Bab 12

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

IBU FATIMAH berhenti di pintu kamar Dewi. Anaknya tengah berzikir di atas sejadah. Perlahan dia masuk ke kamar dan melabuhkan punggungnya di birai katil. Dewi berhenti daripada aktivitinya lalu pergi menghampiri Ibu Fatimah. Dia mengucup dahi Ibu Fatimah.

Dua-dua terdiam sebentar. Masing-masing dengan pemikiran sendiri.

"Dewi... Mama mahu bicara sebentar."

"Iya, ma... Ada apa?"

"Betul kamu udah tau Khairi punya isteri dan anak?"

Dewi sekadar mengangguk.

"Kamu kenal atau pernah pernah bertemu isterinya?"

Dewi menggeleng. Berdebar dada apabila mama sudah masuk campur hal keluarga Khairi. Namun mama kan punya hak ke atas anak gadisnya.

"Mereka sudah lama bermasalah, ma..."

Polos kata-kata Dewi.

"Mama yakin itu pasti cuma alasan Khairi. Dewi, tidak ada satu pun rumah tangga di kolong langit ini yang bebas sama sekali dari problem dan permasalahan. Tidak ada satu pun rumah tangga yang bebas dari perselisihan. Tidak ada satu pun rumah tangga yang tidak pernah ada pertengkaran kecil. Cuma satu yang mama khuatirkan..."

Dewi panggung kepala menghadap wajah mama. "Apa dia, ma?"

"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, tidak termasuk golongan kami orang yang bersumpah dengan amanah dan barang siapa merosak hubungan seorang wanita dengan suaminya atau budak tuannya, maka ia tidak termasuk golongan kami."

Dewi diam. Gelisah. Ternyata mama sudah meletakkan dia sebagai orang yang membuat onar.

"Dewi tak rosakkan rumah tangga sesiapapun, ma," ujar Dewi membela diri. Anak mata dilarikan dari bertentang dengan mata mama. Takut disambar gugup.

"Dewi pasti?"

Ibu Fatimah pula berusaha untuk mencari anak mata anaknya. Di situ dia boleh bertemu jawapan yang jujur. Kadang-kadang mulut boleh berkata-kata, tetapi kejujuran datang dari hati. Sinar mata tidak dapat menipu. Yang banyak pengalaman hidup akan menemui jawapan telus di situ.

Dewi mengangguk. Kelihatan teragak-agak.

"Kalau begitu, mama yakin perempuan itu tidak ada masalah bertemu sama kamu, kan?"

Dewi berdehem. Membetulkan tekaknya yang tiba-tiba terasa amat gatal dan tidak selesa. Dia tundukkan wajah. Tidak mahu mama melihat perubahan di wajahnya.

Berjumpa dengan isteri Khairi? Adakah itu jalan yang terbaik? Tidak pernah Dewi terfikir untuk berjumpa Amyza. Apatah lagi untuk berbincang isu perkahwinannya dengan Khairi dengan Amyza.

Khairi tentu tidak mengizinkan jika dia membuat permintaan begitu. Pernah Khairi menyebutnya. Sekali-kali dia tidak perlu berjumpa Amyza. Buat apa jumpa? Cari gaduh? Tidak mungkin untuk Dewi bertampar-tampar dengan Amyza. Dia tidak diasuh untuk bertindak demikian. Tetapi bagaimana di pihak Amyza?

Menurut Khairi, Amyza tidak sama seperti Dewi. Amyza kurang dari segi pendidikan agama. Tak pernah solat, tidak menutup aurat, puasa pun bila larat, tak larat dia makan. Ibu bapa Amyza juga jenis yang sosial, tidak pentingkan agama. Asalkan mereka hidup senang sudah memadai.

Itu sebabnya Khairi suka Dewi. Dia terpikat dengan keimanan Dewi. Dia yakin yang Dewi boleh mengubah hidupnya. Dia sudah jemu dan bosan dengan kehidupan tanpa arah tujuan seperti Amyza. Khairi inginkan peneman yang boleh bawa dia kepada cahaya syurga. Dia sudah muak dengan kehidupan yang meninggalkan agama.

Dewi telan air liur. Dalam. Sedar yang niat Khairi ikhlas. Khairi mahu mencari cahaya iman. Sebab itu dia mahu memperisteri Dewi. Khairi tidak main-main. Dia tidak mempersendakan kata cintanya kepada Dewi.

Tetapi... Kata-kata mama sebentar tadi? Mama kata itu cuma alasan Khairi? Ah... Dewi bingung!

Mama mungkin sengaja mahu memprovokasi Dewi supaya menaruh syak wasangka kepada Khairi. Mungkin mama dan papa tidak suka kepada Khairi kerana Khairi sudah empunya rumah tangga sendiri.

Dewi tak pernah berniat merosakkan rumah tangga orang. Dewi tahu itu dosa besar. Dari awal lagi Khairi sudah berterus terang kepada Dewi. Masa tu Dewi sudah jatuh cinta kepada Khairi. Dewi dapat menerima keadaan Khairi seadanya.

Rumah tangga Khairi dan Amyza sememangnya sudah suram. Tiada kebahagiaan lagi. Amyza sering dengan kehidupannya sendiri-sendiri. Tidak melayan Khairi sebagai suami. Kemesraan tidak terjalin lagi. Khairi rasa dia hanyalah seperti robot untuk Amyza. Bekerja keras mencari duit untuk Amyza nikmati sedangkan Amyza tidak membalas seperti apa yang Khairi mahukan.

Kasihan, Mas Khairi.

Tiada siapa yang faham keadaannya.

Mama tidak faham sebab mama belum mengenali. Tetapi Dewi sudah cukup memahami. Sebab itu Dewi setuju untuk bernikah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro