BAB 6 - Perintah Bangsawan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

    “Baju zirah?” Mawar, anak perempuan sulung Tok Penghulu, berpaling memandang Safira dan Dimaris yang tercegat di halaman rumahnya. Tiba-tiba dua budak muda ini datang dan bertanyakan perkara yang paling ajaib dia dengar petang itu.

    Mawar menopang dagu pada pagar serambi. “Ada tu ada… tapi, bapak tak akan senang-senang benarkan kau orang tengok. Benda tu warisan keluarga dari datuk moyang yang pernah ikut berperang. Kenapa? Engkau yang nak tengok, Damiras?” soalnya.

   “Bukan saya, kak. Safira. Dia yang nak ikut sayembara merekacipta baju kebal yang dianjurkan oleh istana tu. Sebab tu, teringin nak tengok…” Damiras menggerakkan kepalanya pada Safira.

    “Bolehlah, kak… Sebab di kampung ni, kami tahu tok penghulu sajalah yang ada simpan baju zirah. Keturunan pun pahlawan perang. Macamana saya nak buat baju kebal tu kalau saya tak tahu apa yang perlu ada pada baju zirah?” 

    “Oh… kau nak tengok sebab ikut sayembara istana yang itu…” Mawar mengingat-ingat semula. Rasanya dia pernah dengar tentang sayembara itu disebut oleh ayahnya. “Semalam, sebenarnya sampai juga utusan tu dari pembesar daerah. Kau betul-betul nak ikut sayembara, Safira? 

    “Ya, kak!” balas Safira bersemangat. “Saya dah lama…”

    “Bolehkah kau?” Mawar memotong sebelum habis Safiras usai berkata-kata. Serta-merta, soalan ringkas itu memadamkan senyuman Safira seperti lilin yang ditiup angin.

   “Kak…” Damiras berusaha membenamkan perasaan tidak senang hatinya pada Mawar.

    “Saya tetap nak cuba, kak!” Safira menghela nafas panjang. Dia bertentang mata dengan wanita yang tua beberapa tahun darinya itu. “Sebenarnya, saya dah lama nak mencipta baju kebal ini. Sejak tiga tahun lalu saya pasang angan-angan. Tiga tahun, hampir setiap saya berfikir, kak.”

    Safira memaksakan senyum. 

    “Sayembara ini pula tiba-tiba diuar-uarkan. Orang lain mungkin baru nak mula mencari buah fikir, saya pula sudah bergudang-gudang buah fikir.” Dia perasan Damiras sedang memandangnya. Safira melembutkan otot wajahnya lalu menyambung, “Lagipun, apa salahnya mencuba?”

     “Adakah engkau benar-benar yakin sudah banyak ilham untuk merekacipta baju kebal ini?”

      “Saya yakin, kak. Sekurang-kurangnya, cubalah akak melihat ini.” Safira menghulurkan papan yang dipeluknya sejak tadi kepada Mawar. Supaya kertas-kertasnya tidak berceraian atau hilang, Damiras telah mendapatkan sekeping papan buangan dari tukang kayu untuknya. Lalu, lukisannya dipakukan ke papan itu.Mawar menyelak lukisan Safira lambat-lambat. Kemudian, dia serahkan papan itu semula pada Safira.

     “Apa engkau boleh menang?”

      Damiras mencengkam penumbuk di belakang badannya. Ketara benar baginya yang Mawar sedang meragui Safira. Bicaranya, bahasa badannya angkuh dan sinis. Damiras khuatir semangat Safira akan dipatahkan dengan kejam oleh anak Tok Penghulu itu.

      “Saya boleh menang atau tidak, bukan saya yang tentukan, kak. Tetapi, saya mahu menang.” Tegasnya jawapan Safira mendatangkan kelegaan pada Damiras.

       Mawar memicingkan mata memandang Safira, bagai menilik apa yang tersirat di sebalik wajah tegas dan berani yang ditayangkan oleh remaja perempuan itu. Safira pula mengekalkan keras wajahnya, berusaha tidak menunjukkan kegoyahan berhadapan pandangan yang seolah-oleh meremehkannya itu.

       “Baiklah, kalau begitu.” Mawar melarikkan senyum. Safira mendengar dengan debaran, mengharapkan agar sambungan kata Mawar akan membawa harapan untuknya.

     “Sebenarnya, pembesar daerah di seluruh negara yang menerima perintah dari istana untuk menyertai sayembara itu. Tapi, pembesar daerah kita pula… aku katakan sahaja beliau memerlukan bantuan dari bawahannya untuk menyediakan baju kebal itu. Lalu, itu menjadi tugas yang jatuh berdebuk di atas kepala bapak.” Mawar mendengus.

      “Maksud… maksud akak?”

      “Jika engkau benar-benar ingin menyertai sayembara ini, engkaulah yang akan jadi wakil kampung. Ringan kepala bagaimana aku nak menjawab surat bangsawan itu. Tapi, aku harus meyakinkan bapak dahulu. Umurmu terlalu mentah untuk menyerta sayembara istana.”

      Bila melihat dua remaja itu terkebil-kebil, Mawar mendesah. Tidak patut dia merungut hal ehwal kampung di depan mereka berdua ini. Bukannya mereka mengerti. Mawar menjelaskan semula, “Aku akan menyokong kalian untuk menyertai sayembara itu. Kalian jadi wakil kampung. Tapi, aku harus meyakinkan bapak. Jadi, baju zirah yang kalian teringin untuk lihat itu juga, mungkin dapat kalian lihat. Mengerti?”

      Safira dan Damiras mengangguk perlahan-lahan, masih belum mencerna sepenuhnya apa yang dikatakan oleh Mawar. Mawar menggeleng saja. Dia bangkit dari duduknya, memberi isyarat supaya mereka tunggu di situ. Dia menghilang sebentar ke dalam rumahnya.

      Apabila Mawar kembali, di dalam tangannya ada sebemban kertas. Damiras cepat-cepat menyambut kertas itu apabila Mawar menyuakan kepadanya.

      “Tunggu aku panggil semula. Sekarang, engkau berdua balik. Kertas yang aku beri itu, Safira, engkau harus lukis semula rekaan baju kebal kau itu. Aku tidak mahu comot. Lukis cantik-cantik! Kau ingat orang nak pandang lukisan di kertas bekas sampah begitu? Selebihnya, engkau harus cadangkan dari apa baju kebal itu harus terbuat. Mengerti?”

      “Baiklah, kak!” jawab Safira riang. Suaranya tanpa sengaja melenggok seperti merayu kakaknya Nilam. Tapi, Safira tidak peduli. Dia sudah terlalu gembira melihat kertas yang diberikan oleh Mawar. Tebal sebemban kertas tidak pun mencapai seruas jari. Tapi, kertas-kertas itu nampak baru dan tebal. Lebih penting, dia mendapatkannya percuma!

     Damiras yang mengerti hasrat hati Safira menyerahkan saja kertas-kertas itu kepadanya. Safira menimang kertas-kertas itu dengan berhati-hati. Senyumnya sudah kembang setaman. 

    “Sudah… pergilah balik. Nanti mencari mak dan kakakmu. Hari dah nak gelap ni. Damiras, malam ni pastikan engkau turun gelanggang. Tak lama lagi ujian Satria Sulung.”

     "Orang memang nak turunlah, kak..." Damiras mencebik. Kalau pasal latihan, tidak memang tidak akan culas. Kecuali seperti petang semalam dia bertugas mengawal gerbang kampung, dia boleh berehat dari menyertai latihan seni bela diri pada waktu malam. Mawar cuma angkat bahu. Apa salahnya? Dia hanya mengingatkan.

     Setelah itu, dua remaja itu meminta izin untuk beredar. Mawar hanya memerhatikan mereka berdua berjalan keluar perbatasan halaman rumahnya.

     Sepanjang perjalanan pulang, Damiras harus memastikan Safira tidak tersadung batu, terlanggar pokok atau termasuk parit. Fokus gadis itu sepenuhnya tertumpu pada kertas-kertas itu supaya tidak terkelepet sedikit pun.

    “Aduhai, Safira. Apa nak jadilah dengan kau ini…” Damiras ketawa dalam kepasrahan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro