Bab 15 : Api dalam Sekam

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hujan lebat telah turun mencurah-curah sejak subuh sampai ke pagi, rintiknya masih berterusan membasahkan bumi. Angin laut pula menghantar kesejukan yang terasa mencengkam sehingga ke tulang. Aktiviti di kota perlahan, seperti belum sepenuhnya terjaga dari lena.

Walau bagaimanapun, Istana Purnama Windu tidak pula setenang pagi itu. Para dayang dan awang sudah ligat ke hulu-hilir mengerjakan tugas masing-masing.

Di tengah-tengah arus kesibukan itu, Datuk Muzdamar dan tiga orang pegawai kanannya melangkah tergesa-gesa menuju ke sayap kiri istana. Mereka harus bergegas atau kesan huru-hara yang dicetuskan oleh Putera Zulkarnain semalam akan menjadi tidak terkawal.

“Apa yang harus kita lakukan sekarang, Datuk Bentara? Tengku Putera sendiri bertindak membubarkan pasukan yang dibentuk untuknya!” tanya seorang Bentara Kanan.

“Bagaimana dengan Majlis Pelantikan Satria yang harus dilaksanakan pagi ini? Haruskah kita menangguhkanya, ataupun membatalkannya?” tingkah yang lain pula.

“Jika kita membatalkannya, apa yang harus kita jawab dengan Majlis Pembesar-pembesar Inderagana? Sayembara untuk memilih anggota Satria Putera telah dianjurkan sampai dicanang ke seluruh negeri, tetapi alih-alihnya hasilnya begini? Di mana kita harus meletak muka?”

Perdebatan antara anak-anak buahnya dibiarkan tenggelam timbul bersama kerasnya degar dan dentum dek ribut yang merempuh dinding istana dan daun-daun tingkap. Fikiran Datuk Muzdamar ligat memikirkan penyelesaian. Sungguh dia tidak menyangka putera tunggal Inderagana akan membuat onar sebaik sahaja dia kembali ke istana.

Beginikah sikap putera yang telah dinanti-nantikan kepulangannya hampir dua dekad?

Raja Zulaqram sedang gering. Sama sekali, raja itu tidak dapat dibebani dengan masalah yang dicetuskan oleh puteranya. Tun Mahad yang bertanggungjawab di atas pendidikan putera-puteri Inderagana pula sedang tiada di istana. Maka, orang terakhir yang difikirkan dapat mengekang tindakan Putera Zulkarnain, hanyalah Puteri Zulaikha.

“Datuk Bentara Utama, tunggu!” Langkah Datuk Muzdamar itu terhenti, begitu juga satria-satria yang mengekorinya.

Seorang pemuda berlari anak mendekatinya. Melihat dari lambang dan lencana pada seragamnya yang basah-basah terkena hujan, satria itu adalah pengawal Gerbang Sri Nirmala. Datuk Muzdamar menanti kedatangannya sambil berpeluk tubuh.

“Ringkas dan padat! Lapor!” arah Datuk Muzdamar tegas sebaik sahaja pengawal itu tiba di hadapannya.

Belum pun habis tercungap-cungap, pengawal itu terus menunduk hormat. Dia segera melapor, “Datuk, segerombolan pedagang memohon kebenaran memasuki pekarangan istana. Katanya, mereka membawa barang-barang yang dipesan oleh Tengku Putera Zulkarnain.”

Berkerut dahi Datuk Muzdamar. Dia menyambut kertas-kertas yang dihulur oleh pengawal gerbang itu. Nyaris keningnya bertaut melihat jumlah kereta lembu yang meminta izin memasuki perkarangan Istana Purnama Windu. Berbelanja apa sahaja putera yang seorang ini sehingga pedagang datang segerombolan begini?

Datuk Muzdamar menyerahkan kembali kertas itu sambil mengurut pelipisnya.

“Buat sahaja pemeriksaan yang ketat. Apa sahaja yang dihantar pagi-pagi buta begini? Sehingga Tengku Putera mengesahkan memang benar barang-barang itu miliknya, tahan para pedagang itu di luar gerbang.”

“Itu memang milik beta, Datuk Bentara Utama.”

Suara itu membuatkan semua yang ada di situ menoleh. Putera Zulkarnain mendekati kumpulan Datuk Muzdamar dengan langkah yang santai. Di belakangnya, ada dua orang Srikandi dan seorang awang istana mengekorinya rapat. Srikandi Dang Anum dan Srikandi Citra.

‘Adakah Puteri Zulaikha terlebih dahulu menyeru Putera Zulkarnain?’ getus hati Datuk Muzdamar. Dia sekadar mengangguk untuk menerima tunduk hormat dari dua Srikandi itu.

“Kami merafak sembah pertama kepada Tengku Putera.“ Bentara-bentara Kanan yang berada di belakang Datuk Muzdamar mengangkat sembah menyapa Putera Zulkarnain. Putera itu sekadar mengangguk sebelum dia bertentang pandang dengan Datuk Muzdamar. Agak lama renungannya sebelum putera itu mengalih pandangan.

“Boleh beta lihat?” Sopan sahaja nada Putera Zulkarnain meminta. Pengawal gerbang itu terus menyerahkan kertas di tangannya tanpa bertangguh. Putera Zulkarnain menyemak isi kandungan kertas itu.

Pengawal gerbang berdehem. Dia bertanya, “Benarkah Tengku yang memanggil pada pedagang itu? Jika bukan, kami boleh segera menahan mereka dan menyiasat…”

“Tidak, tidak… semua ini memang milik beta,” potong Putera Zulkarnain pantas. Dia menggamit Alang datang. Tanpa disuruh, remaja itu mengeluarkan pena dakwat dari beg sandangnya. Sebuah buku turut dikeluarkan untuk menjadi alas buat Putera Zulkarnain menulis.

“Sebanyak itu milik Tengku?” soal Datuk Muzdamar ragu.

“Benar, datuk.” Putera Zulkarnain mengangguk sambil menggariskan senyuman. Dia mencoretkan catitan pada kertas itu lalu menurunkan tandatangannya. “Semuanya sudah beta bayar. Jadi, mereka hanya datang untuk menghantar. Jika perlu, silakan sahaja periksa mengikut protokol.”

“Jika patik boleh bertanya, untuk apa tengku memesan semua barang itu?’ Seorang Bentara Kanan memberanikan diri untuk bertanya.

“Hadiah untuk para pemenang sayembara, tentunya.” jawab Putera Zulkarnain sambil tersenyum. Dia memandang Datuk Muzdamar lalu menyambung, “Datuk sudah dengar apa yang beta janjikan kepada mereka semalam, bukan? Inilah semua yang beta janjikan.”

Datuk Muzdamar menghela nafas lelah.

Ah, putera ini memang nekad melaksanakan rancangannya. “Tengku, patik minta Tengku hentikan semua ini. Jika Tengku membubarkan pasukan ini, Tengku umpama membahayakan keselamatan Tengku sendiri.”

“Beta sudah terlanjur berjanji, Datuk.” Putera Zulkarnain menyerahkan kertas itu semula pada pengawal gerbang.

“Tengku tidak boleh berbuat sesuka hati. Pembentukan pasukan ini sudah bersangkut-paut begitu banyak pihak,” tegas Datuk Muzdamar, namun hanya disambut dengan gelengan Putera Zulkarnain. “Patik minta, hentikan rencana Tengku.”

Serta-merta, keramahan dan kesantunan putera itu hilang bersama senyumannya.

“Datuk, kita berdua tahu, pelantikan seorang Satria Istana harus melalui pemilihan yang ketat. Bukan calang-calang orang yang dipilih untuk menjadi Satria Istana. Semuanya harus di bawah pengawasan Datuk. Sama seperti ayunda beta, beta juga berhak memilih dan melantik Satria yang boleh dipercayai untuk berada di sisi beta.”

Putera Zulkarnain menekankan nada pada perkataan ‘dipercayai’.

“Mengapa giliran beta, semuanya harus diatur oleh Majlis Pembesar-pembesar Inderagana? Tidakkah pembentukan pasukan ini sendiri telah mencabar kekuasaan datuk sebagai Bentara Utama?”

Soalan putera itu terpanah tepat ke punca kerunsingan Datuk Muzdamar, sekaligus mencalarkan harga dirinya. Para pembesar sedang berkelahi untuk mendapatkan Putera Zulkarnain, sedangkan dia tersepit di tengah-tengah kemelut itu.

“Tengku tidak perlu khuatir tentang hal sebegitu. Keselamatan Tengku menjadi keutamaan patik. Bukan sembarangan juga peserta-peserta yang dibenarkan bertanding di dalam sayembara yang lalu…”

“Sama sahaja jika beta tidak kenal dan percaya akan mereka, Datuk!” tingkah Putera Zulkarnain. Pandangan Datuk Muzdamar serta-merta mencerun.

Putera itu menghela nafas dalam sebelum menyambung. “Tidak beta, tidak juga datuk. Entahkan ada gunting di dalam lipatan, entahkan ada api di dalam sekam. Kita sama-sama tidak tahu pasti. Apa yang beta lakukan ini, sebenarnya membantu datuk mengembalikan adat dan undang istana ini ke tempat asalnya. Mengapa beta harus berhenti?”

Bentara-bentara Kanan di belakang Datuk Muzdamar mula terkesan dengan ucapan Putera Zulkarnain. Berbisik-bisik mereka bersetuju sesama mereka. Seorang Bentara Kanan mulai mempertimbangkan untuk menuruti rencana Putera Zulkarnain. Putera itu sudah menyediakan bola tanggung untuk menyelamatkan keadaan.

Datuk Muzdamar menggariskan senyuman. Bergeliga juga rupanya akal putera ini.

“Patik sungguh berbesar hati kerana Tengku sudi membantu patik. Tapi, hakikatnya Tengku telah membuat onar, melanggar aturan yang telah disusun! Janji Tengku semalam kepada patik, Tengku akan bertanggungjawab dengan apa yang Tengku telah lakukan. Pagi ini, patik menuntut janji.”

Putera Zulkarnain menuding kertas di tangan pengawal gerbang. “Maka itulah pertanggungjawaban beta. Kepada pemenang sayembara yang pulang ke pasukan asal masing-masing, sudah tersedia bingkisan yang beta janjikan.”

“Tidak semudah itu. Tidakkah Tengku tahu betapa banyaknya perkara telah dikorbankan untuk Tengku? Tengku tidak boleh bertindak begini. Semua bakal mendatangkan masalah!"

"Apa pun yang terjadi, biarkan beta bertanggungjawab!"

"Tengku telah membuat kecoh di istana. Maka, tengku harus dihukum!"

“Adinda beta harus dihukum, datuk?” Suara gemersik Puteri Zulaikha mencantas ketegangan antara Putera Zulkarnain dan Datuk Muzdamar. Mereka berdua segera menoleh, mendapati Puteri Zulaikha ada di situ.

“Tengku Puteri...”

“Ayunda!”

“Padanlah adinda tidak kunjung tiba. Rupanya di sini adinda berada," tegur Puteri Zulaikha sambil berjalan mendekati mereka.

Puteri Zulaikha menarik kain selendang tebal yang membaluti tubuhnya. Rambutnya masih mengurai jatuh, belum disanggul dan dihiasi. Tanda bahawa puteri itu sedang bersiap-sedia sebelum keluar dari kediamannya.

Dayang-dayang yang mengekori Puteri Zulaikha tampak kehairanan melihat ramainya lelaki yang berkumpul. Gerbang sayap kanan istana jarang menerima tetamu kerana tempat itu kediaman Puteri Zulaikha.

“Adinda dalam perjalanan, tetapi adinda kebetulan bertemu dengan Datuk Bentara Utama di sini.” Putera Zulkarnain terus tunduk dan menyalami Puteri Zulaikha. Tindakannya itu begitu bersahaja. Namun, itu cukup membuatkan mereka yang faham maksud tersirat, terbeliak mata.

Melihat kehadiran Puteri Zulaikha Datuk Muzdamar mengingat kembali tujuannya datang ke mari. Dia berkata, “Tengku Puteri, jika tidak keberatan… Ada hal mustahak yang harus patik bincangkan.”

“Tentu sahaja boleh, Datuk. Marilah masuk. Dayang-dayang beta baru selesai menyeduh teh hangat." Puteri Zulaikha mengukirkan senyuman manis. "Musim tengkujuh begini, tidakkah tuan-tuan sekalian kesejukan?”

Pandangan Puteri Zulaikha kemudian bertembung dengan Datuk Muzdamar. “Beta ingin penjelasan tentang maksud perkataan Datuk tadi. Apa maksud Datuk Tengku Putera Zulkarnain harus dihukum?”

"Seperti api dalam sekam"
[Maksud: Perbuatan jahat atau rindu dendam yang tersembunyi]

P/s: Sorry lama sangat tak update, huhuhu. Sebenarnya, datuk saya baru meninggal dunia. Hari ni dah genap 40 hari dia dah pergi. Adat kampung saya, buat majlis tahlil sampai 40 harTahlil sesetiap malam Jumaat, jadi tak sempat nak edit dan publish ikut jadual. Nanti saya update, okayy?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro