Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEBAIK sahaja tamat perbincangan dengan beberapa orang klien, Kamal terus memandu pulang ke pejabat.

Melihatkan wajah gembira Fatiya bertemunya tadi, dia pasti Fatiya langsung tak tahu apa yang dah jadi.

Dia pasti Firdaus masih merahsiakan kejadian yang jadi sekarang ini.

Jam pada dashboard dipandang beberapa kali. Sesekali, dia mencipta senyum penuh makna. Berita penting itu harus sampai pada bapanya.

Tiba di bangunan pejabat, langkahnya laju dibawa hingga depan pintu bilik Tan Sri Razak dan tanpa diketuk, pintu bilik dibuka.

"Pa..." tegur dia perlahan.

Berita yang ingin disampaikan tadi terbantut bila beberapa kepala yang ada di dalam bilik itu menoleh ke arahnya.

"Sorry." Sempat dia menampal senyum nipis sebelum mengangguk, sopan.

Silap dia juga, kalut sangat nak sampaikan berita sehinggakan lupa untuk ketuk pintu.

"Maaf semua. Ini anak saya, Kamal," terang Tan Sri Razak perlahan. Dia yang duduk di kerusi paling hujung mendepakan sebelah tangan, memperkenalkan satu-satunya anak lelakinya.

Yang ada di situ sekadar mengangguk dengan senyuman.

"Sorry, pa. I'll wait outside." Baru saja dia ingin menutup semula pintu bilik sebelum dihalang.

"It's okay. Kita pun dah habis bincang." Tan Sri Razak bersuara tenang.

Salah seorang tetamunya tadi mula bangun dari kerusi.

"Kami akan sampaikan pada pihak pembeli dan apa-apa keputusannya, saya akan beritahu Tan Sri kemudian."

"Baik."

"Kami keluar dulu, Tan Sri."

Tetamu yang paling muda pula meminta diri. Dan tak lama kemudian, kesemua empat tetamu tadi hilang daripada pandangan.

Kamal terus melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan papanya.

"Pa, Kamal jumpa Fatiya."

Sebaris ayat itu terus membuatkan mata Tan Sri Razak bersinar-sinar.

"Fatiya adik Firdaus?"

Laju Kamal mengangguk.

"Bila dia balik Malaysia?"

"Kamal pun tak pasti, pa. Tapi dia memang ada di KL sekarang."

Kamal mencipta senyum di hujung kata. Dia tahu apa rancangan papanya.

Dia tahu apa yang papanya rasa sebab dia sendiri pun ada rasa yang sama.

"Bagus. Nampaknya rancangan kita makin senang." Tan Sri Razak mula mengusap janggutnya sendiri. Terbayang-bayang beberapa rancangan yang ada untuk menjatuhkan Firdaus.

"Tapi ada satu aje masalah, pa."

"Apa dia?"

"Rasanya Firdaus minta Black yang jaga Fatiya. Kamal tengok Black tu tak tinggalkan Fatiya jauh."

Waktu terserempak dengan Fatiya tadi, sempat juga dia mengintai dari jauh.

Black langsung tidak biarkan Fatiya bersendirian bahkan, bila Fatiya ke tandas sekalipun, Black akan menunggu di depan pintu.

Tan Sri Razak bangun dari sofa. Bibirnya menarik senyum penuh makna.

Black.

Itu tak jadi masalah pada dia.

Nampaknya, apa yang dia inginkan dah makin mudah jalannya. Sungguh, dia tak sabar nak tengok Firdaus tersungkur sampai mati!

MALAM itu, Black sekadar memerhatikan gerak-geri Fatiya yang seronok bersembang dengan abangnya di depan TV. Dari jauh, dia nampak wajah manis itu sesekali tersenyum dan ketawa.

Kadang-kadang pandangan Fatiya jatuh pada dia yang diam membisu di suatu sudut. Cepat juga dia mengalihkan pandangan. Surat khabar yang ada di tangannya sekadar menjadi hiasan. Mata masih melirik ke arah gadis periang itu.

Pertama kali nampak gambar Fatiya di dalam rumah ni, tiada satu pun perasaan yang terdetik dalam hatinya.

Kesemuanya normal.

Kesemuanya biasa-biasa.

Waktu pertama kali bertemu Fatiya dulu pun, dia masih tiada apa-apa rasa.

Namun setelah beberapa hari dia terpaksa mengikut Fatiya ke mana-mana, timbul suatu perasaan tiba-tiba.

Mungkin dia terlebih risau dan terlebih ikutkan arahan Firdaus.

Jaga Fatiya.

Dan sekarang, dia jaga Fatiya lebih dari nyawanya sendiri.

"Black..." Firdaus memanggil perlahan sebelum menggamit tangannya.

Fikiran yang jauh melayang tadi kembali bila namanya tiba-tiba diseru.

Laju saja Black bangun dari kerusi dan menghampiri kedua-dua beradik itu.

"Kau dengan Tiya jumpa Kamal?"

Teragak-agak dia mengangguk. Sempat dia menoleh ke arah Fatiya yang tersenyum-senyum memandangnya. Gembira betul dia bercerita itu ini kepada Firdaus sehinggalah ke topik bertemu Kamal di Pavilion tadi.

"Kenapa tak beritahu yang kau orang jumpa Kamal tadi?"

Soalan ditujukan kepada dia dan automatik dia terdiam dan menunduk. Liur ditelan terasa tersekat di kerongkong.

"Kan Tiya bagi tahu ni..." Fatiya cepat-cepat bersuara.

Kesian pula dia bila nampak Black serba salah di depan Firdaus. Bukan selalu dia nampak Black kena marah macam ni. Apa yang nak risau sangat bila dia jumpa Kamal? Bukannya dia jumpa tentera Israel pun.

"Bolehlah bang, Tiya nak jumpa Kamal esok. Boringla asyik keluar dengan Black aje."

Firdaus mengeluh berat. Sempat dia menjeling tajam ke arah Black sebelum pandangannya menyapa wajah Fatiya.

"Boleh. Abang boleh benarkan Tiya jumpa Kamal. Tapi, syaratnya Black kena ada sekali."

"La... Takkan nak keluar dengan adik ipar abang pun, Tiya kena bawa Black sekali?" Fatiya buat muka tak puas hati.

"Tiya dah besarlah, bang."

Pandangan Black dan Firdaus bertemu. Terasa aura yang tidak dapat diungkapkan sebaik saja mereka bertentangan mata. Fatiya yang tak faham apa-apa sekadar menjongket kening.

Pelik.

"Black, tolong pujuk abang kejap. Dia tak bagi I keluar dengan Kamal esok. You pun tak adalah bosan ikut I ke, kan?"

"I akan ikut cik esok." Black bersuara perlahan.

"Ala... Kau orang ni kenapa? Bosanlah macam ni. I dah besar, tahu tak? Abang, dekat UK tu selalu aje Tiya keluar sorang. Kenapa dekat sini susah sangat nak biar Tiya jalan sendiri?" Suara Fatiya naik senada. Geram.

Tak pernah-pernah dia rasa terkongkong macam ni. Takkanlah nak jumpa Kamal pun, macam-macam syarat Firdaus bagi?

Macamlah Kamal tu perogol bersiri!

"Princess, if you want to go, Black mesti ikut sekali. Kalau Tiya tak bagi Black ikut, then my answer is no. Jangan jumpa dia." Firdaus beri kata putus.

"But..."

"Tak ada tapi lagi. Nak atau tak?"

Fatiya mendengus perlahan. Tak percaya yang Firdaus tegas dengan arahan dia.

"And you, Black. Sebelum balik kejap lagi, jumpa aku." Firdaus tiba-tiba bangun dari situ dan melangkah ke bilik kerjanya yang terletak berhampiran dengan stor.

Sebaik saja Firdaus hilang daripada pandangan, Black melepas nafas panjang. Wajah mencuka Fatiya dipandang lama.

"Apa hal abang marah sangat bila tahu kita jumpa Kamal?" Terlepas juga soalan yang menari-nari dalam fikiran dia tadi.

"Dia risaukan cik." Pendek jawapan Black.

"Nak risau apa? I bukan budak-budak lagi. Lagipun, itu Kamallah. Bukannya pembunuh bersiri!"

"Sebab cik bukan budak la bos risau."

Dahi Fatiya berkerut. Kenapalah malam ni Black dan Firdaus pakai kata-kata tersirat ni?

"Bosanlah, I masuk tidur lagi bagus!" Cepat saja dia bangun dari sofa dan memanjat tangga ke tingkat atas meninggalkan Black sendirian.

FATIYA dah bersedia untuk tidur waktu dia tersedar yang iPhone miliknya tertinggal di atas meja kopi. Dengan tenaga yang berbaki, kaki dibawa kembali ke ruang tamu. Sempat dia mengerling ke arah jam dinding sebelum mencapai telefon pintar itu dari atas meja.

Pukul 11.30 malam.

Awal lagi kalau nak dikira.

Sejak balik Malaysia, dia dah biasa tidur selepas pukul 12 tengah malam.

Baru saja dia ingin kembali ke bilik sendiri, telinga menangkap bunyi orang berbual dari dalam bilik kerja Firdaus.

Spontan keningnya bertaut.

Black tak balik lagi ke?

"Benda sepenting tu kau tak boleh nak bagi tahu aku?"

Dia tersentak bila suara Firdaus tiba-tiba kuat menengking. Nafas ditahan sementara kakinya melangkah mendekati pintu bilik yang tertutup rapat.

Dada mula berdebar kencang dek situasi yang langsung dia tak jangkakan ini.

Perlahan-lahan dia membawa telinga ke pintu, cuba mendengar apa lagi butir perbualan abangnya dan Black.

"Saya tak tahu yang Kamal ada di situ juga, bos." Jawapan Black sayup-sayup di telinga. Perlahan saja menyapa.

"Kau dah makin dedahkan adik aku pada orang tua tu, kau tahu tak? Sekarang ni, orang tua tu mesti dah tahu yang Fatiya ada di sini. Kalau apa-apa jadi pada adik aku, kau dulu yang aku cari!"

Fatiya telan liur beberapa kali.

Kenapa lain benar perwatakan Firdaus malam ni?

"Maaf, bos." Perlahan saja suara Black menjawab.

"Bila kau nak buat Tiya balik UK?"

Jantung kembali berdetak laju bila namanya disebut. Patutlah selama ni Black asyik tanya soalan sama. Rupa-rupanya Firdauslah sebabnya.

"Saya tengah cuba, bos."

"Aku nak kau cepat. Makin lama dia dekat sini, makin terdedah dia dengan bahaya. Dan aku tak nak dia tahu apa yang kita buat sekarang."

Fatiya tersentak.

Apa sebenarnya rahsia Firdaus?

Kalau nak diikutkan hati, nak saja dia buka pintu dah tanya apa yang dah jadi sebenarnya. Tapi bila difikirkan yang dia mungkin akan dipaksa balik semula ke UK, niatnya tadi ditahan.

Malas nak dengar perbualan seterusnya, dia mula menjauhi bilik kerja abangnya dan masuk ke dapur.

Sempat dia basahkan tekak dengan air sejuk sementara menunggu Black keluar dari situ.

Nasib dia baik, tak lama pun menunggu, pintu bilik kerja Firdaus terbuka luas sebelum Black keluar dari situ.

Sebaik sahaja pintu ditutup rapat, dia terus meluru ke arah Black yang laju melangkah ke pintu utama.

Dah nak balik agaknya.

"Black!" Keras nada yang terkeluar walaupun perlahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal suara supaya Firdaus yang ada di dalam bilik tidak sedar kehadirannya.

Black yang langsung tak jangkakan kehadiran Fatiya di situ terkejut sebaik saja tangan kecil itu menahan dia dari keluar dari rumah.

"Apa cik buat kat sini?" Juga perlahan. Dia menoleh ke arah bilik kerja Firdaus yang masih bertutup rapat.

"Bukan tadi dah naik tidur ke?"

Fatiya mula bercekak pinggang di depan Black. Soalan tadi dibiarkan sepi tak dijawab.

"Rahsia apa yang you dengan abang sorokkan daripada I sebenarnya ni?" Malas nak berkias-kias, dia terus ke persoalan utama. Wajah Black di hadapannya direnung tajam sehinggakan lelaki itu perahan-lahan menundukkan kepala.

"Rahsia tu tak akan jadi rahsia dah kalau I cerita pada cik." Black mencipta senyum di hujung ayat.

Automatik dia menarik rambut sendiri, geram. Cakap dengan Black ni memang boleh buat sakit jiwa!

"Kenapa abang I cakap I dalam bahaya?"

Black melepas nafas perlahan. Tanpa menghiraukan Fatiya yang masih dalam tanda tanya, dia terus membuka pintu dan menyarung kasut.

"Black!" Fatiya makin geram. Boleh pula dia selamba aje pakai kasut nak keluar tanpa jawab soalan dulu?

Tak tahu ke berapa ribu soalan yang ada dalam kepala sekarang ni?

"Kita sambung esok la cik, boleh? I kena balik sekarang ni. Dah lewat sangat." Tenang saja dia membalas.

"Takkan you nak biarkan I tertanya-tanya sepanjang malam?" Dia ikut langkah Black keluar dari rumah tanpa berselipar.

Black angkat bahu sambil tersenyum nipis.

"You ni kan..." Kedua-dua penumbuknya digenggam kemas. Kesabarannya mula menipis.

"Cik boleh tunggu I esok, ataupun cik boleh tanya bos sekarang." Black melipat tangan ke dada sambil bersandar pada keretanya yang diparkir di sebelah kereta Firdaus.

"You cakap ajelah sekarang. Takkan itu pun susah sangat? Selagi I tak tahu apa yang jadi sebenarnya, selagi tu la I tak boleh nak tidur!"

"Kalau nak tahu sekarang, pergi tanya bos."

Fatiya hampir menjerit, geram. Nak aje dia cekik-cekik Black dekat situ juga. Nak suruh buka rahsia itu pun susah sungguh!

Ya Tuhan, tambahkanlah kesabaran aku...

"Okey, cik. I balik dulu. Good night."

Fatiya tak menjawab. Kelibat Black yang masuk ke dalam keretanya dipandang dengan rasa tak puas hati yang membuak-buak.

Sebelum sempat dia kembali masuk ke dalam, sekali lagi suara Black menyapa telinga.

"Kalau rasa-rasa cik tak boleh tidur, cik telefon aje I. I ada cara untuk buat cik tidur." Black senyum tipis.

Fatiya ketap bibir, geram.

Kenapalah dia kena kenal orang yang bernama Black ni?

Haih, Hany. Ini kau punya pasallah! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro