Bab 7 - Mula Merancang

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Malam itu, setelah selesai makan malam dan membantu ibu dan kakaknya mengemaskan dapur, Safira terus meminta diri nak masuk ke biliknya. Terkejut Mak Intan.

"Apa yang adik engkau kerjakan tu, Nilam? Mak tengok berkurung saja di dalam bilik," tanya ibu mereka, Mak Intan. Wanita separuh abad itu mencuit Nilam sambil menjenguk Safira yang sudah naik ke rumah. Nilam sekadar mengangkat bahu. Dia lebih fokus mengacau air teh di dalam teko.

"Datang balik perangai dia yang lama tu, mak. Biarlah. Selagi akalnya masih lurus nak menolong kerja-kerja rumah, tak ada yang nak dikisahkan." Nilam membalas. Dia menuangkan teh panas ke dalam cawan untuk ibunya.

Mak Intan hanya diam memerhatikan sikap anak perempuan sulungnya yang acuh tidak acuh perihal adiknya itu. Ada rasa khuatir yang bertunas di sudut hati wanita itu, tetapi dia biarkan sahaja mengenangkan Safira juga sudah meningkat remaja.

Manakala, Safira tidak mendengar kakak dan ibunya memperkatakan dirinya. Fikiran penuh dengan rencana yang telah disusun sejak petang tadi.

Sebaik sahaja masuk ke dalam biliknya, dia menyambar raga yang diletak sebalik pintu. Safira mengangkat raga itu lalu ditaburkan isinya di atas tikar mengkuang. Berjatuhan gulungan kulit lembu, gumpalan getah pokok, kapas, serat-serat nanas kering, kulit kayu, plat besi dan macam-macam benda aneh-aneh lagi.

Safira bertinggung. Dia mencapai kulit lembu yang bergulung itu. Kulit lembu sebesar telapak tangnnya ini didapatkannya setelah berkeras hendak belajar membersihkan kulit lembu yang hendak dibuat kulit kompang dan beduk dari tukangnya. Dipalu berkali-kali, kulit lembu boleh bertahan untuk masa yang lama sebelum koyak.

Dia mencapai pula kulit kayu. Dia sudah pernah nampak orang kampungnya menggunakan kulit kayu ini untuk dibuat baju atau beg. Dia menimang-nimang kedua-dua bahan itu, terfikir untuk dijadikannya bahagian luaran baju kebalnya.

Kemudian, Safira mencapai pula dua gumpalan getah.

"Eii, busuk!" Dia mengerutkan hidung. Bau getah itu masih ada walaupun sudah lama kering. Safira menggenggam-genggam gumpalan getah murni di tangan kanan, manakala gumpalan bercampur serat nanas di tangan kiri. Jelas getah murni lebih lembut dan kenyal.

Safira menarik cucuk sanggul yang terpasang di rambutnya. Tanpa menghiraukan rambutnya mengurai turun, Safira menusukkan cucuk sanggul kayu itu ke dalam gumpalan getah murni. Tembus ke lantai dengan mudah. Itu sudah dijangka. Safira tusukkan pula pada getah berserat nanas. Terbenam juga, tetapi lebih sukar kerana gumpalan itu lebih keras.

"Hmm... mesti ada lagi bahan yang lebih berkesan untuk menahan serangan..." gumam Safira sendiri.

Tetapi, hakikatnya dia tidak tahu apa lagi bahan-bahan semula jadi yang boleh dia dapatkan dengan mudah di sekelilingnya. Tambah-tambah, pilihannya terhad kerana kekangan kewangan.

Mata Safira melilau lagi, memerhati objek yang bersepah di hadapannya. Dia mencapai kepingan besi. Kalau diukur dengan ruas jarinya, saiz kepingan besi lebarnya tiga kali dua ruas jari. Dalam banyak-banyak objek aneh-aneh yang dia ada sekarang, paling mahal yang dia ada ialah kepingan besi ini.

"Tapi, mendapatkan besi kepingan besi seumpama ini pasti sukar dan mahal..."

Kepingan besi itu ialah sisa lelehan besi yang dibuat keris yang dia dapatkan dari tukang pembuat keris yang dia temui dua tiga tahun lepas. Dia tidak ingat. Hanya yang dia ingat, untuk membuat keris, ada tujuh jenis besi yang dileburkan dan dicampur bersama untuk membuatkan besi itu keras. Safira menggelus corak pamor yang alami terbentuk kerana percampuran besi-besi itu.

"Hmm... buat masa sekarang, seeloknya aku siapkan dahulu lukisan baju kebal itu," bisik Safira sendiri. Dia melonggokkan semua koleksi bahan-bahannya itu di tengah-tengah tikar mengkuang. Safira melangkah menuju ke meja rendah yang menjadi tempatnya melukis. Dia duduk bersimpuh di atas lantai lalu membelek semula lakaran-lakaran awalnya.

Terbayang semula perbincangannya dengan Damiras petang tadi.

Damiras meminta dia mengambil kira kebebasan pergerakan. Oleh itu, dari lapan lakaran yang dibuatnya, hanya enam yang tersisa menepati permintaan Damiras. Safira mengambil baki kertas yang masih belum digunakan. Sebelum melukis di atas kertas yang diberikan oleh Kak Mawar, dia harus latihan dahulu supaya lukisannya di atas kertas tebal akan jadi kemas, bersih dan sempurna.

Bila mula melukis, Safira mula tenggelam dalam dunianya sendiri. Sama sekali dia tidak sedar, ibunya sedang memerhatikan dari celah pintu yang terbuka.

"Apa yang engkau rancangkan, Safira?"

(675 patah perkataan)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro