Bab 13: Batu Jatuh ke Lubuk

Mร u nแปn
Font chแปฏ
Font size
Chiแปu cao dรฒng

Di dalam sebuah kamar di sayap kiri istana

"Benarkah segala yang engkau telah katakan?" tanya Puteri Zulaikha. Dia merenung Satria yang berada di depannya itu. Apabila lelaki itu mengangguk, Puteri Zulaikha bertukar pandang dengan Dang Anum yang berdiri di sisinya. Riak wajah mereka tergambar jelas masih tidak percaya.

"Sumpah patik tidak berbohong," kata lelaki itu bersungguh-sungguh. "Tengku Putera menyatakan niatnya dengan terang dan jelas di hadapan semua orang. Baginda tidak memerlukan ramai pengawal peribadi. Secara tersurat dan tersirat, baginda menghalau kami untuk pulang ke Teras Satria asal kami."

"Ini berlaku sebelum Tengku Putera mengajak kalian untuk bertarung?" tanya Dang Anum pula. Apabila menerima anggukan dari lelaki itu, Dang Anum menggumam, "Tapi, mengapa? Tindakan Tengku Putera... bagai menjolok sarang tebuan."

Tajam helaan nafas Puteri Zulaikha. "Apa yang berlaku setelah itu, Banang? Engkau berada di sana."

"Ada beberapa orang Satria maju untuk menyahut cabaran Tengku Putera itu. Keadaan nyaris menjadi sengit tetapi berjaya dileraikan oleh Datuk Bentara Utama," jelas Banang. Dia mengukir senyuman. "Diam-diam rupanya ubi berisi. Patik tidak sangka Tengku Putera punya kehandalan dan ketangkasan sedemikian rupa. Tengku Putera dapat mengalahkan lawannya dengan baik!"

Puteri Zulaikha sekadar tersenyum nipis. Ada rasa bangga yang singgah, tapi masih belum dapat menyingkirkan resah hatinya. Puteri itu pun bertanya, "Adakah adinda beta tidak apa-apa?"

"Patik tidak tahu pasti. Tapi... sekurang-kurangnya melihat dari caranya berjalan pergi, patik yakin Tengku Putera tidak apa-apa."

Barulah Puteri Zulaikha menghembuskan nafas lega.

Banang mengeluarkan kertas yang berlipat kecil dari sakunya lalu dihulurkan kepada Dang Anum. Srikandi itu membuka lipatan kertas itu dan membaca kandungannya sekilas pandang sebelum diserahkan kepada Puteri Zulaikha. Di dalam kertas itu ada senarai nama para pemenang sayembara bersama catatan pendek tentang mereka.

"Kerja yang bagus, Banang. Kekal waspada pada semua pemenang sayembara, terutama kepada mereka yang bertindak kasar dengan adinda beta. Kita masih belum tahu siapa yang menghantar mereka dan apa niat mereka," kata Puteri Zulaikha sambil menyerahkan semula kertas itu kepada Dang Anum semula.

"Baik, Tengku." Banang mengangguk.

"Bagaimana pula dengan Jagad Dharman? Adakah ada sesiapa antara para pemenang sayembara yang engkau syaki?"

Wajah Banang berubah sedikit sebelum teragak-agak menjawab, "Maafkan patik, tetapi patik tidak dapat mengenal pasti siapa yang Tengku Puteri maksudkan. Dalam kalangan Satria yang berketurunan bangsawan, tiada yang sebaya dengan Tengku Putera. Jika ada yang sebaya pun, mereka ialah Satria orang kebanyakan, Tengku Puteri. Adakah Tengku puteri yakin pemuda ini akan memunculkan diri?"

"Ini hanyalah firasat beta." Puteri Zulaikha diam sebentar memerhatikan keraguan yang terlakar pada wajah mata-matanya itu. "Kalian berdua tahu bukan siapa keluarga Dharman?"

Dang Anum bersuara, "Mustahil kami tidak tahu, Tengku. Dharman ialah antara keluarga bangsawan yang mempunyai sejarah panjang, bahkan sejak zaman penubuhan Inderagana lagi. Keturunan keluarga itu sentiasa menjadi 'pedang dan perisai' keluarga diraja. Walau bagaimanapun, bekas Bentara Utama dan kepala keluarga itu, Tun Megat Dharman..."

Puteri Zulaikha tersenyum melihat Dang Anum teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya. Ada tabu yang terkait dengan sosok lelaki itu. Tabu yang tidak dapat diperkatakan sewenang-wenangnya, tetapi tidak bagi Puteri Zulaikha. Tiada guna menyorok di balik lombong.

"Seperti yang kalian tahu, sebelum menjadi Bentara Utama, Tun Megat telah menjadi pengawal peribadi ayahanda beta sejak sekian lama. Beliau telah melindungi ayahanda dari banyak marabahaya. Bahkan, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliaulah yang meletakkan ayahanda beta di atas takhta. Kerana itu, ayahanda tidak pernah menidakkan kesetiaannya. Beta sendiri saksi keakraban hubungan mereka ketika beta masih kecil."

"Tengku, kalau benar setia Tun Megat pada Tuanku Raja Zulaqram, mengapa mesti Tun Megat menghilangkan diri sejak lima tahun lalu? Bukankah sepatutnya sebagai Satria peribadi Tuanku Raja, beliau harus sentiasa berada di sisi baginda sepanjang masa?" tanya Banang.

"Ayahanda dan Tun Megat telah bertimbang kata."

Membulat mata Banang. "Bertimbang kata? Tengku yakin? Tun Megat menghilangkan diri tanpa jejak bersama seluruh keluarga dan orang-orang suruhannya sejak lima tahun lalu... ialah kerana bertelagah dengan Tuanku Raja Zulaqram? Adakah Tun Megat sudah..."

Banang membatalkan niatnya untuk bertanya lebih lanjut apabila telunjuk Puteri Zulaikha tegak di depan bibir. Puteri itu berkata, "Biar pecah perut, jangan pecah di mulut."

Satria dan Srikandi itu mengangguk.

"Tun Megat telah tercedera dalam serangan lima tahun lalu itu, Tidak lama kemudian, beliau meletakkan jawatan sebagai Bentara Utama lalu menghilang, seperti batu jatuh lubuk. Beta tahu, Tun Megat dituduh sebagai pengkhianat. Tapi, ayahanda tegar membelanya dari tuduhan itu. Entah apa punca retak hubungan mereka berdua sampai beliau membawa diri, beta tidak tahu. Sampai sekarang, ayahanda masih mencari keberadaan beliau."

Makin berkerut dahi Banang. Dia menyoal, "Tetapi... Satria Bayang yang diketuai Tun Megat masih bergerak, Tengku Puteri. Buktinya, ada sahaja maklumat penting disalurkan pada Teras Satria. Walaupun tindakan mereka ini seperti mencabar Teras Satria, maklumat yang diberikan biasanya kukuh dan terpercaya. Jika mereka berkhidmat bukan lagi untuk Tuanku Raja, pada siapa lagi?"

"Pada Inderagana, Banang!" Puteri Zulaikha ketawa kecil. "Benar. Satria Bayang sepatutnya menjadi pasukan mata-mata yang berkhidmat untuk ayahanda. Namun, selepas Tun Megat menghilangkan diri, mereka menjadi pasukan mata-mata yang tidak terikat pada sesiapa kecuali keluarga Dharman. "

Dang Anum menyampuk, "Meski mereka hilang tak tampak mata, mereka tetap melindungi Inderagana dari dalam bayang. Mereka itu... benar-benar Satria Inderagana yang sejati.

"Beta juga merasa tertolong walau tidak secara langsung."

"Bererti... pemuda yang Tengku Puteri cari ini benar-benar anak lelaki Tun Megat? Mengapa kewujudannya selama ini tidak pernah diketahui umum?" tanya Banang lagi.

Puteri Zulaikha tahu jawapannya. Namun, dia hanya mengerling Dang Anum, sebagai isyarat meminta srikandinya itu menjawab bagi pihaknya.

Srikandi itu lantas menerangkan, "Benar. Engkau juga pasti tahu... sejak setahun dua ini, seseorang dengan nama 'Jagad Dharman' semakin masyhur kerana dia menjatuhkan kegiatan jenayah dalam Inderagana satu per satu seperti halimunan. Kami yakin, dialah anak lelaki Tun Megat yang lahir di hari yang sama dengan Tengku Putera, tetapi tidak pernah diperkenalkan ke khalayak."

"Kegiatan Satria Bayang yang semakin kerap juga mungkin menandakan Tun Megat telah mewariskan kepimpinan Satria Bayang kepada anak lelakinya. Bayangkan Banang... jika seseorang seperti dia ini di sisi beta?"

Banang tersenyum, sudah dapat membayangkan impaknya. Jika pewaris keluarga bangsawan dengan kuasa sebesar itu menyokong Puteri Zulaikha, kedudukan puteri itu akan lebih kukuh. Segala halangan yang mengekang Puteri Zulaikha juga akan dapat di atasi.

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang masih mengganggu fikiran lelaki itu. Dia berfikir sejenak sebelum bertanya, "Tengku Puteri... tidakkah timbulnya mereka ini setelah sekian lama bersembunyi, ada kaitan dengan kepulangan Tengku Putera?"

"Siapalah yang tahu apa yang mereka fikirkan?" Puteri Zulaikha mengangkat bahu, membalik soalan dengan soalan.

"Sebolehnya, kita harus mencari dahulu lelaki misteri ini, sebelum Tengku Putera. Jagad Dharman umpama bilah tajam. Sama ada dia dapat menjadi senjata kita, atau kita yang dilukakan," kata Dang Anum dengan tegas.

Puteri Zulaikha hanya melambaikan tangannya sambil ketawa halus, seolah-olah menepis kenyataan Dang Anum.

"Jagad Dharman dan Satria Bayang bukan musuh beta, bukan jua musuh adinda beta. Mereka dalam kelompok yang berdiri di atas pagar. Tetapi, jika kita dapat menarik mereka ke sisi kita, itulah yang sebaiknya."

Banang mengangguk. "Patik mengerti, Tengku Puteri. Patik akan menajamkan pancaindera untuk mengesan lelaki itu."

Puteri Zulaikha hanya tersenyum. Jika semudah itu mengesan waris pemimpin Satria Bayang itu, dia tidak akan tercari-cari Tun Megat sejak lima tahun lalu. Namun, puteri itu diamkan sahaja.

"Jika ada maklumat baharu, segera laporkan kepada beta."

Banang mengangkat sembah, tanda menerima perintah Puteri Zulaikha dengan penuh ketaatan.

"Pergilah, jaga dirimu."

Satu gerakan tangan dari Puteri Zulaikha, Banang menghilang di dalam kegelapan kamar itu. Senyuman nipis Puteri Zulaikha pudar sebaik sahaja keberadaan mata-matanya itu hilang.

"Nampaknya adinda beta tidak main-main, Anum." Puteri Zulaikha santai menyandarkan tubuh pada kerusi baldu panjang itu. Dia menongkat dagu memandang Srikandinya itu. "Tahukah engkau apa yang dikatakannya kepada beta petang tadi?"

"Apakah itu, Tengku?"

"Adinda beta berkata, dia ingin melepaskan haknya kepada takhta dan menjadi pedagang yang mengembara ke seluruh dunia. Percayakah engkau, Anum? Seorang putera raja dengan Karunia, ingin menjadi pedagang?"

Dahi Dang Anum berkerut. "Bukan patik mahu bersikap lancang kepada Tengku Putera Zulkarnain, tetapi patik juga ragu. Takutnya kalau-kalau ada udang di sebalik batu. Masakan lima tahun di empayar telah mengubah baginda? Kekal berwaspada, Tengku. Bagaimanapun juga, Tengku Putera tetap pesaing utama Tengku Puteri."

"Ah, engkau Anum. Engkau telah mendengar apa yang Banang telah sampaikan. Malam ini adinda beta telah mengotakan janjinya. Caranya bakal menggoncang Majlis Menteri Inderagana tetapi ini ialah sesuatu yang dapat kita pergunakan untuk menukar keadaan supaya menyebelahi kita."

"Lalu, apa rancangan Tengku puteri?"

"Esok awal pagi, kumpulkan semua Srikandi dan dayang-dayang beta. Adinda beta telah pulang. Sekaranglah peluang beta pula harus menjadi ayunda yang baik."

Puteri Zulaikha berdiri lalu memandang srikandinya itu. "Kita akan mengikut rentak permainan adinda beta."

Maksud Peribahasa:

Menjolok sarang tebuan
[Maksud: Melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya]

Seperti batu jatuh ke lubuk
[Maksud: Lenyap atau tidak kelihatan lagi]

Bertimbang kata
[Maksud: Bertengkar]

Psst:
Macam buku teks Bahasa Melayu pulak ada glosari peribahasa ni, hahahaha. Patutkah saya kekalkan? Rasa macam menyesal pula pilih peribahasa sebagai tajuk setiap bab.

Bagaimana dengan dengan bab ni? Suka tak? Faham tak? Ada nak komen tak?

Jangan lupa undi dan kongsi!

Bแบกn ฤ‘ang ฤ‘แปc truyแป‡n trรชn: Truyen2U.Pro