BAB 35

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"KAU nak pesan apa-apa tak? Aku nak pergi kantin kejap. Nak beli teh ais," ujar Aqilah sambil membuka dompetnya untuk mengambil beberapa not satu ringgit berwarna biru.

Siti Safea meletakkan buku notanya di atas meja batu berwarna putih. Hari ini Siti Safea mengajak Aqilah berehat di Gazebo sahaja memandangkan di kantin terlampau sesak. Ramai pula pelajar yang turun rehat pada hari ini. Apa yang lebih memelikkan lagi adalah pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat dan lima pun pergi ke kantin juga. Padahal sekarang ini bukan waktu rehat mereka.

"Aku nak donut dengan air soya kotak je la." Dua helai not berwarna biru dihulurkan kepada Aqilah. Aqilah pula hanya menggeleng sahaja. Patutlah kawannya ini kurus sahaja. Makan pun tidak banyak.

"Kau biar betul makan donut je. Kau tak lapar ke?" tanya Aqilah. Matanya tunak memandang Siti Safea meminta penjelasan.

"Tak. Aku malas nak makan makanan berat," jawab Siti Safea. Pinggulnya dilabuh di atas kerusi batu. Buku latihan karangan dibuka. Hari ini Siti Safea perlu menyiapkan tiga karangan yang diberikan oleh Cikgu Syamsiah iaitu guru matapelajaran Bahasa Melayu di kelasnya.

"Nanti kau pening la… pengsan la… aku jugak yang susah. Perut kau tu mana boleh kosong," bebel Aqilah sambil bercekapk pinggang. Seperti ibu-ibu tua yang sedang memarahi anaknya yang nakal.

Siti Safea hanya tergelak kecil. Aqilah memang seorang sahabat yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Memang dia sangat hargai sifat baik kawan baiknya itu. Siti Safea pula yang menggeleng perlahan. Kadang-kadang sakit telinga juga apabila mendengar bebelan Aqilah.

"Tak adalah. Kau janganlah risau. Aku okey."

Aqilah memandang Siti Safea sambil mengecilkan matanya. Siti Safea mengeluh perlahan. Aqilah kadang-kadang seorang yang degil.

"Aku okey, qilah. Tak payah nak pandang aku macam tu. Sekarang dah pukul berapa? Kejap lagi loceng bunyi. Tak sempat nak beli." Siti Safea menolak bahu Aqilah perlahan. Aqilah hanya akur sahaja. Dia pun terus sahaja melangkah ke kantin.

Siti Safea hanya melihat dari jauh sahaja. Akhirnya dia terus sahaja menyambung kerjanya yang tergendala. Lusa merupakan hari yang amat penting bagi Siti Safea. Diam tak diam liga pendebatan untuk peringkat daerah sudah pun bermula.

Cikgu Akmar ada juga berpesan supaya wakil-wakil sekolah nanti akan memakai kemeja berwarna putih dan blazer berwarna hitam. Jenis kasut pula telah ditetapkan iaitu kasut kulit berwarna hitam. Pada mulanya, Siti Safea sudah mula risau kerana dia tidak ada kasut kulit. Nasib baik Azrin sudi menolongnya. Secara tidak langsung, dia sudah terhutang budi.

Tetapi ada juga sedikit lagi kerisauan iaitu mengenai parut-parut di wajahnya. Memanglah sekarang ini dia sudah ada kekuatan dan keyakinan diri. Apabila melibatkan kekurangan di wajahnya tiba-tiba sahaja Siti Safea menjadi risau.

Akhirnya Siti Safea mengeluh perlahan. Pen yang berada di pegangan diletakkan semula di atas buku karangan. Cermin kecil dikeluarkan dari bekas penselnya. Wajah yang terpantul di cermin dipandang dengan keluhan berat. Di bahagian pipi dan tepi hidung sudah kurang parut jerawatnya tetapi di bahagian dagu dan dahi masih lagi ada parut hitam itu.

Siti Safea menyimpan semula cermin kecil di dalam bekas penselnya. Nampaknya, petang ini dia perlu pergi ke kedai Watson untuk membeli foundation bersama Aqilah kerana kawan baiknya itu pandai juga dalam bab-bab solekan walaupun umurnya 15 tahun. Foundation itu akan digunakan untuk menutup segala cela-cela di wajahnya. Dengan itu, dia akan lebih berkeyakinan lagi untuk masuk dalam liga pendebatan nanti.


LANGKAH diayun dengan penuh tangkas dan lincah. Haziq Arfan masih lagi fokus pandang ke depan. Dia tahu ada beberapa atlet yang lain mahu potong dan berlari ke hadapan tetapi Haziq tidak akan memberi peluang. Dia akan cuba sebaik yang mungkin.

Lariannya semakin laju. Langkah kakinya semakin dibuka luas. Hanya beberapa meter sahaja untuk sampai ke garisan penamat. Akhirnya, beberapa saat kemudian, Haziq Arfan orang pertama berjaya sampai ke garisan penamat.

Bunyi wisel ditiup dengan kuat. Latihan olahraga kali ini seperti biasa, Haziq Arfan sentiasa mengekalkan momentumnya sebagai olahraga harapan sekolah. Cikgu Afzal melihat jam rindik. Dia tersenyum kegembiraan. Rekod percapaian Haziq semakin membanggakan. Begitu juga dengan atlet-atlet yang lain. Lusa merupakan acara olahraga peringkat daerah pun sudah bermula.

Haziq Arfan berlari anak-anak. Dia tidak mahu berhenti dan duduk selepas berlari sebentar tadi. Kalau dia buat demikian akan menyebabkan ototnya cedera. Darah akan  terkumpul di bahagian bawah badan dan menyebabkan aliran darah menjadi lambat. Antara kesannya ialah tekanan darah menjadi sangat rendah. Otot-otot juga akan berasa kaku dan kekejangan.

Setelah tamat membuat senaman ringan 'cool down' barulah Haziq Arfan mengambil airnya di dalam beg. Peluh yang mengalir di dahi diseka dengan kasar. Tangannya menggengam bahagian leher baju lalu mengibaskannya supaya angin dari kibasan tersebut dapat menyejukkan dirinya. Air mineral diteguk dengan kasar.

Sekarang ini, Cikgu Afzal membenarkan para atlet untuk rehat selama setengah jam. Jadi, Haziq mengambil keputusan untuk rehat di padang sahaja. Tiba-tiba, telinganya dapat menangkap seseorang yang seakan-akan menyebut nama Siti Safea.

Haziq menoleh ke kiri. Kelihatan ada dua orang pelajar lelaki sedang duduk sambil bersembang. Haziq kenal juga dengan dua orang pelajar tersebut kerana mereka berdua merupakan atlet untuk acara olahraga bawah 15 tahun.

"Lusa… kita lawan kat Sekolah Menengah Seri Meranti, kan?" tanya budak lelaki yang memakai baju berwarna hitam. Di belakangnya pula tertulis perkataan 'Shah'.

"Ya… debat nanti pun kat sekolah yang sama. Aku ada dengar Cikgu Afzal cakap… kalau sekolah kita masuk final dalam debat tu nanti… Cikgu Afzal nak bawa semua atlet pergi support. Tapi tak tahu jadi ke tak. Lagipun olahraga habis sehari sebelum final debat tu. Sempatlah nak tengok nanti," ujar Danish sambil meneguk perlahan airnya.

"Kelas kita tahun ni ada yang jadi wakil, kan? Tak silap aku… budak yang pakai spek mata besar tu. Yang diam tu? Aduh! Aku tak ingat la nama dia siapa? Yang kena tengking dengan senior hari tu."

"Safea nama dia." Danish memberikan jawapan.

"Ha! Betul. Dia la." Akhirnya kedua-dua oelajar tersebut menukar topik perbualan. Haziq Arfan tersenyum perlahan. Tidak sangka pula gadis itu masuk pertandingan tersebut. Dulu, Haziq Arfan ada juga menyertai kelab debat tersebut tetapi ada peristiwa buruk yang berlaku dan menyebabkan Haziq membuat keputusan untuk mengundur diri.

Semalam pun, ada juga postingan terbaru dari Siti Safea. Gambar yang dimuatnaik adalah gambar kertas dan pen bertemakan aesthethic. Haziq hanya menekan butang 'love' tersebut.

Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah Siti Safea yang sedang berjalan ke bilik kelab debat sambil memeluk fail berwarna biru. Jalan terkedek-kedek begitu pun, Haziq Arfan sudah tertarik. Nampak comel sahaja.

Ya… kadang-kadang Haziq Arfan sedar bahawa dirinya sekarang ini sangat-sangatlah berbeza. Walaupun dimana-mana sahaja tempat dia berada, matanya tidak lari untuk melihat segala gerak geri gadis berkaca mata itu.

"Kau suka budak rabun tu?" tanya seseorang. Terhinjut bahu Haziq kerana terkejut. Haziq terus menoleh dam kelihatan Hilman yang sedang tajam memandang ke arahnya.

"Bukan masalah kau. Kalau aku suka ke minat kat dia," jawab Haziq perlahan.

"Duh. Sejak kau putus dengan Hanna ni, kan… taste kau makin teruk. Budak kulit menggerutu macam tiang jamban tu kau nak pilih. Memalukan! Habislah… standart kau jatuh." Hilman cuba memprovok. Matanya dijulingkan ke atas. Golongan popular seperti dirinya dan Haziq tidak akan ada kaitan dengan orang buruk seperti Siti Safea.

Haziq mengetap bibirnya. Penumbuknya dikepal. Urat sudah timbul di dahinya. Cukup! Baginya Hilman memang sangat melampau. Dia menyesal kerana telah silap percaturan terhadap gadis polos itu. Dia tidak akan melakukan kesalahan yang sama lagi.

Dengan tidak semena-mena, Haziq Arfan mencengkam baju Hilman lalu terus sahaja Haziq menumbuk pipi Hilman dengan kuat. Hilman pula sudah terjatuh di lantai. Haziq Arfan tidak berpuas hati lagi. Dia menarik baju Hilman semula lalu menumbuk mukanya buat kali kedua.

Keadaan menjadi kecoh. Semua pelajar berkerumun untuk melihat pergaduhan tersebut. Ada juga yang bersorak. Ada juga yang menekup mulut kerana terkejut. Haikal terus sahaja menarik Haziq Arfan. Lalu, akhirnya pergaduhan terlerai.

"Memang! Memang dia tu tak lawa. Bak kata kau, muka dia menggerutu! Tapi dia tak ada hati busuk macam kau! Kau ingat kau tu bagus sangat! Hah!" tengking Haziq Arfan. Dia mahu meluru ke arah Hilman tetapi Haikal menahan badannya. Semua pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut sudah berbisik sesama sendiri.

"Dah la tu, wei. Mampus kau nanti kalau cikgu tahu kau bergaduh." Haikal cuba meredakan suasana.

Hilman terus sahaja memegang pipinya. Bibirnya sudah pecah berdarah. Darah yang mengalir disapu dengan kasar. Hilman melihat tapak tangannya. Ada kesan darah. Kerana budak kodok itu, tergamak Haziq menumbuk mukanya.

"Huh! Haziq... Haziq… cakap kat semua orang. Kau tu dah suka budak Saf tu! Budak menggerutu macam jalan tar tu! Cakaplah kat semua orang!" kata Hilman sambil tersenyum sinis.

"Saf mana, wei?"

"Saf tu bukan budak kelas kita ke?"

"Oh… aku ingat. Saf tu madu Hanna."

"Nama aku Saf jugak. Dia orang berebut aku ke?

"Cepatnya dia move on."

"Saf tu budak nerd yang Haziq tu pernah tengking dulu, kan?"

Semua pelajar sudah mula berbisik-bisik. Haziq tidak kisah dengan semua itu. Dia tidak mahu tahu apa yang orang lain fikirkan. Yang penting, dia mahu menumbuk Hilman lagi. Haziq terus sahaja menolak Haikal. Belum sempat dia mahu menghayunkan penumbuknya, tiba-tiba ada seseorang yang menjerit.

Kelihatan Cikgu Afzal sedang bercekak pinggang memandang Haziq dan Hilman dengan tajam. Pelajar-pelajar tersebut terus sahaja beransur-ansur bersurai. Melihat muka Cikgu Afzal yang bengis itu, ini bermakna nasib Haziq dan Hilman hari ini kurang baik.

"Haziq! Hilman! Ikut saya ke bilik disiplin sekarang!" jerit Cikgu Afzal. Haziq mengeluh kasar. Tiba-tiba sahaja dia menyesal kerana mengikut nafsu amarahnya.


KERETA Proton Saga lama berwarna merah berhenti di hadapan perhentian bas. Seorang lelaki yang badannya sedikit gempal keluar dari kereta tersebut. Rupa-rupanya ini Sekolah Menengah Seri Bergawan. Lelaki itu tersenyum sinis. Akhirnya, percarian dia selama ini sudah berjaya dijumpai.

Lelaki itu terus sahaja mengeluarkan telefon bimbitnya. Nama 'Bos Ah Chai' dicari di bahagian kenalan. Seusai itu, ikon berwarna hijau ditekan untuk membuat panggilan kepada bosnya. Talian bersambung.

"Helo, bos. Sekolah anak Si Din tu wa dah jumpa," lapor lelaki itu sambil tersenyum sinis.

"Haiya… wa sangat happy. Lu jangan buat apa-apa dengan itu budak. Lu ikut mana itu budak mahu pergi." Lelaki itu hanya mengangguk saja. Sekarang ini, anaknya sudah dijumpai. Kalau ayahnya tidak boleh melangsaikan hutang, mungkin nyawa anaknya pula akan jadi galang ganti kerana  sudah beberapa bulan Encik Sharifuddin melarikan diri dari geng Along Ah Chai.




ShaDhia

Bersambung…




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro