11 Rokok

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

13 tahun kemudian...

Kasut menapak menuruni treadmill setelah lama mengeluarkan tenaga larian. Hidung sendiri dapat menangkap bau badan yang membaluti. Hujung vermilion terconget, tidak berapa suka apabila berbau peluh sebegini. Maka, kaki segera dihayunkan ke bilik persalinan.

Deretan loker pakaian dibilang satu per satu. Sedang tangan kanan membalas mesej ringkas, tangan kiri pula membuka daun pintu. Satu beg pakaian bersaiz kecil dibawa keluar lelaki berkenaan.

"Khai tengah beriadah. Itu yang tak angkat...," bilang Khairul pada sang pemanggil. Wajahnya dilap dahulu dengan kain tuala, peluh hangat terhapus serta merta. Kaki pula berlunjur sesudah punggung berlabuh atas bangku panjang di ruangan yang sama.

"Belum makan petang. Nanti Khai beli dekat luar je kot... Hari pun dah senja ni. Mak teh dah makan?" soalnya lembut. Baju baharu yang terlipat di dalam beg dikuis perlahan.

"Hujung minggu ni Khai lapang je. Nanti Khai pulang ya? Bukannya Khai tak nak jumpa mak teh, cumanya... minggu lepas tu Khai sibuk buat assignment. Mak teh tak merajuk, kan?" Bunyi suara sang pemanggil seakan-akan berubah, Khairul lebih mengetahui bagaimana reaksi rajuk wanita kesayangan.

Khairul ketawa halus mendengar bebelan ibu susuannya. "Okay, bye. Assalamualaikum. I love you."

Tiga perkataan itu menamatkan perbualan ringkas Khairul Iddin. Dia harus lekas membilas diri dan membeli makan petang. Takut malam nanti kelaparan pula di hostel. Bukannya tak mahu menyantap mee segera tetapi Mak Teh melarang keras. Katanya takut Khairul jadi anak kurang pandai. Dituruti sahajalah, asalkan Mak teh bahagia.

"I love you sakan... dengan awek mana?"

Khairul menoleh ke tepi. Terdapat seorang lelaki berwajah manis datang mendekati. "Bro, kau pun datang gym hari ni? Bukan dengan awek tapi mak aku call. Dia suruh balik minggu ni."

Andi mengangguk faham. Tempat kosong di sebelah rakannya dipenuhi. "Jadi, kau mahu pulang ke rumah?"

"Kena baliklah... Minggu lepas aku dah tipu mak aku. Konon buat assignment padahal pergi Bukit Bintang. Kalau dia tahu, masak aku nanti." Kadang-kadang Khairul penat hendak menipu Mak teh setiap kali pergi ke tempat-tempat haram. Walaupun hatinya sudah lama bergelumang dengan dosa, namun setitis air mata wanita yang sudah dianggap syurga tak sanggup dilihat.

"Inilah spesies manusia yang mana depan ibu bapa pijak semut tak mati. Belakang ibu bapa pula, dialah yang paling dajjal." Andi sendiri hairan dengan sikap Khairul Iddin. Ada hari, dialah kaki perempuan. Esok lusa, 180 darjah bertukar menjadi anak ibu yang naif.

"Mana ada dajjal," nafi Khairul tidak bersetuju. Perbuatan selama ini dianggap perkara biasa sahaja. Tika di alam persekolahan, tak siapa tahu bahawa Khairul telah melakukan seks ringan dengan kawan setingkatan. Hulur sahaja duit, tahulah mereka untuk menutup mulut. Untung jadi anak orang kaya dan kenamaan ini.

"Perempuan semalam macam mana? Kau suka?" Tiba-tiba Andi teringatkan suatu perkara. Tidak silap, Khairul ada keluar berdua dengan seorang rakan sekelasnya.

"Tak. Aku nak cari orang lain." Air mineral diteguk Khairul sekali. Rasa nyaman menyalur dalam saluran esofagus.

"Kau tahu tak perempuan tu beria sukakan kau selama ini? Kau dah tebuk dia, lepas tu cakap tak suka? Apa kau ingat perempuan ni boleh main try test macam nak beli kereta..." Anak kelahiran Sarawak itu cukup tidak suka terhadap perangai Khairul yang suka menukar teman bilik. Baginya, Khairul agak melampau. Andi mengetap kedua-dua ulas bibir dan memerhatikan wajah selamba Khairul.

"Aah. Semua perempuan sampah kecuali mak aku," kata Khairul tanpa bersalah sedikit pun. 'Mak' yang dimaksudkan ialah mak teh, bukannya Datin Farina. Datin Farina juga tergolong dalam kategori perempuan sampah di mata Khairul sendiri. Sang ibu kandung itulah yang telah membuka pintu untuk Khairul mengenali segala penzinaan. Gelodak nafsu setelah akil baligh gagal dikawal Khairul dengan baik. Topeng 'anak soleh' hanya terpakai di rumah, di luar pengetahuan mak teh dialah buaya darat.

Tuala dan sehelai tshirt biru diambil Khairul sebelum berdiri tegak. "Tadi kan... Ada perempuan lain mesej aku di Facebook. Badan dia nampak boleh tahan mantap juga. Nanti aku cuba malam ni. Susahlah nak cari taste aku ni... " keluh lelaki itu. Rupa paras yang kacak menjadi daya tarikan kepada mana-mana anak dara yang hendak mengenali. Susunan kening tajamnya mengalahkan gadis-gadis yang asyik melukis kening. Senyuman yang terlekuk akan tersulam lesum pipit dalam di kedua-dua belah pipi.

Khairul mengesat lagi lelehan peluh di jinjang lehernya. Rahang lelaki itu juga menambahkan ketampanan jejaka Melayu.

"Apa kau tak takut jika terkena HIV atau penyakit kelamin... Kau asyik bertukar-tukar pasangan." Andi memandang belakang tubuh Khairul. Khairul mempunyai pakej lelaki idaman, daripada rupa dan bentuk badan. Ditambah pula pada kekayaan kekeluarga. Andi juga tidak mampu melawan dari soal duit dan pengaruh keluarga Khairul Iddin. Semua juga tahu bahawa Dato Muhsin pemegang saham di beberapa syarikat dan mempunyai empayar perniagaan sendiri. Segala kemewahan hanya tercurah pada anak tunggal seorang iaitu tuan muda Khairul.

"Aku pandai jaga diri sendiri." Khairul sekadar menggeliat kecil. "Kau nak tak perempuan semalam tu? Kau kan tak ada awek lagi."

"Tak mahulah. Kau sudah rasa tubuhnya, kemudian nak bagi aku pula? Gila betul." Setidaknya Andi masih ada kewarasan.

"Aku cuma meniduri dia satu malam. Tak terjejas apa-apa pun. Dia masih lagi seorang anak dara... yang sudah tiada dara." Tak padan dengan usia 20 tahun, tahap keras kepala Khairul tiada siapa yang boleh lenturkan. Khairul mengangkat bahu tanda tidak bersalah.

"Ingat Tuhan, Khai. Dalam agama kau pun mesti perbuatan sebegini ditegah," pesan Andi. Takut nanti sudah terhantuk baru hendak tergadah.

"Ini agama aku. Kau pula dengan agama kau. Mudah." Sungguh lelaki ini tidak mengetahui padah yang sedang ditempa. Dia hanya mengira keseronokan bermain dengan nafsu. Mana-mana gadis yang cuba rapat pasti akan berakhir di atas katil hotel. Malang sekali mangsa Khairul mengira bahawa Khairul akan setia, walhal itu sesuatu yang mustahil. Khairul tidak punya hati kepada siapa-siapa.

***

Dari jauh mata Khairul disajikan dengan suatu wajah pengarang hati. Terus anak bujang itu melonjak kegembiraan. Dia berlari anak ke arah tubuh tua yang menantinya di muka pintu utama.

"Busuk..." ujar sang pengasuh. Aroma asap rokok tiba-tiba sahaja melekap pada deria bau.

Tubuh wanita itu masih dipeluk Khairul Iddin. Namun, mak teh tiba-tiba sahaja menjarakkan diri. Wajah orang tua itu berubah tanpa ada angin dan ribut.

"Eh, Khai dah mandilah tadi. Mak teh sengaja ya tak nak peluk Khai?" Cepat-cepat Khairul menghidu lengan sendiri. Baju pada tubuh juga dibelek di hadapan mak teh. Tidak dilupakan, beg galasnya turut diperiksa jika ada bauan aneh.

"Khai merokok ke?" Lontaran soalan cepumas mengenai sasaran. Mata bundarnya memerhatikan tindak tanduk Khairul.

"Mana ada... Ni mesti bau rokok kawan Khai yang melekat. Kawan-kawan Khai suka sangat tumpang kereta, lepas tu dorang merokok pula. Habis melekat semua bau. " Khairul menafikan sekali dengan pakej menggeleng. Hatinya jadi gugup. Terlalu melulu keluar kereta hingga terlupa buat memakai pewangi mulut. Bibir dipaksa untuk melakar senyuman.

"Jangan tipu mak teh," kata wanita itu. Barangkali Khairul lupa bahawa mak teh lebih mengenali anak jagaannya.

Lama juga Khairul membisu. Ditelan takut mati bapa, diluah mati emak pula. Anak mata jatuh menekur lantai. "Ya... Khai hisap rokok."

"Kenapa?" Mak teh menyoal lagi, tidak berpuas hati. Tersemi kecewaan dalam nada pertanyaan.

Nafas dalam ditarik lelaki itu. Senyuman hambarnya sekadar mahu mengendurkan atmosfera yang semakin tegang. Wajah mak teh ditatap seketika. "Sebab Khai tertekan. Mak teh jangan marah tah?"

"Kenapa tak call mak teh kalau tertekan? Mak teh selalu tunggu Khai telefon setiap hari. Khai dah tak sayang mak teh?" Pertanyaan maut sudah tiba. Khairul sudah tidak dapat memutar belitkan jawapan. Iris hitam mak teh berkaca tanpa sedar.

"Bukan macam tu..." Khairul tersentak sendiri. Dia menyentuh kekura tangan sang pembantu rumah. Sedikit kenakalan terbongkar pun mampu meluruhkan hati mak teh, apatah lagi jikalau belang sebenar Khairul kelihatan. Silap hari bulan orang tua itu tak mahu langsung menatap wajah Khairul.

"Khai buang semua rokok yang Khai ada sekarang... Kalau tak mak teh tak nak bercakap sepatah pun dengan Khai. Titik," putus mak teh. Jelingan tajamnya menikam tepat ke dalam sanubari Khairul Iddin. Rasa rindu hendak bertemu bertukar kecewa pada hari itu.

"Ma-mak teh, Khai tak buat dah. Janganlah macam ni..." Khairul jadi kaget. Terburu-buru mencabut kasut yang tersarung sebelum menyaingi langkah ibu susuannya yang melulu hendak ke kamar tidur.

"Khai buang semuanya. Mak teh... Pandanglah, Khai," sayu panggilan Khairul di sebelah. Dia membiarkan wanita setengah abad itu berlabuh di atas katil sedang selaku pesalah, Khairul kekal berdiri.

Beg galas diletakkan ke atas lantai bilik pembantu rumah. Pada mulanya mak teh tidak mahu memandang tingkah Khairul, rajuk selepas lanjut usia makin menjadi. Pantang kesilapan kecil pun hendak diambil kira.

"Ini rokok dan pemetik api." Khairul menyatakan dua kotak rokok bersalutan emas dan putih yang baru diaturkannya. Juga terbaring satu pemetik api besi berlogo daun terup. "Khai akan buang semuanya." Anak teruna itu cukup berhati-hati dalam menuturkan kata.

"Apa lagi yang Khai rahsiakan daripada mak teh?" Bagaikan tahu karenah si anak.

"Tak ada apa-apa." Khairul tersenyum sumbing. Dia lekas berjalan ke tong sampah kecil di penjuru bilik. Rokok itu dibuka kotaknya, isi pula dikeluarkan satu per satu di hadapan mata mak teh.

Perbohongan demi perbohongan terpaksa dijalin. Tunggu sajalah masa akan membongkarkannya. Saat itu Khairul tidak akan dapat melarikan diri daripada melihat tangisan mak teh.

"Dah. Khai dah buang..." bilang Khairul. Kemudian, barulah dia berlabuh di sebelah mak teh. Sisi wanita itu dipeluk lama, sebahagian wajah direhatkan pada bahu.

"Jangan buat macam ni dah." Bukan bermaksud mahu bermasam muka, dia cuma inginkan Khairul membesar sebagai seorang manusia. Mak teh menekur riba.

"Baik... Maafkan Khai, ya?" pinta Khairul. Serba salah hati itu apabila mak teh terkesan hanya kerana bau rokok daripada mulutnya.

"Mak teh cuma sayangkan Khai..." Kacaan mata tadi kembali menyinggah. Laju saja tangan Khairul menyeka tangisan air mata yang baru hendak menitis.

"

Aip... Janganlah menangis. Khai cuti dua hari je ni... Mak teh kata mak teh rindu Khai," ujar Khairul dengan nada lembut. Tidak pandai mahu berkeras dengan mak teh. Fokusnya diberikan penuh pada wajah ibu susuannya. Mereka tidak ada pertalian darah daging, tetapi dalam darah daging Khairul pernah mengalir susu daripada mak teh.

"Iyalah. Sebab rindulah mak teh menangis." Badannya dijatuhkan ke dalam dakapan Khairul Iddin. Masa berlalu agak pantas, memotong segala memori bersama. Badan kecil Khairul dahulu telah memanjang, bahkan dia membesar tinggi hingga mak teh terpaksa mendongak.

Wanita itu tersenyum kecil dalam linangan air mata tatkala Khairul mengusap memujuk.

***
votexkomen
***

Khairul dah besar😭

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro