BAB 17: CUBAAN BUNUH

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SIAPA NAK BUNUH AKU?

Ketika Zarif melintas di garisan zebra, sebuah kereta tiba-tiba meloncor laju. Dia sempat disambar oleh seorang lelaki sebelum dilenyek oleh kereta itu. Mereka jatuh bersama-sama di kaki lima. Lelaki itu bingkas bangun dan bertanya sama ada dia luka di mana-mana. Zarif memeriksa dirinya. Sedikit berbarut di tangan. Mabuk ke apa pemandu kereta itu? fikir Zarif. Jelas, lampu merah menyala supaya kereta berhenti. Dia melintas pada masa yang betul.

"Di sini ada CCTV. Polis akan dapat kesan pemandu kereta itu," kata lelaki yang menyelamatkannya.

Beberapa orang yang nampak kejadian berkerumun. Seorang lelaki cuba mengambil gambar. Terus telefon bimbitnya dirampas oleh lelaki penyelamat itu. Dipadamnya rakaman tadi.

"Awak nak saya hempas telefon ini?" katanya dengan garang. 

Terketar-ketar lelaki yang mengambil gambar curi itu ketakutan.

"Lain kali hormat hak privasi orang lain!" bentak lelaki penyelamat itu. 

Kumpulan orang ramai yang berkerumun segera bertempiaran pergi.

"I work for SSH," bisik lelaki itu, kepada Zarif. "Act normally. Someone wants to hurt you."

Ada orang nak bunuh aku, suruh aku act normally?

Zarif cuba mengingat kes apa yang sedang diurus sekarang. Tiada kes yang sampai membawa maut. Semua kes biasa-biasa sahaja. Kes menuntut hutang, pecah kontrak - semuanya tidak patut sampai nak bunuh peguam.

"Datuk Haidar minta saya jaga awak. Ezhar pun ada orang tengok dia," jelas lelaki itu, "tetapi kadang-kadang rupa saya tak macam ini."

"Hah?"

"Kadang-kadang macam gelandangan, orang mabuk, orang tua, pondan." Dia senyum.

Zarif mengangguk faham. Dalam hati sedikit geli membayangkan rupa lelaki sasa itu sebagai pondan. Kali ini dia kelihatan santai, memakai topi baseball, baju-T, jaket jeans dan seluarnya carik di lutut. Zarif tahu di sebalik jaket itu tersembunyi sepucuk pistol.

"Saya akan bagi signal, jika berdekatan dengan awak," katanya.

"Faham."

"Sekarang awak nak ke mana?"

"Saya nak ke pejabat saya."

"Saya akan jalan dengan awak. Cuba berlakon mesra," katanya.

Zarif sedar dirinya Encik Beku, mungkin nampak tidak cukup mesra. Dia hanya berubah apabila bersama dengan gadis bermata hijau, Adila.

Mereka berjalan menuju ke pejabat Zarif sambil berbual-bual mesra. Sampai di pintu pejabat lelaki itu hulur tangan untuk bersalam.

"Saya kena buat laporan kepada Datuk Haidar. Mungkin orang lain akan ganti saya sebab mungkin ada yang perasan, tadi, atau ambil gambar."

Lelaki itu berjalan ke arah tempat letak motorsikal di hadapan bangunan, di mana pejabat Zarif turut menjadi penghuninya. Dia keluarkan telefon bimbitnya dan mula bercakap. Mungkin dia sedang melaporkan kejadian tadi kepada Datuk Haidar. Zarif tidak mahu ambil tahu. Dia berpaling memasuki bangunan pejabatnya. 

Sudah lama Zarif teringin berpindah ke WISMA IKHTISAS, tetapi Ezhar tidak setuju kerana sewa pejabat yang lebih mahal. Tetapi sebenarnya dia tahu, Ezhar takut dia terus-menerus angau dengan Puspa. Tetapi apa yang berlaku sebentar tadi membuat Zarif terfikir WISMA IKHTISAS lebih selamat kerana kedudukannya. Serangan yang berlaku ke atas Puspa tidak berapa lama dahulu telah mendorong pemilik bangunan itu untuk mempertingkatkan ciri-ciri keselamatannya. 

Kini semua orang yang berurusan dengan penyewa bangunan itu perlu mendaftar di pondok pengawal yang dibina dipintu masuk. Agak menyulitkan pelanggan penyewa-penyewa di situ. Ada yang tidak setuju dan memutuskan untuk keluar. Tetapi, pemilik bangunan itu yang juga seorang peguam bertegas melaksanakan peraturan baharunya. Dia tidak mahu ada lagi serangan seperti yang berlaku kepada Puspa. 

Mujur Puspa selamat.

Sekali sekala Zarif masih teringat Puspa. Bohonglah kalau dia terus lupa 100%. Tetapi kini dia anggap Puspa seperti adiknya. Lagipun dia sudah ada Adila.

Betulkah dia sudah memiliki Adila? Tentulah betul. Dia sudah melamar. Mungkin hampir semua rakan peguam dan NGO berkaitan alam sekitar sudah tahu. Siapa sangka Encik Beku sudah ada buah hati!

Lalu dia menyemak ingatannya. Terlupa! Bunga mawar merah yang dihantar dahulu tentu sudah layu ... Macam mana boleh lupa ni?

Dia salahkan Wan Amelia dan Izzat. Mereka membuatnya sibuk sehingga lupa menghantar bunga.

Cinta jarak jauh bukannya mudah, walaupun Cyberjaya dan Ipoh tidak sejauh mana. Tetapi dia pasti Adila punya ramai peminat yang lebih muda daripadanya.

*****

I lOVE YOU ADILA

"Hoi! Kenapa muka macam cekodok basi saja ni?" Tegur Ezhar, melihat mukanya berkerut ketika memasuki pejabat. 

Patutkah muka handsome macam Merxat ini dikata cekodok basi? 

Dia abaikan usikan Ezhar, dan terus masuk ke bilik pejabatnya sendiri.

Dia buka internet dan cari Flowers Online. Mudah saja. Sekejap lagi buah hati akan menerima bunga itu. Dia senyum sendirian. Lupa terus tentang ancaman terhadap nyawanya sebentar tadi.

Dia sisipkan puisi klasik Inggeris. Zarif bukan tahu bersyair-puisi.

Roses are red,

Violets are blue,

Honey is sweet.

But not as sweet as you.

"Hei!" sekali lagi Ezhar menegurnya.

Zarif mendongak. Ezhar bersandar di pintu, berpeluk tubuh.

"Tak tahu ketuk pintu ke?"

"Sejak bila aku kena ketuk pintu pejabat kau?" soal balik Ezhar, sambil berjalan masuk.

Mereka berpandangan. Wajah Zarif yang tadi dihiasi senyuman kembali menjadi sejuk beku.

"Engkau ni kenapa? Cuba bagi tahu abang besar ni," kata Ezhar.

Sememangnya dia besar. Tapi tak perlu ingatkan orang.  Ezhar bertubuh tinggi bagi seorang Melayu keturunan suku kaum Mandailing bermarga Nasution, yang berkampung di Perak Darul Ridzuan. 

Zarif menceritakan apa yang berlaku kepadanya sebenar tadi, secara terperinci. Sampai penyamaran sebagai pondan pun diceritakannya. Ezhar mendengarnya dan menganggapnya serius.

"Dah buat laporan polis?" soal Ezhar.

"Perlukah?"

"Eh? Disoalnya kita. Kalau klien yang kena kau suruh buat laporan polis ke tidak?"

"Okey. Okey," jawab Zarif. Malas dia bertekak dengan Ezhar.

Atas desakan Ezhar, mereka pergi ke Ibu Pejabat Polis dan membuat laporan. Setelah selesai, mereka kemudian diberitahu, Ketua Penyiasat hendak berjumpa. Ketua Penyiasat memang amat mengenali Ezhar kerana kes kematian Ketua Kartel Dadah, Badar yang didiamkan tidak berapa lama dahulu.

Rupanya sebelum mereka membuat laporan, sudah ada laporan dari Cyberjaya tentang cubaan melanggar Zarif di persimpangan berhampiran pejabatnya. Laju betul orang Datuk Haidar membuat laporan.

Kereta yang mencuba melanggar Zarif itu menggunakan nombor plat palsu. Jadi menurut teori pihak penyiasat, cubaan melanggar itu sengaja dilakukan, bukan kerana mabuk atau di bawah pengaruh dadah.

Cuma motifnya belum diketahui.

Yang terkait dengan Kartel Dadah itu Puspa dan suami arrogant pengarang jantungnya, Arman, bukan aku, fikir Zarif.

"Takkan ia ada kaitan dengan projek durian kunyit yang sudah diberhentikan itu?" soal Ezhar, setelah mereka kembali ke pejabat.

"Mungkin juga. Kerugian syarikat tu dikatakan beratus juta juga," jawab Zarif.

"Sebaliknya ... Mungkinkah ada kaitan dengan projek Datuk Haidar?" soal Ezhar.

"Entahlah ... Tapi kita sudah setuju terlibat dan harus menghadapinya."

Mereka berdua sudah komited untuk terlibat dengan projek sekuriti dan surveilans Datuk Haidar. Ini bukan soal wang yang masuk ke dalam firma guamannya sebagai konsultan, tetapi kerana semangat patriotik mereka. Entah kenapa, gerak hati Ezhar memberitahunya, cubaan mencederakan atau mungkin membunuh Zarif tiada kaitan dengan Projek Datuk Haidar. Tetapi dia diamkan dahulu pendapatnya itu.

"Datuk Haidar tu dah tua. Tapi masih bersemangat ... Aku kagum dengan dia," kata Ezhar.

"Anak lelaki dia tak mahu pulang untuk ambil alih syarikat itu," sambung Zarif. 

"Hari itu, sebelum kau sampai pejabat, aku sembang panjang dengan beliau," kata Ezhar.

"Pasal apa?"

"Pasal perancangan masa depan dia ... Katanya saham Datin Kalsum sudah diserahkan kepada Puspa dan seorang lagi cucunya, nama ..." Ezhar cuba mengingat. Tapi terlupa, nama itu.

"Perempuan?"

"Ya. Baru dibawa pulang dari Dublin. Katanya di sana dia tinggal dengan saudaranya belah Datin Kalsum."

"Mesti berabuk macam Mat Salleh erk?" kata Zarif.

"Entahlah ... Mana aku tahu. Tak pernah jumpa." 

"Kalau ikutkan Adila tu lagi lama di US, lebih 10 tahun. Tak jadi minah Salleh pun."

"Itu sebab Daddy dia pun ada di sana."

"Kau fikir sebab tu ke?"

"Yelah - yelah ... Semua pasal Adila baik belaka."

*****

SAHABATKU EZHAR 

"Memang dia baik." Zarif terus mempertahankan Adila. 

"Macam ini rupanya bila sudah 'in-love'. As long as you don't have your head in the sky, you'll be fine, I guess."

"Sudahlah! Blah! Duduk dalam bilik ini menyemak saja. Bukan membantu pun."

"Sampai hati kau halau aku. Jangan lupa, aku boleh bantu kau dalam banyak hal."

"Such as?"

Ezhar menggaru-garu dagunya, seolah-olah berfikir.

"Aku tahu kau memang tak ada idea. Kau suka main perempuan tak tahu di mana kesudahannya. Satu hari kau akan jatuh cinta, baru kau tahu macam mana rasanya."

"Macam mana?"soal Ezhar. 

Semakin galak dia menyakat sahabatnya. Lebih-lebih lagi bila Zarif terdiam.

Ezhar ketawa, sambil pipi Zarif ditepuk-tepuknya. Zarif mengelakkan kepalanya. Sekeping fail dicampakkan ke arah Ezhar.

"Ini, kes Arman ni, kau handle ... ADAM PRAKASH & PUSPA bagi pada syarikat kita. Rezeki tu."

Ezhar mengambil fail itu dengan gaya malas. Dia belek-belek dan tersenyum lebar. "Dia orang ajak settle di luar Mahkamah."

"Nak selamatkan penguatkuasa yang mungkin rasuah sehingga Arman menjadi mangsa," kata Zarif.

"Kalau ikutkan aku, biar teruskan perbicaraan  saman sivil ini. Biar terbongkar kejahatan dia orang bersekongkol dengan pengedar dadah."

"Tapi, khabarnya Arman mahu settle di luar mahkamah," jelas Zarif.

"What's the catch?"

"Ikut kata atok, Arman ditawarkan tugas di SIU."

"Hah? Apa jadi dengan kebun cili dia?"

"Tugas di SIU itu cuma untuk tujuan tertentu sahaja. Kata atok he never missed."

"Maksud kau apa?"

"When he shoot, he never missed."

"Sharpshooter?"

"He probably can shoot blindfolded."

*****

👁

*Menembak dari helikopter yang bergerak. Kepakaran yang wajib untuk sharpshooter SIU. Gambar hanya hiasan*




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro