EPILOG 1: PUSPA BERSOREH

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

HADIAH

Kini kehidupan aku dan Arman sudah kembali normal. Aku merasa diriku amat bahagia kerana disayangi oleh semua ahli keluarganya. Oleh kerana aku masih tidak bekerja sebagai peguam, Umi ajar aku memasak hidangan Melayu. Dia puji aku selepas memasak, walaupun aku tahu tak sesedap masakan dia.

Orang kampung pula, apabila bertemu di pasar, tak berhenti-henti memuji aku kerana menolong mereka menghalang syarikat yang mahu menukar hutan kepada ladang Musang King. Sedangkan yang banyak buat kerja sebenarnya Abang Ezhar dengan Abang Zarif. Tetapi sebab aku yang kena serang sampai hampir lumpuh dan bisu, maka pujian orang kampung melimpah ruah kepada aku.

Kira sudah macam lembu punya susu, sapi dapat nama.

Sekarang mereka boleh masuk ke dalam hutan untuk mencari gaharu dan madu tualang.

Jambatan ponton sudah dimusnahkan oleh polis. Tiada lagi kerbau kaki pendek merayap-rayap di kampung ini.

Hari ini lepas solat Jumaat dan makan tengah hari,  Arman terus bersiap untuk keluar. Aku perhatikan dia. Sikit pun dia tak ajak aku. Aku tanya dia nak ke mana, dia senyum sahaja.

Dia pakai jaket and ambil helmetnya. Aku ikut dia ke pintu. Dia cium aku di dahi, pakai helmet dan terus pergi.

Sejak aku sudah boleh berjalan tanpa tongkat, Arman tak pernah tinggalkan aku keseorangan di rumah. Lepas majlis resepsi kami, lagi kerap dia bawa aku ke sana-sini. Hampir semua rumah saudara maranya yang tinggal di Kampung Seri Bahagia sudah kami singgahi. Rupanya begitu adat mereka. Orang baru kahwin hendaklah berjalan ke rumah saudara mara.

Tetapi hari ini dia keluar sendiri.

Sampai lepas maghrib, dia tak pulang. Aku jadi risau. Aku WhatsApp, cuma dapat blue tick, tapi tak jawab.

Malam itu aku, Umi dan Sarah makan bertiga. Kata Umi, Walid pergi kenduri doa selamat di surau.

Aku mula muncung mulut sebab Arman tak pulang. Ingat suka ke dapat blue tick?

Tiba-tiba Arman peluk aku dari belakang dan aku dihujani dengan ciumannya.

Aku geram betul bila kena serang hendap begini. Dia berkali-kali buat begitu. Dan aku sentiasa tewas.

Aku terlalu bagi muka kepada Encik Suami.

Kerana katanya dia cintakan aku. Bagi aku itu sudah cukup untuk mempercayainya. Siapa suruh kahwin dengan lelaki terlebih yakin ini? Pilihan sendiri kan?

Tetapi kali ini aku letak tangan di dadanya bagi menjarakkan diri aku daripada dia.

"Abang pergi mana?" soalku.

Dia beri senyuman manis. 

Aku keraskan hati.

"Cakap! Abang pergi mana?" Kening mula aku kerutkan.

Dia ambil satu beg kertas di atas meja dan hulurkan kepada aku.

Tindakannya buat aku tercengang. Aku keluarkan isi beg. Sehelai jaket kulit dan sepasang sarung tangan kulit.

Semakin aku tercengang.

"Merata abang cari desain dan saiz yang sesuai," katanya.

Lalu dia pakaikan jaket kulit itu. Muat-muat badan aku. Sarung tangan pun muat.

"Pandai abang cari." Aku puji dia.

Terus dia tunjuk ke pipinya. Hmm . . . minta hadiah le tu.

Aku bagi dia kucupan sekilas.

"Thank you abang. Nak ke mana pakai jaket dan glove kulit ini?"

Dia tunjuk pipi sebelah lagi. Eh! Mengada-ngada pula Encik Suami ni. Sudah le taknak bercakap.

Tapi aku turuti kehendaknya.

Dia balas dengan 'menyerang' bibir dan leherku.

Aku tolak dia untuk aku meneliti wajahnya. Aku pegang kedua pipinya. "Abang ni . . . terminum air ketum ke?"

"Esok kita pergi Beting Beras Basah," katanya yang bukan satu jawapan. Kemudian dia  beri aku sebuah kotak besar. Baru aku sedar, rupanya selain beg kertas, ada sebuah kotak.

Aku buka kotak itu. Isinya sebuah helmet. Warna merah jambu terkejut.  Maksud aku, shocking pink.

Aku mula senyum lebar. Kini aku memiliki helmet sendiri. Selama ini aku hanya meminjam helmet Umi, desain biasa-biasa.

Aku dah lama teringin ke tempat yang penuh legenda itu. Mana tahu, entah-entah boleh nampak buaya putih.

"Esok kita ride bike. Malam ini kita perlu tidur lena. Abang nak bekalan energy."

Akulah yang kena bagi dia bekalan energy itu.

*****

*Motorsikal Arman*

EMBAH

Esok paginya, Arman siapkan sandwich. Sungguh. Bukan aku yang siapkan. Dia susun sandwich itu kemas di dalam kotak plastik. Dia ambil dua botol air suling. Aku, dia suruh pakai baju ringkas untuk riadah, kemudian jaket kulit yang baru dibeli. Aku ikutkan saja.

Inilah pertama kali aku naik motorsikal dengannya untuk pergi ke tempat yang agak jauh. Selama ini kami hanya pergi ke warong Pak De sahaja. Mujur motorsikalnya besar, jadi perjalanannya selesa sahaja. Motorsikal ini jadi sedikit kontroversi masa pertahankan kesnya dahulu. Ketika dia dalam penjara, aku diberitahu, sahabatnya, Malik menjaga motorsikal itu. Banyak jasa Malik kepada kami. 

Arman sangat cermat orangnya. Aku pula hanya mahu bergembira sahaja.

Cantik betul pandangan di Beting Beras Basah. Beting itu kelihatan masa surut.

Lepas melangut dan berselfie di situ, kami menyusur tebing sungai itu hingga ke satu tempat yang agak terpencil. Arman berhenti di situ.

Kami bentang tikar getah lembut. Buka kotak sandwich dan makan. Nanti nak main air.

Lepas makan aku cari paha Arman. Dia tepuk-tepuk pahanya. Sebelah kaki dia lunjurkan, sebelah dia bengkok.

Walaupun tak selesa sebab paha dia keras, aku tak kisah.

Selalunya lepas kerja di kebun, dia akan cari paha aku. Jadi kali ini, sebelum sempat dia mangsakan paha aku, baik aku halang dia.

Baru saja aku nak pejamkan mata, aku dengar suara lelaki memberi salam.

Arman jawab salam lelaki itu. Aku segera bangun. Aku nampak dua buah motorsikal kapcai. Lelaki tua yang memberi salam menghampiri kami. Aku agak dia sebaya Atok.

"Saya Imam masjid di sini. Bagi kad pengenalan," tegasnya.

Alamak! Kena tangkap basah ke ni?

Arman hulurkan kad pengenalan dan kad kahwin kami. Lelaki tua ini perhati kad itu dan aku silih berganti.

"Mukhriz!" Memetir dia memanggil budak yang membonceng motorsikal yang satu lagi. Aku agak budak itu umurnya sekitar 16 tahun. Budak itu turun.

"Kamu kenal tak siapa ni?" soalnya sambil memandang aku.

Mukhriz geleng kepala. Terus kena sekeh. Mukhriz menggosok-gosok kepalanya. "Mana la Mukhriz kenal embah . . ."

Suara lelaki tua yang dipanggil Embah itu agak keras. "Kamu kan pergi ke majlis kenduri demer?"

(Demer maknanya mereka dalam dialek Perak. Mereka gunakannya apabila bercakap sesama keluarga atau sahabat handai).

Budak bernama Mukhriz kelihatan terkulat-kulat. "Mukhriz duduk jauh. Mana perasan."

Lelaki tua itu mengangkat tangannya lagi. Budak itu menjauhkan diri.

Embah berpaling ke arahku. "Maafkan embah tak kenal. Kamu kan cucu Ahmad Haidar?"

Aku mengangguk.

"Ini suami kamu?"

Aku mengangguk lagi.

"Moh ikut embah balik. Embah Dok dah lama teringin nak jumpa. Kami tak dapat pergi ke majlis kamu di Ipoh dulu, sebab ada orang kahwin di sini, hari yang sama."

(Moh maknanya jom).

Aku terpinga-pinga. Lelaki yang membawa motorsikal turun dan bersalaman dengan Arman. "Ini anak saudara aku, Hasbi. Pak saudara kamu juga." Embah memperkenalkan dia.

"Moh," kata Embah lagi sambil naik ke atas kapcainya.

Kami kemaskan barang-barang dan mengikut mereka.

"Mukhriz, bagi tahu Embah Dok ada tetamu," arahnya kepada budak itu. Laju mereka berdua pergi.

Perjalanan dari situ ke rumah mereka hanya beberapa minit.

Kediaman Embah merupakan rumah kampung dua tingkat yang besar. Bawah batu, atas kayu. Beberapa orang sudah menunggu kami. Aku dipeluk oleh seorang perempuan tua yang diperkenalkan sebagai Embah Dok. Dia menangis ketika memelukku.

"Jom masuk, nanti cerita," kata Embah yang aku belum diberitahu nama sebenarnya.

Setelah duduk, baru dia perkenalkan namanya Muslim. Dia pesara guru. Tetapi setelah bersara dia menjadi Imam. Isterinya yang dipanggil Embah Dok itu namanya Siti Aminah. Embak Dok maknanya Opah Perempuan. Muslim pula disebut Embah Nang. Yang bermaksud Atok lelaki (Lanang maknanya lelaki dalam bahasa Jawa).

Embah Nang sepupu Atok. Mereka kongsi opah, iaitu Mai Farzanah Binti Meor Salahuddin, miut aku (bapa kepada moyang). Menurut cerita mereka Mai Farzanah bertunang dengan miut Arman, Raja Ahmad Iqram Ataullah. Tetapi pertunangan tidak sampai ke jinjang pelamin kerana Raja Iqram dibuang oleh penjajah ke sebuah pulau di Lautan Hindi Timur. Mai Farzanah sakit tak kebah-kebah kerana patah hati.

Datang seorang pendakwah, Kiai Luqman, lalu merawatnya. Kiai Luqman asalnya dari Tanah Arab (entah di mana), tetapi sudah jadi Jawa kerana menjadi pendakwah di Tanah Jawa dan berkahwin dengan gadis Jawa Timur. Mai Farzanah sembuh. Kerana terhutang budi, Mai Farzanah dikahwinkan dengan anak Kiai itu.

Hah . . . Di situlah datang Jawa kacukan Arab dalam keturunan kami. Bapa Atok berkahwin dengan orang Melayu. Lalu semakin cairlah Jawa-Arabnya. Walaupun demikian, DNA Arab tu kuat juga. Rupa Atok ada mirip Arab. Lebih-lebih lagi bahagian mata dan hidungnya. Tetapi Atok kata dia Melayu. 

Bapa Embah Nang berkahwin dengan bangsa Jawa. Mereka tinggal di sekitar Bagan Datok.

Bersoreh sakan aku. Arman pula hanya menjadi pendengar bisu.

Aku jadi apa? Aku dah jadi dalca, sebab Ayah bangsa India dari Uttar Pradesh. Atok Kumar dengan Ayah bertutur dalam Bahasa Hindi yang aku tak tahu, sebab aku lebih Melayu daripada India, atau Irish atau Jawa kerana persekitaran di mana aku dibesarkan.

Hari ini aku tahu kenapa Atok menyokong aku berkahwin dengan Arman. Rupanya dia hendak menyatukan dua keluarga yang terputus angkara pengkhianatan.

*****

BILIK PENGANTIN

Kami diajak bermalam. Mulanya kami menolak, walaupun kami ada membawa baju tambahan (Kononnya kami nak main air). Tetapi apabila melihat bilik yang disediakan untuk kami, terus kami hilang malu dan segan. Ia sangat cantik seperti bilik pengantin. Aku kata bilik pengantin sebab ia seperti bilik pengantin dalam majalah.

Bilik siapa di tengah kampung ni? Aku segan nak tanya Embah Dok, terus aku tanya Mukhriz.

"Bilik Kak Siti Nur Inayah," jawabnya.

"Siapa Siti Nur Inayah?"

Dia tunjuk satu bingkai gambar di dinding bilik itu. Seorang gadis memakai tudung dikelilingi bunga tulip. Mungkin diambil di Belanda pada musim Bunga.

"Cantik. Mana dia sekarang?" Otak peguam aku ni terlebih busy body pula.

"Kak Yong dah lima tahun duduk di Dubai. Tak pernah balik," katanya dengan nada sedih.

Aku teringat Kak Erina Balqis yang duduk di Dublin sudah 7 tahun.

Malam itu kami bagai merasai aura pengantin baharu. 

Arman sudah naik ke atas katil dan tersenyum-senyum macam kerang busuk. Aku tahu dah apa dalam otak dia. Lalu aku cuba lencongkan.

"Cantik kan abang, katil four poster bed, macam ini?"

"Sayang nak katil macam ini ke?"

"Tak lah. Nanti kalau ada baby, habis ditariknya kelambu, terbelit-belit, bahaya."

"Sayang nak baby ke?"

"Eh, mestilah. Orang kahwin tentu nak baby."

Entah kenapa aku cakap merapu bila Arman pasang perangkap cintanya.

"Kita buat baby di sini nak? Made in Beting Beras Basah." Dia naik-naikan kening lebatnya.

Tau dah.

"Isy Abang ni. Jangan cakap kuat-kuat. Malulah."

"Tadi Embah Dok dah tanya kan? Masa muda jangan tunggu-tunggu. Nanti kalau dah tua jaga anak kecik, letih," katanya mengajuk cara Embah Dok bercakap. Rasa nak cilikan saja mulut Encik Suami ni.

Tetapi aku takkan melakukannya, kerana dia cinta mati aku. 

Lalu, aku duduk di birai katil, sambil menikmati kelembutan tilam. Dia rangkul pinggangku dari belakang. Aku tolak dia suam-suam kuku. Dia tarik aku sekali. Lalu aku jatuh ke atas badan dia.

Habislah aku . . .

*****

💛

*Simple yet Elegant. Atas gambar Puspa terkini.*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro