Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

APA yang spesialnya you ni, eh?

Soalan naif yang keluar dari mulut adik Firdaus tadi membuatkan dia ketawa sendiri. Buku lejar akaun bulanan syarikat dicapai dari kerusi sebelah pemandu. Firdaus yang minta dia semak sebelum keluar ke pejabat tadi.

Sesaat kemudian, dia menjenguk ke luar tingkap kereta, ke arah satu-satunya beranda yang menghadap jalan. Bayangan Fatiya yang terjenguk-jenguk kelihatan di sebalik langsir putih.

Sekali lagi dia menggeleng.

Rasanya dah lama dia tak ketawa macam ni. Tapi serius, gelagat Fatiya tadi memang membuatkan hatinya digeletek kuat.

Fatiya.

Dia langsung tak tahu situasi perniagaan abangnya sekarang ni.

Dia langsung tak tahu apa kemungkinan yang bakal terjadi jika dia keluar sendiri. Paling teruk, dia tak tahu apa kisah di sebalik kejayaan abang dia sekarang.

Kasihan.

Bagi Black, Fatiya cuma gadis muda yang masih tak kenal dengan realiti dunia. Masih hidup dalam bayangan kemewahan dan langsung tidak dipamerkan keadaan sebenar di sebalik kemewahan tu.

Sekali lagi, kasihan.

Dan, untuk soalan Fatiya tadi, memang hanya dialah orang kepercayaan Firdaus. Waktu ini, hatta peguam syarikat sendiri mampu menabur racun dalam periuk nasi Firdaus. Inikan pula orang lain.

Tok... Tok... Tok...

Lamunannya terbang bila pintu kereta diketuk dari luar. Hampir terlepas buku lejar yang dipegang bila wajah Fatiya menyapa mata.

Bukan ke tadi dia dekat atas? Cepatnya turun!

"Nak apa?"

"Bukalah pintu ni dulu." Tangannya sudah pun memegang pemegang pintu di tempat duduk belakang. Black menggeleng perlahan sebelum membuka kunci. Kesemua cermin yang diturunkan tadi terus dinaikkan dan pendingin hawa dipasang.

"Nak apa?" Sekali lagi soalan sama ditanya.

"Nak keluar, bosan." Fatiya menjawab tanpa memandang.

"Okey." Buku lejar yang dipegang diletakkan kembali ke kerusi sebelah.

Kereta dibawa masuk ke dalam ruangan parkir rumah. Kening Fatiya bertaut rapat bila kereta dihentikan tepat di depan pintu besar.

"Duduk sini kejap. Kunci pintu." Black keluar dari kereta dah terus ke pintu besar. Dia mengeluarkan beberapa kunci dari poket seluar sebelum membuka pintu.

Kening Fatiya bertaut. Rasanya tadi dia cakap dia nak keluar. Tapi kenapa Black parking dalam rumah pula? Dah tu, boleh pula Black masuk rumah guna kunci pendua!

Seriously, ini rumah dia ke rumah Black?

Tak sampai lima minit, Black keluar dari rumah dan kunci semula pintu yang dibukanya tadi.

"Okey jom. Cik nak ke mana?" soal dia tanpa memandang.

"Buat apa tadi?"

"Cek semua pintu, tingkap."

"You ingat I tak reti nak kunci rumah sendiri ke?" Suara Fatiya naik senada. Black ingat dia budak-budak ke apa?

"Taklah. Saja. Double check. Dua kali baru cukup syarat, kan?" Black senyum nipis.

"So, nak pergi mana ni?"

Fatiya mencebik. Dia melipat kedua-dua tangan ke dada sambil bersandar malas pada kerusi. Memang selesa.

Jadi PA pun boleh pakai Alphard. Bukan main Firdaus sayang dia.

"Cik Fatiya?" Black menjeling dari cermin pandang belakang.

"Nak pergi mana sebenarnya ni? Atau nak pusing-pusing makan angin dalam kereta dengan I aje?"

Huh.

Ulat bulu dah naik daun!

"I don't know. You tell me."

"Pula dah..." Black memberikan signal untuk ke kanan sebelum memasuki jalan besar.

Nasib baik pandai guna signal. Tak sia-sia pakai kereta mahal.

"Susahlah macam tu, cik. I ni kuli. Kena ikut mana cik nak pergi."

Fatiya mengeluh. Dia melemparkan pandangan jauh ke luar tingkap. Jerebu yang memenuhi ruangan udara membantutkan niat dia untuk lepak di taman.

Taman?

Gila ke nak pergi taman tengah-tengah hari macam ni?

"Atau, cik nak pergi Muzium Negara? Tugu Negara? Tak pun... Zoo Negara?"

Fatiya buat muka. Apa? Black ingat dia budak sekolah rendah ke? Semua tu dia dah pergi waktu lawatan sekolahlah!

"Tak kelakar, okey?"

Black senyum nipis.

"I bagi cadangan aje. Nampak cik macam nak sangat jalan-jalan. Okey, now you tell me."

"Pergi ofis abanglah," putus dia akhirnya. Lama sungguh dia tak menjejakkan kaki ke syarikat arwah abah tu. Seingatnya, sejak abah meninggal dan abang ambil alih, sikit pun dia tak ambil tahu pasal urusan syarikat.

Yang dia tahu, dia dapat belanja setiap bulan. Kadang-kadang tu, dua bulan sekali dan amaun yang dia dapat memang bukan sikit.

"Tak boleh, cik. Bos tak ada dekat ofis hari ni. Dia kerja luar."

"Tapi pejabat tu ada aje kat sana, kan? Takkan pejabat pun ikut abang keluar?"

Black tergelak kecil. Langsung tak jangka jawapan yang akan keluar dari mulut gadis itu.

"Okey." Pendek dia menjawab. Rasanya dia susah nak menang kalau berbahas dengan perempuan.

"Eh, tak apalah. Kita pergi makanlah. I lapar." Fatiya tiba-tiba bersuara.

Bila difikirkan balik, bosan pula kalau abang tak ada. Nak buat apa aje dekat sana kalau abang tak ada? Nak bersembang dengan pekerja?

Memang langsung dia tak pandai nak beramah mesra.

Nak tolong buat kerja?

Satu benda pun dia tak tahu nak buat.

Laju Black menggeleng.

"Yang ini confirm eh? Ke nak tukar lagi?" Sempat dia letak perisa perli dalam ayat itu.

Cepat saja Fatiya cebik.

"Confirm. Banyak tanya pula. Bukan ke abang suruh you ikut aje apa kata I? Ikut ajelah."

Black ketawa perlahan.

"Cik tahu tak yang cik ni pelik? Kalau macam inilah gayanya, peratus untuk I menang tinggi sebab mustahil I akan suka perempuan pelik macam cik ni."

Fatiya ternganga luas. Itu dah tahap kurang ajar. Mustahil dia cakap?

Hany! Ex kau ni memang teruk!

Kedua-dua penumbuk digenggam kemas. Geram! Sesaat kemudian, dia menarik nafas dalam-dalam. Cuba bertenang.

Sabar Tiya, sabar. Lupakan kemarahan tu sekejap. Bila kau dah buat dia melutut pada kau, masa itulah kau boleh pijak hati dia.

Sabar.

"So, macam mana nak jadi perempuan tak pelik yang menjadi idaman you, my dear?" Sengaja dia tekankan 'my dear' tadi dengan harapan Black akan cair.

"Mana boleh I bagi tahu. Kalau I cakap, I boleh kalah." Black ketawa lagi.

"Dahlah, cik. Sebutlah dear ke, sayang ke, intan payung ke, durian, rambutan ke, I memang takkan cintakan cik. Jadi, sedia untuk kalah, ya?"

Fatiya menggigit bibir sendiri. Geram. Kenapalah dia setuju nak tolong Hany tu. Lelaki ni memang teruk!

Jerk. Jerk!

BLACK bawa dia ke restoran yang tidak jauh dari rumah. Hanya dia saja yang pesan makanan. Black duduk di kerusi depan, menemani.

"Tak makan?" Buku menu diletakkan ke atas meja.

Black menggeleng sebelum menjawab sepatah,

"Tak."

"Tak lapar ke, sayang?"

Pelayan yang datang mengambil pesanan tersengih-sengih mendengar perkataan sayang tadi.

"No, love. I dah kenyang. You makan sorang ajelah wahai kesayanganku." Selamba Black membalas.

Fatiya menjuihkan bibir sebaik sahaja pelayan tadi berlalu.

"Tak nak sudah!"

Black ketawa. Kalau macam inilah perangai dia, memang tak payah buat game pun dah terang-terang kalah.

"Apa nama you sebenarnya?" Fatiya bersandar pada kerusi sementara menunggu steak yang dipesan.

"Black," jawab dia tanpa memandang.

"Nama betul, I mean." Fatiya buat muka bosan

"Black."

Huh. Baik tak payah cakap dengan dia ni.

"Kenapa 'Black'?"

"Cik panggil aje Black. Tak payah banyak tanya."

Fatiya mencebik. Walaupun sebutan 'cik' dari mulut dia tu sopan, tapi nada dia tadi dingin sungguh.

Macam, mind your own businesslah perempuan.

"Fine. I pun tak nak tahulah."

"Dah tu, tanya kenapa?" Black senyum sinis.

Dan sekarang Fatiya rasa nak menjerit kuat-kuat. Menyesalnya dia tanya! Dan yang paling menyesal, kenapalah dia ajak Black keluar tadi? Haih.

Pelayan yang datang mengambil pesanan tadi meletakkan lemonade ke atas meja dan terus berlalu.

Gelas lemonade dicapai dengan tangan kanan. Baru sahaja dia menghirup senafas, soalan Black menyapa telinga.

"Kenapa balik sini tiba-tiba?"

Sikit lagi nak tersembur air yang diminum. Macam mana kalau Black tahu yang dia balik ni sebab nak balas dendam bagi pihak Hany?

Macam mana kalau dia tahu yang aku ada rancangan untuk mainkan perasaan dia?

Takkanlah rancangan dia akan musnah sebelum masanya?

"Kalau tak ada benda penting, I rasa cik boleh balik UK semula."

Buntang terus mata Fatiya mendengar komen Black. Amboi! Black ni siapa nak mengajar dia itu ini?

Sabar, Tiya. Sabar. Dengan lelaki ini kau kena sabar banyak. Kau nak pikat dia, kan?

"Cik ada apa-apa yang nak dibuat dekat sini? Yang boleh I tolong? Cepat selesai hal cik, cepat cik boleh balik."

Fatiya sengih dalam hati. Soalan Black dibiarkan tanpa jawapan. Kalaulah sesenang itu. Nak ke Black tolong kalau dia bagi tahu niat sebenar dia balik?

Tak lama pun menunggu, makanan yang dipesan tiba. Black hanya memerhati gerak-geri Fatiya menikmati steak tanpa banyak bunyi. Sungguh dia buntu. Tak tahu bagaimana cara nak suruh Fatiya balik ke London. Berkali-kali Firdaus berpesan supaya dia tak jauh dari Fatiya.

Takut apa-apa yang buruk jadi pada adik kesayangan dia.

Dan sekarang, kalau betullah permintaan Fatiya hanya itu, dia memang tak boleh nak tunaikan.

Nak jatuh cinta pada Fatiya?

Anak matanya mencuri pandang ke arah Fatiya yang sibuk mengelap bibir yang terkena sos lada hitam.

Fatiya okey. Tak cantik tak buruk. Sedang-sedang sahaja. Gaya dia juga simple. Hanya blouse pendek dan jean lusuh.

Muka dia pula bersih dari jerawat. Rambut panjang dia terurus kemas. Tapi satu aje yang pelik.

Dia sendiri tak tahu kenapa Fatiya benci sangat tengok muka dia. Tipulah kalau dia tak perasan rasa menyampah yang terluah pada wajah gadis tu.

Obvious sangat walaupun kadang-kadang Fatiya cuba untuk menyembunyikannya.

"Apa? Jangan pandanglah!" Pandangan tajam Fatiya menikam anak mata dia.

Black senyum selapis. Memang tak mungkin dia bercinta dengan adik Firdaus ni.

"Cik memang tak nak balik sana, ya?"

Kunyahan Fatiya terhenti.

"None of your business."

"Kalau asyik marah aje, macam mana I nak jatuh cinta pada cik?"

"So, you're giving me the tip, huh?"

"Bukan apa, kalau I tak bagi hint, sampai sudah cik tak balik sana. Entah-entah mereput dekat Malaysia sebab tak dapat cinta I."

Wajah mencuka Fatiya membuatkan dia menyimpan senyum.

"You tahu tak yang you are such a jerk?"

"Tak pernah pula dengar orang cakap sebelum ni." Black senyum.

"Cik tahu tak yang cik ni pelik?"

"Never heard of it." Fatiya menjawab ala kadar. Satu potongan daging dibawa ke mulut.

"Mungkin sebab tu cik tak sedar yang cik ni pelik. Cik Fatiya, let me tell you this. Cik pelik sebenarnya, believe me."

"Jerk!"

Kalau bukan sebab mereka berada di restoran sekarang, rasanya dekat situ juga Black nak ketawa berguling-guling.

"Walau apa pun urusan cik dekat sini, I harapkan yang cik boleh selesaikan segera."

"Baru dua hari I sampai sini, you dah sibuk suruh I balik kenapa? Abang pun tak bising, you pula yang lebih-lebih. Kenapa? Nak take over rumah I? Nak ambil syarikat abang I? Atau, you nak bolot semua harta famili I?"

Black hanya mampu ketawa mendengar komen dari mulut Fatiya. Fokusnya kembali pada fail lejar akaun di tangan. Kalau dia nak bolot semua harta Firdaus, dah lama dia buat.

"Orang tua-tua cakap, diam maknanya betullah tu." Fatiya menghirup baki lemonade di dalam gelas.

"Kalau ya, cik nak buat apa?" Black angkat kening. Saja menguji.

Fatiya capai telefon dari atas meja dan membuka aplikasi kamera. Tak sampai seminit, gambar Black yang memandangnya tersemat dalam galeri.

Dia senyum segaris.

"I akan bagi gambar ni pada polis, dan I akan paksa abang pecat you."

"Abang cik tak akan pecat I, believe me."

"I buat repot polis!"

"I boleh lari ke overseas."

Fatiya buat muka.

"I hantar bomoh, santau you pakai gambar ni."

Dia simpan senyum.

"Tak baik main bomoh, sayang."

"Urgh! I hate you." Fatiya dah habis idea.

Black ketawa perlahan.

"Apa-apa pun, I takkan balik ke sana sebelum buat you jatuh cinta pada I. We had a deal, remember?"

"Princess..." Black mengeluh perlahan.

"Penting sangat ke game tu?"

"Bagi I, yes." Sebab aku nak buat kau melutut pada aku!

"Jadi, kalau I kalah dan jatuh cinta pada cik, cik akan terus balik sana?"

"Yes." Lepas kau cintakan aku, aku akan pijak hati kau lumat-lumat!

Fatiya senyum sinis. Rancangannya setakat ini masih dalam haluan yang betul. Dia akan pastikan Black jatuh! Sama seperti apa yang dia dah buat pada Hany.

"So, can I make it simple, now?"

Fatiya ternganga, tak faham.

"How?"

"I don't love you. So, cik dah kalah. Boleh balik UK."

"Black!" jerit Fatiya, geram. Kalau diikutkan hati, nak aje dia keluarkan jantung Black pakai pisau yang ada di atas meja ni.

Biar Black tahu sakitnya hati dia sekarang. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro