian bersih lalu diletakkan di dalam kamar persalinan. Bunyi debur air kedengaran dari dalam bilik air.

Alang kemudian memeriksa setiap tingkap agar terkunci rapat. Satu-persatu lampu pelita dipadamkan, menjadikan suasana kamar nan besar itu suram. Hanya satu pelita tidak jauh dari kepala katil dibiarkan marak. Bantal, tilam dan selimut dikepuk-kepuknya supaya lembut. Akhir sekali, barulah dia menarik laci lalu mengeluarkan sebilah keris.

Dia merenung keris itu, baru sedar dengan perbuatannya. Terlalu rutin, sampai dia boleh melakukan semua persiapan ini separa sedar. Alang menggeleng, menyingkirkan fikirannya lalu menyelitkan keris itu di bawah bantal.

Putera Zulkarnain tidak akan dapat tidur tanpa adanya keris itu.

Bแบกn ฤ‘ang ฤ‘แปc truyแป‡n trรชn: Truyen2U.Pro