Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"NAJAH..." panggil satu suara. Kami menoleh ke arah wanita yang memanggil Najah. Seorang wanita berbaju kurung warna hijau lumut dan bertudung berjalan ke arah kami.

"Along, baru sampai ke?" tanya Najah. Dia bersalam dan mencium tangan wanita yang dipanggil along itu.

"Haah, baru aje sampai. Hantar Fifi ke taska dulu, merengek tak mahu Pak Karim hantar. Fifi nak along juga yang hantar. Along ingat nak ajak Najah lunch, Najah dah lunch belum ni?" tanya wanita itu.

"Nak pergilah ni, jomlah kita pergi sekali. Along, kenalkan ini Nur Natasha Ameera. Tasha, kenalkan ni Safiyyah Najlah, kak long abang." Najah memperkenalkan aku dengan kakaknya.

Pertama kali aku bertentangan mata dengan Safiyyah Najlah, saudara sulung Najah. Aku gementar berhadapan dengannya. Dia pantas mendahului aku, menghulurkan tangannya kepadaku. Orangnya cantik sekali, ayu dan tinggi lampai. Benar kata Sarah, kakak Najah sangat cantik.

"Nak panggil along atau Kak Safi, ya?" tanya Najah pada kakaknya.

"Kak Safilah..." ujarnya ketika aku berjabat tangan.

"Tasha..." balasku pula. Lembut dan wangi sekali tangan Kak Safi. Selepas bersalaman dia tidak lokek menguntum senyum kepadaku. Hati rasa damai melihat wajah dan perilakunya yang lembut.

"Ini Tasha yang Najah cerita pada kakak tu, ya?" tanya Kak Safi pada Najah. Suamiku mengangguk. Aku tertanya-tanya, apakah rahsia kami sudah diketahui orang? Kami berjalan menuju ke lif dan seterusnya ke tempat letak kereta. Aku hanya diam, mendengar apa yang dibualkan mereka dua beradik. Sesungguhnya mereka berdua amat rapat dan mesra. Apabila menyedari aku seperti 'terasing', Najah pantas menggapai tanganku dan menggenggam erat jemariku.

BMW 3 Series warna perak milik Najah begitu gah di petak yang dikhaskan untuknya. Dia membuka pintu belakang untuk Kak Safi, dia juga membuka pintu untukku seperti selalu.

"Kak Safi seorang aje yang tahu tentang kita, sayang," ucap Najah sebaik sahaja kami semua berada di dalam kereta. Aku menarik nafas lega.

"First time kakak jumpa orang yang buat Najah gila. Manis orangnya. Patut pun Najah jadi sewel semacam, sanggup sambung buat master. Kalau dulu masa mula-mula papa mahu hantar dia ke UK, dia tak mahu pergi. Tiba-tiba aje Najah tak nak balik, pelik juga kakak!" celah Kak Safi dengan mesra. Najah menggapai lagi tanganku. Dia tidak segan berbuat demikian di hadapan kakaknya.

"Najah harap Kak Safi akan support Najah nanti. Najah tak mahu kahwin dengan Farah tu. Dua minggu lepas kami terserempak dengan Farah di Sofitel dengan seorang lelaki."

"Farah nampak kamu berdua ke?" tanya Kak Safi dengan cemas.

"Tak, masa tu Najah dah masuk dalam bilik, baru nak tutup pintu terpandang pula Farah melintas depan bilik kami, Najah pun mengendaplah. Farah tak nampak kami," cerita Najah.

"Entahlah, kakak pun tak faham dengan mama tu. Mama nak kahwinkan Farah dengan Najah semata-mata kerana nak jaga hubungan baik dia dengan Datin Kalsom. Kakak pun tak berkenan dengan Farah tu, gedik semacam aje. Kualiti apa yang mama pandang pada Farah tu pun akak tak tahu. Najah dan papa sendiri pun tak berkenan. Tasha dah jumpa Farah?"

"In person belum lagi, kak. Hari tu pun Najah yang ajak kami mengendap dari balik pintu."

"Bila masa kamu stay kat Sofitel tu?" tanya Kak Safi lagi

"Friday last two weeks kan, sayang?"

"Oh... Hari yang Najah tak balik tu, ya? Kesian adik kakak ni. Lain kali datang aje ke apartmen kakak. Membazir aje tidur di hotel," pelawa Kak Safi. Najah ketawa besar mendengar pelawaan kakaknya. Kak Safi begitu sporting sekali.

"Mat salih yang sewa apartmen tu dah balik Finland ke? Kalau macam tu bolehlah Najah sewa, dapat rack rates tak, kak?" ucap Najah sambil memandangku. Senyumnya lebar hingga ke telinga.

"Dah dekat sebulan juga dia balik Finland. Akak dah bersihkan rumah tu kalau Najah nak masuk. Kesian kan Tasha berulang alik ke Pasir Gudang tiap hari. Bolehlah rehat-rehat kat sana kalau malas nak balik Pasir Gudang. Jauh kan Najah nak ke Pasir Gudang?" usik Kak Safi lagi.

"Kakak tak kesah, tak bayar sewa pun tak apa. Apartmen itu kan papa belikan sebagai hadiah perkahwinan Kak Safi dulu. You don't need to pay me any penny, brother. Just consider it as my wedding gift to you, you both can come at anytime. Nanti Tasha jumpa kakak kat ofis, ambil kunci, ya?" tambah Kak Safi.

"Thank you, Kak Safi," ucapku. Terharu rasanya dengan penerimaan Kak Safi terhadapku. Terasa kehadiranku dihargai.

"Don't mention it, Tasha. Kakak sebenarnya dah lama berangan nak ada adik perempuan. Bila Najah beritahu dia dah nikah, kakak excited sangat. Rasa macam nak terbang ke UK untuk raikan kamu berdua tapi masa tu akak tengah sarat, menunggu hari aje," beritahu Kak Safi.

"Tak apa kak, kami faham. Your blessing is more than enough. Najah tengah tunggu hari juga untuk beritahu mama dan papa. Tak boleh tahanlah hidup macam nomad ni."

"Slowly, abang. I have bad feeling about this. I still remember how your mom stared at me, takut..."

"Mama memang macam tu, Tasha tapi Tasha janganlah takut. Mama tu kalau kita pandai ambil hati dia, lama-lama dia cair."

Akhirnya kami sampai di Sushi King. Aku memesan Teppanyaki kesukaanku, begitu juga Kak Safi. Najah pula memesan susyi dan soba mee untuk dirinya.

"Kami ni namanya aje kacuk Arab tapi tak berapa gemar makanan orang Arab. Akak dengan Najah memang hantu Japanese food ni."

"Kita Arab pandang ke timur, kak," sampuk Najah.

Aku senang sekali dengan kehadiran Kak Safi hari ini. Aku khusyuk memerhatikan mereka dua beradik berbual dan bergurau.

"Tasha diam aje kenapa?" tanya Najah.

"Seronok tengok abang dengan Kak Safi berbual," jawabku pula. Najah menggenggam erat tanganku dan menciumnya. Kak Safi tersenyum memandang kami. Pipiku pula berona merah, malu dengan perlakuan Najah.

"Tasha nak tahu sesuatu tak? Dulu masa kami kecil, Najah paksa semua orang panggil dia abang. Sifat Najah yang sangat protective tu memang sesuai sangat kalau jadi abang tapi sayang, dia anak yang bongsu. Kadang-kadang lagak antara antara kami tiga beradik, macam dia pula yang sulung. Maklumlah anak kesayangan mama dan papa, cakap Najah lebih laku kalau nak dibandingkan dengan kakak dan Jim," cerita Kak Safi.

"Najah paksa Tasha tak untuk panggil dia abang?" sambungnya lagi.

"Along, malulah. Janganlah cerita dengan Tasha," pinta Najah. Kak Safi begitu nakal dan terus-terusan menyakat Najah.

"Najah tak paksa Tasha, kak. Tasha pun dah lama teringin nak ada orang yang boleh protect Tasha. Bila Tuhan anugerahkan Najah pada Tasha, hidup ini terasa begitu sempurna," balasku.

"Macam itulah sayang abang," celah Najah.

"Najah cerita dengan kakak, masa dia mula-mula kenal Tasha, dia tak boleh tidur malam. Dia telefon akak malam-malam buta semata-mata nak tanya, apakah maksudnya bila seorang lelaki tidak boleh tidur kerana teringatkan seorang perempuan?" cerita Kak Safi. Najah mula tersengih.

"Kakak beritahu dia bahawa itu petanda lelaki tu dah kena serang angau, sudah mabuk cinta. Punyalah dia suka, sampai menjerit kat telefon, sakit telinga ni dibuatnya," sambung Kak Safi lagi.

"Along, itu rahsia kita berdua! Janganlah cakap depan Tasha, malulah..."

"Alah, dah jadi suami isteri pun nak malu? Mengada-ada sungguh... Apa pun kakak gembira tengok adik kakak bahagia," ucap Kak Safi.

"Najah dah beritahu papa?" tanya Kak Safi. Najah sekadar menggelengkan kepala.

"Cakaplah dengan papa, kakak rasa papa tak kesah cuma mama aje yang berat sikit. Tak cuba kita tak tahu, kan?" kata Kak Safi.

Beruntung Najah punya kakak yang mengambil berat tentang dirinya. Aku sekadar memasang telinga, mendengar setiap patah bicara Kak Safi yang bernas.

"Kesian kat Tasha ni, Najah. Ke hulu ke hilir dengan dia, takut jadi bahan fitnah orang," ujar Kak Safi. Terharu aku mendengarnya, prihatin juga dia padaku.

"Najah faham, kak. Najah pun tak mahu lama-lama sembunyikan perkara ni daripada mama dan papa. Kalau boleh Najah nak beritahu mama dan papa secepat yang mungkin. Insya-Allah, kalau tiada aral dalam waktu terdekat ini juga."

"Baguslah kalau macam tu. Kakak bukan nak masuk campur hal rumah tangga Najah tapi sebagai kakak sulung, kakak kena nasihatkan Najah, beri panduan dan tunjuk ajar pada adik-adik kakak. Takkanlah kakak nak biarkan Najah hanyut," sambung Kak Safi lagi.

"Kakak perempuan, kakak tahu hati Tasha macam mana," katanya lagi sambil memegang tanganku.

"Anak lelaki kena berani, tak boleh takut-takut apatah lagi dalam mempertahankan masjid yang sudah dibina. Namun begitu Najah harus pandai dan berhati-hati masa berdepan dengan mama nanti. Najah kenal mama macam mana, sensitifnya itu yang kita kena pandai tackle," nasihat Kak Safi lagi.

"Tasha diam aje, boring ke dengar kakak membebel?"

"Eh, tidaklah, kak. Tasha khusyuk dengar. Kak Safi macam bagi ceramah motivasi pada Najah dan Tasha, macam dapat booster," jawabku. Kak Safi tersenyum.

"Untuk kebaikan bersama, Tasha. Kakak beri nasihat pada adik-adik sekali gus mengingatkan diri sendiri juga."

"Kak Safi memang macam ni, sayang. Dia dulu sebenarnya nak jadi macam Dr. Fadzillah Kamsah tapi tersalah ambil kursus," usik Najah. Kak Safi tersenyum bila diusik adiknya. Hubungan akrab antara mereka adik-beradik buat aku cemburu. Cemburu kerana aku tak punya adik-beradik lain seperti mereka.

"Najah kuat menyakat, tahan pula Tasha dengan dia?!"

"Dengan Tasha dia manja, kak," jawabku pula.

"Takkan nak buli isteri sendiri, mestilah kita bermanja-manja dengan dia," jawab Najah.

"Yalah tu... Kalau semua orang awak buli, susahlah nanti," balas Kak Safi.

Aku curi pandang wajah Kak Safi, belum sampai sejam aku sudah terasa dekat dengannya, seperti sudah bertahun-tahun aku mengenalinya. Seindah namanya Safiyyah Najlah, mungkin Tan Sri Hanafi ingin mengambil berkat dari nama isteri Nabi Muhammad yang berketurunan Yahudi iaitu Safiyyah Huyay yang sering bersikap berkecuali apabila berlaku ketegangan di antara madunya. Ummul Mukminin Safiyyah Huyay sentiasa beralah dan menjadi pendamai antara madu-madunya. Begitu juga Safiyyah Najlah yang berada di hadapanku ini, dia begitu menyenangkan hati.

Set Teppanyaki dan susyi yang kami pesan tiba di meja makan. Najah membaca doa makan. Dengan lafaz bismillah dan penuh syukur di atas kurniaan rezeki di hadapan kami ini, kami menikmati hidangan tengah hari itu dalam suasana yang sungguh meriah. Aku lihat wajah Najah yang cerah dan Kak Safi yang sentiasa tersenyum membuat aku merasakan yang aku sedang mendapat kekuatan baru untuk menghadapi hari-hari esok.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro