Bab 13

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PINTU bilik tamu terbuka luas. Dari jauh Amyza melihat keadaan di dalam bilik tersebut yang lintang-pukang mengalahkan kapal karam. Bantal bersepah-sepah di lantai, cadar tertanggal, selimut bergelimpangan, baju seluar bertebaran. Aduhai... Kena kemas lagi di sini nanti. Dahlah dia baru aje selesai kemas pakaian di dalam almari yang ditarik oleh Khairi semalam.

Buang masa betullah laki seorang ni. Dia buat sepah, orang yang kena kemas. Jika dibiar saja nanti, dikatanya Amyza tak berguna. Ada isteri pemalas! Macam-macamlah yang dikata Amyza. Semuanya Amyza yang salah... Bla... Bla... Bla. Begitu agaknya perangai orang lelaki apabila hendak nikah lagi satu. Tak ada alasan dijadikan alasan. Kasihan semua orang perempuan kalau macam ni punya gaya lelaki.

Amyza melangkah ke bilik tersebut. Hendak tak hendak, dia kena buat juga. Kaki terhenti di tepi dinding pintu. Ada suara garau. Belum pergi kerja rupa-rupanya bakal bekas suaminya ini. Owh... Tengah helo-helo dalam talian. Dengan buah hati bakal isteri mudalah tu! Sentap hati Amyza sekejap. Tetapi dia tetap pasang telinga di sebalik dinding. Fokus dia skodeng perbualan Khairi.

"Entah Din... Aku dah fed up dengan sikap dia." Khairi diam sekejap, mungkin dengar orang sana cakap pula.

Dengan Hasdin rupa-rupanya. Mengadu dombalah tu. Amyza tahu Hasdin tu kawan baik Khairi. Kawan lepak-lepak waktu malam. Kawan mengajar yang bukan-bukan. Amyza kurang berkenan dengan Hasdin ni. Berlagak alim. Alim-alim tahi kucing! Orang sembahyang kat masjid, kat surau, dia sembahyang kat kelab, kat karaoke, kat disko. Gebang pasal agama bukan main, tak pernah kalah. Tetapi perangai macam syaitan. Isteri kawan baik sendiri pun nak dirembat.

Pernah beberapa kali Hasdin ni goda Amyza di belakang Khairi. Waktu Khairi tak ada, dia calling-calling, ajak cakap yang bukan-bukan. Itu belum campur lagi yang dia jalankan taktik kotor untuk ajak Amyza keluar semasa Khairi outstation di luar negara. Rahsia ni, Amyza tidak pernah cerita kepada Khairi. Dia tidak mahu memutuskan hubungan persahabatan suaminya dengan kawan baik. Pandai-pandailah dia menjaga diri supaya tidak terjebak dengan perangkap Hasdin. Begitu gigih dia menjaga diri supaya tidak digelar isteri curang. Akhirnya siapa yang curang? Sedih, kan?

Amyza kembali tekun mencuri dengar perbualan Khairi. Mengumpat dia, lagilah dia hendak tahu. Itulah orang kata kan, cakap siang pandang-pandang, kalau dah daun pintu terkangkang, jangan salahkan orang yang terdengar, ya.

"Sembilan tahun kahwin, masih tak pandai-pandai masak. Yang dia tahu masak asam pedas, tomyam yang entah apa-apa rasa tu, yang itulah yang dia ulang-ulang. Kau bayangkan sembilan tahun aku nak kena telan makanan yang sama tu." Khairi mengadu.

"Gelaklah... Gelak!"

Diam.

"Cantik memanglah cantik. Badan dia maintain aje macam mula kahwin walau anak dah besar."

Kembang dada Amyza kejap. Khairi puji tubuhnya masih wow.

"Tapi muka tu kusam dan masam aje hari-hari. Nak kata tak ada gula, duit melambak aku bagi. Murah aje kut sekilo gula. Tak ada muflis aku ni. Baju pakai macam nyonya, rambut pula setiap kali aku balik, tak pernah yang senonoh. Begitu-begitu juga. Hilang mood tau. Pendek kata, dah tak ada seri lagilah!"

Dada Amyza yang kembang tadi serta-merta menguncup terus. Baik punya kutuk bini. Masa ada perempuan lain ni dia cerca sampai nak runtuh langit. Bagi tahu semua orang yang bini tak baik. Tak tahu simpan-simpan masalah rumah tangga diam-diam. Ada ke patut pergi cerita kat orang luar? Percaya sangat kepada Hasdin tu. Tak sedar yang kawan sendiri tikam dari belakang. Kawan makan kawan.

Satu lagi, ingat dia tu handsome sangat ke? Ketiak pun hangit. Kalau tidak diingatkan, tak pakailah deodoran. Macam manalah awek Indonesia tu boleh terpikat? Amyza tahan sebab suami sendiri. Nak buat macam mana kan, takkan nak minta cerai sebab ketiak tengik. Buat orang pejabat agama gelak tak cukup oksigen aje nanti. Dah tu... Bila tidur, Ya Allah... Tak sah kalau tak berdengkur. Kruh, kruh, kruh tiap-tiap malam. Malam semalam aje Amyza rasa aman dari lagu yang paling tak sedap tu. Ingat senang ke dia bertahan selama sembilan tahun ini? Fikirlah pengorbanan dia juga!

Sabar Amyza. Sabar... Dengar lagi apa yang Khairi tak puas hati.

"Berpisah?"

Diam.

"Biarlah orang nak kutip sekalipun. Apa aku kesah?"

Diam

"Aku tak menyesallah. Aku dah ada pengganti, baik punya."

Diam.

"Yang ini lain, Din. Baik, beriman, sopan santun, hormat aku. Bolehlah bimbing aku nanti..."

Diam

"Haah... Betullah kata kau dulu. Kalau nak cari isteri, jangan cari di kelab malam. Sekarang baru aku tahu kebenarannya. Kalau dari situ asal usulnya, tak berpanjangan bahagia tu. Perangai dia tak akan berubah. Macam itu juga. Tak nampak cahaya iman langsung di muka. Bosan aku! Patutnya cari isteri dari surau, masjid, yang pegang al-Quran, pegang telekung, kan?" Khairi tersenyum mengenang Si Dewinya.

Amboi! Tak menahan punya kritikan. Yang ini, kesabaran Amyza sudah sampai tahap maksimum. Sedap-sedap mengata asal usul Amyza dari tempat yang tak baik. Yang dia pun sama menapak ke kelab-kelab malam tu apa cerita?

Ooo... Nak wajah Amyza ni bercahaya-cahaya kerana beriman. Habis tu, wajah dia berseri-seri sangatkah kerana air sembahyang?

Amyza sudah tidak dapat menahan geram sendirian. Dia terjah masuk menghadap Khairi yang duduk di birai katil dengan hanya berseluar kecil.

Amyza pandang atas bawah tubuh suaminya.

Khairi terkejut. "Tak tahan sangat ke sampai pagi-pagi datang menerkam cari suami? Semalam siapa yang menghina suami sampai suruh tidur atas lantai?" perlinya.

"Jangan perasan boleh tak?" marah Amyza sambil bercekak pinggang.

"Habis tu? Kelam-kabut terjah sini buat apa kalau tak teringin?"

"Eh... Nak lagi ke bersama dengan orang tak sembahyang? Tak jijik ke?" perli Amyza balik.

Khairi telan liur. Dengar rupa-rupanya.

"Myza nak tanya ni, kata Myza tak sembahyang, abang tu pernahkah habis sembahyang? Bukankah seminggu sekali aje abang sembahyang? Itupun sebab malu kepada staf di pejabat, bukan malu kepada Tuhan!"

"At least abang dalam proses memperbaiki diri..."

"Baiki diri? Dengan cara macam ni?"

"Whatever..." Selamba jawapan Khairi.

Khairi pergi ke muka pintu, mempersilakan Amyza keluar dari situ. Macam kartun aje rupanya. Badan tinggi sasa, pakai cuma seluar dalam oren. Kalau tidak kerana marah yang meluap-luap sudah tentu Amyza ketawa guling-guling. Sebaliknya waktu ini, Amyza terpaksa merengus dan keluar dari situ dengan egonya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro