Bab 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KEESOKAN harinya, jelas terpancar wajah suram Firdaus waktu sarapan. Sepatah yang ditanya, sepatah juga dia jawab. Akhirnya Fatiya diam saja sambil menikmati nasi lemak yang Black beli itu.

Marah betul Firdaus bila dia berkeras nak jumpa Kamal.

Sebaik saja Firdaus ke pejabat dengan pemandunya, tumpuan beralih pula pada Black yang santai membaca beberapa buah fail hitam yang baru diberi Firdaus tadi.

Khusyuk betul!

"Macam mana malam tadi? Boleh tidur tak?"

Belum sempat dia menegur, Black terlebih dahulu membuka mulut tanpa memandang.

Fuh! Nasib baik dia tak melatah bila ditegur tiba-tiba. Mata Black ni boleh nampak 360 darjah ke apa?

"You sengaja nak buat I teringatkan you sepanjang malam, kan?" luah dia perlahan. Langsung tak terfikirkan apa makna di sebalik ayat dia tadi.

"Wow, sepanjang malam cik ingat I? Takkanlah I balik rumah kejap pun dah rindu?"

Fatiya tepuk dahi.

Jawapan Black tadi terus membuatkan dia tersedar sendiri. Salah ayat rupa-rupanya.

"Bukan tu la maksud I!"

Black mencipta senyum nipis sebelum kembali menatap beberapa keping kertas yang ada di dalam fail tadi. Sibuk benar gaya dia.

"You sengaja seksa I sebab tak nak beritahu hal sebenar sampaikan..."

"Sampaikan cik terbayang-bayangkan I sepanjang malam?" Mendatar saja soalan Black di telinganya.

Kali ni dia hampir hantuk kepala sendiri ke meja.

Ini ada juga aku tikam dengan garpu karang...

"Dahlah. Malas nak cakap lagi." Fatiya mengalah. Baki nasi lemak dihabiskan sebelum dia berdiri untuk ke singki.

Baru jam 9 pagi dah dia dah kena hadap muka Black di rumah sendiri. Nasib baiklah sejak dia balik, Firdaus ada upah Kak Melati dan Pak Ayub untuk jaga dia di rumah ni selain Black.

Tak adalah rasa seram sangat bila terpaksa 24 jam berkepit dengan Black.

"You memang tak nak beritahu apa yang jadi semalam?" soal dia tanpa memandang.

"Rahsia tu, bukan hak I untuk buka, cik." Tenang Black melafazkan.

"So, you memang nak I tanya abang sendiri?"

Black letak fail yang dipegangnya tadi ke atas meja makan dan membawa pandangannya ke arah Fatiya yang berdiri di depan singki.

"I rasa, cik kena buat-buat tak tahu yang cik tahu ada rahsia yang bos simpan. Bos berahsia bukan suka-suka. I harap cik faham."

Fatiya melepas nafas berat.

Mana boleh dia buat-buat tak tahu? Benda ni melibatkan dia juga.

"I nak sambung tidur. Lepas zohor nanti I nak keluar dengan Kamal." Fatiya memberi kata putus.

"Tapi, cik..."

"You boleh ikut, tapi jangan ikut dekat. I tak nak Kamal tahu yang you pun ada sama. Apa kata dia nanti?"

Black mengeluh perlahan. Serba salah dibuatnya dengan permintaan Fatiya tadi.

"Kalau you tak ikut arahan I, I akan mogok tak nak balik UK. Biar ajelah I tinggal sini walaupun abang cakap yang I dalam bahaya."

"Cik tahu kan yang I kerja dengan bos, dan arahan bos yang I patut ikut?"

Fatiya mendengus kuat. Kalah.

Dia lupa lelaki yang ada di depan dia sekarang ni ada pendirian sekuat batu bersurat!

"Tapi, memandangkan cik dah lama sangat tak jumpa crush cik tu, I boleh pertimbangkan," sambung dia lagi. Wajah murung Fatiya tadi sedikit sebanyak bertukar tenang seperti biasa.

"Dia bukan crush I la!"

"Whatever." Laju Black membalas.

"Dengan syarat, cik kena jumpa dia di tempat yang terbuka dan cik tak akan ikut dia kemana-mana. Just stay there."

"You punya syarat ni mengalahkan suami orang." Sempat dia merungut perlahan.

Nak keluar dengan adik ipar Firdaus aje pun. Bukan main panjang syarat dia.

"Nak ke tak?"

"Yalah... Yalah..." Nak tak nak, dia terpaksa setuju juga. Sebenarnya, dia bukan nak sangat keluar dengan Kamal. Tapi jauh di sudut hati, dia dapat rasa ada sesuatu yang mereka sembunyikan dari pengetahuan dia.

Kalau dia tak dapat korek dari Firdaus dan Black, dia boleh korek dari Kamal.

Apa nak jadi nanti, jadilah.

"Dan yang paling penting..." Black bersuara lagi.

Fatiya yang dah ada di anak tangga pertama pegun memandang.

"Apa lagi wahai Black?"

"Jangan beritahu bos yang I duduk jauh dari cik."

"Okey, my dear. Ada lagi tak syarat yang you nak tambah?" soal Fatiya, bosan.

"Tak ada. Just sleep dan jangan curi-curi keluar jumpa Kamal tanpa pengetahuan I."

"You ingat I budak sekolah menengah ke nak curi-curi keluar?"

"Yup. You look like one."

Fatiya tarik muka. Sungguhlah, cakap dengan Black ni memang tak pernah mendatangkan keamanan.

"Okey, sekarang boleh tak bagi I tidur dengan aman?" Satu per satu perkataan ditekankan. Sengaja dia menampal senyum sinis di hujung kata.

"Go ahead, princess. Sleep tight."

Cepat saja dia memanjat anak tangga ke bilik sendiri tanpa menoleh ke belakang. Segala yang dibuat serba tak menjadi.

Bukan ini rancangan yang dia dan Hany buat waktu di UK dulu. Kalau macam inilah perangai Black, macam mana dia nak mula rancangan pikat dan hancurkan hati tu?

DARI depan rumah sehinggalah dia melangkah keluar dari kereta Black, tak habis-habis pesanan yang sama diulang.

Jangan jalan ke tempat tak ada orang.

Jumpa di tempat orang ramai.

Jangan ikut Kamal keluar dari kawasan pusat membeli-belah.

Jangan cerita perihal rahsia yang dia dengar semalam.

Itu antara pesanan yang masih melekat dalam kepalanya saat langkah dibawa ke kedai kopi yang terletak di dalam perut Mid Valley.

Walaupun Kamal tak setuju pilihan tempat dia, namun Kamal ikutkan saja bila Fatiya beri alasan dah lama tak jenguk pusat membeli-belah itu.

Senyuman Kamal menyambutnya sebaik saja dia melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan.

"Nice to see you again, Tiya." Makin lebar senyuman Kamal bila nampak dia bersendirian.

"Nice to see you too," balas dia, juga dengan senyuman. Sebaik saja membuat pesanan, Kamal mula membuka pelbagai topik termasuklah perihal hidup dia selepas habis belajar dulu.

Lama bersembang, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

"Kejap, you tak kerja ke hari ni? I lupa pula yang I aje yang belum kerja. Suka-suka aje ajak you keluar weekdays macam ni."

"I tak kesah, Tiya. Kalau bab keluar dengan you, anytime pun boleh. Lagipun hari ni memang I tak ada kerja sangat. Free from any meetings hingga ke petang."

"Wah, seronok la kerja dengan papa sendiri. Ada kuasa besar keluar ofis." Dia tayang sengih dan Kamal terus ketawa.

"Apa khabar papa? Lama I tak jumpa dia. Papa dah tak selalu datang ofis abang ke?"

Rasanya dah banyak kali dia pergi ofis abang. Tapi tak pernah terserempak dengan papa Kamal.

Waktu arwah abah yang jaga Adam Holdings dulu, kerap kali juga dia nampak Tan Sri Razak ke pejabat abah.

Sekarang ni aje memang tak nampak langsung.

Soalan naif dari mulut Fatiya membuatkan Kamal tersenyum nipis. Nampaknya, Firdaus benar-benar simpan rahsia besar itu dari pengetahuan adiknya.

"Papa dengan Firdaus not on a good terms. You tak tahu ke?" Sengaja dia buat-buat tanya walaupun jelas sekali Fatiya tak tahu apa-apa.

"Hah? Kenapa?"

"Sejak Kak Juita tak ada..." Kamal masih lagi tak mahu untuk berterus terang.

"Yes, I tahu la Kak Juita dah tak ada. But still, abang kan menantu papa." Seperti Kamal, dia juga selesa bahasakan Tan Sri Razak sebagai 'papa'. Lagipula, Tan Sri Razak merupakan kenalan rapat arwah abah dan arwah mama.

"I sebenarnya tak tahu nak ceritakan pada you atau tak." Kamal cuba untuk tarik minat Fatiya. Dia tahu yang Fatiya sejenis yang kurang sabar.

Fatiya memang tak suka kalau kena berteka-teki macam ni.

"Kamal... Apa yang dah jadi? Kenapa Firdaus dengan papa tak ngam?" Kedua-dua anak matanya merenung wajah Kamal di depan. Rasa ingin tahunya membuak-buak bila Kamal seakan-akan berat untuk membuka cerita.

Abang Firdaus pun tak pernah cerita hal sebenar. Sekarang baru dia tahu yang abangnya dan Tan Sri Razak bermusuhan.

"Papa masih marahkan Firdaus lepas kemalangan dulu." Senafas Kamal menuturkan.

"Kenapa? Semua tu kan, kemalangan. Bukan salah abang pun. Dan, takkan papa tak boleh terima yang semua ni ketentuan takdir?" Fatiya cuba membela abangnya. Bagi dia, tak patut kalau Tan Sri Razak nak salahkan Firdaus dalam hal ni.

Bukannya Firdaus nak kemalangan tu jadi.

Kemalangan.

Benda yang tak disengajakan.

"Yes, I know. It's fate. But, it can be avoided. Benda tu boleh dihalang kalau Firdaus tak mabuk malam tu."

Dengar saja penerangan daripada Kamal, dia terus ternganga.

"Say it again?" Takkanlah dia salah dengar. Takkanlah Firdaus macam tu?

"Firdaus disahkan mabuk dan ambil dadah waktu kemalangan malam tu. Sebab itulah terjadinya kemalangan dan mangsanya kakak I." Ada nada kecewa dalam suara Kamal. Bagi dia, memang Firdaus patut disalahkan atas apa yang dah jadi.

Fatiya tak jadi bersuara bila pelayan datang meletakkan makanan yang dipesan tadi.

Terketar-ketar tangannya memegang cawan kopi yang baru sampai. Cuba mencari kekuatan.

Sungguh, dia langsung tak tahu hal tu. Walaupun dah hampir tiga tahun kejadian buruk tu berlaku, dia masih tak tahu apa punca sebenar.

Kak Juita dan Alif meninggal dalam kemalangan.

Abang Firdaus pula terselamat dengan hanya luka kecil dan patah kaki.

Itu saja yang dia tahu.

"Sorry sebab terpaksa bagi tahu you."

"No, it's okay..." Naik turun nafasnya, cuba menstabilkan debaran dada. Fakta yang satu ini langsung tak terlintas dalam kepala.

"I harap, you tak marahkan Firdaus. I tahu dia sendiri mungkin tertekan dengan apa yang jadi."

"I don't know what to say, Kamal. I am really really sorry." Bibir digigit perlahan. Kenyataan yang baru dia terima menimbulkan persepsi lain kepada Firdaus.

Dan sekarang dia faham kalau Tan Sri Razak masih tak dapat nak maafkan abangnya.

"It's okay. Benda nak jadi. I pun dah boleh terima. Cuma papa aje... Mungkin sebab Kak Juita tu his favourite daughter. Kesayangan."

"I faham." Cepat dia menambah.

"I tak salahkan papa."

Kamal mengangguk perlahan. Keadaan jeda seketika. Fatiya sekadar diam, cuba mencantumkan pelbagai cebisan perkara yang terjadi sebaik saja dia balik Malaysia minggu lalu.

Kamal turut diam, memberi masa untuk dia bertenang.

"Patutlah I dah tak nampak atau dengar abang cerita pasal papa. Dekat ofis pun I tak terserempak dengan papa. Kalau waktu abah ada dulu..."

"Firdaus tak cakap ke perniagaan apa yang dia buat sekarang?"

Sekali lagi keningnya terangkat tinggi.

"Apa maksud you?" Dadanya mula berdebar kencang. Sungguh, kalau tak dikawal, jantung yang berdegup mampu menujah keluar.

"Yang itu, I rasa you patut tanya abang you sendiri. I tak berani nak cerita."

Fatiya tersandar di kerusi. Kotak fikirannya mula bercelaru dengan pelbagai tanda tanya.

Patutlah abang tak bagi dia jumpa Kamal. Rupa-rupanya banyak sisi hitam abang yang Kamal tahu.

"Papa ada juga nasihat Firdaus pasal perniagaan dia tu. Tapi, Firdaus tak ambil pusing. Dia seronok dapat untung banyak. Dapat duit banyak. Sebab tu jugalah papa dengan Firdaus dah tak macam dulu."

Satu per satu ayat yang terluah dari mulut Kamal hampir menghancurkan hati dia. Takkanlah selama ni abang beri dia duit dari sumber haram?

Kekayaan dia warisi sekarang ini dari perniagaan haram?

Patutlah susah sangat nak cerita kalau dia tanya pasal business!

"Boleh tak nanti you bawa I jumpa papa? I nak minta maaf bagi pihak abang."

Permintaan Fatiya membuatkan Kamal tersenyum lebar.

"Boleh, anytime. Sekarang pun boleh."

"Sekarang tak boleh. I dah janji dengan Black, tak ambil masa lama." Tiba-tiba dia teringatkan pesanan Black tadi. Walaupun sekarang ni dia nak sangat tahu apa lagi cerita tentang Firdaus, namun separuh hati memaksa dia ikut arahan Black pagi tadi.

Jangan ke mana-mana dengan Kamal.

Mungkin dia boleh pujuk Black untuk jumpa Tan Sri Razak nanti.

Senyuman Kamal serta-merta terhenti saat mendengar nama Black.

"You ada janji dengan dia ke lepas ni?"

Laju Fatiya mengangguk. Kalaulah Kamal tahu yang Black ada memerhati dari jauh...

"Kejap lagi dia sampai." Sempat dia menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari kalau-kalau Black ada berdekatan. Kelibat Black langsung tak kelihatan.

Pandai betul Black cari tempat yang tersembunyi.

"You percaya ke pada Black tu?"

Soalan Kamal membuatkan keningnya terangkat seinci.

"Apa maksud you?"

Kamal tarik nafas panjang. Dia turut menoleh ke kiri dan ke kanan, turut mencari kalau-kalau Black ada berdekatan.

"I rasa Black tu ada niat lain..." Kamal sengaja menggantungkan ayat.

"See! You pun nampak ke?" Fatiya hampir menjerit.

"I dah lama rasa yang Black tu sesuatu. Tapi I tak berani nak cakap banyak sebab abang percaya dia. Mungkin lebih dari abang percaya I."

Fatiya mengeluh perlahan. Kalau Kamal pun nampak yang Black tu punya rancangan tersembunyi, jadi telahan dia selama ni tak salah.

Black memang ada niat lain. Tengoklah cara dia tipu Hany tu. Habis lesap semua duit Hany dan budak-budak perempuan di laman chatting tu.

Dan sekarang, abang lebih percayakan Black dari semua orang. Tak patut betul!

"Speak of the devil..." ucap Kamal perlahan.

Fatiya senyum tawar bila menurut arah pandangan Kamal.

Black yang seperti tadi berkemeja hitam melangkah kemas menghampiri meja mereka berdua.

Jam tangan dikerling sekilas. Tepat jam tiga petang.

Tak kurang, tak lebih.

Robot ke apa dia ni?

"I pergi dululah." Kamal dah bangun dari kerusi.

"See you again, Tiya."

Fatiya mengangguk dengan senyuman. Cepat saja Kamal berlalu dari situ selepas bertentangan mata dengan Black yang berselisihan dengannya.

Sebaik sahaja Black mengambil tempat kamal tadi, Fatiya melepas nafas perlahan. Wajah kemas tanpa sebarang kumis di hadapannya dipandang lama.

Kadang-kadang, Black nampak begitu jujur. Kadang-kadang, Black bagaikan menyimpan seribu satu rahsia. Kadang-kadang, dia nampak Black ni lelaki paling jahat di dunia.

Dan kadang-kadang, tingkah Black mampu membuat dia rasa tenang dan selamat. Sehingga sekarang, dia langsung tak nampak apa wajah Black yang sebenarnya.

DALAM kereta, dia hanya diam membisu. Kepala terngiang-ngiang suara Kamal yang membongkarkan rahsia yang langsung dia tak tahu.

Dah lebih tiga tahun Firdaus simpan kemas benda ni. Patutlah dia tak dibenarkan balik waktu tahu Kak Juita dan Alif meninggal dunia dulu.

Kata Firdaus, dia tak nak susahkan keluarga di UK dan Fatiya boleh doakan dia dari jauh.

Dan sekarang rupa-rupanya Tan Sri Razak dan abang dah lama tak bertegur sapa.

Belum habis terkejut fasal kemalangan tu, dia tahu pula tentang perniagaan yang dijalankan Firdaus.

Nafas dilepas berat. Fikirannya tiba-tiba kusut bila memikirkan kenyataan sebenar.

"Black," panggil dia perlahan. Dari tadi Black diam di tempat pemandu.

Black memandang sekilas tanpa mengeluarkan suara.

"You tahu pasal accident tu?"

"Accident apa?"

"Accident yang menyebabkan Kak Juita dan Alif meninggal dulu." Perlahan suara yang terkeluar.

"Masa tu you dah kerja dengan abang?"

Black terdiam seketika sebelum dia menggeleng perlahan.

"I belum kerja dengan bos. Tapi I tahu yang bos accident teruk dulu."

"Betul ke waktu tu abang mabuk?" Wajah Black dipandang tak lepas. Sungguh, dia masih tak dapat terima kenyataan yang satu itu.

"Kamal yang beritahu you?" Tak perlu berteka-teki, soalan Fatiya tadi jelas dipengaruhi oleh Kamal.

Laju Fatiya mengangguk.

"Dan you percaya?"

"I tak tahu nak percaya siapa sekarang ni, Black. Sekarang ni semua benda berubah. Kadang-kadang I dah tak rasa yang Malaysia ni negara I. I tak rasa yang keluarga I tu, sama dengan keluarga yang I kenal sebelum ni." Sekali lagi dia mengeluh.

Pandangannya dilempar jauh aje tengah lebuh raya. Black di sebelah masih tenang memandu. Sikit pun Black tak terkesan dengan keluhan dia tadi.

"I rasa macam I tak penting dalam hidup abang. Semua benda I tak tahu. Semua orang nak berahsia dengan I," sambung dia lagi.

"Macam ni la, cik. Satu aje I nak cik tahu. Bos memang sayangkan cik." Black memberikan kata putus. Dia nak cakap lebih-lebih pun, itu bukan bahagian dia. Semua benda ini perlu dijelaskan oleh Firdaus sendiri.

Fatiya mendengus geram. Itu bukan jawapan yang dia nak.

"I harap cik tak tanya bos pasal ni. Dia dah cukup tertekan bila tahu yang puan dan anak dia meninggal dulu."

"Jadi betul la semua tu salah abang? Dia bawa kereta masa mabuk?"

Black melepas nafas perlahan. Suasana jeda beberapa saat. Silap dia benarkan Kamal bertemu Fatiya tanpa pengawasan.

Dia tahu bila-bila masa saja Kamal boleh mengawal pemikiran Fatiya.

"Cik kena percaya bos walau apa pun yang jadi. He is your only family. Takkan cik nak lebih percayakan Kamal?"

"Habis tu, tak ada siapa pun nak cerita benda sepenting ni pada I. Tak ada siapa pun anggap I ni penting. Tell me, Black. I nak percaya siapa?" Suara dia naik satu nada.

"Cukuplah cik percayakan I," jawab Black, tenang.

Jawapan Black membuatkan Fatiya mengeluh panjang. Entahlah. Saat ni, dia rasa nak terus balik UK aje.

Tak teruskan rancangan bodoh Hany ini pun, tak apa.

Baiklah dia tak tahu apa-apa, tenang dan aman damai.

Betullah orang cakap, ignorance is a bliss.

Sekarang ni, bila dah tahu situasi sebenar keluarganya, hidup dia yang aman sebelum ni dah tak aman lagi.

Itu belum tanya pasal business yang dia orang buat lagi. Kalau dah tanya, apa lagi kelentong yang Black nak bagi. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro