Coretan Aku dan Malaysia

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Penulis: Syazwani Khaled 

MATAKU yang sedari tadi terpejam kini terbuka apabila mendengar bunyi sorakan yang bertambah kuat. Riuh. Seraya itu aku menebarkan pandangan ke sekeliling. Auranya membuatkan romaku berdiri tegak.

"Merdeka!"

Sepatah perkataan itu dilaungkan oleh seseorang. Sejurus membuatkan hatiku diserbu beribu rasa. Tanpa dipinta kesyukuran yang tidak terhingga aku panjatkan kepada Sang Pencipta.

"Merdeka!"

Sekali lagi laungan itu bergema. Dengan mata yang berkaca dan air mata yang mencurah-curah kegembiraan, aku tebarkan pandangan. Ini stadium merdeka. Di sana, bapa kemerdekaan sedang berdiri dengan megah. Menjulang tangan tinggi ke udara sambil melaungkan kalimat 'Merdeka' dengan penuh bersemangat.

"Merdeka!"

Suara dari arah sisi aku bergema. Semangat. Tanpa izin tanganku digapainya sebelum dijulang tinggi bersama tangannya. Aku hanya merelakan meskipun aku tidak mengenali si dia. Sungguh saat ini hatiku hanya mengetahui bahawa kemerdekaan itu milik kita.

Bibirku mencarik senyum gembira. Semangat berkobar di dada. Namun tidak lama apabila dadaku berombak laju. Badan terasa di awangan, akibat ditarik dek satu sudut graviti yang entah bagaimana dan dari mana. Bersamanya, suara tadi kembali menyepi. Hanya tinggal suara angin yang sukar aku gambarkan bagaimana bunyinya.

Pandanganku berubah gelap. Sunyi. Sehinggalah perlahan-lahan suatu bunyi menggamit perhatianku. Lantas mataku dicelikkan. Sekarang sudah jelas bunyi itu pada pendengaranku dan aku juga sudah tahu apakah puncanya.

Dapat aku lihat tanganku memegang sebatang penyapu sambil menyapu daun-daun kering. Fikiranku menyunting rasa ingin tahu akan keberadaanku sekarang ini. Kini barulah terasa sudut pandanganku meluas.

Aku sepertinya berada di hadapan stadium merdeka. Melihatkan pakaianku, cukup untuk membuatkan aku tahu akan statusku sebagai seorang tukang sapu di sini. Namun begitu, tidak ada sekelumit pun rasa malu dalam diri aku. Kerana munculnya aku di sini adalah untuk membersihkan tanah air aku sendiri.

Kini pelbagai bunyi mula bercampur. Bunyi kenderaan lalu lalang berlanggaran dengan angin dan tidak tertinggal suara gelak tawa daripada mereka yang turut menyapu sampah bersamaku. Rancak mereka berbual. Mungkin berkenaan sesuatu yang melucukan sehingga dapat meletuskan tawa mereka. Buat seketika aku mula tenggelam dalam suasana itu. Sangat harmoni dan menenangkan.

Baru beberapa saat ketenangan itu menyentuh sukmaku, terasa sesuatu yang lembut mengelus perlahan wajahku. Tanganku menggapai sesuatu yang menutup pandanganku. Setelah dijauhkan sedikit daripada wajahku barulah aku sedar, ianya jalur cinta Malaysia, Jalur Gemilang.

Namun sekali lagi momen itu direntap. Aku kembali ditarik dek satu sudut graviti. Kali ini aku terasa diawangan. Segalanya tidak laju seperti tadi. Ianya bagaikan filem yang diulang tayang secara perlahan namun ringkas dan padat!

Bermula dengan bangunan pencakar langit yang membangun. Jalan raya yang sudah berubah gaya. Pelbagai wajah berlainan bangsa melalui pandanganku. Ada yang bergelak tawa, ada juga yang berduka. Hinggalah segalanya seakan kelam kabut. Graviti itu membawa aku ke sebuah hospital.

Insan-insan yang terbaring di atas katil hospital seakan bertarung dengan nyawa sendiri. Tidak tertinggal insan yang seluruh tubuhnya seakan tersarung dengan pakaian yang diperbuat daripada plastik itu ke sana ke sini membantu merawat pesakit. Tampak seperti kakitangan hospital.

Mereka keletihan. Mereka menangis. Tangisan mereka jelas seakan merindukan seseorang. Telahanku mungkin kepada keluarga di rumah. Pandangan mereka ke atas pesakit penuh dengan rasa kasihan. Membuatkan aku tanpa sedar menitiskan air mata. Aku tahu situasi di sini amat genting!

Mereka bagaikan wira ketika ini. Menyelamatkan nyawa sehingga tidak kenal erti penat. Meskipun berjauhan dari keluarga, demi tanggungjawab yang mereka galas, merekalah... wira.

Jikalau dahulu wira yang kita kenali berperang dan mengerah tenaga melawan komunis yang cuba merampas tanah kita, kini wira ini juga sedang berperang. Jika dahulu wira kita bisa berehat buat seketika namun kini rehat itu jauh sekali buat mereka.

Wajahku yang mulanya bebas tanpa apa-apa kini dilitupi dengan sesuatu. Fikiranku berteka-teki. Apa aku seorang doktor? Namun meleset sama sekali apabila dadaku terasa ketat. Nafasku mula terasa sesak.

"Allah..." Nama Tuhan yang Maha Esa aku sebut perlahan. Terasa badanku dialas dengan sebuah tilam gebu. Wajah insan yang berpakaian pelik pada pandanganku aku tatap sambil menahan rasa sakit di dada.

"Nek, ikut saya baca ya? Tak boleh gerakkan mulut, ikut dalam hati." Pesan satu suara. Tanpa dipinta jantungku mengepam laju menghasilkan debaran yang menggila.

"Asyhadu an la ilaha illaLlah... Wa asyhadu an la muhammadan rasuluLlah..."

Mendengarkan itu aku dihurung sebak. Perlahan hatiku mengikut sambil air mata berlinangan di tubir mata. Sehinggalah pandanganku bertukar gelap serta merta.

Tiada lagi suara yang riuh tadi.

BAYU menampar lembut pipi tuaku. Seiring dengan itu kupanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Meskipun umur sudah menjangkau lebih dari angka 70, aku masih di sini. Menikmati indahnya dunia ciptaan Ilahi.

Hari ini, tanggal ke-31 Ogos 2021. Tarikh yang pada suatu ketika dahulu mencatatkan merdekanya negara ini sehinggalah sekarang. Meskipun kami tidak dapat menyambutnya secara besar-besaran, cukuplah dengan rasa semangat kemerdekaan yang berkobar di dada. Cukuplah dengan hanya rasa cinta buat tanah air sendiri.

Bunyi selipar disarung beserta derapan kaki pada tanah memecahkan lamunanku. Bunyi itu berpanjangan dan semakin lama semakin kuat. Dia menapak menghampiriku. Atau lebih tepat, dia menuju ke arahku. Tanpa dipinta, bunyi keriukan dari arah sisi membuatkan aku tahu, gerangan itu melabuhkan duduk di sebelahku di atas pangkin kecil ini.

Helaan nafasnya kedengaran memberat. Disusuli dengan bunyi buku yang diletakkan di atas pangkin. Itu buku aku. Setiap perkara yang terjadi dalam hidupku, aku catatkan di dalam itu.

"Cu..." seruku seraya memandang ke sebelah kananku. Dia, seorang remaja lelaki sedang menekur tanah. Menyedari akan rasa yang bergelumang di dalam dadanya, aku palingkan wajah ke hadapan semula. Menghadap bendang yang menghijau.

Dari sini, aku dapat melihat bendera Malaysia yang berkibar megah ditiup angin petang. Bulan dan bintang, melambangkan agama Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

Bintang pecah 14 pula menunjukkan perpaduan kepada negeri-negeri dan wilayah-wilayah persekutuan di dalam Malaysia. Warna padanya juga melambangkan maksud yang tersendiri.

Di mana warna kuning pada anak bulan dan bintang bermakna warna Diraja Duli Yang Maha Mulia Agung. Warna biru tua pula menunjukkan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

Manakala merah melambangkan keberanian serta putih yang melambangkan kesucian dan keluhuran. Itulah fakta bendera kita, Jalur Gemilang.

"Ini kisah aku dan Malaysia. Karangkan kisahmu pula. Bagaimana kamu dan Malaysia, apa jasamu, apa baktimu," nasihatku. Dia masih jeda. Ralit dengan sesuatu yang hanya dia tahu.

"Kita masih belum merdeka. Ya, kita punya tanah sendiri. Namun sekarang, wabak ini tersebar luas, tidak kira umur mahupun kaum. Kita masih belum merdeka. Jadi, haruskah kedegilan itu berleluasa?" soalku. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, aku mahu dia tahu bahawa wabak yang melanda negara kita pada hari ini bukanlah gurauan semata-mata. Ia benar belaka.

Dia menggeleng. Faham akan apa yang mahu aku sampaikan. Tanganku naik memaut bahunya. Pelukanku dibalasnya dengan elusan lembut pada jemari tuaku.

"Pernah aku merasai sakitnya ia. Semuanya kerana kedegilanku sendiri. Jadi, kamu ambillah iktibar dari ceritaku. Sayangi dirimu. Sayangi orang di sekelilingmu." Aku menoktahkan kata-kataku di situ. Sudah penat bercerita. Biasalah... orang tua. Cepat letih.

Hening kembali menguasai suasana. Masing-masing ralit melayan perasaan sendiri.

"Akan aku nukilkan, bermula hari ini. Kisah aku, dan Malaysia. Tanah airku." Dia bersuara perlahan, namun berjaya membangkitkan rasa bangga dalam diri aku.

Ini tempatmu,

Ini medanmu,

Meski kau tidak menggadai nyawa disempadan

Atau tidak menampan getir di barisan hadapan,

Selagi kau bernama rakyat,

Kau masih bisa menabur bakti

Memberi jasa kepada pertiwi.

Suburkan tanahmu,

Jangan biarkan dibadai ribut nista,

Dicengkam kemarau derita,

Digugat gelora bangsa,

Ditimpa celaka bencana,

Satukan tanganmu,

Semarakkan semangatmu,

Pasakkan keberanianmu,

Perkukuhkan janjimu,

Meskipun duri dan jerat menjadi penghalang,

Ini negaramu, Malaysia.

Siraminya dengan cinta,

Pagarinya dengan setia,

Kerana ini tanah kita,

Buat selama-lamanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro