Bab 9

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"KENAPA aku tak dapat contact kau malam tadi?"

Suara Firdaus menghentikan langkahnya di anak tangga. Perlahan-lahan dia mengundur ke belakang, bersembunyi dari pandangan kedua-duanya.

"Saya tak perasan bateri habis, bos."

Jawapan daripada Black mengundang kemarahan Firdaus yang dikumpul sejak semalam.

Tanpa amaran, penumbuknya laju mendarat di muka Black yang langsung tak bersedia. Spontan dia terdorong ke ke kanan. Bisa tumbukan Firdaus membuatkan segala salur darah di bibirnya pecah.

Pedih!

Fatiya yang mengintai dari tingkat atas hampir menjerit. Cepat saja dia menekup mulut kemas, menghalang keluar bunyi. Langsung tak jangka yang semua ni akan jadi depan mata sendiri.

"Aku dah cakap, jaga adik aku. Kenapa kau biarkan dia jumpa Kamal sendirian?!" Keras suaranya namun ditahan-tahan supaya tidak didengar orang lain.

"Maaf, bos." Black kembali tegak di depan Firdaus dengan kepala menunduk memandang kaki sendiri.

Bibir yang pecah dibiarkan tanpa disentuh.

"Kau dah kecewakan aku, Black. Takkan benda simple macam tu pun kau tak boleh nak buat?"

Black tunduk lagi. Langsung tak menjawab. Bibir yang menerima tumbukan tadi mula berdenyut, sakit.

Bila nampak tiada jawapan dari Black, Firdaus kembali menggenggam penumbuk. Saat itu, Fatiya cepat-cepat menyanyi kecil di tempatnya dan mula turun ke bawah bagaikan tak ada apa yang jadi.

Saat itu juga, Firdaus duduk di sofa dan Black cepat mencapai surat khabar di atas meja kopi.

"Morning!" Sedaya upaya dia cuba mengawal debar sendiri. Sempat dia mencipta senyum kepada abangnya sebelum langkah terus dibawa ke dapur. Sekilas, jelas sekali ketegangan yang ada di antara Black dan Firdaus.

Masing-masing mendiamkan diri.

"Black, ada bawa nasi lemak macam biasa?" laung dia dari meja makan.

"Ada, cik." Suara Kak Melati yang menjawab dari bahagian dapur basah. Agaknya dia pun tahu apa yang jadi di ruang tamu tadi.

Fatiya tersenyum kelat.

"Terima kasih, kak."

Kak Melati mengangguk sebelum berlalu dari situ.

Kak Melati dan suaminya Pak Ayub baru saja bekerja di sini beberapa hari. Kata Firdaus, dia tak nak Fatiya bosan sendirian tak ada teman dan Kak Melati ni pula, saudara Mak Cik Bihah, pengasuhnya dulu.

Tangan mencapai sebungkus nasi lemak yang ada di bawah saji kecil itu sambil matanya melirik ke arah Firdaus dan Black di ruang tamu.

"Abang pergi kerja dulu. Kalau ada apa-apa, call." Firdaus tiba-tiba bangun menghampirinya di meja makan. Black juga automatik berdiri, hormat.

Fatiya sekadar mengangguk tanda faham. Sempat dia meraih tangan abangnya sebelum sempat Firdaus melangkah keluar.

"I'm sorry. Tiya tak patut tanya abang bukan-bukan semalam." Rendah dia menuturkan. Rasa bersalah makin menebal bila Black yang terima hukuman disebabkan dia.

"Okey..." Datar jawapan yang diberi sebelum dia keluar dari rumah.

Sebaik sahaja kereta abangnya hilang dari pandangan, Fatiya cepat-cepat bangun dari kerusi. Nasi lemak yang baru disentuhnya tadi ditinggalkan di atas meja.

Perlahan-lahan dia membawa kaki mendekati Black yang masih diam membisu di sebalik surat khabar.

"Sorry..."

Black yang langsung tak menyedari kehadirannya tadi tersentak. Surat khabar yang dipegang teralih dari wajahnya dan mata Fatiya terus menangkap luka di bibir lelaki itu.

Spontan dia mengeluh.

"I tak sangka abang akan buat you macam ni..." Bibirnya digigit perlahan. Tanpa sedar, dia dah pun melutut di depan sofa yang diduduki Black, cuba meneliti luka dengan lebih dekat.

"Sikit aje ni, cik."

Fatiya masih lagi di situ. Rasa bersalah makin menebal. Tangan kanannya automatik naik ke atas dan cuba menyentuh kawasan luka yang ditinggalkan Firdaus tadi.

Sebelum sempat tangannya mendarat, Black terlebih dahulu mengelak.

"Ops... Sorry..."

Black cuba senyum.

Tak pernah-pernah dia dan Fatiya berada sedekat ini. Gadis itu masih ralit memandang luka bibirnya tanpa menyedari yang mereka hanya dipisahkan jarak satu kaki saja.

"Kenapa tak cakap pada abang yang I paksa you duduk jauh-jauh?"

"Cik paksa atau tak, memang silap saya sebab biarkan cik dengan Kamal." Perlahan saja suara yang terkeluar. Setiap butir ayat yang keluar dari mulutnya itu mengundang rasa pedih yang sengaja dibiarkan.

Matanya terpegun memandang wajah Fatiya yang langsung tak kekok di depannya. Dari anak mata bundar gadis itu, turun ke hidung yang sedikit mancung dan mendarat pula ke bibir yang bersih tanpa cela.

"Sakit tak?"

Black tersentak. Dia berdeham perlahan, menghilangkan rasa terkejut ditegur tiba-tiba.

"Sikit."

Fatiya mengeluh perlahan. Dia pula yang berkerut-kerut menahan ngilu melihat bibir Black yang pecah.

"You tunggu sini. I ambilkan first aid." Cepat saja dia bangun dari melutut. Mata Black menurut langkah Fatiya ke dapur dan kembali di depannya.

"Cik habiskan dulu nasi lemak tu. Tak elok dibiarkan terbuka macam tu."

"You dah makan?" soal Fatiya sambil mengeluarkan cecair berwarna kuning keperangan dan kapas tanpa menghiraukan arahan Black.

Black menggeleng sebelum menjawab...

"Belum."

"Kena sapu ubat dulu ke, kena makan dulu eh? Nanti kalau ubat ni tercampur dengan makanan..." Fatiya mula bercakap sendiri. Berkerut-kerut dahi dia berfikir. Kapas yang dipegang terhuyung-hayang mengikut buah fikirannya.

Black yang memerhati tadi tadi menyimpan senyum sendiri.

Sungguh, dia tak pernah nampak watak Fatiya yang ini.

Kalut, manja dan lembut.

Berbeza terus dengan perangai dia waktu pertama kali mereka bertemu.

"You rasa macam mana?" Fokus Fatiya kembali pada dia. Tak tahu nak jawab apa, Black sekadar angkat kedua-dua bahu tanda tak tahu.

"I sapu dululah. Nanti you makan slow-slow, okey?" Lagak Fatiya sekarang ni langsung tak tumpah ibu menasihati anak.

Malas nak kacau emosi gadis itu, Black spontan mengangguk.

Walaupun luka pada bibir dia tak adalah teruk mana, tapi dia biarkan saja Fatiya meletakkan cecair itu di bibir. Suatu perasaan aneh mula muncul tiba-tiba. Perasaan yang dia tak pernah rasa.

Diperhatikan saja wajah serius Fatiya yang sesekali berkerut menyapu ubat itu pada lukanya.

Tenang.

Itu yang dia rasa.

Kelakuan gadis itu sekarang ini membuatkan hati dia tenang.

Kalau inilah salah satu cara untuk Fatiya pikat dia semata-mata 'game' yang mereka buat, ya. Fatiya dah hampir berjaya.

"Okey siap."

Black tersedar dari lamunan.

Dia masih diam di tempatnya sambil memandang tingkah Fatiya mengemas kembali barangan yang dikeluarkan dari perut peti pertolongan cemas tadi.

"Jom makan."

Seperti anak kecil, Black bingkas dari sofa, menurut saja arahan gadis itu. Ketinggiannya yang melebihi Fatiya membuatkan gadis itu sedikit mendongak.

"Thanks," ucap dia perlahan.

Fatiya tak menjawab. Dia kembali ke dapur dan meletakkan peti pertolongan cemas ke atas meja.

"Benda kecil aje tu. Kalau bukan sebab I yang salah, tak adanya I nak tolong sapukan ubat."

Black senyum nipis. Dia menggeleng perlahan sebelum turut duduk di meja makan. Fatiya yang sudah kembali menghabiskan nasi lemaknya tadi dipandang lama.

Kejap betul dia berubah angin.

"Lagi satu, kita masih dalam permainan, kan?" Sempat dia kenyit mata dan Black sekadar senyum tawar sebelum mengangguk.

"AKU rasa macam tak boleh nak teruskan plan kita la, Hany." Akhirnya terluah juga apa yang terbuku dalam hati. Dia mula berguling ke kanan dan ke kiri di atas katil tanpa tujuan.

Takut pula dengan reaksi Hany.

"Hah, kenapa? Kau betul-betul suka dia ke?"

"Kau gila?" Suara dia naik senada. Dari berbaring, dia terus terduduk.

"Bukanlah..."

"Habis tu?"

"Aku ada urusan lain yang lagi penting, Hany. Aku harap kau faham. Lagipun, Black yang kau cerita tu langsung tak sama dengan Black yang ada depan aku sekarang ni." Dia gigit bibir.

Satu per satu kelakuan Black terbayang di matanya.

Rasanya selain menyakitkan hati dia, Black langsung tak ada ciri-ciri pemikat wanita atau penipu seperti apa yang Hany ceritakan.

"Aku rasa macam kita dah salah orang." Dia masih cuba yakinkan Hany yang Black di rumah dia sekarang bukanlah orang yang sama.

"Tiya, kau jangan cakap yang kau percaya dengan segala kebaikan yang dia dah tunjuk?" Soalan Hany berbaur amaran.

"Entahlah, Hany. Aku pun tak tahu nak buat apa sekarang." Dia mengeluh berat.

"Kau tak terfikir ke gambar yang kau bagi tu mungkin 'Black' kau pakai gambar orang lain ke? Sekarang ni bukan seorang dua guna nama Black. Penyanyi pun ada yang nama Black." Walaupun dia tak mengikuti industri hiburan Malaysia, tapi dia tahu ada penyanyi yang bernama Black.

"Tiya... Kenapa kau tiba-tiba tak percaya ni?"

Dia mengeluh lagi.

"Aku cuma... Entahlah."

"Make him suffer, Tiya. Macam apa yang dia dah buat pada aku."

Fatiya mengeluh berat. Macam mana dia nak buat Black merana kalau baru aje tadi dia dah tolong Black sapukan ubat pada luka?

"Aku tak rasa yang dia boleh lari dari terpikat dengan kau. Kau kan idaman setiap lelaki. Dan kau tahu apa yang kau kena buat lepas dia dah jatuh cinta pada kau."

Ayat sepupunya itu sekadar lalu di telinga. Kipas yang berpusing di siling dipandang tanpa tujuan.

"Fatiya?"

"Hmmm..." sahut dia perlahan.

"Apa sebenarnya urusan lagi penting yang kau cakap tu? Semuanya kat sana okey ke? Abang Firdaus okey?" Nada suara Hany berubah risau. Pelik agaknya bila dia banyak diam dari bercerita itu dan ini seperti biasa.

"Aku rasa aku dah tak kenal Malaysia, Hany." Dia tersenyum pahit walaupun dia tahu yang Hany tak akan nampak.

"Kenapa kau cakap macam tu?"

"Nantilah aku cerita." Dia bangun dari perbaringan. Pintu biliknya yang terkatup rapat dipandang lama.

Bayang-bayang di sebalik pintu membuatkan dadanya mula berdebar kencang.

"Bye, Hany. Nanti aku call kau semula." Talian terus dimatikan sebelum sempat Hany menjawab.

Cepat saja langkahnya dibawa ke pintu sebelum pintu dikuak luas.

"Black!" Hampir tersembul biji mata dia bila nampak kelibat Black di muka pintu.

"Ni dah kenapa naik sampai tingkat atas ni?"

Memang Black dah buat rumah ni macam rumah sendiri ke apa?

"Sorry, cik. I panggil cik dari bawah tadi, cik tak dengar." Datar dia bersuara.

"Habis tu, tak boleh nak call? WhatsApp ke?"

"Dah. Semua tak berjawab." Black angkat iPhonennya tinggi. Jelas terpapar ruangan WhatsApp atas nama Cik Fatiya yang tidak berbalas.

Fatiya mendengus kuat. Dia melipat tangan ke dada sambil bersandar pada pintu bilik.

"Nak apa?"

"I kena keluar kejap. Cik duduk dalam rumah dan jangan keluar, ya?"

"You nak pergi mana?" Tak pernah-pernah Black tinggalkan dia sendirian sejak dia balik Malaysia kecuali waktu Firdaus ada di dalam rumah.

"Ada hal sikit. I takkan lama."

Dia mula tak sedap hati. Gaya Black hari ni nampak serba tak kena, lain sungguh dengan riak wajah dia sebelum ni.

Sentiasa tenang.

"Okey," jawab Fatiya setelah beberapa saat.

"Jangan lama sangat. Takut pula I kalau you tak ada."

Black angkat kening.

"Sejak bila tak boleh I hilang depan mata ni?"

Laju saja Fatiya tarik muka. Melebih-lebih pula dia.

"You dan abang I juga cakap yang I dalam bahaya. Bukannya I nak berkepit sangat dengan you tu." Spontan dia membalas. Yalah, ingat nak sangat ke 24 jam dengan lelaki asing yang dia sendiri tak kenal rapat?

Kalau bukan sebab dia percaya yang Black ni akan jaga dia, memang dia sendiri pun tak nak Black ada setiap masa.

"I gurau aje, cik. Jangan serius sangat."

Fatiya mencebik.

"I pergi dulu. Jangan lupa call I kalau ada apa-apa jadi."

"Hmmm... Ni abang I tahu tak yang you keluar ni?"

Black yang baru saja ingin melangkah turun terhenti kaku. Perlahan dia menoleh ke belakang, menyapa wajah Fatiya yang masih berdiri di tempat tadi.

"Tak tahu?" teka Fatiya dan Black jujur mengangguk.

"You memang selalu curi tulang, ek? Selalu buat kerja lain sembunyi-sembunyi belakang abang?"

"Kalau I tak pergi sekarang, abang cik pula yang dalam bahaya."

Fatiya terdiam. Sungguhlah. Dia masih tak pasti siapa sebenarnya yang perlu ditakuti.

Malas nak berbahas panjang, dia terus masuk ke dalam bilik tanpa menghiraukan Black.

Badan direbahkan ke atas katil dengan kepala yang mula bekerja, berfikir pelbagai kemungkinan.

Tak lama kemudian, bunyi enjin kereta Black kedengaran di ruangan parkir bawah, cepat-cepat dia bangun dan mengintai di sebalik langsir.

Toyota Alphard hitam itu dibawa kalu keluar dari kawasan perumahan sebelum pintu pagar automatik kembali tutup.

Nafas dilepas perlahan.

Dia mula tak senang duduk bila tahu ada benda yang tak kena. Tanpa memikirkan pesanan Black tadi, Fatiya melangkah ke bilik mandi.

Dia nak bersiap dan mahu ke pejabat Firdaus. Tak dapat tidak, dia kena tahu juga apa sebenarnya yang berlaku. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro