Bab 16: Anak Harimau Jangan Dipelihara

Mร u nแปn
Font chแปฏ
Font size
Chiแปu cao dรฒng

Di bawah teduhan pintu laluan pelayan istana, Alang mengibas kain layangnya beberapa kali. Titisan air hujan meluncur turun dari lapisan lilin nipis pada permukaan kain itu. Sambil mengasaknya kain layang yang masih basah-basah itu ke dalam beg sandangnya, dia bergegas menuju ke selatan Istana Purnama Windu. Menuju ke kamar Putera Zulkarnain.

"Bukankah itu pesuruh Tengku Putera Zulkarnain?"

Ada ucapan berbisik seorang dayang sempat singgah di deria pendengaran Alang.

"Memang dia. Dia seorang saja yang boleh keluar masuk sayap kanan istana selain srikandi-srikandi Tengku Puteri."

Alang mendengar kata-kata mereka. Tapi, dia pura-pura tidak tahu dan terus berjalan. Sampai di persimpangan lorong, dia membelok ke kanan. Cepat-cepat dia diam bersembunyi di sebalik tembikar hiasan yang besar.

Tidak lama kemudian, dua dayang yang berbisik-bisik itu tadi melintasi tempat persembunyian Alang. Tertinjau-tinjau mereka mencari remaja itu, sebelum menyambung percakapan mereka. Kecoh hendak bercerita. Sama sekali mereka tidak menyedari Alang sedang memerhatikan mereka.

Seorang membawa raga berisi kain-kain kotor, manakala seorang memegang penyapu di tangan. Alang cuba mengecam wajah mereka berdua.

"Tidakkah keterlaluan Tengku Putera dijatuhkan perintah berkurung? Sedangkan Tengku Putera pun baru pulang dari Empayar Ardalisia. Sampai hati Tengku Puteri..." rungut dayang yang mengelek bakul raga.

"Bukan begitu..." Dayang yang memegang penyapu memandang kiri dan kanan dahulu. Dia menyambung dengan nada yang serius, "Tengku Putera dituntut Tuan Muzdamar untuk bertanggungjawab dengan kekecohan yang dilakukannya. Engkau tahu apa yang berlaku tiga malam yang lalu, bukan? Tengku Putera ajak bergaduh dengan pemenang-pemenang sayembara! Kecoh seisi istana ketika itu kerana ada anak-anak keluarga bangsawan yang mengamuk!"

"Ah! Aku ada mendengar, tapi aku tidak tahu hujung pangkal! Balik dari sumur, istana sudah haruk-piruk. Apa yang terjadi?" tanya dayang dengan bakul raga.

"Tengku Putera mahu membubarkan pasukan Satrianya. Nyaris baginda bertengkar dengan Datuk Bentara Utama!"

"Sungguh?" Dayang dengan raga itu terbeliak mata. "Adakah kerana itu Tengku Putera dihukum?"

Temannya itu buat-buat menyapu lantai yang sudah sedia bersih berkilat. "Benar. Jauh-jauh hari rupanya baginda sudah merencana memberontak begini. Sampai bertegang urat dengan Datuk Bentara Utama! Oleh itu, Tengku Puteri yang harus campur tangan. Sampai Perdana Menteri kembali ke istana, Tengku Putera dilarang keluar dari kediamannya."

"Eh, mahu pula Tengku Putera menurut kata Tengku Puteri?"

"Mujur baginda mahu mendengar! Sudahlah Perdana Menteri tidak ada di istana kala ini. Entah apa lagi angkara yang akan dilakukan Tengku Putera jika tiada yang dapat mengekang tindakannya."

"Begitu... Tepatlah tindakan Tengku Puteri. Seperti kerbau menanduk anak dengan kaparan tanduk. Apalah sebabnya Tengku Putera berkelakuan begini? Baru pulang sudah membuat ulah. Tidakkah engkau merasa Tengku putera ini seorang yang..."

"Jangan ditegur!" Berdesis temannya itu melarang. Spontan keduanya mengemam mulut. Orang kata, cakap malam, dengar-dengar. Cakap siang pandang-pandang.

Mereka itu melintasi tembikar tempat Alang bersembunyi tanpa menyedari keberadaannya di situ. Setelah mereka menghilang di hujung lorong, barulah Alang keluar dari tempat persembunyiannya. Dia hanya mampu memaksakan senyum. Bernanah rasa hati mendengar dayang-dayang itu berani berbicara tentang Putera Zulkarnain seperti itu.

Jika sudah menjadi buah mulut dayang-dayang, sudah pasti perkara ini sudah menyebar ke seisi istana. Tercalarlah anggapan orang pada Putera Zulkarnain. Tetapi, inilah juga situasi yang tuan badannya sendiri mahukan.

"Adakah benar-benar tidak mengapa Tengku berbuat begini?" bisik Alang sendiri. Tiada yang akan menjawab soalannya, kerana Putera Zulkarnain juga masih berahsia dengannya. Dia mengangkat bahu, mengasak pertanyaannya itu di sudut minda. Sampai masa, Putera Zulkarnain pasti memberitahunya.

Alang meneruskan perjalanannya. Kali ini langkahnya lebih cepat dan lebih pantas. Besarnya Istana Purnama Windu cukup membuatkan dia tercungap-cungap. Sesampainya dia ke gerbang yang memisahkan bahagian utama istana dengan sayap kanan, barulah bahu Alang mengendur. Tempat ini lenggang tetapi terasa selamat.

"Kakak-kakak Srikandi!" Alang menegur ceria dua orang Srikandi yang berkawal di situ. Ada empat orang Srikandi yang dihantar Puteri Zulaikha untuk mengawal di sini secara bergilir-gilir. Alang sudah hafal nama kesemuanya. Tetapi, yang bersama dengan Srikandi Citra hari ini bukan Srikandi Permatasari, tetapi Srikandi Dang Anum, orang kanan terpercaya Puteri Zulaikha.

"Alang! Dari mana engkau hujan-hujan begini?" tegur Citra, terkejut.

"Seperti biasa, menyelesaikan urusan Tengku," balas Alang dengan sengihan. Dia tiba-tiba sedar Dang Anum sedang memerhatikannya dari hujung rambut ke hujung kaki. Pura-pura dia tunduk membetulkan tali beg sandangnya, menyembunyikan gentar.

"Bolehkah saya meminta izin untuk masuk ke dalam?" tanya Alang bila mereka tidak memberikan tanda-tanda berganjak dari tempat. Seolah-olah keberatan untuk membenarkan dia melalui pintu gerbang itu.

Citra mengerling Dang Anum seketika sebelum berpaling semula memandang Alang. Dia berkata, "Alang, bolehkah engkau maklumkan Tengku Putera Zulkarnain bahawa kami ingin bertemu? Kami membawa utusan dari Tengku Puteri Zulaikha untuknya."

"Tentu sahaja. Saya akan tanyakan jawaban Tengku."

"Kami akan menunggu," kata Dang Anum.

Alang menunduk hormat pada mereka sebelum menyelip masuk antara bukaan pintu gerbang. Dia terus menuju kamar Putera Zulkarnain. Dari ekor mata, dia dapat melihat dua srikandi itu sedang mengintip dirinya. Mereka tidak akan masuk ke sini, kerana sayap kanan ini kediaman Putera Zulkarnain. Sekurang-kurangnya tidak tanpa keizinan.

Perlahan-lahan dia mengetuk daun pintu kamar.

"Tengku... ini Alang."

Tiada jawapan dari dalam. Alang menolak daun pintu dan segera meloloskan tubuhnya masuk ke dalam. Matanya terus melilau ke seluruh kamar, mencari keberadaan tuannya yang seorang itu. Garu kepala dia melihat keadaan kamar Putera Zulkarnain.

Bersepah. Tidak seperti tongkang pecah, tetapi bersepah.

Sudah tiga hari sejak Putera Zulkarnain ditahan di kamarnya ini. Tiga hari juga Alang harus bersabar dengan keadaan cacamerba ini. Meronta-ronta rasa hatinya ingin mengemas, tetapi dia tidak boleh melakukannya tanpa kebenaran tuannya. Semuanya gara-gara Putera Zulkarnain mengambil keputusan untuk 'bertapa' di kamarnya.

Orang di luar hanya tahu Putera Zulkarnain dihukum perintah berkurung kerana ulahnya kelmarin-kelmarin. Sedang mereka menyebar buah mulut di luar, mereka tidak tahu apa yang Putera Zulkarnain lakukan di dalam sini.

Hanya Alang yang tahu. Dia menyaksikan putera itu bertungkus-lumus mengumpul maklumat. Dari terbit ke terbit matahari, antara pejam dan celik, Putera Zulkarnain telah 'berenang' dalam semua manuskrip, naskah, buku, kitab, catatan dan skrol. Semuanya untuk mengetahui situasi terkini Inderagana.

"Tengku?" Alang menjenguk sofa panjang di tengah-tengah kamar. Dia menemui Putera Zulkarnain ada di situ, berbaring dengan buku catatannya bertelangkup di wajahnya. Alang ketawa kecil sambil berhati-hati menapak antara permukaan lantai yang masih tampak.

"Engkau sudah pulang?" tanya Putera Zulkarnain dari bawah buku. Alang mengangkat buku itu untuk menunjukkan anggukan dan sengihannya. Putera Zulkarnain tampak baru terjaga, sekadar senyum dengan wajah yang masih mamai. Mata yang kuyu dipejamkan semula.

"Pasti patik telah mengejutkan Tengku tadi. Ampunkan patik," balas Alang perlahan. Sehalus-halus suara dapat membuatkan Putera Zulkarnain tersentak dari lenanya. Menyesal dia menonong masuk tadi. Jika tidak, mungkin Putera Zulkarnian dapat lelap lebih lama dan rehat yang secukupnya.

"Tidak mengapa..." Putera Zulkarnain mengulaskan senyum dengan mata yang masih tertutup. Suaranya parau.

"Adakah Tengku mahu sambung beradu?"

Soalan Alang disambut gelengan perlahan Putera Zulkarnain. Putera itu menggeliat sepuas-puasnya sebelum bangun dari pembaringan. Alang perhatikan sahaja Putera Zulkarnain terkebil-kebil melihat hamparan kertas-kertas di hadapannya.

"Nikmat hujan-hujan begini dibawa beradu, Tengku. Apa lagi jika berulit dalam selimut..." Alang cuba menghasut.

"Sememangnya. Beta tidak sedar bila beta jatuh terlelap tadi." Putera Zulkarnain sekadar tertawa kecil. Dia meraup wajah. Dari telapak tangannya, terhasil sedikit air yang membasahkan wajah dan anak rambutnya. Sepasang mata yang tadi kuyu, kini segar bugar.

"Jika engkau hendak beristerahat, pergilah. Gunakan sahaja peraduan beta. Tidak beta melarang. Tetapi, beritakan dahulu pekerjaanmu. Sudah engkau selesaikan apa yang beta minta?"

"Sudah, Tengku." jawab Alang. "Saudagar naungan Tengku akan menguruskan segala-galanya. Tetapi, selepas ini patik mungkin akan jadi lebih sukar untuk keluar masuk istana. Lama-kelamaan, orang pasti akan mencari patik kerana semua sudah maklum, patik itu budak suruhan Tengku."

"Mengapa? Ada yang cuba mendekatimu kerana beta?" Putera Zulkarnain serta-merta menoleh pada Alang.

"Ramai, Tengku! Ada segerombolan orang berkumpul di hadapan gerbang Sri Wibawa. Dari persalinan mereka, sepertinya golongan bangsawan. Mereka mendesak dibenarkan memasuki perkarangan istana kerana ingin menemui Tengku. Katanya, mereka ahli keluarga Tengku?"

"Ah, itu pasti Datuk Jendaya dan pengikutnya." Wajah Putera Zulkarnain berubah jelik. "Dia... pamanda sebelah gemulah bonda beta. Tetapi, lelaki tua ini memusuhi dan menentang ayunda beta, Alang. Dialah juga yang mendesak beta untuk kembali ke Inderagana dan mengatur sayembara pemilihan satria, tanpa persetujuan beta."

"Begitu..." Alang mengangguk faham. "Jadi, merekalah yang berniat menobatkan Tengku sebagai pewaris takhta? Kerana itu juga Tengku tidak menyukai pamanda Tengku?"

"Anak harimau jangan dipelihara, Alang. Engkau fikir mengapa beta sengaja berkurung diri? Terang bersuluh pamanda mahu sesuatu dari beta! Mengapa baru sekarang mahu berbaik-baik, mengaku beta anak saudara? Sedangkan selama ini, Datuk Jendaya memusuhi ayunda!" balas Putera Zulkarnain sambil mendengus kasar.

Alang segera mengerti. Datuk Jendaya ialah halangan besar kepada matlamat yang ingin dicapai oleh Putera Zulkarnain.

"Beta tidak ingin mewarisi takhta, Alang. Ayunda beta lebih berkelayakan!"

"Patik tahu, Tengku...."

Sudah kesekian kali Alang harus mendengar rungutan seumpama itu. Dialah yang harus menadah telinga mendengar Putera Zulkarnain menghambur isi hati jika mereka hanya berdua. Anehnya, setelah puas berkeluh-kesah, Putera Zulkarnain tetap juga mengerjakan tugasnya sebagai seorang putera raja.

Alang mengulum senyum memikirkan hal itu.

"Tapi, cepat atau lambat... beta tetap harus berhadapan dengan mereka." Putera Zulkarnain menyandar lemah lalu mendongak ke langit-langit kamarnya. "Ada apa-apa lagi?"

Alang mengagguk. "Ada. Sebelum patik masuk tadi, Srikandi Dang Anum ingin bertemu dengan Tengku. Katanya, ada utusan dari Tengku Puteri."

"Dang Anum sendiri datang ke mari?" Putera Zulkarnain menjongketkan kening.

"Adakah Tengku sudi menerima kedatangan mereka?"

"Tentu sahaja." Putera Zulkarnain bangkit. "Beta tertanya-tanya juga. Mengapa hari ketiga, baru orang kanan ayunda beta ini mahu melawat beta? Mungkinkah ada udang di sebalik batu, Alang?"

Alang hanya mengangkat bahu.

Maksud peribahasa:

"Seperti kerbau. Menanduk anak dengan kaparan tanduk. Bukan hujungnya."
[Maksud: Menghukum anak ialah untuk memperbaiki kelakuannya, bukan untuk menyeksa.]

"Anak harimau jangan dibela dipelihara."
[Maksud: Jangan berbuat baik atau memihak kepada orang yang suka berbuat jahat.]

P/s: Sebenarnya, bab ini dan bab sebelum ini saya dah revamp. Tak sama dengan draf asal sebab ada terima kritikan dari kawan. Katanya, saya kena perincikan konfrontasi antara Putera Zulkarnain dan Datuk Muzdamar. Saya tak mampu buat, ahaks! Puas termenung tau!

Cuma bagi komen sikit. Bab 15 dan 16 dah okay atau saya kena tulis balik?

Jangan lupa vote dan komen!

Bแบกn ฤ‘ang ฤ‘แปc truyแป‡n trรชn: Truyen2U.Pro