BAB 34

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

HAZIQ terus mengejar Siti Safea. Baru sahaja dia mahu memanggil nama gadis itu, tiba-tiba bas sekolah sudah pun berhenti di perhentian bas. Tanpa membuang masa,  Haziq Arfan terus berlari dengan laju untuk mengejar gadis itu.Tetapi malangnya Siti Safea sudah berada betul-betul di hadapan pintu bas.

Haziq cuba memanggil nama Siti Safea. Disebabkan bunyi enjin bas yang terlampau kuat dan bercampur lagi dengan suasana murid yang hingar bingar menyebabkan panggilan Haziq Arfan tidak bersahut.

"Aduh! Macam mana aku nak jumpa dia?" Haziq Arfan menggaru kepalanya. Dia perlu fikir cara secepat yang mungkin. Tiba-tiba, Haziq melihat ada dua orang pelajar perempuan yang sedang riuh bersembang. Dia sudah mendapat satu idea yang bernas.

Siti Safea pula terus naik ke dalam bas sekolah. Selalunya dia akan memilih kerusi yang paling hadapan atas alasan senang untuk turun dari bas nanti. Tambang bas pula akan dibayar secara bulanan. Jadi, tidaklah susah Siti Safea asyik membayar duit tambangnya sahaja setiap kali menggunakan perkhidmatan bas tersebut.

Mata Siti Safea melihat beberapa pelajar yang sedang naik ke dalam bas. Selalunya pelajar lelaki akan memilih tempat duduk bahagian yang paling belakang. Apa yang paling Siti Safea geram adalah mereka selalu sahaja membuat bising. Pemandu bas ada juga menegur mereka tetapi teguran itu bagaikan mencurah air di daun keladi sahaja. Tak makan saman!

Siti Safea menyandarkan kepalanya di tingkap. Kepalanya terasa agak pening sedikit. Matanya dipejam buat seketika. Mungkin dia terlampau memikirkan pertandingan debat tersebut. Kepalanya dipicit perlahan. Awning tudung yang sudah lekuk hanya dibiarkan sahaja. Lagipun, dia sudah mahu pulang ke rumah.

"Safea!" panggil seseorang.

Bahu Siti Safea terhinjut sedikit. Dia hampir sahaja mahu terlelap. Siti Safea menoleh dan kelihatan ada dua pelajar perempuan yang sedang tersenyum ke arahnya. Salah seorang dari mereka memegang sehelai kertas yang sudah dilipat.

"Kenapa?" tanya Siti Safea sepatah. Sempat lagi Siti Safea memandang sekeliling. Kelihatan ada beberapa pelajar yang belum masuk ke dalam bas. Bahagian tempat duduk belakang pula sudah mula bising dek keriuhan pelajar-pelajar yang ketawa galak. Entah apa yang mereka sembangkan pun, Siti Safea tidak tahu.

"Ada orang bagi surat kat kau. Handsome pulak tu," jawab pelajar perempuan yang memakai tag nama Hadini sambil menghulurkan kertas putih tersebut.

Siti Safea mengerutkan dahinya. Surat apa pula kali ini? Pada masa yang sama, kertas putih tersebut bertukar tangan. Sempat lagi Siti Safea membelek kertas tersebut. Siapa pula yang mahu main-main sama dia?

"Dari siapa ni?" tanya Siti Safea. Dua pelajar perempuan tersebut hanya menjongketkan bahunya sambil tersenyum lalu mereka pun meninggalkan Siti Safea tanpa sebarang jawapan. Tanpa membuang masa, Siti Safea terus membuka lipatan kertas tersebut aksara yang ditulis diamati satu persatu.



اکو نق جومڤا کاو. ڤندڠ تيڠکڤ.




Siti Safea mengerutkan dahinya buat kali kedua. Rajin pula orang ini menulis dalam tulisan jawi. Siti Safea terus menoleh ke tingkap. Mulutnya terlopong luas. Matanya membulat. Kelihatan Haziq Arfan sedang melambai-lambai ke arahnya sambil tersenyum.

"Apa kena dengan dia ni? Menyampah betul!" rungut Siti Safea sambil memeluk dirinya. Apa lagi lelaki berlagak itu tidak puas hati? Asyik terserempak sahaja. Ini pula untuk ajak berjumpa. Memang tidaklah dia akan buat begitu. Ingat tulis surat dalam tulisan jawi, boleh lembutkan hati dia? Memang tidak berjaya juga.

Ada juga pelajar-pelajar yang lain sudah berbisik-bisik. Ada juga yng tersenyum sinis. Siti Safea terus sahaja memandang ke tempat lain. Apa lagi lelaki itu mahukan?

Haziq Arfan pula mengesat peluhnya di dahi. Nampaknya rancangannya itu tidak berjaya. Takkanlah dia mahu naik bas sekali dan meninggalkan motorsikalnya di sekolah? Itu satu tindakan yang amat gila. Dia tidak ada jalan lain lagi selain mengikut bas sekolah tersebut. Itu sahaja caranya. Tanpa membuang masa Haziq Arfan berlari semula ke parkir motorsikal.

Siti Safea pula melihat ke tingkap semula. Kelihatan Haziq Arfan sudah tidak ada di situ. Hon bas sudah dibunyikan menandakan bas tersebut sudah memulakan perjalanan. Siti Safea mengeluh perlahan. Dia tidak mahu berharap lebih. Dia tidak mahu ada kena mengena dengan Haziq Arfan kerana kata-kata tajam yang pernah dilemparkan itu masih lagi berparut di dalam hati Siti Safea.

Maaf memang satu perkara yang senang tapi untuk melupakan perkara yang menyakitkan itu sangat susah untuk dilakukan. Akhirnya Siti Safea merenyuk kertas tersebut lalu dimasukkan ke dalam poket beg sekolahnya.











"TEMPAT apa yang kau bawak ni, Zain?" tanya Encik Sharifuddin buat ketiga kalinya. Sudahlah lorongnya gelap. Encik Sharifuddin melihat sekeliling. Ada beberapa penagih dan pengemis berada di tepi lorong-lorong tersebut. Mereka masing-masing seperti berada di dalam dunianya sendiri. Ada juga beberapa perempuan yang berpakaian seksi. Mungkin itu adalah pelacur yang mahu mencari pelanggan.

Beberapa minit kemudian, mereka telah pun sampai di hadapan sebuah pintu kelab. Encik Sharifuddin terus menggarukan keningnya. Dia melihat Zain yang sedang tersengih-sengih. Encik Sharifuddin tidak dapat meneka apa perancangan yang berada di benak lelaki itu.

"Kau nak buat apa kat kelab ni? Boleh ke masuk? Karang kena tendang… kan naya." Encik Sharifuddin mengeluarkan rokoknya. Hujung rokok itu dibakar.

"Kau cakap kau nak kaya, kan? Aku nak bawak kau jumpa orang ni. Daripada kau gian macam biawak hidup, baik kau dengan aku jadi tokan. Duit pun dapat. Perempuan pun kau bawa balik. Amacam?" Zain menaikkan keningnya sebelah. Dia tahu Encik Sharifuddin akan setuju dengan rancangannya. Baginya, biarlah duit itu kotor atau apa sekalipun, asalkan duitnya banyak.

"Huh! 'Anak ayam' mana nak bawak balik? Semua lunyai. Tak berbaloi!" jawab Encik Sharifuddin sambil tersenyum sinis. Sudah lama dia tidak melanggan pelacur sejak dirinya tidak ada wang.

Belum sempat Zain mahu menjawab, tiba-tiba ada dua orang lelaki bertubuh tegap menghampiri mereka. Mereka berpakaian berwarna hitam. Seorang berkepala botak dan seorang lagi rambutnya bersanggul tinggi.

"Kau Zain, kan?" tanya lelaki berkepala botak tersebut. Zain hanya mengangguk dengan laju.

"Bos ada tunggu kat bilik VVIP. Ikut aku," arah lelaki botak tersebut. Seusai itu, Encik Sharifuddin dan Zain pun membuntuti mereka untuk masuk ke dalam kelab tersebut.

Keadaan kelab tersebut sangatlah bising. Bunyi muzik berkumandang dengan kuat. Ramai pelanggan yang bersuka ria menari tidak memikirkan maruah diri dan agama. Perempuan dan lelaki berpakaian menjolok mata. Berpelukan dan berciuman di antara ajnabi, itu adalah perkara biasa bagi mereka.

Akhirnya, Encik Sharifuddin dan Zain dibawa ke tingkat atas. Tingkat atas merupakan tingkat untuk ahli VVIP sahaja. Fasaliti yang disediakan lebih mewah dari pelanggan biasa. Mereka juga boleh menempah seberapa banyak makanan dan arak tanpa kos dan caj. Pelanggan VVIP juga boleh memilih seberapa banyak pelacur yang mereka impikan untuk melunaskan nafsu serakah mereka.

Pintu dibuka dan kelihatan ada seorang lelaki muda sedang berpelukan dengan dua orang pelacur. Beberapa botol arak dan tin berjenama Guinness bersepah di atas meja. Lelaki muda itu seperti berada di dunia sendiri.

"Bos, ni diorang dah sampai."

Lelaki itu terus menolak pelacur yang sibuk mencium bibirnya ke tepi dengan kuat. Bibirnya menguntum senyuman sinis. Akhirnya, lelaki muda itu menghalau pelacur-pelacur tersebut dan dua orang lelaki bertubuh tegap tadi.

"Amar, menang besar kau malam ni. Anak ayam fresh," usik Zain sambil menepuk tangannya. Encik Sharifuddin masih lagi melihat ruangan VVIP yang serba mewah itu. Akhirnya mereka berdua duduk di sofa.

Telefon bimbit Amar berbunyi. Nama Hanna terpapar di skrin. Amar pula mendengus kasar. Rimas pula dengan perempuan gedik itu. Hari-hari mahu berjumpa. Disebabkan rancangannya belum berjaya lagi, dia terpaksa menyabarkan dirinya.

"Ketat muka. Bini ke?" tegur Zain sambil tersengih-sengih. Arak Guinness diisi ke dalam gelas kecil.

"Tak. Perempuan hawau." Amar segera menekan ikon merah. Hal Hanna letak di tepi dahulu.

"Aku datang sini dengan member aku… kitorang dah setuju nak jadi tokan kau. Lagipun kau nak sorang lagi, kan? Din ni boleh buat kerja."

Amar menjeling ke arah Encik Sharifuddin. Kalau ikutkan lelaki tua itu seperti tidak boleh dipercayai tapi tidak salah mahu mencuba. Kalau sudah cukup bilangan 'tokan' yang diperlukan, dia sendiri yang akan mendapat keuntungan yang besar.









SITI Safea membilas pinggan yang terakhir. Lalu pinggan tersebut diletakkan di atas besen untuk dikeringkan. Sudah lama dia tidak melihat ayahnya balik ke rumah ini. Tadi pun, Siti Safea ada juga menanyakan hal itu kepada Puan Halimah tetapi ibunya itu memilih untuk berdiam diri sahaja.

Akhirnya, Siti Safea masuk ke dalam bilik. Siti Safea terus baring di atas katilnya yang empuk. Kipas yang berpusing di siling diperhatikan. Tiba-tiba, benaknya teringat peristiwa yang berlaku pada petang tadi. Peristiwa yang sungguh dia tidak boleh lupakan iaitu Haziq Arfan.






BAS sekolah betul-betul berhenti di perhentian bas Kampung Megawati. Siti Safea terus keluar dari bas tersebut. Sempat lagi dia mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas. Jarak antara dari perhentian bas ke rumah Siti Safea memakan masa hanya lima minit sahaja.

Belum sempat dia mahu melangkah pulang, tiba-tiba ada sebuah motorsikal berwarna merah berhenti di hadapannya. Melihat model motor tersebut, Siti Safea dapat mengagak pemilik motor tersebut. Apa lagi lelaki berlagak itu mahukan?

Haziq Arfan terus mematikan enjin motornya. Nasib baik dia masih lagi dapat menjejaki Siti Safea. Helmet dibuka lalu diletakkan di atas raga motor. Rambutnya yang kusut masai dirapikan segera. Hal itu menyebabkan jantung Siti Safea berdegup laju. Kenapalah lelaki ini makin tampan?

"Saf, aku nak cakap dengan kau sikit. Boleh tak?" tanya  Haziq Arfan lembut sambil tersenyum nipis.

Siti Safea mengeluh perlahan. Bukan tak sudi, tapi dia sudah berjanji dengan dirinya sendiri supaya tidak ada kaitan langsung dengan lelaki itu.

"Kenapa? Ada apa-apa lagi yang awak tak puas hati?"

Haziq Arfan tersentak. Mesti gadis itu terfikir bahawa dia mahu marah lagi. Padahal dia mahu meminta maaf sahaja. Haziq cuba menenangkan dirinya. Nafasnya ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Akhirnya, Haziq Arfan turun dari motorsikalnya.

"Aku nak minta maaf kat kau. Aku… aku tahu aku salah. Aku banyak marah-marah kau. Hina kau. Kalau kau tak maafkan aku, aku rasa serba salah." Haziq Arfan memainkan jari-jemarinya. Siti Safea hanya diam sahaja membuatkan Haziq Arfan sedikit resah.

"Kenapa nak minta maaf? Awakkan tak salah apa-apa. Lagipun, tak payah la nak jumpa saya macam ni." Seusai berkata begitu, Siti Safea terus mahu nelangkah pergi. Makin lama dia bersama Haziq Arfan, makin goyah pula. Lebih baik dia pergi sahaja.

"Aku banyak salah kat kau. Aku tahu kau marah kat aku lagi. Memang aku mengaku sejak kenal dengan Hanna… perangai aku berubah. Aku banyak ikut cakap dia. Sampai aku tak sedar perangai aku jadi lebih teruk. Masa aku dapat surat-surat kau, memang mula-mula aku tak selesa. Tapi lama-lama, aku tunggu surat-surat kau. Aku suka baca ayat-ayat manis dalam surat tu. Aku simpan lagi surat-surat tu. Aku je ego sebabkan perempuan tu… aku sanggup buang hadiah-hadiah kau. Aku minta maaf, Saf," ujar Haziq Arfan bersungguh-sungguh. Dia harap sangat Siti Safea memaafkannya.

Siti Safea hanya mengeluh perlahan. Kata-kata lelaki itu kedengaran ikhlas tetapi dia masih lagi belum memaafkan lelaki itu sepenuhnya. Kenapa baru sekarang dia mahu minta maaf? Kenapa tidak dari dulu lagi?

"Tak ada guna pun awak nak minta maaf. Saya boleh je maafkan awak. Tapi saya harap sangat awak tak ganggu hidup saya lagi. Saya tak nak ada kena mengena dengan awak lagi. Anggap saja perempuan yang awak kata muka macam tiang jamban tak siap ni tak wujud kat dunia ni. Okey? Assalamualaikum." Seusai berkata begitu, Siti Safea terus berlalu dari situ. Sempat lagi dia menghadiahkan senyuman manis kepada Haziq Arfan.

Haziq pula hanya melihat Siti Safea yang semakin menjauh. Baru dia sedar bahawa dia telah meninggalkan parut besar di dalam hati gadis polos itu. Dia semakin rasa serba salah. Akhirnya Haziq Arfan mengekori Siti Safea dari jauh sahaja memandangkan gadis itu berjalan seorang diri. Lagipun dia sudah tahu lokasi keberadaan rumah Siti Safea. Pelbagai rancangan yang bermain di fikirannya untuk mendapat kemaafan dari gadis itu.










SITI Safea tersedar apabila nada dering notifikasi Instagramnya berbunyi. Tidak sedar berapa lama dia berkhayal. Akhirnya, telefon bimbitnya dicapai. Aplikasi Instagram dibuka. Siti Safea membulatkan matanya. Dia sungguh-sungguh terkejut.







ziqarfan09 started following you

ziqarfan09 liked your post

ziqarfan09 commented : Comel 😊







Tiba-tiba sahaja Siti Safea semakin menggelabah. Haziq Arfan telah komen gambar pertamanya yang sedang berswafoto. Gambar itu menggunakan filter. Jadi, segala parut yang berada di mukanya tiada. Sebab itulah, Siti Safea yakin untuk memuat naik gambar tersebut walaupun dia sedikit malu.

Disebabkan Haziq Arfan telah komen di postingan tersebut, sekali lagi Siti Safea malu. Mana dia mahu sorokkan mukanya? Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Takkanlah mahu mengikuti semula akaun Instagram Haziq Arfan. Oh, tidak! Memang tidak mungkin dia akan buat begitu.








ziqarfan09 liked your post

ziqarfan09 commented : Gambar yang Saf ambik semua lawa2. Boleh jadi photographer. 🤗.






Siti Safea terus mencampakkan telefon bimbitnya di atas katil. Komen tadi di bawah postingan gambar air Tealive Boba Tea yang telah diambil gambarnya pada minggu lepas. Memang Siti Safea suka menangkap gambar seperti itu.

Akhirnya, Siti Safea mengambil telefon bimbitnya semula lalu dicaj baterinya. Tak tahulah apa perasaannya sekarang ini? Seakan akan bercampur baur. Wajarkah dia gembira atau geram? Siti Safea mengeluh perlahan. Hidupnya sekarang ini seakan-akan berada di dalam drama sinetron.










ShaDhia

Bersambung…

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro