Bab 8

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEJAK tahu kebenaran yang tersimpan kemas itu dari mulut Kamal, pandangan dia terhadap Firdaus dah berubah 180 darjah.

Ya, sebelum ini abangnya itu merupakan abang yang terbaik yang pernah dia ada. Setiap apa yang dia minta, pasti akan dapat. Tiap kali dia perlukan Firdaus ada bersama, esok atau lusa, Firdaus akan muncul di UK dengan wajah gembira.

Malam itu, seperti biasa Hany akan menelefon, bertanyakan tentang perkembangan rancangan mereka. Malas nak mereka-reka cerita, dia terus tukar topik lain. Saat ini, rancangan Hany dah jatuh ke nombor sepuluh.

Apa yang penting sekarang ni adalah status perniagaan keluarga dia sekarang dan apa yang jadi sewaktu dia tinggal di UK.

Sebaik saja tamatkan panggilan, mata menjeling ke arah jam pada dinding bilik. Jam 9 malam.

Sejak balik dari jumpa Kamal tadi, dia hanya berkurung di dalam bilik tanpa menghiraukan Black yang ada di tingkat bawah. Berkali-kali juga Kak Melati panggil, ajak minum di bawah tapi langsung dia tak layan.

Akhirnya hanya Black, Kak Melati dan Pak Ayub saja yang minum di laman belakang rumah.

Makan malam pun dia tak ikut serta.

Selesai solat isyak, dia melangkah turun ke bawah dan terus ke bilik kerja Firdaus bila nampak ruang tamu kosong.

Perlahan pintu ditolak sebelum dia mencipta senyum tawar. Mata meneliti setiap pelosok bilik yang pernah jadi milik arwah abah itu.

Masih sama susunannya cuma ada beberapa barang yang dah berganti.

"Tiya?" Firdaus yang khusyuk menaip sesuatu di komputer riba mengangkat kening tinggi.

Hanya dia saja yang ada di dalam bilik. Kelibat Black langsung tak kelihatan di mana-mana.

"Abang busy?" soalnya perlahan.

Dia masih berjalan perlahan ke sekeliling bilik. Bermula dengan rak buku rujukan arwah abah dulu... Rak buku-buku penulis antarabangsa yang mungkin milik abang... Terus ke rak kaca yang menempatkan pelbagai piala, trofi dan sijil penghargaan arwah abah dan akhirnya langkahnya terhenti di depan meja.

"Kenapa ni?" Soalan Fatiya dibalas dengan soalan. Pelik pula bila nampak tingkah Fatiya malam ni.

"Tiya nak tanya sikit, boleh?" Dia terus duduk di atas salah satu kerusi yang ada di depan meja Firdaus. Sempat dia menangkap gambar keluarga Firdaus yang terletak elok di dalam bingkai atas meja.

Spontan dia mencipta senyum tawar.

"Tiya? What's wrong? Kenapa pelik aje malam ni?"

Fatiya tarik nafas panjang. Lama dia hanyut dalam wajah tertanya-tanya abangnya sehinggalah akal kembali berfungsi.

Tak boleh tidak, dia kena tahu juga apa yang berlaku sebenarnya.

"You're scaring me, princess."

Dia tergelak kecil bila dengar ayat abangnya.

"No, actually. Abang yang dah menakutkan Tiya sekarang." Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba mengumpul kekuatan.

Kerutan pada dahi Firdaus jelas kelihatan. Komputer riba di depannya ditutup perlahan sebelum kedua-dua tangannya diletakkan ke atas meja.

"Okey, now tell me. Apa yang Tiya nak tanya?"

"Tiya ada dengar apa sebenarnya jadi waktu abang kemalangan dulu." Lancar saja ayat itu keluar dari mulut.

Firdaus terus terpanar. Tak berkedip matanya merenung wajah Fatiya di depan. Dah lama juga kisah kemalangan itu dibuang dari kotak fikiran. Ditolak jauh dari memori.

"Dan juga business apa yang abang tengah buat sekarang," sambung Fatiya lagi.

Firdaus menggenggam penumbuk kemas. Terketar-ketar kedua-dua tangannya cuba melawan pelbagai rasa yang tiba-tiba muncul.

"Kamal, kan? Dia yang ceritakan pada Tiya semua ni?"

Walaupun dia agak terkejut bila nampak reaksi abangnya, Fatiya tetap mengangguk.

"Where the hell is Black waktu Tiya jumpa Kamal?" Suara Firdaus mula meninggi.

Fatiya telan liur. Sungguh, dia tak pernah berhadapan dengan abangnya yang seperti ini.

"Black ada..." Dia tak jadi menyambung.

"Kalau Black ada, takkanlah Black biarkan Kamal cerita semua tu pada Tiya?"

"Jangan nak salahkan Black, boleh tak? Tiya yang suruh dia duduk jauh-jauh waktu Tiya jumpa Kamal." Suara dia naik senada. Tak pasal-pasal Black pula yang disalahkan.

Firdaus diam tak menjawab. Dadanya naik turun seiring dengan nafasnya yang dihembus kuat.

"Sebab inilah abang tak nak Tiya jumpa dia."

"Kenapa abang takut sangat Tiya jumpa adik ipar abang tu? Takut semua rahsia yang abang simpan selama ni terbongkar?" Entah dari mana datangnya kekuatan untuk dia luahkan segala rasa yang ada.

Pandangan Firdaus sekarang ini mampu menembus jantungnya. Tajam!

"Listen, Tiya. Abang tak nak Tiya rapat dengan Kamal." Suaranya mula mengendur.

Fatiya mendengus perlahan. Abangnya masih tak nak buka cerita sebenar.

"Tell me, abang. Betul ke apa yang Kamal cakap tu? Abang mabuk malam tu?"

"Just. Stay. Away. From. Kamal." Sepatah-sepatah Firdaus bersuara. Dia terus bangun dari kerusi dan keluar dari bilik tanpa menoleh lagi.

Fatiya tergamam. Nafas dihela perlahan sambil mengikut langkah abangnya dengan pandangan mata.

BLACK baru selesai mandi saat adiknya, Azam keluar dari bilik. Langkahnya terhincut-hincut menuju ke dapur tanpa menghiraukan Black di muka pintu bilik air.

"Ada makanan ke kat dapur?"

Azam yang baru saja membuka pintu peti ais menoleh sekilas.

"Seharian kau keluar, malam baru balik. Lepas tu baru nak kesahkan rumah ni?" Sinis jawapan daripada mulut Azam.

"Aku kerja la..." Black sekadar melepas nafas perlahan.

Sikit pun dia tak terusik dengan jawapan adiknya itu.

"Kejap lagi aku keluar beli makanan. Esok kalau kau nak makan, oder aje delivery."

"Tinggal la duit sikit esok."

Kening Black bertaut.

"Takkan duit yang aku bagi bulan lepas dah habis?"

Azam diam. Dia meneguk air mineral yang dikeluarkan dari peti ais tadi tanpa menggunakan gelas.

Black hanya mampu mengikut rentak Azam yang dah berubah 100 peratus selepas kejadian yang membuatkan dia hilang sebelah kaki itu.

"Dah habis." Pendek jawapan dia seraya kembali ke bilik sendiri dengan bersusah payah.

Black tarik nafas panjang. Rumah teres setingkat itu dah hilang serinya. Tak ada lagi cahaya dan tak ada lagi ketawa.

Pintu bilik Azam yang terkatup kemas dipandang dengan rasa berbaur. Bukan salah Azam kalau dia berterus-terusan menyalahkan Black. Dan disebabkan itulah dia sanggup terima saja segala amarah azam pada dia.

Langkah dibawa ke bilik sendiri. Selesai mengenakan pakaian, telefon pintarnya berbunyi nyaring.

Nampak saja nama pemanggil pada dada skrin, dia terus menyambungkan talian.

"Aku nak jumpa kau sekarang. Tempat biasa." Pendek saja arahan daripada si pemanggil sebelum talian dimatikan.

Dia mengerling ke arah jam tangan sebelum mencapai kunci kereta.

"Aku keluar lama sikit. Kalau lapar sangat kau oder la piza ke McD ke." Dia melaung kuat sambil meletakkan beberapa not RM50 ke atas meja makan.

Tanpa menunggu jawapan balas daripada Azam, Black keluar dari rumah dan memandu ke tempat yang dijanjikan.

Sebaik saja tiba di tempat parkir bertingkat itu, dia mula mencari kereta yang dikenali. Cermin di bahagian pemandu diturunkan. Wajah lelaki yang duduk di dalam kereta sebelah keretanya itu memandangnya tajam.

"Bila kau nak uruskan dia?" Suara garau itu menegur keras.

"Aku masih cari yang sesuai." Laju dia menjawab.

"Aku dengar, adik dia pun dah balik sini. Makin lambat kau uruskan dia, lagi susah kerja aku!"

Black diam. Lama dia memandang ke depan, mencari jawapan yang sesuai.

"Kau dah ingkar arahan aku? Atau... Kau dah betul-betul setia dengan orang yang dah hancurkan hidup kau?"

"Aku akan uruskan. Kau jangan risau," jawab dia, yakin. Lelaki di dalam kereta sebelah tersenyum sinis. Sedikit ragu dengan pengakuan Black.

"Aku bagi kau masa sehingga minggu ni. Aku tak nak business aku kacau sebab dia. Kalau tak tak selesaikan juga, kau tahulah nasib adik kau nanti."

Sebaik saja habis ayat, dia terus mengarahkan pemandu di sebelahnya bergerak, meninggalkan kereta Black.

Belakang kereta yang laju keluar dari pekarangan parkir bertingkat itu dipandang kosong.

Dia buntu. Nak tak nak, dia kena selesaikan juga tugas yang diberi sebelum apa-apa yang buruk jadi pada Azam. Cepat saja dia menyentuh sesuatu yang tersimpan kemas di bawah kerusi tempat duduk.

Sesuatu yang dah lama jadi miliknya.

Sesuatu yang boleh mencabut nyawa manusia. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro