10 Janji

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Khairul Iddin mengerdipkan mata perlahan-lahan. Seluruh tubuh bagaikan telah dihempap batu besar, rasanya berat sekali buat diangkat. Bunyi tarikan nafas masih kedengaran seperti siulan halus. Kesan daripada alahan kekacang belum lagi terhapus sepenuhnya.

"Khai," sapa Datin Farina. Jarinya pada telefon bimbit langsung berhenti menaip.

Kedatangan sang ibu tidak pernah diminta Khairul. Wajah anak itu bertukar suram dan ketakutan. Mulutnya terbuka untuk bernafas, mata pula masih kepedihan.

"Khai, ni mama... Jangan takut," pujuk Datin Farina.

"Mak teh," balas Khairul perlahan. Itu sahaja yang dimahukan apabila dunia kelihatan. Matanya meliar ke segenap ruang, tercari-cari keberadaan orang gaji rumahnya.

"Lupakan Mak teh. Mama yang akan jaga Khai," bilang Datin Farina. Pesanan mesej tadi dibalas, nampaknya bekas isteri Dato Muhsin ini masih berhubung dengan kekasih gelap. Matanya melirik ke arah Khai sekilas.

"Mak teh..." Kanak-kanak tujuh tahun itu dalam kebimbangan. Dalam keadaan bahagian kepala yang sedikit tinggi, Khairul hendak lekas bangkit. Namun, dia tidaklah mampu buat memaksa diri berkudrat tika lemah.

"Khai nak minum air?" Sang ibu menghela nafas halus.

"Tak nak..." Gelengan menjawab. Nada suaranya mendatar, tidak berminat dengan apa-apa. Kening berkerut-kerut, pandangan menjadi makin kelam. Pernafasan pun kedengaran sukar.

"Budak ni... Apalah sangat dengan mak cik tu? Ibu sendiri yang ada depan mata. pun tak nak pandang," geram Datin Farina. Dengusan kasar kedengaran. Biar pun Khairul tidak meminta apa-apa, tangannya tetap mencapai sebotol air mineral. "Minum air, ya? Bagi sejuk sedikit tekak Khai."

Batuk kering membalas pujukan sang ibu. Khairul terbaring bersama-sama alunan dada yang laju.

"Mama yang jaga Khai dari tadi sebab Khai anak mama. Nanti kalau papa pisahkan Khai daripada mama... Khai cakaplah tak nak. Papa tu pun bukan sayangkan Khai," pesan mulut delima berkenaan. Botol air digenggam perlahan. Pintu hati Dato Muhsin telah terkatup rapat, mujur sahaja lelaki itu tidak menyuruh mana-mana jururawat menghalau kehadirannya daripada melihat anak sendiri. Biar pun telah diceraikan, nafkah wajib ke atas Khairul boleh diperoleh di kemudian hari. Disebabkan itulah Datin Farina sedang berbuat baik dengan Khairul Iddin.

"Nak mak teh..." rengek Khairul, tidak ubah seperti anak kecil. Ya, dia baru berusia tujuh tahun. Demam tidak surut, dadanya pula sakit. Tidak salah untuk anak ini membuat perangai kerana sememangnya perasaan lemas membaluti jiwa.

"Mama ada." Kekura tangan Khairul diusap Datin Farina. Disitu terdapat beberapa lebam akibat kekerapan melakukan ujian darah. "Mama akan jaga Khai."

Bunyi batuk diselang-seli dengan siulan pernafasan. Tangan kanan dialihkan Khairul menjauhi, seiring dengan hati yang tidak punya lagi terhadap kedua-dua orang tua.

Datin Farina terkesima. Dilihat sahaja tingkah anaknya yang mula mengiringkan badan membelakangi kedudukannya di birai katil ini.

Esakan kecil Khairul mengisi benak. Nama mak teh asyik dibisikkan. Amukan Khairul tidak terbit kerana tenaga yang terbatas. Anak itu meringkuk di tepi katil dan hanya melinangkan air mata.

"Khai..." bisik wanita muda itu.

Sepatah panggilan 'mama' tidak meniti langsung di tepi bibir Khairul Iddin. Yang asyik terulang hanyalah 'mak teh'. Waktu menukarkan anak tunggal yang dahulu perkataan 'mama' tak lekang pada mulut, kini semua itu tidak terjadi lagi.

Rebung buluh bertukar keras hari demi hari.

"Farina."

Bahunya sedikit terhenjut. Lamunan tadi langsung mati lalu ditoleh ke arah bingkai pintu bilik.

Kelihatan Dato Muhsin sedang berdiri terpacak di situ dan memandang ke arahnya. Datin Fatina teragak-agak buat bangun pada mulanya. Tas tangan dijinjing, lalu kaki yang tersarung kasut bertumit tinggi merah dihayunkan.

"Kenapa?" Farina menyoal dingin. Tangan kanan naik menyilang badan.

"Jangan kacau Khairul," bilang Dato Muhsin. Terdapat seorang jururawat melintasi mereka berdua sebelum pintu wad Khairul terkatup rapat.

"Apa masalah awak, ha? Saya ni mama dia." Lengan dijatuhkan ke sisi baju. Ada sahaja benda tidak kena di mata mantan suami.

"Biarkan dia berehat. Awak cuma akan buat Khairul tertekan. Doktor baru sahkan yang Khairul hidap jangkitan kuman dalam paru-paru. Tolong, berikan masa untuk dia pulih dengan sendiri. Fizikal dia sakit, begitu juga dengan emosi." Dato Muhsin berkata bagi pihak Khairul sendiri. Kejadian minggu ini banyak membuka mindanya untuk menilik kesan daripada perbuatan lalu.

"Amboi, sejak bila jadi ayah mithali ni?" Wanita itu berdecit. Wajah kagum dipamerkan pada Dato Muhsin.

"Saya pun kena halau dengan Khairul pagi tadi. Khairul kata dia benci papa dia ni. Pagi tadi, anak kita mengamuk teruk. Habis semua wayar nak dicabut." Jeda. Kekerasan tidak akan mampu membawa pulang hati Khairul yang dahulu. "Petang ni... dia tak mengamuk, kan?"

Wajah Datin Farina jatuh menekur lantai. Tindakan Khairul mengiringkan badan sebentar tadi terlayar di mata. "Tak. Dia cuma menangis... asyik panggil mak teh tak henti."

Kebenaran pahit ditelan seorang ayah. Dato Muhsin mengiyakan dengan anggukkan. "Boleh kita duduk dulu?"

Keadaan emosi pasangan itu berada di paras stabil. Ego sang suami sudah lama diruntuhkan demi satu-satunya putera kesayangan. Andai bisa dibaiki bahtera rumah tangga, sudah lama Dato Muhsin akan merujuk kembali. Yang tinggal kini adalah sisa simpati, tiada cinta.

Kawasan lapang di taman herba hospital menjadi hentian pasangan itu. Mereka berlabuh di atas kerusi besi berwarna putih di tengah-tengah laman yang menghijau.

"Waktu dia demam panas semalam pun yang disebut-sebut nama mak teh sahaja. Khairul benci papa dan mama. Berikan masa pada dia juga seperti mana saya berikan masa untuk awak fikir masak-masak." Dato Muhsin kembali bersuara.

"Apa yang saya nak fikir? Awak dah ceraikan saya." Datin Farina melarikan anak mata.

"Fikirlah tentang Khairul. Beberapa hari lepas saya terima aduan yang Khairul cabul rakan sekelas." Bekung di dada terbuka jua. Kes disiplin Khairul terbengkalai di tengah-tengah jalan dek kemerosotan tahap kesihatan anak itu sendiri.

Datin Farina menggeleng perlahan.

"Terkejut?" Dato Muhsin tersenyum nipis, reaksi bekas isteri sudah dapat diteka. "Anak-anak akan belajar daripada apa yang dia nampak. Khairul nampak mama dia terbaring atas katil dengan lelaki lain. Anak yang usianya tujuh tahun sudah pandai mencabul kemaluan rakan sekelas. Fikirkanlah mana silapnya. Apakah silap ibu yang mengandung atau si anak?"

"Mungkin salah si ayah yang asyik abaikan isteri dan anak." Datin Farina tidak betah dipersalahkan. Sikap yang suka melawan beginilah sering mencabar kesabaran lelaki di hadapannya.

"Ya... Mungkin juga. Terus menyalahkan orang lain. Alasan suami takde di rumah boleh menghalalkan perbuatan zina dengan lelaki lain." Telapak tangan mengusap sesama sendiri. Dato Muhsin berlaku tenang, malas hendak berbalah. Ini juga tempat awam, nanti habis jatuh reputasinya.

"Biarkan Khai bawah jagaan saya. Saya yang mengandungkan dia sembilan bulan."

Nafas dihela halus sebelum senyuman palsu terbentuk. "Lagi? Apa lagi yang awak berikan pada Khairul? Bagi tunjuk ajar untuk pegang kemaluan orang lain? Begitu ya..."

Makin sakit hati dengan kata-kata bekas suami. Datin Farina mengetapkan bibir kegeraman. "Saya haramkan setiap titisan susu yang Khairul minum dulu kalau awak ambil dia daripada saya."

"Berhentilah merepek, Farina. Khairul lebih banyak minum susu mak teh daripada ibu kandung sendiri yang sibuk nak melaram. Nak haramkan apa? Play victim tak sudah..." geleng lelaki itu. Hujung kening yang tidak gatal digaru perlahan. Dia bingkas berdiri dan membaiki butang pergelangan tangan baju yang hampir terbuka.

"Awak sibuk di tempat kerja... Lepas tu letakkan semua kesilapan ni atas bahu saya. Awak pun kena cermin diri juga. Kalau awak layan saya dekat rumah, saya takkan cari lelaki lain. Semua ni berpunca daripada awak." Getaran suara Datin Farina kedengaran. Sungguh semuanya berlalu begitu pantas. Wanita itu turut berdiri bersebelahan lelaki berkemeja elok yang dahulu digelar suami. Dia cuba mencapai hujung jemari Dato Muhsin, mahu memujuk mencuba nasib.

Sayang sekali tangan runcingnya ditepis pergi.

"Pergi pada kekasih gelap tu dan cepat-cepat bernikah lepas habis iddah. Takut dalam rahim kau dah ada anak haram. Jangan kacau keluarga aku dah, kau bukan sesiapa pada kami," putus Dato Muhsin.

***

Sepersalinan hospital bercorak kartun dibaiki pada batang tubuh di hadapannya. Senyuman tersulam, tak mahu dikendurkan. Rambut anak jagaan kesayangannya dibelah tengah selepas disapukan minyak rambut.

"Bibir tu tercebik-cebik, kenapa? Tak suka mak teh ada dekat sini..." soal mak teh. Disentuh bibir pucat Khairul.

Khairul yang terbaring menggeleng laju. "Bukan... Tapi malu."

"Kenapa?" Mak teh agak kehairanan. Pipi Khairul dielus lembut.

"Tak nak pakai pampers. Khai dah besar..." adu anak itu. Sebenarnya Khairul baru sedar bahawa selama ini dia sedang memakai lampin bagai bayi kecil. Betapa maruah kanak-kanak tujuh tahun tergores.

Tawaan halus mak teh menjadi halwa telinga Khairul buat beberapa detik. "Tak apa. Dekat sini ada kita berdua je. Tak ada siapa nampak," bilang mak teh. Mahu tidak mahu, Khairul terpaksa dipakaikan lampin dek sistem penghadaman yang belum lagi berfungsi dengan baik. Dia asyik mengalami cirit-birit dan muntah sejak dua hari lalu.

"Mak teh gelakkan Khai..." Khairul mengerutkan kedua-dua kening.

"Dah tu Khai nak mak teh menangis ke? Hm?" balas mak teh. Di tangannya terdapat sebotol minyak angin yang akan dituang ke atas telapak tangan.

"Tak nak..." Masih mencebik. Setiap perbuatan mak teh diperhatikan matanya. Sekejap tangan mak teh mengurut dadanya kemudian turun ke perut pula. Nyaman sekali setelah dapat membilas diri pada malam itu.

"Bila Khai dah sihat dan boleh ke tandas sendiri, nanti tak payah pakai pampers dah. Sabar ya, sayang? Sekejap je sakit ni..." Ayat-ayat mak teh sentiasa mententeramkan hati gusar Khairul Iddin. Khairul menangguk faham, bibir pucatnya menggulung senyuman.

Air mata bergenang ditubir tatkala rasa kantuk hadir. Khairul menekup bukaan mulut dengan belakang telapak tangan. Dia terpejam celik memandang mak teh di sisi.

"Mak teh takkan pergi tinggalkan Khai?" Mahu kepastian sebelum beradu.

"Tak, sayang. Papa minta mak teh jagakan Khai. Biar pun Khai dah besar panjang, mak teh akan tetap sayang Khai seorang," bilang mak teh. Ruas dahi kanak-kanak itu dilalukan jari telunjuk. Elok rupa paras Khairul menjadi tatapan di malam hari. Mempunyai anak susuan yang baik begini adalah satu nikmat buat mak teh sendiri. Apabila mak teh penat membuat kerja rumah, ada saja tangan kecil Khairul menghulurkan bantuan.

"

Khai takut sangat hari tu... Khai takut mak teh pergi. Sebab tu lah Khai lari... Khai minta maaf, mak teh." Rasa serba salah membaluti jiwa Khairul Iddin.

"Tak apa, sayang. Dah mengantuk, ya? Rehatlah." Segalanya sudah sempurna untuk seorang Khairul beristirehat. Baju tidur baharu ini akan lebih memberi keselesaan. Tambahan pula, doktor telah mencabut alat bantuan pernafasan.

"Mengantuk tapi... Khai risau," gumam Khairul sendiri. Mata anak itu asyik terkelip-kelip.

"Risaukan apa?" Mak teh cuba meraikan perasaan kanak-kanak itu. Mungkin ada lagi yang mengganggu Khairul dalam tidak sedar.

"Risau macam-macam, tak boleh tutup mata. Entahlah... " Bunyinya seperti ada masalah negara sahaja.

Terus mak teh tersenyum nipis. "Mengada."

Sang pembantu rumah menurunkan badan lalu mendakap anak jagaannya. "Mak teh ada untuk jaga Khai. Jangan risau dah. Tidurlah."

Kata-kata keramat yang sering diucap akan dipegang Khairul dengan baik. Pelukan dibalas, haruman tubuh mak teh telah lali pada hidung Khairul. Tika berjauhan, haruman inilah yang akan dirindui setiap saat. Indah hidupnya tanpa perlu memikirkan apa-apa.

***
votexkomen
***

Biar rasa ini membunuhku :) Rasa sayang Khairul pada mak teh lah yg akan membunuh diri dewasa Khairul kelak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro